BAB 3

Adventure Completed 461

Masuk minggu kedua, seluruh kawasan di tempatku diselubungi bau-bau
busuk. Bau-bau ini datang daripada makanan basi yang ada di dalam
kediaman kosong mahupun di premis perniagaan terbiar. Apatah lagi,
bekalan elektrik yang terputus, memburukkan situasi ini. Kendatipun
begitu, adaptasi manusia begitu menakutkan. Dalam keadaan stres ini, aku
membiasakan diri dengan bau-bau tersebut. Minggu ketiga, bau itu tidak
lagi aku endahkan. Dalam masa tersebut, aku perasaan sesuatu. Makanan
yang mula mereput itu, tiada seekor lalat pun yang menghurung. Tiada
seekor lipas pun yang merayap. Aku benar-benar dalam dunia tanpa
kehidupan! Tidak, sekurang-kurangnya masih ada pokok yang tumbuh melata,
menghijau pandanganku. Pokok juga sebahagian daripada kehidupan.

Sebulan hidup menyepi, akhirnya aku mengambil keputusan meninggalkan
rumahku ini. Aku memuatkan bagasi dan makanan dalam kereta solar mewah
yang kini menjadi milikku lalu memulakan perjalanan yang tiada destinasi
itu. Kereta solar itu hanya mampu beroperasi pada siang hari. Pada
sebelah malamnya, aku akan berhenti di mana-mana kawasan yang mempunyai
bekalan air. Aku tidak risau akan nyamuk atau haiwan bisa jika tidur
berdekatan hutan kerana makhluk-makhluk ini tidak wujud walau seekor pun
setakat ini. Mungkin kerana terlalu kerap menggunakan kenderaan ini,
kereta solar mewah ini tidak lagi beroperasi dan rosak. Namun, aku tidak
kisah kerana aku menggantikan kenderaan itu dengan kereta solar model
terkini yang baru dijual dalam pusat pameran yang kebetulan aku temui
sebelum kereta itu rosak. Sesekali aku rasa agak bagus hidup begini.
Sampai sahaja di bandar besar, aku akan menggantikan kereta aku dengan
model lebih baik atau setarafnya. Dari Kuala Lumpur, aku menuju ke
Bangkok, sebelum tiba di Hanoi. Entah beberapa bulan aku merantau, aku
tiba di Beijing.

Perjalanan aku tidak ada destinasinya. Sampai bila? Sudah aku katakan
ini dongenganku. Aku akan terus merantau dan merantau. Mungkin bulan,
mungkin tahun, mungkin dekad, mungkin hingga penghujung nyawaku.
Menjerit di Dubai? Menconteng Tembok Besar Cina? Berjoget di Seoul?
Seorang diri, tanpa teman, aku membazirkan masaku sebegitu sahaja.
Agaknya hampir berbulan-bulan keseorangan tanpa berteman, apalah
perasaan aku agaknya kalau aku bertemu seseorang. Bagaimanakah rupa
wajahku apabila bersemuka dengan manusia yang lain? Agaknya macam ini....

Di hadapanku, ada seorang gadis, menyelubungi dirinya dengan kain tebal
seperti kanvas, dengan rambut seakan keperakan memandang tepat kepada
aku. Biarpun rambut itu dilindungi kain dipakainya itu, tetapi jelas
warna rambutnya bagai bersinar pada pandangan matanya. Raut wajah gadis
itu bertukar ceria, terlalu gembira kerana buat kali pertama dalam masa
hampir setahun ini, dia bertemu dengan seseorang. Air mata kegembiraan
mengalir deras, tatkala gadis itu tersenyum lebar lalu membahasakan sesuatu;

“Wattakumps stilryht kiltz fithks, wattakumps rigthkka survitha...”

Gadis itu memeluk aku, tanpa memberi ruang untuk aku memahami kata-kata
itu. Sekali pun begitu, aku bagai memahami perasaan gadis tersebut.
Kata-kata gadis itu mungkin sama dengan apa yang kufikirkan....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience