BAB 4

Adventure Completed 461

“Terima kasih kerana berada di sini, terima kasih kerana masih hidup...
bukan?”

- Inilah pertemuan pertama kami......

Hidup berkelana aku diteruskan seperti biasa, bezanya kali ini berteman.
Teman baharuku itu, seorang yang duduk di sebelah aku ini tidak
mempunyai aura seperti manusia biasa. Sekalipun begitu, aku masih terasa
hangat tubuh gadis itu membuatkan aku rasa seperti ‘hidup’. Bila
difikirkan balik, ini kali pertama aku berpelukan dengan seorang gadis
bukan muhrimku. Aku jadi keseganan tiba-tiba. Gadis itu memandangku,
tertanya-tanya mengenai perubahan reaksi wajahku secara tiba-tiba.

“Jumptha isthkhtara ush?” Soal gadis itu. Bahasa apakah yang diujari
gadis ini. Inggeris, pastinya bukan. Jerman? Nampak macam ganjil benar
bunyinya.

“Khalil . Saya Khalil ....” Kataku, menepuk dadaku, memperkenalkan diri.

“Khitriath Khalil ?” Soal gadis itu. Aku mengangguk kecil.

“Milth, Iskra ...” Meniru gayaku, gadis itu memperkenalkan diri.

“Iskra ?” Aku mencari kepastian. Iskra mengangguk, mengesahkan
kenyataan itu. Aku tersenyum melihat telatah gadis itu, sangat comel.
Gadis itu berketinggian dalam lingkungan 140 cm, jauh lebih rendah
daripada aku yang berketinggian 171 cm.

“Utlskth mia jtahnana kuth....” Iskra bersuara lagi, tetapi aku tidak
memahaminya. Iskra bagai menunggu reaksiku, tetapi aku tidak mengerti
apa yang perlu aku lakukan.

“Ulskth!” Setelah bosan menantikan reaksiku, Iskra mencapai tanganku,
lalu menggenggam jemariku dengan kedua-dua tangannya. Mulut Iskra
terkumat-kamit, membacakan mentera yang tidak kufahami sebelum tangan
gadis itu mengeluarkan cahaya.

“Bahasa dikesan. Mengaktifkan komunikasi bahasa Melayu...” Iskra mula
berinteraksi dalam bahasa ibundaku.

“Awak boleh berbahasa Melayu?” Ujarku, gembira.

“Ya, saya baru menguasainya....” Iskra mengangguk.

“Siapakah sebenarnya awak, Iskra ?” Soalku, ingin mengetahui identiti
gadis itu.

“Makhluk asing, dalam bahasa kamu....” Jawab Iskra , tanpa selindung.

“A-awak yang memusnahkan bumi?!” Aku terus sahaja membuat konklusi
tersebut. Dalam cerita fiksyen Sains, makhluk asing yang datang ke bumi
pasti mahu menghancur bumi dan kehidupan di dalamnya. Iskra
menggelengkan kepalanya.

“Yang memusnahkan bumi itu, ialah manusia. Saya datang
menyelamatkannya...” Balas Iskra , membuatkan aku terdiam.

“Apa maksudmu, Iskra ? Ini semua salah manusia?” Soalku lagi.

“Khalil , manusia mencipta teknologi gelombang sebagai alat penting dalam
penerokaan alam semesta. Mereka mahu mengawal gelombang graviti supaya
mereka dapat menjelajah planet lain dalam sekelip mata. Mereka berjaya.
Kapal angkasa gelombang pertama telah berjaya dilancarkan. Ironinya,
kejayaan itu hanya mendatangkan kegagalan kerana akibat penggunaan
teknologi ini, bayarannya begitu mahal iaitu terjadinya keralatan
dimensi ruang dan masa di bumi. Awak satu-satunya manusia yang tidak
terkesan dalam fenomena. Dengan kata lain, semua manusia di dunia telah
dihanyutkan dalam dimensi ruang dan masa sekarang. Saya perlu
menyelamatkannya...” Jelas panjang Iskra .

“Bagaimana?” Soalku, masih tidak mampu untuk menelan kenyataan gadis itu.

“Saya perlukan manusia untuk menjadi teras dalam membetulkan situasi
ini. Jadi kehadiran awak sangat besar maknanya....” Jawab Iskra .

“Saya? Kenapa?” Aku tidak berpuas hati, memandang aku pula perlu
dipertanggungjawabkan untuk menyelesai krisisi ini.

“Saya perlukan memori kehidupan. Awak ialah manusia yang hidup di dunia
ini...” Iskra tidak tersinggung dengan reaksiku, sebaliknya lembut
bersuara.

“Jangan risau, awak tidak akan melakukan atau berkorban apa-apa. Itu
tugas saya...” Sambung Iskra .

“Baiklah, aku faham. Jadi di manakah destinasi kita sekarang?”

“Turki, Istanbul. Tempat paling sesuai untuk saya melakukan pemulihan
tersebut.”

“Mana alatnya?” Soalku, memerhatikan sekeliling.

“Sayalah alatnya itu....”

Buat kali pertama, aku mempunyai destinasi yang perlu aku tuju.
Istanbul, antara tempat tumpuan pelancong di seluruh dunia itu menjadi
lokasi seterusnya penjelajahan aku. Bersama Iskra , gadis makhluk asing
ini, aku melalui beberapa sempadan negara untuk sampai ke sana.
Sepanjang perjalanan, Iskra bertanyakan aku itu dan ini. Bagaikan budak
kecil, Iskra begitu teruja melihat tempat atau benda baharu. Aku juga
turut sama meladeni karenah gadis ini sehingga aku lupa bahawa Iskra
makhluk asing. Sebenarnya, setelah aku mendengar Iskra bukanlah
‘kehidupan’, tetapi ‘alat’, aku agak sedih dan kecewa mengetahui hakikat
itu. Namun, siapalah aku untuk mempersoalkan Iskra dan nasib dirinya.
Cukup bagus makhluk ini mahu membantu manusia membetulkan bencana yang
dilakukan oleh mereka sendiri.

“Kenapa Khalil ? Awak marah?” Soal Iskra , mengembalikan aku pada dunia
realiti. Saat ini kami berada di Moscow, ibu kota Russia. Hari sudah
menjelang senja, dan aku memilih berehat di rumah presiden kerana musim
sejuk di luar. Rumah mewah pemimpin tertinggi Russia itu mempunyai
penjana kuasa elektrik khas membuatkan aku dan Iskra selesa di kediaman
tersebut. Setelah mengembara hampir 3 bulan bersama, aku dan Iskra
terpaksa menetap di sini buat sementara bagi menunggu ribut salji reda
pada musim sejuk ini. Sudah lama aku tidak merasai tilam empuk, jadi
inilah peluang untuk aku menikmatinya, bukan?

“Khalil ?”

“Maaf, saya masih terkesima melihat keindahan rumah Presiden ini. Siapa
sangka, saya dapat berada di sini meskipun dilanda bencana ini...”
Spontan kataku, melihatkan Iskra yang berubah wajah apabila melihat aku
terdiam sejak tadi.

“Awak pasti?” Iskra menyoal lagi.

“Ya, ya....” Kataku, membelai rambut perak gadis yang lembut itu.

“He..he...” Riak Iskra kembali ceria, tersengih kecil apabila aku
mengusap rambutnya, seperti kanak-kanak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience