BAB 1

Adventure Completed 461

Inginku ceritakan, satu kisah ringkas; katakanlah kisah ini hanyalah
dongenganku. Suatu hari, apabila aku bangkit daripada lenaku, tiada
cahaya menerangi. Fikirku, mungkin bekalan elektrik buat hal lagi. Aku
pun menuju ke punca elektrik, cuba menghidupkan suis utama tetapi gagal.
Matahari sudah galak menerangi, tetapi tiada seorang pun kelibat
keluargaku di rumah. Menyedari situasi ini, buatkan aku curiga. Apabila
aku menjenguk luar rumahku melalui tingkap, kecurigaan aku makin
menjadi-jadi.

Pertamanya, tiada langsung kereta lalu-lalang. Malah, jalan yang sibuk
itu, lengang bisu seribu bahasa. Aku bingkas keluar dari rumahku,
memerhatikan situasi aku kini. Lampu-lampu isyarat tidak berfungsi.
Malah, apabila aku ingin masuk ke kedai serbaneka di hadapan rumahku,
pintu automatik itu tidak berfungsi. Fenomena pelik ini membawaku
kembali ke rumah, mengambil basikal elektrikku lalu kutunggang ke pekan
berdekatan. Sebagaimana situasi di kawasan rumahku, pekan yang sibuk
itu, tiada langsung kelibat manusia di sana. Terlalu sunyi untuk sebuah
kawasan tumpuan di tempat aku!

Aku tidak berganjak lagi, sebaliknya termangu di situ. Tiada kereta, bas
atau teksi yang biasanya menghiasi sungai tar ini. Pekan yang menjadi
tempat singgahanku itu, bersosial dan berurus niaga, bagai sudah mati
dilanda sepi. Aku tidak mengalah, lalu menghidupkan suis basikal
elektrikku itu kemudiannya menunggang ke bandar kecil berhampiran.
Keputusannya sama, tiada tanda-tanda kehidupan di situ. Aku tidak
mengalah lalu meneruskan perjalananku mencari makhluk bernama manusia.
Pekan ke pekan, bandar ke bandar. Dari minit menjadi jam. Daripada
kegigihan kepada kekalahan. Akhirnya aku tidak mencari lagi. Bunyi
amaran bateri pada basikal elektrikku berbunyi, menandakan perjalanan
aku perlu ditamatkan.

Sedar atau tidak, aku sudah berada di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur.
Mungkin kegelisahanku membutakan aku pada jarak yang pastinya mustahil
untuk aku pergi hanya dengan berbasikal elektrik ini. Dalam kecamuk
fikiranku, perutku menjerit minta diisi. Aku tidak bersarapan lagi.
Lantaran itu, aku menuju ke sebuah pasar raya yang sunyi tanpa manusia
itu, mencapai makanan seperti roti dan kuih, serta minuman tin yang
sudah tidak lagi sejuk kerana keputusan bekalan elektrik. Sudah tentu,
aku meletakkan bayaran harga makanan kuambil itu di kaunter, sebelum
menjamah kudapanku itu. Rasa bersalahku sesekali mengusik hati,
mengambil makanan di kedai kosong itu, biarpun kubayar harganya.

Selepas mengalas perut, aku berjalan jauh ke dalam kota gergasi di
Malaysia ini. Mulanya, aku gembira melihat kenderaan di atas jalan raya,
namun riaku tidak berpanjang kerana semuanya kosong – tanpa manusia. Aku
cuba mengecas bateri basikalku di stesen cas yang menggantikan stesen
petrol, kerana bahan bakar itu sudah pupus di muka bumi ini. Malang
sekali, elektrik di stesen itu juga terputus. Aku menyeluk saku jaketku,
mencapai sesuatu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience