Series
169
Pukul sembilan malam.
Selepas seharian penat menguruskan persiapan majlis nikah mereka yang dijadualkan berlangsung esok, kepala Farah terasa berpusing dan sakit yang amat sangat. Melihat keadaan tunangnya, Aidan telah menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke pangsapuri Farah.
Sebaik sahaja tiba, Aidan membantunya berehat dan meminta Farah menelan sebiji pil ubat tahan sakit dan ubat tidur supaya keletihannya reda. Farah menurut. Namun, baru sahaja matanya mahu terlelap, tiba-tiba deruan pintu biliknya terbuka dari luar.
Farah cuba membuka mata, tetapi kelopak matanya terasa teramat berat kerana kesan ubat tidur mula meresap ke dalam tubuh. Dalam penglihatannya yang kabur dan samar-samar, dia melihat kelibat seorang perempuan melangkah masuk ke bilik tidur itu dan terus memeluk Aidan tanpa sebarang rasa malu.
“Rozana, jangan bising sangat. Farah baru nak tertidur,” amaran Aidan perlahan sambil merangkul pinggang wanita itu.
Rozana merengus kesal. “You ingat I tak penat tunggu you kat bawah tadi lama-lama? Kenapa? You takut tunang you ni terjaga ke? Esok you nak kahwin dengan dia, apa salahnya malam ni you serah diri untuk I?”
Aidan tersenyum sinis dengan gaya menggoda. “You ni memang nakal. Jom, kita keluar dari sini.”
“Tak nak!” balas Rozana dengan nada degil. “I nak buat kat sini! Betul-betul kat depan dia!”
Farah cuba mengerahkan tenaganya untuk membuka mata luas-luas, tetapi kesan ubat yang kuat membuatkan seluruh dayanya lumpuh. Dia hanya mampu terbaring kaku, manakala air matanya perlahan-lahan mengalir membasahi pipi. Siapa sangka, lelaki yang bakal dikahwininya esok tergamak berlaku curang betul-betul di hadapan matanya!
“Dengar cakap I, jom kita cari hotel,” pujuk Aidan lagi.
“Yelah kalau macam tu, you pergi ambil barang you dulu,” arah Rozana sambil menolak dada Aidan keluar dari bilik tidur itu.
Sebaik sahaja Aidan melangkah keluar untuk mengambil barangnya, Rozana melangkah megah mendekati katil Farah dengan senyuman sinis. Sambil membongkokkan badan tepat di sisi wajah Farah, dia berbisik kejam.
“Farah, aku takkan biarkan kau dan Aidan berkahwin esok. Aku dah mengandung anak Aidan, dia aku punya!”
Farah mengepalkan tangannya rapat-rapat di atas tilam, menahan amarah dan emosi yang meronta-ronta di dalam dada.
Tiga tahun lalu, Farah Adila pernah menjadi model terkemuka di Kuala Lumpur. Namun, disebabkan lelaki itu, dia sanggup melepaskan segala-galanya dan menyerahkan kedudukan yang sukar dicapainya itu kepada Rozana Erina. Hakikatnya, segala pengorbanan yang dilakukannya hanyalah ibarat menyediakan baju pengantin untuk orang lain.
‘Tak mungkin! Ini mesti mimpi, cuma satu mimpi buruk yang menakutkan, dan esok semuanya akan kembali seperti biasa!’
Farah berterusan membohongi dirinya sendiri di dalam lena yang separuh sedar. Dengan itu, Aidan terus berlalu pergi meninggalkan Farah lena untuk terus dibuai mimpi ngeri.
Keesokan paginya, Farah bersiap-siap dengan penuh sabar untuk menyarung persalinan baju nikahnya. Namun, tatkala dia sedang membelek penampilannya di hadapan cermin, telefon bimbitnya berdering nyaring.
Sebuah mesej ringkas daripada Aidan terpampang di skrin.
[Rozana cedera kat atas pentas, saya kena uruskan hal kecemasan ni dulu. Kita tangguhkan akad nikah kita ke hari lain.]
‘Memang dah tak ada hari lain.’ Farah mengeluh panjang. Di dalam hatinya yang sudah tawar, dia sedar dan reda, takdir jodohnya memang bukan dengan Aidan.
Bagi menenangkan fikiran dan meredakan kekusutan yang melanda, Farah memilih untuk keluar bersiar-siar sendirian di bandar. Niat asalnya adalah untuk melencong ke sebuah pusat beli-belah mewah dan memborong apa sahaja yang diidamkan bagi meredakan tekanan. Namun, setiap butik eksklusif yang dikunjunginya langsung tidak menarik minatnya; hatinya terlalu kosong untuk memikirkan soal pakaian atau barangan mahal.
Langkah kakinya terus membawanya pergi jauh, hinggalah dia tanpa sedar melintasi sebuah dewan eksklusif yang terletak di bahagian sayap bangunan itu. Pandangan matanya terarah kepada susuk tubuh seorang lelaki tinggi lampai yang berdiri kemas mengenakan suit serba putih.
‘Dia pun nak kahwin hari ni?’ bisik hati Farah kehairanan.
Tetapi apabila Farah menoleh ke arah pintu dewan yang terbuka luas itu, suasana di dalamnya kelihatan sunyi sepi. Tiba-tiba, pembantu peribadi Daniel berlari mendapatkan majikannya dengan wajah cemas.
“Tuan Daniel, Cik Melinda masih tak sampai lagi. Kita dah tunggu lebih dua jam kat sini,” lapor pembantu engan dahi yang mula berpeluh-peluh.
Daniel mengetap rahang. Wajahnya kelihatan tegang. “Call keluarga dia sekarang. Tanya apa masalah dia sampai lambat sangat.”
“Saya dah call tadi, Tuan Daniel... tapi tak ada siapa yang jawab. Tetamu pun semua dah balik sebab letih menunggu,” balas pembantunya dengan nada serba salah.
Daniel mendengus dingin. “Hantar mesej kat diorang. Kalau tak reti tepati masa, baik tak payah datang langsung.”
“Tapi... Ayah Tuan Daniel baru call tadi. Dia kata Tuan Daniel MESTI kahwin hari ni juga, tak kisahlah apa pun yang jadi. Ayah Tuan kata, walaupun Tuan Daniel nak kahwin dengan perempuan tepi jalan sekalipun, dia tak kisah, asalkan kahwin hari ni,” kata pembantunya dengan teragak-agak, takut majikannya mengamuk.
Daniel meraup rambutnya ke belakang. “Ah! Menyusahkan betul orang tua ni lah! Kau cari mana-mana perempuan cepat. Aku bagi masa setengah jam! Kalau tak, aku pecat kau!”
Mendengar perbualan itu, satu idea berani mendadak tercetus di benak Farah.
Tanpa membuang masa, dia melangkah mantap ke arah lelaki bersuit putih itu. “Err... kalau Encik tak keberatan, sudi tak kalau Encik kahwin dengan saya?”
Pembantu peribadi Daniel terkelu membatu. Matanya terbeliak luas sebelum suaranya terlepas tanpa disedari, “F-Farah Adila?!”
Daniel yang mendengar nama itu terhenti. Dia menurunkan cermin mata hitamnya sedikit, mendedahkan sepasang mata tajam yang memukau. Dia menatap Farah dari atas ke bawah dengan pandangan penuh teka-teki.
Melihat reaksi majikannya, pembantu peribadi itu dengan pantas mencapai telefon bimbitnya, membuat carian ringkas di internet mengenai Farah. Sebelum menyerahkan telefon itu kepada Daniel, dia sempat membongkokkan badan dan berbisik perlahan, “Tuan Daniel, dia ni Farah Adila... bekas model terkenal dulu. Tapi lepas timbul skandal tiga tahun lepas, dia terus senyap dan dah jarang muncul dalam industri.”
Daniel menatap skrin telefon yang dihulurkan, membaca maklumat ringkas itu sambil bibirnya mengukir senyuman sinis. Dua minit kemudian, dia menoleh ke arah Farah dan menjawab dengan sepatah kata, “Jom!”
Farah merasakan bahawa pertemuan dengan Daniel adalah perkara paling bertuah yang pernah berlaku dalam hidupnya. Lelaki itu tidak mempunyai sebarang sebab untuk mempergunakan seorang wanita, tidak memerlukan cinta, dan paling penting sekali, dia tidak pernah kekurangan wanita di sekelilingnya.
Bagi Farah, pertemuan tanpa dirancang ini adalah jalan keluar terbaik untuk membuktikan harga dirinya, manakala bagi Daniel, ia menyelesaikan masalah desakan keluarganya dalam sekelip mata.
Lagipun, apa yang dia mahukan sekarang hanyalah untuk membuat Aidan menyesali keputusan yang telah dibuatnya!
****
Prosedur perkahwinan kilat mereka diuruskan dengan pantas oleh pihak pengurusan persendirian Daniel. Dalam tempoh yang singkat, segala urusan selesai dan Farah kini sah memegang status sebagai seorang isteri.
“Encik Daniel, boleh saya bercakap sikit dengan encik?” pinta Farah sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari kawasan dewan eksklusif itu.
“Masuk dalam kereta!” arah Daniel pendek sambil menyarung semula cermin mata hitamnya.
Farah mengekorinya rapat. Sebaik sahaja pintu kereta Rolls-Royce ditutup, dia memandang Daniel dengan perasaan berbelah bagi.
“Terima kasih sebab sudi berkahwin dengan saya. Kalau encik perlukan apa-apa balasan daripada saya, beritahu je, saya akan buat apa sahaja. Tapi, saya ada dua permintaan ringkas dan saya harap encik boleh berjanji untuk tunaikannya.”
“Cakaplah,” balas Daniel dengan nada penat sambil melonggarkan kolar bajunya.
“Pertama, melainkan keadaan mendesak, jangan dedahkan hubungan kita buat masa ni. Kedua, jangan campur tangan dalam urusan peribadi saya. Jangan risau, memandangkan kita dah berkahwin, saya takkan terlalu rapat dengan lelaki lain.”
Selepas mendengar permintaan-permintaan Farah itu, Daniel mengukir senyuman nipis. “Saya setuju. Tapi ingat, selepas awak selesai uruskan peribadi awak, kita akan jalani perkahwinan percubaan selama enam bulan sebelum saya umumkan kepada semua orang.”
“Baiklah,” balas Farah mengangguk setuju.
“Lagi satu... saya beri awak masa tiga hari untuk kemas barang dan berpindah ke kediaman saya. Tak wajar pengantin baru tinggal berasingan,” tegas Daniel sebelum Farah melangkah keluar dari kereta mewah itu.
Farah tidak mempunyai sebarang bantahan. Memandangkan mereka kini sudah berkahwin, permintaan sebegini memang munasabah. Jadi dia mengangguk akur sambil membalas, “Saya setuju.”
“Bagus!”
Selepas kedua-duanya mencapai persetujuan lisan, Farah melangkah keluar dari kereta Daniel lalu beredar.
Pembantu peribadi Daniel mengambil tempat di kerusi pemandu dan memandang Daniel melalui cermin pandang belakang. “Tuan Daniel, kita nak balik ke pejabat ke? Atau nak balik ke rumah untuk sampaikan berita ni kepada ayah Tuan?”
“Ekori Farah dan lapor setiap gerak-gerinya pada saya!” arah Daniel dingin. Gadis itu tiba-tiba menawarkan diri untuk bernikah dengannya, pasti ada sesuatu rahsia besar di sebalik tindakan terburu-buru itu!
Sebagai CEO sebuah agensi hiburan antarabangsa, sudah tentu dia pernah mendengar nama Farah sebelum ini. Pernah menjadi model terkenal dalam industri, tiga tahun lalu dia tiba-tiba menolak tawaran daripada agensi hiburan gergasi, Star King, sehingga menyebabkan namanya disenarai hitamkan. Akhirnya, dia mengumumkan bakal menandatangani kontrak bersama Marigold Entertainment sehingga timbul khabar angin berkenaan hubungannya dengan CEO agensi tersebut, Aidan Aariz.
Share this novel