Bab 4

Romance Series 169

Pihak media mula gempar. Apa sebenarnya maksud Daniel? Adakah dia berhasrat untuk menandatangani kontrak dengan Farah? Ini satu gurauan ke apa?

Apa pun penjelasannya, para wartawan tidak lagi berani untuk terus mengasak Farah. Sebaliknya, mereka mengalihkan seluruh punca kesalahan kepada Marigold Entertainment.

Begitulah bermulanya masalah bagi Marigold Entertainment, dan tanpa disengajakan, pembantu Rozana yang menjadi punca segalanya. ‘Benda kecil macam ni pun kau tak boleh nak urus, apa lagi yang kau boleh buat? Tunggu dan lihatlah macam mana Encik Aidan kerjakan kau nanti!’

Farah kekal tenang tanpa sebarang riak resah. Dia menukar pakaiannya lalu melangkah keluar dari tempat tersebut dengan santai. Sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu, dia terpandang kereta sport milik Daniel yang diletakkan di luar.

“Masuk.”

Farah menurut perintah dan melangkah masuk ke dalam kereta. Dia amat terhutang budi dan bersyukur atas bantuan Daniel tadi. “Terima kasih untuk hari ni.”

Mata Daniel berkedip halus sebelum satu senyuman sinis terukir di bibirnya. “Awak ingat saya akan biarkan orang lain aniaya isteri yang baru saya nikahi depan mata saya sendiri?”

“Sebenarnya, saya tak layak pun dapat bantuan Encik Daniel. Saya memang sengaja biarkan semua orang tahu siapa saya yang sebenar,” jelas Farah dengan nada serba salah.

Daniel memandang tepat ke dalam anak mata wanita yang duduk di sisinya itu. “Saya tahu.”

“Cuma, kalau awak tak ada rancangan yang lebih bijak untuk kenakan orang lain, sepatutnya awak minta bantuan saya. Korbankan diri sendiri semata-mata nak membalas dendam adalah perbuatan yang agak bodoh, awak tak rasa macam tu?”

Farah hanya terdiam membisu tanpa sebarang jawapan.

“Saya nak hantar awak ke mana ni?”

“Rumah Encik Daniel. Bukankah kita dah jadi suami isteri sekarang?” balas Farah tanpa ragu-ragu. Memandangkan dia sudah membuat keputusan, dia tidak akan menarik balik atau menyesali tindakannya.

“Awak pasti? Kita bukan setakat dah nikah... tapi malam ni juga malam pertama kita!”

Pipi Farah menjadi kemerah-merahan, namun dia mengangguk pasti. “Saya dah sedia. Saya betul-betul berterima kasih sebab Encik Daniel tak bongkarkan hubungan kita tadi. Tapi, mulai sekarang, saya minta Encik Daniel jangan bersikap berat sebelah. Tak perlu tolong saya. Saya nak berdikari untuk rampas balik apa yang sepatutnya jadi hak saya.”

Daniel tidak memaksa. Lagipun, jarang sekali dapat melihat wanita yang tidak mempergunakannya sebagai batu loncatan demi kepentingan diri sendiri. Dia mengambil keputusan untuk duduk tenang dan menyaksikan sendiri cara Farah menunjukkan taringnya.

Pasangan itu mula beredar dari sana. Tidak lama kemudian, Farah menerima panggilan telefon daripada pengurusnya, Jue.

“Farah, saya dah dapat bukti yang Rozana tu mengandung. Awak nak saya buat apa dengan bukti ni? Lagi satu, kekecohan pasal awak dekat pertunjukan barang kemas hari ni dah tular. Ramai orang mengutuk awak dekat internet sekarang ni. Awak ada rancangan apa-apa ke?”

“Jue, awak masih sanggup nak setia di sisi saya tak?”

“Kenapa awak tanya soalan merepek macam ni?” Jue merungut. “Awak ingat saya nak terus menghadap pasangan curang tu lagi ke?”

“Kalau macam tu, keluarkan kenyataan yang saya minta awak sediakan tadi. Tapi ingat, kalau kita buat macam ni, maksudnya awak akan berdepan terus dengan Marigold Entertainment!”

“Saya tak takutlah!” seru Jue dengan teruja.

“Sepatutnya dari dulu lagi kita buat macam ni. Saya pergi sediakan bukti-bukti tu sekarang dan keluarkan sebelum sempat Aidan bagi apa-apa maklum balas.”

Farah menamatkan panggilan telefon dan suasana di dalam kereta kembali tenang seperti asal. Namun di lubuk hatinya, Farah sebenarnya berasa agak gementar memikirkan tanggapan Daniel terhadap dirinya.

“Saya—”

“Tak payah nak jelaskan apa-apa. Perbualan awak tadi, semuanya saya dah dengar. Cuma, saya ada satu soalan... Awak memang sentiasa jujur macam ni ke?” Kereta berhenti sewaktu lampu isyarat merah. Daniel menoleh sekilas ke arah Farah, lalu jemarinya perlahan-lahan menyentuh dagu Farah, merenung wanita itu dengan pandangan tajam bak helang.

“Saya cuma jujur di hadapan Encik Daniel je, dan saya berhasrat nak kekalkan macam ni... sebab saya bimbang Encik Daniel salah faham dan berburuk sangka pada saya,” kata Farah mendedahkan kesetiaannya.

Lidah Daniel kelu seketika sebelum dia kembali bersuara. “Kalau saya jadi awak, saya akan bertindak lebih dahsyat lagi!”

Daniel pasti sudah dapat mengagak apa yang berlaku antara Farah, Rozana, dan Aidan. Disebabkan reaksi lelaki itu, Farah mula menaruh rasa hormat dan kagum terhadap suami baharunya. Dia berjanji pada diri sendiri, tidak kira apa jua yang berlaku kelak, dia akan mengenang hari ini dan memegang janji-janjinya kepada Daniel sampai bila-bila.

Sementara itu, Aidan seolah-olah tidak percaya apabila menerima berita mengenai penyamaran Farah yang terbongkar di atas pentas. Bukan itu sahaja, pada masa yang sama, dia turut menerima panggilan telefon daripada pihak HF yang memaklumkan hasrat mereka untuk membawa Marigold Entertainment ke mahkamah atas kesalahan melanggar kontrak.

Dalam sekelip mata, Marigold Entertainment dilanda kemelut yang berat sewaktu khabar angin tersebar luas di seluruh pelosok internet bagaikan api dalam sekam.

Rozana yang sedang tekun menyaksikan rakaman persembahan Farah di atas pentas menarik tangan Aidan ke arahnya. “Tengok ni, Farah memang nak orang tau itu dia! Dia memang sengaja nak tunjuk kaki dia sebab semua orang tahu yang kaki dia dengan I memang berbeza! Dia memang sengaja!”

“Rozana, Farah bukannya macam tu. Bukan kali pertama pun dia tolong gantikan tempat you,” di sudut hatinya, Aidan masih menaruh kepercayaan kepada Farah.

“Jadi maksud you, you lebih percayakan Farah? Janganlah bodoh, Aidan! Benda dah jadi macam ni, mesti ada orang yang kena bertanggungjawab. You betul-betul nak terlepas kontrak ni ke? You nak cakap kat semua orang you suruh Farah gantikan tempat I? Kalau macam tu, memang hancurlah kita!”

“Habis tu, apa cadangan you?”

“Memandangkan you dengan Farah nak kahwin tak lama lagi, dia pun takkan duduk dalam industri ni lagi. Demi keselamatan Marigold Entertainment, you kena buat pengumuman. You kena bagitahu semua orang yang you tak tahu langsung pasal hal ni dan semua ni cuma taktik Farah nak cari perhatian, sebab tu dia tikam belakang kita dan menyamar jadi I.” Rozana meletakkan seluruh punca kesalahan ke atas bahu Farah tanpa rasa bersalah.

“I rasa, dalam keadaan macam ni, itu je jalan yang kita ada,” Aidan mengangguk bersetuju. Walau bagaimanapun, sewaktu dia cuba menghubungi ketua bahagian hubungan awam, dia menerima panggilan telefon daripada pembantu peribadinya.

“Cepat, Encik Aidan, tengok tajuk berita hiburan sekarang! Pengurus Farah baru je bongkarkan berita sensasi!”

Aidan dengan pantas melayari internet untuk menyemak tajuk-tajuk berita utama. Seakan tidak percaya, pengurus Farah rupa-rupanya sudah selangkah lebih ke hadapan. Dia membongkarkan bahawa Aidan telah memaksa Farah menggantikan tempat Rozana berkali-kali sebelum ini, siap disertakan gambar perbandingan antara kedua-dua model itu sebagai bukti. Dia turut merungut bahawa syarikat kerdil kerap menganiaya orang lain dan mendedahkan bahawa Farah telah ditindas bertahun-tahun lamanya.

Dalam keadaan marah, Aidan terus menghubungi pengurus Farah.

“Jue, awak dah gila ke apa?”

Di hujung talian telefon, kedengaran gelak tawa Jue bergema. Dengan tenang dia membalas. “Saya dah lama sangat nak berambus keluar dari syarikat tak guna awak ni.”

“Aidan, ni mesti kerja Farah! Cepat, kita tutup isu ni dengan memuat naik berita pasal dia sengaja cari perhatian!”

Tanpa berlengah, Aidan terus menghubungi kenalannya dalam media untuk memadamkan berita daripada Jue. Dia dengan pantas menggantikannya dengan berita yang telah disediakan lebih awal berkenaan cubaan Farah untuk mencari perhatian.

Dalam sekelip mata, carian nama Farah Adila dan Marigold Entertainment menjadi topik paling hangat di internet dengan pelbagai reaksi yang bercampur-baur.

Tiada sesiapa pun yang tahu tentang hubungan antara Farah dan Daniel. Jadi, berbanding Farah, tiada siapa yang cukup berani untuk menentang Aidan.

Farah sudah semestinya menjadi mangsa keadaan dan menerima kecaman yang tidak terkira banyaknya di alam maya.

Apabila semua orang menyangka keadaan telah berpihak kepada Aidan, carian dengan kata kunci Farah Adila pengganti tiba-tiba melonjak naik ke tangga teratas carta carian. Hasil carian semuanya membawa kepada berita yang dikeluarkan oleh Jue awal tadi, mendedahkan bahawa Farah ialah mangsa keadaan yang sebenar.

Sudah semestinya, pendedahan yang dibuat oleh Jue yang tersebar dulu telah mempengaruhi pendirian netizen. Ditambah pula dengan fakta bahawa Farah telah menggantikan tempat Rozana berkali-kali sebelum ini tanpa menimbulkan sebarang masalah dan berterusan dipergunakan, isu tersebut menjadi topik paling hangat di internet. Netizen sebulat suara bersetuju bahawa Farah memang mangsa yang ditindas.

Seakan tidak percaya, Aidan mencapai telefon bimbitnya lalu menghubungi pasukan hubungan awam, mengarahkan mereka membelanjakan lebih banyak wang untuk menurunkan berita berkenaan Farah.

Sementara itu, Daniel sedang berhubung menerusi panggilan telefon dengan pihak pengurusan media utama.

“Kalau berita pasal Farah hilang dari carta carian, awak bersedialah untuk tutup syarikat awak.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience