Bab 3

Romance Series 169

Farah tersenyum lalu mengangguk sebelum mengangkat sedikit gaunnya dan berlari ke belakang pentas. Walaupun wajahnya dilindungi topeng, jika ada satu keistimewaan yang membezakan antara Farah dan Rozana, ia tidak lain tidak bukan ialah sepasang kaki milik Farah. Kaki Farah pernah diiktiraf sebagai antara sepasang kaki yang paling cantik di dalam industri peragaan.

Tepat pada saat semua orang menyangka pertunjukan itu telah mencapai kemuncaknya, Farah turun dengan begitu anggun ke atas pentas di atas sebuah kerusi. Semua lampu sorot serta-merta tertumpu ke arahnya.

Tetapi…

Gelang tangan Crown’s Star langsung tidak kelihatan pada pergelangan tangannya.

Apa yang sedang berlaku?

Semua yang hadir mula keliru dan gelisah mencari gelang Crown’s Star, malah mereka turut memeriksa penampilan Farah secara keseluruhan. Disebabkan hal itu, ramai yang tidak dapat menahan diri daripada memperhatikan sepasang kakinya yang panjang, halus, dan menawan.

Sepasang kaki yang begitu cantik hingga sukar untuk dipalingkan pandangan.

Ketika separuh penonton hampir berputus asa mencari gelang tersebut, satu ukiran senyuman terbit dari sebalik topeng keemasan yang misteri itu. Farah mengangkat lengannya dengan sopan, meliukkan kepalanya ke belakang lalu mengangkat kaki kirinya yang menghadap penonton, menampilkan satu aksi tarian yang cukup memukau.

Pada ketika itu, dari sebalik gaun putih yang terangkat dan meluncur turun di sepanjang kakinya yang mulus, Crown’s Star kelihatan melingkari buku lali Farah sambil bersinar dengan begitu mempesonakan.

Wah…

Semua orang terpegun melihat pemandangan di hadapan mereka. Aksi Farah yang berbaring di atas kerusi sambil beralih dari satu gaya ke satu gaya yang lain secara berseni sungguh sukar untuk dilupakan. Paling memukau, bagi setiap gaya yang dipersembahkan oleh Farah, Crown’s Star itu menyerlahkan pesona yang berbeza, mempamerkan keindahannya berkali-kali tanpa henti.

Para penonton berdiri lalu memberikan tepukan gemuruh untuk Farah.

Di tengah-tengah kerumunan para hadirin itu, dari sudut yang tinggi tetapi tersembunyi, pandangan Daniel terpaku sepenuhnya pada Farah. Isteri baharunya, yang pernah menjadi model terkemuka di Kuala Lumpur, kini berada di situ menggantikan tempat seorang model gred B.

Tidak dapat dinafikan, tidak kira tiga tahun lalu mahupun hari ini, dia tetap model yang sama, dilahirkan khas untuk pentas peragaan.

Selepas gaya terakhir dipersembahkan oleh Farah, pertunjukan fesyen itu berakhir dengan cukup sempurna. Pengasas HF amat kagum dengan persembahannya. Sudah tentu, dia langsung tidak sedar bahawa model di atas pentas itu ialah Farah. Dia masih percaya bahawa wanita itu ialah Rozana.

Pengasas itu muncul dari belakang pentas lalu menghampiri Farah. Seperti seorang budiman, dia menghulurkan tangannya untuk membantu Farah turun dari kerusi, kemudian memimpinnya ke hadapan pentas sewaktu mereka menundukkan kepala kepada penonton sebagai tanda terima kasih.

“Terima kasih semua, dan sudah tentu, terima kasih kepada Cik Rozana atas persembahan yang cukup menakjubkan. Ia benar-benar memukau.”

Farah kekal membisu. Dia sekadar membalas dengan menganggukkan kepalanya.

Tiba-tiba, dari arah hadapan pentas, kedengaran satu suara lantang bersuara, “Dia bukan Rozana! Saya pernah jumpa Rozana depan-depan dan kaki dia tak panjang macam tu!”

Pada ketika itu, suasana bertukar gempar. Para penonton mula memandang sepasang kaki Farah dari atas ke bawah dengan penuh curiga.

“Kalau kau betul-betul Rozana, tanggalkan topeng sekarang! Kalau bukan, maksudnya Marigold Entertainment tu penipu besar!”

Bisik-bisik dan desakan yang meragui identitinya mula bertambah dan semakin bingit. Malah pihak pereka HF sendiri mula mempersoalkan sama ada wanita di hadapan mereka itu benar-benar Rozana.

“Cik Rozana, tolong tanggalkan topeng awak...” Pereka fesyen tersebut turut mendesak. Adakah dia benar-benar Rozana? Jika jawapannya tidak, maka kerjasama mereka dengan Marigold Entertainment harus ditamatkan serta-merta.

Farah berpura-pura teragak-agak, namun dia sudah pun dikerumuni. Tanpa pilihan lain, dia perlahan-lahan menanggalkan topeng mukanya. Pada ketika itu, nafas semua orang tertahan secara tidak sedar akibat terlalu terkejut. Sebaik sahaja melihat raut wajahnya, sebilangan daripada mereka terus mengecamnya sebagai bekas model terkenal suatu ketika dahulu.

“Itu Farah Adila!”

Terdapat khabar angin mengatakan bahawa selepas Farah disenarai hitamkan, kedudukannya benar-benar jatuh merudum. Keadaannya dikatakan lebih teruk daripada model yang tidak mempunyai agensi. Siapa sangka dia tergamak merendahkan maruahnya hingga sanggup menggantikan tempat orang lain secara sembunyi.

“Farah... rupanya betul-betul Farah Adila.” Pihak wartawan dengan pantas meluru mengelilingi Farah, langsung tidak memberinya ruang untuk melarikan diri.

“Cik Farah, boleh jelaskan situasi sekarang? Rozana yang sepatutnya dijemput untuk pertunjukan hari ni, tapi kenapa Cik Farah pula yang keluar?”

“Setahu kami, Cik Farah dah disenarai hitam tiga tahun lepas. Cik Farah sengaja guna peluang ni ke untuk umumkan kemunculan semula? Betul ke Cik Farah sengaja tumpang populariti Rozana?”

“Sebagai bekas model terkenal, Cik Farah cuba nak rampas kerja Rozana ke? Cik Farah mengambil kesempatan atas kecederaan dia dan curi peluang dia untuk jadi duta jenama terkenal?”

“Memang sah sengaja nak cari perhatian. Rozana kan tengah cedera, mana mungkin dia boleh datang pertunjukan ni. Model terkenal konon, model murahan adalah!”

Soalan-soalan daripada wartawan menjadi semakin berani dan melampau, malah ada yang sudah mula menghamburkan kata-kata hinaan di hadapan muka pengaturnya.

“Model murahan tak laku.”

“Rozana yang sepatutnya jadi duta, pulangkan balik pada dia!”

Farah terpaksa berundur perlahan-lahan apabila wartawan terus mengasak dan mengepungnya. Malah ada yang mula menolak-nolak bahunya.

Pada ketika itu, pihak HF turut melenting. “Saya akan saman Marigold Entertainment! Apa yang korang buat ni terang-terang menipu! Saya minta Rozana, tapi korang bagi saya model gred tiga!” Pereka fesyen itu langsung tidak tahu betapa terkenalnya Farah tiga tahun lalu; apa yang dia tahu, dia tidak pernah melihat model ini muncul di mana-mana sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dan pasal awak pula, kita jumpa dekat mahkamah! Tapi sekarang, berambus! Awak tak layak nak berdiri di atas pentas peragaan saya!” tengkingnya biadap.

Suara garang itu bergema di dalam dewan, hingga menyebabkan para wartawan yang berada di situ turut terkesima seketika. Mana ada model yang hanya akan berdiri kaku dan membiarkan diri ditengking sedemikian rupa tanpa melawan.

“Kenapa masih terpacak dekat situ lagi? Berambuslah!”

Farah sudah pun mempersiapkan mentalnya untuk menghadapi situasi seperti ini, namun dia tetap mengalami sedikit kesukaran untuk menahan rasa malu yang melanda diri di tengah-tengah lautan manusia itu.

Tepat pada waktu itu, satu suara garau yang cukup maskulin dan berkarisma bergema tegas dari hujung pentas, “Memang ada orang yang patut berambus...”

Dengan rasa terkejut, para wartawan terus menoleh ke arah punca suara tersebut. Di situ, berdiri megah di hujung pentas ialah Daniel. Mata semua orang terbeliak kerana terperanjat.

Bukankah ini CEO Daisy Entertainment? Kenapa dia boleh ada dekat sini?

Paling utama, kenapa dia tiba-tiba masuk campur? Semua orang sedia maklum bahawa Daniel amat membenci artis yang suka bermain taktik kotor demi perhatian. Farah dianggap sedang mencari nahas kali ini. Sampai gergasi industri hiburan seperti Daisy Entertainment pun takkan sudi membela model yang bermasalah.

Masing-masing menahan nafas, yakin bahawa nasib Farah kini sudah benar-benar di penghujung jalan.

Namun alangkah terkejutnya mereka apabila Daniel berjalan menghampiri Farah lalu berdiri tepat di sisinya. Dengan nada penuh wibawa ibarat seorang raja, dia menoleh ke arah pereka fesyen itu dan menyambung,

“...tapi, bukan dia yang patut berambus, tapi awak!”

Suasana di dewan itu mendadak sunyi sepi.

“Saya boleh lenyapkan jenama HF dari dunia ni kalau saya nak. Nampaknya kebiadaban awak langsung tak sepadan dengan rekaan barang kemas awak.”

Jantung Farah terhenti seketika. Siapa sangka, suami baharunya yang baru dinikahinya semalam sudi tampil untuk mempertahankannya di hadapan khalayak ramai.

Semua wartawan terpegun dan mula diselubungi rasa cemas yang menebal. Kalau dari awal mereka tahu Farah ada kaitan dengan Daisy Entertainment, mereka takkan berani bersikap kurang ajar sedemikian rupa.

Pereka fesyen HF itu mula pucat lesi, namun dia tahu dia sama sekali tidak boleh menyinggung perasaan Daisy Entertainment. Selepas beberapa lama mendiamkan diri dalam ketakutan, dengan berat hati dia merendahkan diri memohon maaf, “Maafkan saya, Encik Daniel. Saya tak tahu hubungan encik dengan...”

“Awak silap, saya tak ada apa-apa hubungan istimewa dengan dia. Saya cuma... jijik dengan keperibadian awak!” Daniel menafikan hubungannya secara sinis lalu mula melangkah pergi.

Namun sebelum beredar sepenuhnya, dia berpaling semula dan mengumumkan kepada para wartawan dengan suara yang jelas mendominasi suasana,

“Tapi, ada satu perkara yang saya tak boleh nafikan. Dia pasti akan menjadi bintang yang paling bersinar dalam industri peragaan!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience