A: HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU SAINS.

Mystery & Detective Completed 1120

A: HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU SAINS.

Pengenalan dan kaedah memahaminya.

Hadis-hadis yang musykil dari sudut ilmu sains ialah hadis-hadis yang memberi maksud atau pengajaran yang tidak selari dengan penemuan dan fakta sains masa kini. Ada di antara hadis-hadis ini yang terasing dengan sains, ada yang bertentangan dengan sains dan ada yang dibuktikan salah oleh sains.

Sebenarnya hadis-hadis yang dianggap musykil ini hanyalah merupakan sesuatu yang wujud pada pandangan zahir seseorang. Sebenarnya tidak akan wujud sebarang pertentangan antara hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan alam kehidupan ini (yakni sains) kerana kedua-duanya adalah wahyu dan penciptaan yang berasal daripada sumber yang sama iaitu Allah ‘Azza wa Jalla.

Justeru apabila seseorang itu menemui satu hadis yang kelihatan musykil dari sudut sains, ia hanyalah kemusykilan yang bersifat fiktif, bukan hakiki. Kemusykilan wujud kerana kegagalan seseorang itu untuk mencermati beberapa faktor berikut:

[1]      Adakah hadis yang dianggap bertentangan tersebut sahih isnadnya dan benar-benar berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ? Tidak sedikit kita menemui sesebuah hadis yang dianggap berasal daripada Rasulullah tetapi ia memiliki isnad yang sangat dha‘if atau maudhu’, atau mungkin juga ia hanyalah merupakan sebutan sahabat atau generasi selepas mereka.

[2]     Adakah hadis yang dianggap bertentangan tersebut telah diterjemahkan atau difahami dengan tepat ?

[3]     Adakah fakta sains tersebut sesuatu yang nyata (established fact) atau hanya teori yang belum dipersetujui secara jumhur oleh para ahlinya ? Sekalipun ia adalah sesuatu yang dipersetujui jumhur, perlu diingatkan bahawa ilmu sains adalah sesuatu yang dinamik, apa yang dipersetujui seratus tahun dahulu mungkin akan diperselisihkan pada masa kini dan apa yang dipersetujui pada masa kini mungkin akan dipersoalkan semula pada masa akan datang. Oleh itu hendaklah ditetapkan secara pasti sesebuah fakta sains sebelum ianya dianggap bertentangan dengan sesebuah hadis.

[4]     Apakah sudah dipertimbangkan kemungkinan bahawa hadis musykil tersebut sebenarnya menerangkan sesuatu yang pada hakikatnya masih belum dijangkau ilmunya ? Hadis-hadis seperti ini sering kali ditolak sebagai ketinggalan padahal mungkin sahaja ia memiliki petunjuk sains yang jauh ke hadapan, ke satu tahap yang buat masa ini belum tercapai oleh sains dan sekaligus menjadi cabaran bagi para ahlinya.

 [5]    Adakah hadis yang dianggap bertentangan tersebut asalnya disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai satu ilmu sains atau hanya sekadar apa yang sesuai dengan suasana masyarakat di sekeliling baginda ?

Yang terakhir di atas sangat perlu diberi perhatian kerana ada sesetengah pihak yang menganggap keseluruhan ucapan, perbuatan dan persetujuan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah daripada sumber wahyu. Sebenarnya para ilmuan Islam telah bertindak cemerlang dalam hal ini, di mana mereka telah membezakan kesemua ucapan, perbuatan dan persetujuan baginda (yakni sunnah baginda) kepada beberapa jenis:

[1]      Sunnah yang termasuk dalam urusan syari‘at seperti pegangan akidah, kaedah peribadatan dan sebagainya. Dalam sunnah yang pertama ini wahyu bersifat memerintah manakala Rasulullah hanyalah sebagai penyampainya.

[2]     Sunnah yang termasuk dalam urusan ijtihad baginda sebagai seorang pemimpin seperti kaedah kepimpinan negara, strategi peperangan dan pengurusan masyarakat. Dalam sunnah yang kedua ini wahyu bersifat membimbing dengan memberi beberapa petunjuk asas agar tidak terkeluar dari batas yang diredhai syari‘at.

[3] Sunnah yang termasuk dalam urusan harian baginda sebagai seorang manusia seperti cara tidur, menyikat rambut, berpakaian dan sebagainya. Dalam sunnah ini wahyu bersifat memerhati dan menegur agar setiap perbuatan harian ini termasuk dalam lingkungan teladan hasanah yang dapat dicontohi oleh umat baginda.

Oleh kerana itu perlu dibezakan antara sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam agar kita dapat meletakkan setiap hadis baginda pada tempatnya yang sebenar. Berikut dikemukakan 4 contoh hadis yang dianggap terasing, bertentangan dan batil dengan sains moden diikuti dengan penjelasannya yang sebenar.

_______________________________________________
 

Hampir semua hadis-hadis musykil dalam kategori Dari Sudut Ilmu Sains (Bab A) dan Dari Sudut Ilmu Perubatan (Bab B) penulis ambil dari buku Maurice Bucaille yang berjudul The Bible, The Qur’an and Science(A.S. Noordeen, Kuala Lumpur 1989) dalam sebuah bab khusus yang berjudul The Qur’an, hadith and Modern Science (ms 242-248) di mana dalam bab ini pengarang telah mengemukakan sejumlah hadis dalam kitab Sahih al-Bukhari yang memusykilkan beliau.

 

 

 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience