10 FAKTA SAINS YANG TENGGELAM MENJADI MITOS

Mystery & Detective Completed 1120

1. Makan Coklat Menyebabkan Banyak Jerawat

Di kalangan remaja umunya, mitos ini telah banyak tersebar secara turun-temurun, baik di rumah mahupun di kalangan rakan sebaya di sekolah. Ada ibubapa yang menakut-nakutkan anak remaja mereka tentang bahaya makan coklat. Mungkin ada betulnya kalau mereka nak mengelakkan gigi dari rosak, tetapi bukan kerana ia menyebabkan jerawat.

Kajian menunjukkan bahawa tidak ada bukti menunjukkan bahawa coklat menyebabkan jerawat. Namun ada sedikit bukti menunjukkan bahawa makanan tinggi gula/lemak akan meningkatkan penghasilan sebum serta tindakbalas di dalam badan yang boleh menyebabkan jerawat. Tetapi sekiranya anda dapat mengawal pengumpulan sebum di kulit (dengan kerap mencuci dan menjaga kulit), belasahlah coklat tu cukup-cukup. Jangan lupa gosok gigi!

2. Rambut dan Kuku Mayat Terus Tumbuh Selepas Mati

Ini merupakan satu tanggapan yang kerap kita dengar dalam masyarakat Melayu. Tetapi sebenarnya ia tidak terhad di situ sahaja kerana hampir semua budaya membuat pemerhatian yang sama di seluruh dunia.

Hakikatnya, kuku dan rambut tidak tumbuh selepas jasad kita mati. Sebaliknya apabila kita mati, kulit kita mengecut dan menguncup kerana ia mulai kehilangan lembapan. Kulit akan terus mengecut dan mengerekot, terutamanya apabila tisu lembut juga turut terurai, menyebabkan pangkal rambut dan kuku semakin terdedah. Inilah yang menghasilkan ilusi seakan-akan kuku dan rambut mayat semakin panjang! Sumber.

3. Bahagian Gelap Bulan (Dark Side of The Moon)

Kekeliruan ini timbul apabila bulan berputar pada kelajuan yang sesuai ketika mengorbit bumi yang membuatkan kita hanya melihat permukaan yang sama pada setiap masa. Ini menyebabkan pemerhati dahulu kala menggelar bahagian yang tidak menghadap bumi sebagai bahagian gelap bulan (dark side of the moon). Hingga ada yang mengandaikan bahagian gelap ini adalah kawasan paling sejuk di dalam sistem solar kita.

Namun pada hakikatnya, apabila bulan berada di antara bumi dan matahari, bahagian yang tidak kelihatan dari bumi akan mendapat impak sinaran matahari secara langsung. Ini membuktikan bahawa bulan tiada bahagian gelap dan ia hanya merupakan kata-kata figuratif sahaja. 

4. Serum Kebenaran (Truth Serum) Akan Memaksa Orang Bercakap Benar

Tontonlah sebarang filem espionaj, kita akan dapat lihat serum ini sebagai sebahagian dari gajet perisik rahsia. Serum Kebenaran (tiada kena mengena dengan Papa Zola!), samada terdiri dari Sodium Penthotal atau Amytol Sodium, sebenarnya amat memabukkan dan menyebabkan peminumnya khayal sehingga tidak mampu menilai atau membuat keputusan dengan baik. Ia digunakan sebagai penenang, penahan sakit dan sedatif.

Kerana sifatnya inilah ia kononnya membolehkan si penemuduga mengorek rahsia mangsa dengan lebih mudah! Hakikatnya, kalau kita mabuk, apa-apa pun kita cakap juga, samada benar atau bohong.

5. Komputer Apple Macintosh Kebal Dari Virus

Kebal? Sama sekali tidak. Sebenarnya semenjak komputer mula digunakan secara meluas sekitar 80an, pasaran pengguna dikuasai oleh PC. Para peminat komputer kebanyakkannya menggunakan platform PC untuk belajar, mengajar, bekerja, mengubahsuai, bermain dan sebagainya.

Oleh kerana itu, kebanyakkan virus komputer yang wujud sejak dahulu khusus menyerang platform PC. Ini memberi gambaran bahawa platform Apple kebal dan tidak akan diserang virus. Sebenarnya para penggodam dan penulis virus hanya mensasarkan platform yang digunakan secara meluas sahaja. Kebelakangan ini beberapa platform Apple telahpun diserang oleh penggodam, dan trend ini akan meningkat di masa akan datang. Jadi bersedialah!

6. Ada Ubat Yang Boleh Menyembuhkan Kencing Manis

Perlu difahami bahawa fungsi ubat kencing manis bukanlah untuk memulihkan kencing manis. Ini kerana Penyakit kencing manis itu sendiri merupakan penyakit yang kronik iaitu penyakit yang akan berlaku secara berpanjangan.

Hakikatnya, kencing manis belum ada penawarnya. Tubuh kita bagaikan getah seluar yang telah longgar dan kendur. Bezanya, kita boleh membeli dan menukar getah seluar, tetapi setakat yang kami semak, kita belum boleh membeli tubuh gantian di pasaraya berdekatan! Jadi, selama ini sebenarnya kita hanya merawat simptom-simptomnya sahaja.

7. Makan Lobak Merah Boleh Meningkatkan Kuasa Penglihatan

Fakta ini ada kebenarannya. Lobak merah mengandungi konsentrasi vitamin A yang tinggi yang berkhasiat untuk mata kita. Namun begitu, ia taklah hebat sampai bolrh memulihkan rabun atau buta! Punca kekeliruan ini telah berpunca oleh propaganda British ketika Perang Dunia Ke-2. Ketika itu, pesawat pengebom Jerman kerap melakukan pengeboman malam berpandukan lampu berkelipan di bandar-bandar besar.

Namun begitu, pihak British mempunyai teknologi radar yang amat baharu ketika itu yang membolehkan pesawat British memintas pengebom Jerman. Pihak Jerman musykil bagaimana pesawat British boleh memintas pengebom mereka di dalam gelap! Bagi menyorokkan teknologi itu, pihak British menyebarkan propaganda bahawa juruterbang mereka memakan banyak lobak merah yang membolehkan mereka melihat di dalam gelap!

Propaganda ini tersebar berterusan dari generasi ke generasi sehingga kini.

8. Gula Menyebabkan Kanak-kanak Menjadi Hiperaktif

Teori ini mula popular pada tahun 1973 apabila Dr. Feingold menerbitkan Feingold Diet yang bebas salycylates, pewarna makanan dan perisa buatan bagi merawat kelakuan hiperaktif. Apabila menerima nasihat ini, ibubapa beranggapan lebih elok kalau semua bahan-bahan tambahan dalam makanan dielakkan. Lama-kelamaan, gula juga menjadi mangsa.

Kajian telah membuktikan bahawa tidak ada perkaitan terus antara pengambilan gula dengan kelakuan negatif dan ADHD. Ini kerana sifat ini tetap berlaku di kalangan kanak-kanak yang mengamalkan pengambilan diet tanpa/kurang gula.

9. Ketuhar Gelombang Mikro Boleh Menyebabkan Kanser

Gelombang mikro (microwave) pada dasarnya menggunakan radiasi RF (frekuensi radio), iaitu di hujung spektrum tenaga-rendah elektromagnetik yang menyebabkan molekul makanan bergetar (vibrate). Ini menyebabkan molekul berpolar berputar dan menghasilkan haba. Dan haba inilah yang digunakan untuk memanas dan memasak makanan di dalam ketuhar.

Kekeliruan timbul kerana teknik radiasi yang digunakan. Radiasi ini ada banyak jenis, dan sememangnya wujud jenis radiasi yang boleh menyebabkan kanser. Namun begitu, tiada bukti mengaitkan radiasi elektromagnetik sebagai penyebab kanser sehingga kini. Satu kemungkinan di mana mitos ini mungkin terdetik adalah apabila pengguna menggunakan plastik yang mengandungi BPA (Bisphenol A) sebagai bekas makanan untuk ketuhar gelombang mikro. Apabila dipanaskan, BPA dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan, yang mana disarankan supaya dielakkan oleh badan-badan kesihatan. 

10. Menggunakan Laptop Di Atas Riba Boleh Menyebabkan Kemandulan

Ini satu lagi mitos yang timbul berkenaan radiasi elektromagnetik. Pada tahun 2011, sekumpulan penyelidik dari Argentina mengaitkan radiasi elektronmagnetik dari signal wifi komputer riba boleh menjejaskan sperma di dalam testis lelaki. Namun begitu, sebenarnya ia hanyalah media yang terlajak sensasi sahaja.

Penyelidik kanser dari Perancis telah menafikan perkaitan yang ditimbulkan oleh penyelidik Argentina atas alasan: Penyerapan tenaga frequensi radio tidak akan dapat memecahkan molekul DNA.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience