Rate

BAB 4

Action Completed 548

“KAMU tahu, abang saya adalah seorang syuhada. Dia menjadi pengebom berani mati yang berjaya membunuh 15 orang askar Zionis laknatullah di bandar Jericho!”
Keempat-empat Datuk segera tersedar mendengar cerita Hanafi walau cukup mengantuk. Perjalanan selepas Zuhur ke kawasan khemah pelarian terbesar dan paling padat di dunia, Al-Jabaliah memang cukup menyeksakan kerana mata terpaksa dibuka luas. Tersengguk bersama cerita Hanafi yang tiba-tiba terasa menyegarkan.

“Kamu tahu ini juga bermakna, saya boleh menjadi ahli syurga kerana setiap syuhada boleh memilih 70 orang untuk bersamanya ke dalam syurga!”

Mendengar perkataan syuhada dan ahli syurga menambahkan tarikan. Semua orang mahu masuk syurga walau ramai yang mencorakkan neraka dalam kehidupan seharian.

“Sebab itukah kamu memandu berbahaya,” Tanya Datuk Firhan yang sejak lama mahu menegur cara Hanafi memandu. Ciluk sana, ciluk sini. Kadangkala laju tidak bertempat dan memotong ikut suka hati, walau Hanafi bukan pemandu unik di Gaza, sedikit sebanyak mencemaskan.

Hanafi ketawa.

“Ya! Saya ada lesen ke jannah!”

“Tetapi kami belum ada, kamu boleh mati syahid, masuk jannah, kami boleh mati katak di Gaza ini dengan cara kamu memandu!”

Ujar Datuk Malik diikuti ketawa beramai-ramai. Teringat jumlah mereka yang mati nahas jalan raya terus meningkat di tanah air, biarpun kenderaan semakin canggih dan jalan raya semakin banyak.

“Bukankah kamu berempat datang ke Gaza ini untuk mati syahid?”

Tanya Hanafi kembali, setelah lima hari, Hanafi sudah seperti lama mengenali empat orang Melayu awal lima puluhan yang juga sudah tidak segan silu bercerita latar belakang masing-masing.

Membongkar satu misi untuk mati syahid kerana yakin taubat mereka sukar untuk diterima. Walau berkali ke umrah dan haji, masih terasa terlalu banyak dosa dan noda untuk dihapuskan. Terlalu banyak menganiaya orang. Menipu, menyeleweng, berzina, memberi dan menerima rasuah, hantar santau, malah merogol dan merancang pembunuhan kerana persaingan dan dendam. Taraf kejahatan melampau yang menyebabkan keempat-empat mereka yang pernah bergelar golongan elit Melayu Baru itu bertekad untuk menyusup ke Gaza, berdepan dengan rejim Zionis dan kalau bernasib baik, mati syahid. Terus ke syurga tanpa hisab. Boleh bawa 70 orang lain sama-sama ke syurga.

“Kamu ahli politik bukan?” Tanya Hanafi kepada Datuk Firhan yang mengangguk.

“Di bumi Palestin ini pun ramai ahli politik yang korup. Sebab itu kami memilih parti Hamas walau dianggap teroris kerana sudah muak, jelak dan benci dengan pemimpin Fatah berpuluh tahun memungkiri janji dan amanah. Sebab itu saya cakap di sini bukan sahaja bumi anbiya, malahan bumi Musyrikin. Sebab itu orang Palestin berterusan dizalimi, dilanyak Yahudi kerana pemimpin kami ada yang sudah dibeli, korup dan mementingkan perut semata-mata. Perjuangan keramat membebaskan Palestin hanya sandiwara semata-mata. Apalagi dunia Arab yang bersetongkol dengan Israel dan Amerika!”

Tersentuh hati Datuk Firhan yang memang selama ini sekadar proksi kepada ahli-ahli perniagaan yang menggunakan beliau untuk manipulasi kontrak. Kekayaan yang dikumpul di bawah dasar politik kronisme. Berguni-guni, malahan kadang berlori-lori wang tunai yang disimpan hasil rasuah dan penyelewengan. Hidup mewah tetapi seperti bangkai kerana makan minum duit haram.

“Kamu bayangkan nanti, berapa ramai yang kamu mesti minta maaf setelah menyalahgunakan, menyelewengkan duit rakyat, duit zakat, duit derma, seperti ramai ahli politik Palestin yang mengagihkan sesama sendiri sewaktu berkuasa dan menidakkan hak-hak kami, terutama anak-anak yatim, anak-anak pejuang yang syahid dan anak-anak yang terus dalam kemiskinan walhal hasil negara dari dana derma cukup menampung perbelanjaan untuk menanggung mereka!”

Hanafi terus melepaskan apa yang selama itu terbuku dalam diri, apalagi setelah mengetahui niat dan tujuan misi empat orang Melayu bertaraf Datuk di bulan Ramadan ke Gaza, tanah genting sekangkang kera yang tidak putus dengan konflik dan terus mengorbankan jiwa para syuhada hampir setiap hari.

“Di kawasan Jabaliyah ini selalu ada tentera Israel menyusup masuk untuk membunuh mereka yang dianggap teroris. Kamu tahulah, dikalangan kami pun ramai pengintip upahan Israel yang cari makan dengan beri maklumat, kekadang maklumat salah kerana dendam dan dengki!”

Hanafi memberhentikan kereta menghala ke kawasan lapang. Diperbukitan adalah sempadan Israel. Ada tembok dinding sedang dibina.

“Nampak kereta kebal, kereta pacuan empat roda yang mengawasi sempadan?”

Keempat-empat Datuk memandang dan mengangguk. Berdebaran, begitu hampir dengan sempadan Israel yang memungkinkan apa sahaja. Tentera Israel boleh bertindak mengikut keputusan mereka kerana ‘keselamatan negara Israel’ lebih penting daripada segalanya.

“Dahulu kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok kurma, pihak Israel musnahkan semua dan kini menjadi kawasan lapang untuk memudahkan mereka membolos masuk. Semua kilang yang pernah memenuhi kawasan ini dibom dan diratakan, meranapkan terus ekonomi Gaza!”

Suasana menjadi hening. Hembusan bayu menerojah minda yang diselaputi bayang-bayang.

“Kalian mahu mati syahid bukan?”

Tanya Hanafi . Separuh serius, separuh berjenaka.

“Nampak kereta kebal Israel itu sedang mara ke sini?”

Terpaku keempat-empat Datuk. Debaran jantung membawa gelombang ke wajah.

“Bersedia untuk melontar dengan batu-batu seperti yang kami, terutama anak-anak kami lakukan, kalian baling sebaik kereta kebal itu masuk ke kawasan Palestin!”
Hanafi memberi arahan, setelah lama berteori dengan pelbagai strategi, hari ke enam Ramadan yang cerah itu boleh merealisasikan satu misi empat Datuk Melayu sebagai Laskar Syuhada, ribuan kilometer dari tanah air dan keluarga yang sudah diwariskan harta dan wang jutaan ringgit dalam ASB, Tabung Haji, akaun bank Islam, yang semuanya dari hasil tidak halal.

Kalau mereka mati syahid, bukan sahaja ke syurga malah semuanya menjadi halal, begitulah fatwa yang mereka sama-sama rumuskan di malam terakhir berkaraoke sebelum Ramadan. Fatwa yang menjadi pegangan sebagai sandaran ke syurga. Fatwa yang membawa mereka ke genting Gaza.

Seketika dalam pandangan menerpa ke arah kereta kebal Israel yang seakan laju menghampiri, imej-imej kehidupan lima dekad mereka seakan terlontar ke layar yang memerangkap perasaan. Wajah-wajah mereka yang pernah dianiaya, dirasuah, difitnah, di jadikan kambing hitam mengejek-ngejek ke seluruh ruang.
Suara-suara menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah disalahgunakan berdengung, bergema, memekik-mekik ke seluruh pendengaran.

Tiba-tiba Datuk Firhan terasa mual oleh perut memulas, Datuk Liman pula berpinar oleh kecepatan jantung mengepam udara, Datuk Malik basah berpeluh-peluh kepanasan dan Datuk Narmi seakan mahu terkencing. Segala-galanya begitu real sekali, tidak lagi sureal atau dalam sebuah mimpi. Sesaat yang mengerikan, mereka kini berdepan dengan tentera paling canggih dan kejam di dunia dan serentak, mereka yang lengkap berbaju raya Melayu dengan samping songket, secara spontan keluar dari kereta, berlari selaju mungkin untuk berpatah, menyusup keluar Gaza, ke terowong nun 50 kilometer di Rafah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience