Rate

BAB 3

Action Completed 548

MELIHAT kesan-kesan perang dan serangan rejim zionis yang ganas memang menginsafkan empat Datuk. Ada kalanya air mata mereka bergenangan melihat keadaan dhaif di khemah pelarian dan apabila bertemu dengan mereka yang cacat akibat serangan bom. Apalagi bertemu kanak-kanak pelarian yang kelihatan terbiar walau ceria dan berkumpul setiap kali melihat kedatangan mereka, ‘pelawat’ dari Malaysia, sebuah negara yang menjadi sebutan ramai kerana banyak membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak lama.

Sebaik solat Tarawih, mereka bersantai di kawasan pantai yang mula dipenuhi ramai warga Palestin. Meriah dengan manusia mengunjungi gerai makan yang menawarkan shisha dan tayangan filem percuma.

“Ada lebih 150 masjid yang musnah akibat pengeboman, manakala 300 yang lain rosak!”

Datuk Malik mengulang maklumat yang diterima. Sebagai seorang yang pernah menjadi pegawai kerajaan menjaga wang zakat dan masjid, dia mengira-ngira jumlah kos yang diperlukan untuk membina semula atau membaiki masjid-masjid tersebut. Sememangnya dia tahu wang zakat yang dikutip olehnya selama ini tidak semuanya sampai kepada yang berhak, malahan ada ketirisan dan digunakan untuk urusan lain, termasuk penyelewengan dalam bentuk hiburan seperti lawatan sambil belajar atas nama urusan rasmi. Walhal, tidak lebih untuk melancong secara percuma. Kekadang pelbagai perancangan dan tindakan dibuat atas nama agama pun tidak lebih sekadar menutup pelbagai kelemahan dan kepincangan di kalangan pegawai.

“Masjid di Gaza ini semuanya ada kelas tahfiz, sudah puluhan ribu hafiz yang lahir. Nampaknya dalam keadaan seperti penjara ini, warga Palestin di Gaza tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan, bersedia untuk kembali ke tanah yang dirampas!”

Sambung Datuk Liman sambil matanya sesekali meninjau wanita-wanita Palestin yang lalu lalang. Tidak dapat mengelak untuk mengagumi kecantikan mereka, apalagi buat seorang yang selama ini ada banyak skandal sebagai ketua pengarah sebuah stesen TV. Dikelilingi artis-artis glamor yang mahukan publisiti dan kemewahan hidup tanpa bekerja keras. Datuk Liman selalu mengambil kesempatan tanpa mengira dosa pahala. Asalkan bahagia dan seronok melapah seorang demi seorang artis wanita, terutama yang baru mahu berkecimpung dalam dunia hiburan dengan impian ke persada sebagai penghibur popular, selain kalau-kalau bernasib baik disambar para Datuk yang mahu melengkapkan kuota poligami.

“Kamu perasan selama dua hari di sini, sudah keliling Gaza, kita belum bertemu seorang pun peminta sedekah. Walhal, majoriti hidup di bawah paras kemiskinan!”

Datuk Firhan mencelah. Sebagai seorang ahli politik yang sekian lama hidup mewah di bawah kuasa politik yang mana matlamat menghalalkan cara, dia cukup arif dengan sikap ahli politik yang lebih kurang sahaja sikap, sebagai peminta sedekah, kalau tidak sebagai pencuri dan perompak wang rakyat. Malah kekadang ada kebenarannya yang ahli politik sama taraf dengan pelacur, sesuatu yang tidak dinafikan oleh Datuk Firhan yang telah menggadai bukan sahaja maruah diri, malah bangsanya sendiri dengan bisnes atas angin dan ali baba. Menidakkan hak majoriti kerana dia termasuk golongan elit yang berkuasa.

“Betullah! Malah ada yang apabila kita mahu beri wang, menolak dan minta masukkan dalam tabung, untuk dikongsi bersama!” Datuk Narmi melepaskan kata-kata sambil melihat jauh ke arah kerlipan lampu kapal-kapal. Sebagai seorang penyanyi rock veteran yang bukan sahaja glamor, pernah menjadi idola anak muda malahan hidup dalam berfoya-foya, Datuk Narmi selalu mencari publisiti murahan dengan konsert amal dan aktiviti seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Semuanya sandiwara, apalagi pihak media terus memberatkan hiburan dengan menjadikan artis sebagai bahan pelaris, walhal, kebanyakan artis seperti Datuk Narmi yang mendapat anugerah Datuk kerana jasa mencemarkan budaya dengan budaya rock dan hippie, tidak lebih sekadar gimik.
Hidup dalam kemungkaran, solat tidak tentu hala dan mabuk-mabuk. Lebih banyak membawa keburukan kepada masyarakat yang menjadikan hiburan sebagai pelengkap kehidupan setelah muak, jelak, mual dan benci dengan gelagat, suasana politik dan ahli politik yang tidak berhabisan berebut kuasa. Jatuh menjatuh dan fitnah menfitnah sesama sendiri terutama kalau dalam sidang Parlimen yang boleh menjadi sarkis dan zoo.

Maka dalam kemeriahan malam Ramadan di Gaza menyelubungi suasana, tetapi tidak pada keempat Datuk yang kelihatan serba kekeliruan. Masih dalam ketidakpastian walau sebelum ini bertekad dengan satu misi. Sanggup masuk secara haram ke Gaza kerana tidak mahu menunggu lama untuk visa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir.

Misi yang diharapkan boleh mengubah satu destini dan destinasi kehidupan, setelah puluhan tahun bernafas dalam dosa, noda, pembohongan dan hipokrasi. Misi yang lahir dari satu sesi karaoke di pusat perjudian atas gunung setelah melihat dengan mata sendiri, seorang Tan Sri bertaraf bilionair mati sakit jantung di atas dada telanjang seorang GRO dari negeri China.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience