Rate

BAB 2

Action Completed 548

PERJALANAN dari Rafa ke bandar Gaza melalui kawasan kem pelarian yang kelihatan tidak teratur dengan bangunan seperti tidak siap. Keempat Datuk dengan satu misi bersama itu menatap pemandangan dengan penuh perhatian. Seperti dalam mimpi pula untuk berada di bumi bersejarah yang selama ini hanya diketahui dari media, buku-buku dan cerita-cerita.

“Ini bukan sahaja bumi anbia, tetapi juga bumi Musyrikin!”

Hanafi , pemandu yang fasih berbahasa Inggeris itu menjadi pemandu pelancong yang baik.

“Kalau tiada orang jahat, tiada diturunkan nabi-nabi!”

Hanafi menyambung cerita. Dari sejarah ribuan tahun ke situasi semasa. Seperti sahaja berada dalam dokumentari National Geoghrapic. Seketika, setelah berlegar di kawasan perumahan dan kedai-kedai, mereka menghampiri sempadan Israel.

“Tengok seberang tembok, di sana Israel, tanah kami yang dirampas sejak tahun 1948! Setiap hari melihat tanah yang dirampas, setiap hari yang tidak memudarkan semangat untuk kembali ke tanah kelahiran!”

Suara Hanafi mendesir bersama-sama angin Mediterranean berhembusan. Suara yang melontar dendam dan keazaman. Wajahnya serius.

Datuk Firhan, Datuk Narmi, Datuk Malik dan Datuk Liman mengangguk dengan wajah-wajah yang gusar. Kehadiran mereka ke bumi Gaza di bulan Ramadan bukan lagi satu mimpi, mereka benar-benar bernafas di ruang magis. Ruang yang membawa harapan berbunga dari satu misi kudus.

“Berapa lama kalian mahu berada di Gaza?” Hanafi bertanya.

“Paling lama dalam dua minggu!” Jawab Datuk Liman.

“Tidak menyambut Syawal di sini?”

“Kalau ada rezeki, mahu juga!” Datuk Narmi pula menjawab.

“OK. Setelah tiba dan rehat di hotel, saya boleh bawa keliling Gaza, melihat kem-kem pelarian dan kita berbuka puasa di salah sebuah masjid dalam kem pelarian!”

Hanafi mengatur jadual aktiviti, sesuatu yang tidak termasuk dalam pembayaran, tetapi cukup melegakan empat Datuk yang membawa pakaian cukup-cukup untuk seminggu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience