“Tapi peluang cuma datang sekali. Kalau bukan sekarang, bila lagi?”
Inilah peluangnya mahu berdepan masyarakat. Memberi pandangan yang
mungkin berbeza daripada orang lain. Mengajar masyarakat dalam skala
lebih besar. Membetulkan masyarakat yang semakin jauh dari Tuhan.
“Ini jalan yang sukar. Bukankah lebih baik hidup senang seperti
sekarang? Masih boleh mengajar dan mendidik masyarakat.” Bukan mudah
jadi mufti pada zaman tersebut. Melawan arus bakal dituduh wahabi. Salah
perkataan mungkin dituduh macai Khalifah. Silap percaturan tanpa sedar
diperguna parti Islam. Maruah mufti lebih rendah daripada orang awam.
Lebih baik jadi guru di madrasah. Didik anak-anak yang bakal jadi
pemimpin masa akan datang. Buat perubahan dari awal, sedikit demi
sedikit, umpama melentur buluh. Tiada yang membantah, tiada yang buruk
sangka. Bukankah pemimpin hebat asalnya dididik guru yang hebat juga?
Anak perempuan sahabat Sheikh memandang ayahnya. Tangan yang laju
mengisi biji guli dalam lubang congkak terhenti.
“Seronoknya kalau boleh hidup senang begitu,” Tiba-tiba dia bersuara.
Sheikh mengalihkan pandangan kepada anak perempuan sahabatnya. Sudah
berumur sepuluh tahun.
“Mengapa kamu kata begitu?”
“Saya selalu buat pilihan yang saya rasa senang dan membahagiakan. Tapi
mesti ada sesuatu yang menghalang dan menyusahkan datang selepas saya
buat pilihan.”
Share this novel