Kali ini mata Edwin terbuka. Terbeliak memandangnya. Dia senyum semanis mungkin tetapi Edwin masih kelihatan bingung dengan bibir bergerak-gerak serta-merta bulat.
" Edwinnnn!" Panggilnya mesra serta cuba membelai wajah Edwin.
"Pergi!!" Tiba-tiba Edwin menjerit membuatkan dia tersentak.
"Kenapa dengan Edwin ni? Edwin bencikan Mimie ?" rintihnya dengan suara pilu.
Edwin masih memandangnya dengan mata bulat serta dahi berkerut hebat.
Edwinn mengengsot ke hujung katil sambil memeluk bantal. Dia pula cuba mendekat.
"Pergiii!!!!" jerit Edwin sambil memekup kedua-dua belah telinganya dalam keadaan terperosok di kepala katil.
"Edwin.. sampai hati Edwin buat Mimie macam ni.. kenapa Edwin? Mimie rindukan Edwin.. Edwin tak rindukan Mimie ke? Edwin.. Edwin.. huhuhu!"
"Jangan kacau aku lagi! Pergilah!!" Edwin menepis-nepis tangannya di udara. Dia kecewa bercampur marah dengan sikap Edwin.
Tiba-tiba pintu bilik terkuak. Dia menoleh. Kelihatan ibu bapa Edwin serta abangnya, Jusoh , menerpa mendapatkan Edwin yang kelihatan menggeletar ketakutan di atas katil sambil memandang ke satu arah dengan mata ketakutan.
Dia mahu bersuara tetapi tangisan Edwin membuatkan dia terkejut. Kenapa Edwin menangis?
"Kenapa ni Edwin? Sudahlah.. jangan macam ni nak!" pujuk ibu Edwin.
"Mak.. Mimie datang lagi mak!" adu Edwin seperti anak kecil.
" Edwin, Mimie dah lama meninggal. Kenapa cakap yang bukan-bukan ni.." Jusoh pula bersuara.
Dia tidak betah lagi melihat keadaan Edwin. Sudah dua bulan Edwin meracau-racau di tengah malam sejak kematian tunangnya Mimie ! Sampaikan dia sendiri naik seram bila mendengar Edwin menjerit-jerit seolah-olah meminta seseorang yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar supaya berhenti mengacaunya. Sudah dibawa berubat tetapi Edwin masih begitu.
"Mak.. entah-entah memang Edwin nampak Mimie tak?" tiba-tiba Jusoh menyuarakan kebimbangannya.
"Huishh.. kamu ni, jangan cakap benda-benda mengarut macam tu!"
"Yelah.. manalah tau kan. Roh Mimie tu tak aman. Mak pun tau kan macamana Mimie mati.
"Mati bunuh diri! Cemburu punya pasal, sanggup bunuh diri. Orang tak beriman macam tu lah!" Jusoh seperti merungut. Ibunya menampar tangan Jusoh .
"Tak baik cakap macam tu pada orang yang dah tiada." Ayahnya cuba menegur.
Memanglah tunang Edwin, Mimie , meninggal dunia dengan cara membunuh diri. Semuanya gara-gara cemburukan Edwin yang keluar dengan perempuan lain.
Ugutan Mimie untuk membunuh diri ternyata dikota. Mimie ditemui mati menggantung diri di kipas siling di apartmentnya.
"Betul mak, Edwin nampak Mimie mak.. Edwin takut mak. Edwin tau dia masih marahkan Edwin. Muka dia biru mak!" Adu Edwin lagi.
Matanya masih memandang ke sudut bilik. Dia masih dapat melihat bayangan Mimie terawang-awang di situ.
Ibu, ayah dan abangnya turut memandang, tetapi tiada apa-apa yang dapat mereka lihat. Hanya terasa udara sejuk berhembus di dalam bilik itu, yang cukup meremangkan bulu roma.
"Aku dah mati??!!" Mimie menjerit.
Hakikat itu terasa amat sukar diterimanya. Dia merenung ke arah Edwin yang masih memandangnya. Menghantar rasa takut di jiwa Edwin.
Mimie terus berlegar-legar di dalam ruang bilik Edwin. Tangannya sejak dari tadi cuba menggapai Edwin yang masih dalam pelukan ibunya.
Setiap kali Mimie cuba menghulur tangan, setiap kali itulah Edwin akan terjerit-jerit ketakutan.
Edwin berasa gerun melihat bayangan Mimie yang begitu menakutkan. Wajah Mimie begitu menyeramkan. Wajah Mimie kebiruan. Edwin dapat merasakan Mimie begitu marah dengannya.
"Tolonglah Mimie .. jangan ganggu aku lagi.. tolonglah!" Edwin sungguh-sungguh merayu.
Langsung tidak menghiraukan pandangan ibu dan ayahnya. Jusoh pula mula naik berang.
"Sudahlah Edwin.. Mimie dah lama meninggal! Sudahlah berperangai macam orang gila! Kesianlah pada emak dan ayah!"
"Mimie .. pergilah!" Edwin bagaikan tidak menghiraukan Jusoh . Matanya masih tertancap pada sudut bilik.
Di situ dia melihat Mimie terawang-awang di udara sebelum muncul satu lembaga lain bertelinga panjang.
Lembaga itu kemudiannya mengheret Mimie pergi ke satu lubang gelap yang tiba-tiba muncul di dinding.
Sebentar kemudian, Mimie hilang dari pandangan mata Edwin, namun suara Mimie masih terus menghantui Edwin..
Kerana rohnya tidak tenang ..
Share this novel