Dia menangis. Menangis semahu-mahunya. Meratapi nasib dirinya yang entah dimana kini. Dia bingung. Hendak mencari jalan keluar, tidak berjumpa. Dia benci pada lembaga yang sibuk mengekorinya ke mana saja dia bergerak.
Pantang dia bangun, lembaga misteri berupa manusia dengan telinga panjang serta berekor itu pasti mengikut langkahnya.
Puas dia menjerit, memaki hamun lembaga itu, namun ia seakan tidak mengerti, malah adakalanya naik berang dengan mengaum selantang mungkin.
Sudahnya, dia duduk sahaja di ceruk yang tidak bertanah juga tidak berlangit itu.
Tadi, dia nampak Edwin berjalan seorang diri dengan wajah lesu. Dia memanggil tapi Edwin buat tidak peduli. Bila dia menjerit nyaring, Edwin menoleh tetapi dengan wajah penuh kerut di dahi.
Agak lama Edwin kaku tetapi selepas itu Edwin kembali beredar dan pergi meninggalkannya yang terkial-kial cuba mengejar Edwin.
Edwin sudah benci pada aku kah? Edwin tak sayang aku lagi kah? Kenapa Edwin buat tak peduli pada aku lagi? Apa salah aku? Edwinnnn!!
Jeritannya bergema bagaikan melantun-lantun bunyinya, menghasilkan gema yang menakutkan. Dia sendiri yang mendengarnya berasa seram sejuk.
Di mana aku sekarang ni? Kemudian dia menoleh ke arah lembaga bertelinga panjang itu, bagai menagih simpati dan jawapan yang pasti.
Namun, lembaga itu sekadar merenungnya dengan tajam sebelum menghentakkan tongkat bercabang tiga itu ke tanah, membuatkan dia menikus lalu mendiamkan diri.
Tidak lama selepas itu, dia tiba-tiba berjaya melepaskan diri dari lembaga bertelinga panjang itu.
Sukanya hati, bukan main lagi. Dia teringat untuk mencari Edwin, lalu dia segera berlari ke rumah Edwin. Malang sekali, malam sudahpun lewat.
Rumah berkembar dua tingkat yang didiami Edwin dengan keluarganya sudah gelap gelita. Dia kaku di depan pintu pagar, sambil mata terarah ke tingkap bilik Edwin di tingkat dua.
" Edwinnnn!!" Dia memanggil. Gemersik alunan suaranya. Tiada sahutan.
" Edwinnnn!!"
Masih tiada jawapan. Dia mula mencari jalan. Memanjat pagar dan tembok. Sekelip mata dia sudah berada di dalam bilik Edwin.
Dia menguak langsir, membenarkan cahaya bulan masuk terus ke dalam bilik Edwin yang sedang lena di atas katil.
Namun, ada sesuatu yang mengusik hatinya. Tubuh Edwin kelihatan kurus. Rambutnya kelihatan agak panjang meliar.
" Edwinnnn!" Dia memanggil. Edwin kelihatan bergerak sedikit.
" Edwinnnn!" Dia menguatkan suaranya.
Share this novel