Rate

Sedetik - C

Short Story Series 26963

Terkadang jalan yang indah tak akan dibuka jika tidak merasa kehilangan.

ADAM raup mukanya sebaik sahaja bacaan Yasin mereka selesai. Mata dibawa melirik ke wajah kemerahan dibias cahaya matahari yang sedang tertunduk menyiram air mawar ke atas tanah pusara syurganya. 

Tidak betah melihat wajah muram yang mula dicemari air mata itu lama-lama, Adam bingkas bangun. 

"Oh, maaf. "Lekas Adam mengungkap kata maaf saat tubuhnya secara tidak sengaja berlanggar dengan sebatang tubuh lain disisinya. 

"Maaf juga. Saya pun jalan tak pandang depan. Berat hati nak tinggalkan cinta hati kami yang tu." balasnya sambil tertawa kecil. Mata lelaki yang nampak lebih matang dan berkarisma itu terpasak pada satu arah.

Adam ikut memandang. Melihat tarikh yang tertera di batu nisan, Adam berkata, "Isteri, ya?"

Pandangannya terarah pula pada wanita yang berada di dalam dukungannya. Kedua tangan wanita itu naik melingkar elok pada batang lehernya. Kemudian dia tersenyum. Wajah manis wanita itu, dia tatap penuh cinta.

"Saya Rafi. Ini isteri saya, Dahlia. Dan tadi itu adalah cinta hati kami." Rafi mendetailkan ucapannya. "Sorry my hands are fully occupied."

Adam sekadar mengangguk. Senyum agak kekok. Keliru mungkin. "Adam." 

Untungnya lelaki ini. Ada dua cinta dalam hidup dia. Tentu hebat kedua-dua wanita ini. Dan pastinya cinta lelaki ini juga hebat. Lihat sahaja keadaan isterinya.

"Lawat kesayangan jugak?" soal Rafi agak ramah mematikan lamunan Adam. 

Adam diam. Matanya hanya mengerling Qaseh yang sedang membantu Puan Hajar bangun. Penuh kasih seperti biasa. Bercakap mengenai kesayangan buat Adam teringatkan Qaseh. Galau.

"Kau jangan tutup mata untuk lihat keikhlasan dia. Kalau ada orang yang sayang kau lebih dari kau sayangkan diri kau sendiri, terima dia. Sebab kau takkan jumpa orang yang akan sayang kau sama macam dia sayang kau. Seumur hidup itu, peluang datang hanya sekali. Jadi sebelum kau kehilangan dia. Hargai dia."

Rafi kemudiannya mengemaskan pelukannya pada si isteri yang tersenyum ke arahnya lantas mula bergerak meninggalkan Adam yang masih terpaku merenung belakang tubuh Qaseh yang sudah melepasinya.

***

PULANG daripada menziarahi kubur arwah ayah dan ibu Qaseh, Adam terus sahaja berjalan masuk ke dapur. Air sejuk segelas diteguk sekali lalu sahaja. Panas cuaca di luar panas lagi hati Adam sekarang ni. Tak cukup segelas, Adam tambah lagi segelas tetapi kali ini dibawa bersama ke ruang tamu semula. Mata naik mengerling setiap langkah Qaseh yang bersahaja menaiki tangga dengan telefon di tangan yang langsung tak berenggang sejak dalam kereta lagi. Bila mata mereka berlaga, terus sahaja jelingan maut diberikan kepada Qaseh.

Pap!

"Auw! Mama... Sakit." Perlahan Adam meringis seraya menggosok perlahan paha yang telah selamat ditampar oleh tangan berbisa milik Puan Hajar.

Kecil mata Puan Hajar dengan bibir siap diketap memandang si anak terunanya yang sulung itu.

"Kenapa jeling Qaseh macam tu? Tak puas hati sangat dengan Qaseh tu kenapa?" Garang Puan Hajar menyoal gaya warden asrama.

Adam tarik muka. Bengang bila tak habis dia juga dipersalahkan. "Memang. Banyak yang Adam tak puas hati." 

Puan Hajar tergelak. Sinis. "Be a gentleman Adam. Settle lah. Apa main jeling-jeling."

Makin merah muka Adam. Rambut yang diikat serupa pokok kelapa di Hawaii itu dibuka getahnya dan diserabutkan. Dapat Mama pun jenis ting tong. Padanlah Qaseh tu makin mengada!

"Mama suruh kamu berdua kahwin sebab lepas kahwin tak akan ada batas antara kamu dengan Qaseh. Ini tidak, kamu layan Qaseh tu macam Qaseh tu hak kamu. Kamu buat dan ajar Qaseh sampaikan Qaseh tu jadi takut dengan lelaki lain selain dari kamu. Apa niat kamu? Kalau kamu betul sukakan Qaseh, make it halal for both of you. Kenapa nak rumitkan keadaan?" 

"Mama tak faham…" keluh Adam. Tangan naik bermain-main dengan rambut sendiri. Dah panjang. Terasa macam artis K-Pop pula.

"Fahamkanlah mama." 

Bertambah banyak bilangan kedutan di dahi Adam. Nak cakap, tapi malu. Akhirnya, Adam diam sahaja.

"Kalau tak nak, jangan layan Qaseh macam tu sampai orang lain takut nak dekat dengan dia."

Akhirnya, Puan Hajar mengalah. Malas nak bertekak dengan Adam lagi. Bukan tak tahu perangai Adam Umar tu macam mana. Serupa betul dengan perangai arwah suaminya. Degil dan ego. Manja pun ya jugak.

Orang lain nak dekat dengan Qaseh Fatima. Jangan mimpi!

"Mama memang punca!" gumam Adam seraya bangun dan kaki panjangnya diderapkan ke arah anak tangga. Serius sahaja mukanya sedangkan Puan Hajar sudah ketawa di bawah.

Qaseh sedang menggosok baju untuk dia ke pejabat esok ketika Adam muncul di depan biliknya. Elok sangat menyandar di pintu memeluk tubuh menayangkan bicep yang tak seberapa itu.

Entah angin apa lagi yang masuk dalam badan manusia seorang ni hari ni. Muka layak kena campak masuk tong kitar semula je. 

"Kenapa Qaseh setuju?" Dingin suara Adam sedingin mukanya sekarang. Tidak ada lagi muka mengada-ada menyeringai seperti selalu. Masuk hari ke tujuh dah. Dan tujuh kali juga soalan yang sama diberi kepada Qaseh.

Melihat Qaseh yang tersampuk bisu tu buat Adam nak back hand je Qaseh macam selalu. Adam melangkah masuk dan Qaseh hanya meliriknya.

"Jangan duduk situ!" jerit Qaseh tiba-tiba. Adam pegun. Separuh duduk. Qaseh merengus dengan tangan sudah dicekak ke pinggang. "Nampak tak shawl Qaseh dah siap gosok dekat atas katil tu?" 

Adam menjatuhkan kepalanya memandang hamparan sempurna sehelai selendang di atas katil Qaseh. Senyum senget diukir dan badan yang separuh duduk tadi dijatuhkan terus di atas katil. Kerek muka dipamerkan. 

"Adam Umar nilah..." gumam Qaseh sakit hati namun terpaksa juga ditahan seperti biasa. Hormat. Abang, kan? Kuat seterika ditekan-tekan di atas bajunya. Protes.

"Jawab. Kenapa Qaseh setuju mama nak kita kahwin?" gesa Adam sekali lagi. Kali ini lebih keras.

Terpejam mata Qaseh. Mata dibawa naik menentang pandang dengan Adam. "Berdosa ke?"

"Kalau menipu perasaan sendiri tu dikira sebagai dosa, yes Qaseh Fatima berdosa," balas Adam yakin. Selendang Qaseh yang selamat dia duduk tadi ditarik dan digenggam. 

Tangan Qaseh terhenti. Kasar nafasnya dilepaskan. Lama dia merenung wajah selamba Adam. "Dapat tahu dari mana pasal perasaan Qaseh?" 

Qaseh memutarkan bebola matanya bila Adam mencebik mengada seperti selalu. Datang sekadar nak sakitkan hatinya. Perangai yang buat Qaseh sakit kepala semenjak tujuh hari ini.

"Eleh. Bukan ke Qaseh selalu kata —" Adam teguk liur seketika. Perit. "Qaseh tak akan pilih lelaki perangai macam abang untuk jadi suami Qaseh?" Kening dijongket sebelah sengaja mahu mencabar kesabaran adik angkatnya itu.

Qaseh tertawa kecil membuatkan wajah Adam mengendur dan kembali serius. 

"Bukan ke abang juga yang selalu merengek minta Qaseh kahwin dengan abang sebab semua benda abang tak tahu nak uruskan?" perli Qaseh dengan muka yakinnya. Tudung sarung dibetulkan dan caranya berdiri juga dibetulkan. Adam jongket kening.

"Qaseh! Mana stoking abang? Qaseh! Tolong keringkan baju abang! Qaseh! Nampak tak jam abang? Eh, Qaseh! Susahlah macam ni! Kahwin jelah dengan abang!" Meleret suara Qaseh mengajuk semua dialog-dialog Adam dengan mimik muka sekali.

Qaseh senyum senget bila muka Adam dah macam tertelan kapur barus. Pucat. 

"Lupa?" Qaseh habiskan sindirannya dan kembali meneruskan kerjanya. Siap pakej jelingan maut lagi diberikan.

Adam semakin bengang. Semakin tajam pula lidah Qaseh membidas kata-katanya sekarang ni. Tak sangka, Qaseh Fatima budak kecil yang muncul tiba-tiba dalam hidup dia 14 tahun yang lalu sudah sematang ini bila tiba bab berkahwin.

Adam bingkas bangun. Tak suka melihat Qaseh yang sekarang ini. Qaseh yang tak lagi mahu mendengar kata Adam. Baru sahaja di usul untuk mereka berkahwin, Qaseh terus sahaja berubah perangainya.

Langkah diambil mendekati Qaseh. Berdiri hampir dengan Qaseh yang sedikit demi sedikit menjarakkan tubuh mereka. Bergerak-gerak bebola mata Qaseh berlawan mata dengan Adam untuk beberapa ketika.

"Qaseh betul nak kahwin dengan abang? Qaseh tak rasa geli ke tidur sekatil dengan 'Abang' Qaseh ni," soal Adam sinis. Lebih kepada mencabar pada pendengaran Qaseh.

Qaseh mencebir bibir. "Boxer kesayangan 'Abang' yang koyak tu pun Qaseh yang basuh dan lipat. Abang rasa?"

"Kalau nak sangat boxer koyak abang tu Qaseh ambil jela. Cium-cium bawak pergi tidur. Tak payah nak setuju kahwin segala bagai. Qaseh bukan ikhlas pun kan?" provok Adam bersungguh membuatkan Qaseh rasa nak je dia tumbuk anak Hajar ni.

"It's is not about a boxer Adam Umar...Abang jaga Qaseh almost 14 years. Nampak sangat abang tak kenal Qaseh." suara Qaseh melirih dan kedengaran sedikit kecewa intonasinya. "Qaseh ada Mama,abang dan Azra je dalam dunia ni. Tolong jangan bencikan Qaseh disebabkan satu hal ni je."

Mengendur riak wajah Adam. Bibirnya nampak sedikit terkumat-kamit mungkin cuba mencari ayat untuk membalas semula kata-kata Qaseh dan akhirnya Adam mengeluh berat. Rambut depan yang sudah jatuh menutup kening disebak bawa ke belakang.

"Habis tu Qaseh langsung tak kisah dengan cadangan mama tu? Sanggup terima dan ikut walaupun terpaksa korbankan perasaan sendiri?" soal Adam sekadar mahu menduga. Padahal hati sendiri waswas dan betapa Adam mahu mendengar jawapan yang sepatutnya daripada Qaseh.

Qaseh tak terus menjawab. Lama wajah Adam direnung. Berbolak balik hatinya padahal sungguh Qaseh tak perlu berfikir pun untuk menjawab soalan Adam.

"Qaseh —," 

Adam kecewa. Kedengaran Adam sedikit mendesis.

"Jangan sorok dan tipu perasaan sendiri Qaseh. Abang tak suka dan abang tak akan terima," bisik Adam keras tanpa sempat Qaseh mahu menghabiskan ayatnya. Habis sahaja ayatnya Adam berpaling dan panjang langkahnya dibawa menghala keluar dari bilik Qaseh. 

"Dan jangan sombong dengan perasaan sendiri abang." Suara lembut Qaseh yang sebenar-benarnya berjaya mematahkan langkah Adam. Tetapi untuk Adam menoleh buat masa ini, Adam tak mampu.

Rasa sesak di dada Qaseh lepaskan perlahan-lahan. Tahulah Qaseh, selama ini Qaseh memang sekadar 'Adik' pada pandangan seorang Adam Umar. 

Sedar dirilah Qaseh. Adam jaga kau selama ini memang sebab Adam dah anggap kau sebagai adik dia. Sama macam adik kandung dia yang jauh dekat Ireland sekarang ini, Ummu Azra. Tak lebih. Mungkin kau rasa perhatian Adam lebih sikitlah daripada Azra sebab kau ada di depan mata dia 24 jam. 

Qaseh ketawa hambar. Kalau bukan sebab Puan Hajar yang beri cadangan sebegini taklah sakit sangat hati seorang Qaseh Fatima sekarang ini. Sekurang-kurangnya selama ini hati sendiri yang jaga perasaan dia pada Adam Umar. Tak sakit macam sekarang ini bila rasa hatinya seakan-akan didedahkan tanpa rela.

Qaseh lempar jauh pandangannya ke luar jendela biliknya. Memori senang sangat diputarkan disaat-saat begini.

.

.

.

"SEBAB abang, semua orang tak berani nak try Qaseh. Andartulah Qaseh sampai bila-bila," rungut Qaseh bila plan Qaseh untuk keluar menyambut habisnya semester mereka pada kali ini terbantut bila Adam Umar menghalangnya dari keluar.

Adam berdiri memeluk tubuh memandang muka cemberut Qaseh yang duduk memeluk bantal di atas sofa. Puan Hajar hanya diam. Lihat sahaja muka Adam, Puan Hajar pasti tak akan ada apa dan sesiapa pun yang boleh patahkan hujahnya.

"So Qaseh nak keluar ni tanpa kebenaran Abang, Qaseh nak pergi flirting around lah? Buat benda bukan-bukan dekat luar tu?" tembak Adam. Betul tegang mukanya. Menyirap darah bila dilihat tiba-tiba sahaja Qaseh sudah bersiap mahu keluar tanpa Adam tahu apa-apa pun. 

"Mana ada. Qaseh nak pergi dinner je dengan kawan-kawan Qaseh. Qaseh dah bagitahu mama kut," balas Qaseh. Berani tetapi belum cukup berani mahu menentang mata Adam.

"Habis abang? Qaseh tak perlu ke nak bagitahu abang? Kalau dah hilang, or something bad happen baru nak cari abang? Siapa nak tolong Qaseh? Qaseh tak ada siapa-siapa pun selain abang dengan mama dekat sini. Bagitahu mama, mama boleh tolong pergi cari Qaseh ke?" 

Qaseh gigit bibir. Tak pasti apa yang mahu dia balas lagi. Adam dengan kuasa vetonya sebagai penjaga Qaseh selama ini membuatkan Qaseh selalu tewas mengikut telunjuknya dan mendengar setiap kemahuannya. Itulah Adam Umar.

"Sudahlah Adam," pinta Puan Hajar. Lembut. Kasihan dia melihat Qaseh namun tak dia nafikan apa yang Adam katakan semuanya tepat dan demi Qaseh juga. Qaseh terlalu naif untuk orang luar.

"Naik atas. Tukar baju dan tidur," arah Adam. Tubuhnya juga dilihat mula mengendur tanda tiada lagi tekanan tetapi tidak bagi Qaseh. Jiwanya masih memberontak tidak puas hati.

"Lama-lama Qaseh akan keluar juga dari sini kan? Qaseh dah besar kut." 

Mata Qaseh membesar. Mulut sendiri ditekup dan perlahan-lahan bebola matanya diangkat mencari tampang wajah Puan Hajar.

Mama nampak kecewa.

Adam semakin berkerut keningnya.

Alamak! Qaseh dah salah cakap ke?

"Selangkah Qaseh jejakkan kaki ke dalam rumah ini, tak mudah Qaseh nak keluar semula tanpa abang. Memang tak akan ada orang lain yang akan jaga Qaseh melainkan abang seorang je. Mind this." 

.

.

.

QASEH mengeluh berat. Adam yang beri Qaseh harapan tetapi sekarang Adam mahu apa daripada Qaseh sebenarnya? 

Adam berbaring di atas katil miliknya. Sebelah tangan naik direhatkan di atas dahinya. Kasar nafasnya dilepaskan. Mata dibawa pejam. Kecewa sungguh Adam bila soalan mudahnya tadi yang sekadar disoal untuk menduga Qaseh nampak susah sangat untuk dijawab oleh Qaseh.

Sah. Qaseh memang tak pernah cintakan kau pun Adam. Qaseh cuma kasihankan kau dan mungkin terpaksa sayang kau selama ini disebabkan budi. Tak pernah lebih.

Qaseh dah besar Adam. Bukan budak perempuan bertubuh kurus yang muncul di depan pintu rumah kau dengan sebuah beg baju di sisinya 14 tahun yang lalu. Budak perempuan yang akan genggam sisi baju kau setiap kali berjalan keluar dari rumah. Budak perempuan yang semuanya akan utamakan kau dan mama dalam setiap hal hidupnya.

Qaseh Fatima dah dewasa Adam Umar.

Jadi kau rasa dah tiba masa untuk kau lepaskan Qaseh Fatima ke Adam Umar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience