Rate

Sedetik - N

Short Story Series 26963

QASEH gigit hujung pensil. Lakaran di depannya diteliti setiap inci cuba untuk mengesan di mana letak salahnya kerana Qaseh masih rasa belum berpuas hati dengan hasil kerjanya. Sudahlah Qaseh masih ada berbaki lebih kurang satu jam sahaja lagi untuk dia hantar tugasannya ini. 

"Hai, berkerut sangat muka tu," tegur satu suara dari arah tepi. Tegak kepala Qaseh lantas senyuman bersahaja dihadiahkan pada si pemilik suara. "Tapi pelik. Makin berkerut muka you makin cantik pula kejadiannya." 

Dapat tidak terburai juga tawa Qaseh mendengar pujian berbentuk ayat jual minyak lelaki itu yang kini sudah selamat melabuhkan sebelah pahanya di atas meja kerja Qaseh sambil memandang hamparan lukisan Qaseh.

"Pagi tadi Encik Faiz makan puding caramel ke?" soal Qaseh yang duduk menyandar menjauhkan sedikit kerusinya dari meja kerana jarak antaranya dan Faiz penyelia di tempat Qaseh melakukan internship ini kelihatan agak rapat. 

Faiz jongket kening seraya menggelengkan kepalanya. "No. Why?" Letak punggungnya dibetulkan dan gadis cantik berkulit mulus di depannya itu direnung penuh minat. 

"Mulut manis sangat." Selamba Qaseh mengenakan Faiz sehingga tertawa besar lelaki berjambang halus dan penuh karisma yang cukup Qaseh hormati itu. Qaseh pula jadi segan bila tawa Faiz berjaya menarik perhatian orang lain ke arah mereka berdua. Cukup dengan gosip mengatakan mereka berdua ada hubungan istimewa. Budak intern ada skandal dengan penyelia sendiri. Encik Faiz pula. Bukan calang orang. Senior Interior Designer.

"Qaseh Fatima yang innocent hampir tiga bulan I kenal ni dah pandai buat pick up line. Impressive and I like it," komen Faiz dengan sisa tawa yang masih berbaki. 

Qaseh tertunduk segan. Dalam hati dah mengutuk diri sendiri sebab mulut lancar pula bergurau senda dengan penyelia sendiri.

Faiz habiskan tawanya. Pipi berona merah itu cukup menarik perhatiannya untuk ditatap sambil bibir terukir senyum. Sungguh, dia semakin suka melihat Qaseh.

"Qaseh ada boyfriend?" soal Faiz tiba-tiba membuatkan Qaseh sedikit tersentak. 

Adam Umar.

Terus sahaja satu nama ini yang naik dibenak otak Qaseh. Semenjak Puan Hajar tarik semula cadangannya untuk mereka berdua dinikahkan, hubungan Adam dan Qaseh terus-terusan dingin. Entah di mana silapnya lagi Qaseh ni di mata Adam. Qaseh dah putus asa nak cari tahu puncanya. Jadi, Qaseh akur mengikut rentak Adam biarpun rindunya kepada lelaki itu semakin tebal.

"Sama kerut dahi tu nak bagi jawapan pada soalan I dengan kerut dahi masa you fikirkan tentang task you ni Qaseh." 

Qaseh sengih. Kepala berlapik selendang berwarna biru lembut itu digaru segan kerana ditangkap sekali lagi mengelamun. 

“Eh, jom. Lunch hour dah ni." Faiz bangun daripada duduknya seraya mengerling ke jam di pergelangan tangannya.

Eh? Dia ajak aku makan sama ke apa ni? Bukan tak biasa, pernahlah sekali dua mereka makan bersama dan kebanyakan ajakannya selepas itu diberi pelbagai alasan oleh Qaseh selepas dia tertangkap oleh Adam. 

Ah, Abang Adam lagi!

Qaseh… Kata nak move on? 

"Tak sudi ke —," 

"Okay, jom." 

Laju sahaja Qaseh memintas Faiz. Tubuhnya dibawa berdiri tegak dan mencapai beg duitnya dari dalam drawer. Faiz pula dah tersenyum manis. Tak sangka mudah pula kali ini Qaseh menerima pelawaannya.

Qaseh diam melangkah beriringan dengan Faiz. Tekad dan bulat. Qaseh perlu lupakan Adam. Bayangan Adam dalam hidup Qaseh perlu Qaseh buang dan mula membuka ruang untuk orang lain.

***

"QASEH nak lunch apa?" soal Faiz. Qaseh dipandang sekilas sebelum dia kembali memandang depan dan memulakan pemanduannya. Qaseh yang masih kekok berdua dengan penyelianya begini di dalam kereta tak mampu nak jawab sebab otaknya penuh dengan persoalan. Kenapa sampai nak naik kereta hanya untuk pergi makan tengah hari?

"Pelik sebab I bawak you naik kereta?" 

Qaseh menoleh. Eh Encik Faiz ni boleh baca pemikiran orang ke?

"I tahu mesti you fikir macam tu. You memang suka pendam perasaan dan fikiran you sendiri kan Qaseh? Takut boyfriend marah?" 

"Encik Faiz bercakap macam dah kenal Qaseh lama sangat pula." Qaseh tertawa kecil. Niat hanya bergurau tetapi jawapan balas daripada Faiz membuatkan Qaseh terdiam.

"I selalu perhatikan you Qaseh. Innocent girl yang selalu berangan termenung sendiri. Lagi kalau ada buat salah apa-apa you punya clumsy tu memang tak boleh cover." 

Jadi, Encik Faiz pun sama macam Abang Adam. Fikir Qaseh ni terlalu naif? Naif sangat ke aku ni?

Sebab tu Abang Adam tak pernah nak anggap Qaseh lebih dari seorang adik? Abang Adam cuma menjadi penjaga terbaik untuk Qaseh? 

"So soalan I tak berat sangat kut Qaseh. What do you want for your lunch Qaseh Fatima?" 

Qaseh menoleh membalas pandangan Encik Faiz ketika ini yang sumpah mana-mana perempuan pun boleh angau memandang. Encik Faiz terlalu gentleman berbanding Adam.

Isy, Qaseh! Adam lagi!

"Nothing too fancy but depends juga Encik Faiz nak bawa Qaseh ke mana?" pinta Qaseh. Sebenarnya Qaseh memang tak ambil makanan yang berat untuk tengah hari kerana malam Qaseh akan makan bersama Puan Hajar dan Adam. Biasanya makanan mereka tentu sahaja nasi berlauk.

"Actually after lunch, I plan nak bawa you visit my project at one of my client's office. Lagipun Qaseh perlu lengkapkan tiga visit kan? So anggap ini yang final. Lepas tu you boleh siapkan presentation you. So yeah you boleh explain macam tu dekat your boyfriend." 

Qaseh mengangguk. Ya, internship Qaseh akan berakhir dalam masa dua minggu sahaja lagi. Task terakhirnya akan dihantar petang ini dan ya memang Qaseh masih ada satu slot untuk aktiviti luar yang telah ditetapkan sendiri oleh pihak syarikat di bawah seliaan Encik Faiz.

"Oh tak apa. Qaseh curious aje. Tak ada siapa pun nak marah dan perlu diberi alasan macam tu. No worries."

Faiz senyum. "So nothing too fancy for lunch right? McDonald?" telah Faiz. Santai sungguh layanannya untuk Qaseh.

Qaseh menggeleng. Baru semalam dia makan McDonald kerana Puan Hajar teringin sangat nak makan Chicken Mcdeluxe. 

Faiz ketawa kecil melihat gelengan comel Qaseh. "You're so cute. So Qaseh nak makan apa, dear?" 

Membulat mata Qaseh bila suara Faiz kedengaran sangat romantis di telinganya sekarang sehinggakan untuk menoleh memandang lelaki itu pun Qaseh langsung tak berani. Laju jantung berdegup. 

Jawab Qaseh! Sebelum Encik Faiz ni lebih banyak keluarkan ayat pelik dia untuk kau.

"Errr… Maybe... Subway?" pinta Qaseh perlahan.

"Okay, sure." Encik Faiz memberikan persetujuannya yang disertakan dengan senyumnya yang melebar.

Qaseh buang pandang ke arah luar tingkap. Kekok. Mungkin kerana selama ini Qaseh sudah terbiasa dengan cara layanan Adam kepadanya yang sangat-sangat berbeza dengan cara Faiz membuatkan Qaseh rasa lain macam dilayan terlalu baik begini oleh lelaki lain. Rasa serba tidak kena.

Susahnya macam ni. 

Qaseh nak Abang Adam.

***

QASEH selesai membuat pesanannya dan mengambil meja di sudut Restoran Subway yang agak lengang kurang orang ketika ini. Sedikit bulat mata Qaseh bila dulang makanan Encik Faiz yang baru duduk di depannya hanya ada cookies, chips dan air sedangkan Qaseh mengambil Chicken Slice Sandwich. Sudahlah Encik Faiz yang membuat bayaran tadi. 

"Encik Faiz makan tu je?" soal Qaseh terkulat-kulat segan. 

"First, kita dekat luar dari pejabat kan Qaseh? Remember apa yang I pesan? Tinggalkan panggilan encik untuk saya tu di pejabat," tegur Encik Faiz bersahaja, namun riak mukanya jelas dia serius dengan apa yang dia katakan membuatkan Qaseh tarik sengih. "Kedua, I tak makan sayur. So this enough for me," sambungnya sambil mula mengunyah chips dan sempat matanya dikenyitkan ke arah Qaseh. 

"Oh, sorry. Kenapa tak bagitahu awal tadi? Boleh kita pergi makan tempat lain," ujar Qaseh perlahan. Rasa bersalah pula tiba-tiba.

"It's okay, Qaseh. You jangan rasa bersalah. Hmmm… How about this?" Faiz habiskan sisa makanan di dalam mulutnya. "Kita repeat? Maybe we can have our dinner together tonight?" 

Lama Qaseh terkebil-kebil memandang muka Faiz yang tersenyum sabar menanti jawapan daripadanya. Qaseh kemam bibir. Teragak-agak. Serba salah mahu menolak bila melihat perbezaan dulang Qaseh dan dulang Encik Faiz.

Telefon dikeluarkan. Nama Adam dicari. Mahu meminta izin seperti biasa. 

'Jangan biasakan sebab terpaksa!' 

Gerakan jari Qaseh terhenti saat tiba-tiba suara dingin penuh amarah Adam menerpa. Entah kenapa tiba-tiba hati terasa perit dan hiba sangat.

Kepalanya automatik tergeleng kecil dan huruf A dan B yang ditaip tadi untuk Abang Adam dipadam. 

"Assalammualaikum, mama." 

***

ADAM campak sahaja kasutnya di shoe stool di depan pintu rumah seperti biasa. Matanya meliar ke dalam rumah. Kelihatan Puan Hajar sedang menonton televisyen di ruang tamu. Matanya dilajakkan ke ruang dapur yang gelap. Sah Qaseh tiada di situ. Matanya kemudian naik ke arah tangga. Mungkin Qaseh di atas.

"Assalammualaikum, mama," sapa Adam seraya melabuhkan punggungnya di sebelah Puan Hajar. Manja, kepalanya dijatuhkan di bahu Puan Hajar ruang tersenyum sambil menampar manja paha Adam. Dah besar pun mengada lagi. 

"Lambat balik?" 

Adam mengeluh. "Jumpa client dekat luar. Isy, mamat-mamat Korea tu sibuk sangat nak merasa Nan Cheeselah apalah." 

Adam teringat tiga manusia bermata sepet yang membuatkannya lambat sampai rumah hari ni. Mujur sahaja hari ni merupakan hari terakhir mereka di Malaysia. Buat visit ke syarikat Adam bekerja untuk melihat final product tetapi tak pasal daripada bekerja sebagai Product Engineer, bertukar menjadi Tour Guide pula untuk mereka.

"Oh, dah makanlah ni? Kalau belum, pergi dapur panaskan Pizza yang mama oder tadi. Ada lagi sekotak personal tu. Tak terusik lagi." 

Adam angkat kepala. Terjongket keningnya. "Eh, oder Pizza? Tak masak?" 

"Tak. Mama sorang je, oder jelah. Nak masak kaki ni bukan boleh berdiri lama." 

"Mama sorang?" Mata Adam serta-merta naik ke atas seakan-akan mencari seseorang. Puan Hajar tersenyum hambar. Nampak sangatlah Adam dan Qaseh ni tak seperti dahulu. Salah aku ke?

"Qaseh belum balik lagi. Keluar makan dengan bos dia Encik Faiz tu. Dia call Mama minta izin tengah hari tadi." 

Menjeling Puan Hajar dibuatnya bila jelas dan ketara sangat perubahan riak muka Adam, namun sengaja mahu disorokkan seperti tiada apa-apa. Faham yang Adam tak akan bertanya lanjut, Puan Hajar sendiri yang menjelaskan tanpa disuruh.

Tak balik lagi? Sumpah ini bukan Qaseh Fatima. Kenapa tak bagitahu Adam macam selalu? Tambah lagi keluar dengan lelaki. Selalunya Adam yang dicari oleh Qaseh.

Adam terus sahaja bangun. "Adam naik mandi dululah, mama."

Puan Hajar diam. Tak beri reaksi langsung. Hmm… Angin naik ke kepalalah tu. Tak faham betul perangai Adam Umar ni sekarang.

"Assalammualaikum." 

Puan Hajar berpaling. "Waalaikumussalam. Hah, panjang umur Qaseh." 

Qaseh angkat kening sambil berjalan mendapatkan Puan Hajar. "Kenapa Mama?" 

"Abang Adam pun baru sampai. Dia cari Qaseh tadi. Ketat muka dia bila dia tahu Qaseh belum balik lagi. Qaseh tak bagitahu Abang Adam?" 

Buk!

Dada Qaseh tiba-tiba rasa seakan-akan direntap. Berdebar dan takut dalam masa yang sama. Serupa orang buat salah besar dah.

"Hmmm… Jangan takut sangat. Memang patut pun Qaseh buat macam tu. Sampai bila dia nak kongkong Qaseh. Bila suruh kahwin tak mahu. Biarkan je dia Qaseh. Ajar Abang Adam sedar sikit memang dia perlukan Qaseh. Ni dah lewat. Naik mandi lepas tu rehat," pujuk Puan Hajar lembut tahu hati anak angkatnya itu pasti gundah-gulana sekarang ni.

Qaseh gigit bibir. Takut nak naik atas tapi dalam masa yang sama bergelut dengan hati sendiri yang kuat bela diri kata diri sendiri tak buat salah apa pun. Tak ada apa yang perlu ditakutkan. 

Qaseh kerling ke pintu bilik Adam yang tertutup. Lega. Mungkin Adam tidak peduli pun. Qaseh masuk dan capai tualanya. Melangkah semula keluar dari bilik mandi bila dia terlupa membawa pencuci mukanya yang baru dibeli tadi. 

"Apa hal lewat sangat balik rumah?" 

"Allah! Abang!" Terjerit Qaseh dan mencicit Qaseh berlari masuk semula ke dalam bilik mandi. Gopoh tuala dicapai dan ditutup seluruh rambutnya dan keluar semula dengan muka cemberutnya memandang Adam yang sedang berdiri menyandar di bingkai pintunya.

"It's over 10.00 p.m Qaseh Fatima. By 8.00 p.m you should be at home. That's the rules. Pergi mana? Dengan siapa? And why you didn't inform me after all?" dingin suara Adam sedingin wajahnya sekarang ini bertubi-tubi menyoal Qaseh.

Qaseh hela perlahan nafasnya. Dah agak pasti Adam akan menyerangnya seperti ini. "Qaseh dah inform Mama." 

"Abang? Ada inform abang ke?" 

"For what? Bukan ke abang sendiri yang minta untuk Qaseh buat hal Qaseh sendiri? Kenapa nak kongkong Qaseh lagi?" 

Adam dan Qaseh masing-masing terdiam. Terkedu. Muka Qaseh terasa panas. Tak ada niat langsung nak berlagak kurang ajar dengan Adam, tetapi Adam juga yang mahu Qaseh begini.

"Kongkong? Tu yang Qaseh rasa selama ni?" Adam berhenti seraya ketawa sinis. Qaseh yang dah pucat muka direnung bagai nak tembus ke belakang kepala Qaseh. "Good. Baguslah! Qaseh dah besar kan? Bolehlah buat rumah ni macam hotel. Keluar dengan stranger and tinggalkan mama yang macam tu seorang dan mula abaikan dia. Buatlah besar kepala. Lepas ni apa? Nak blah dari rumah ni? Hah?" Suara Adam sudah naik seoktaf lagi sehingga terenjut bahu Qaseh.

Qaseh mula rasa mendidih. Tak perlulah nak menjerit-jerit macam Qaseh sejenis tak faham bahasa pula.

"Bukan ke memang tu yang abang nak? Sebab tu abang marah sangat bila Qaseh setuju nak kahwin dengan abang? Sebab kalau Qaseh kahwin dengan abang, sampai bila-bila Qaseh akan duduk dekat rumah ni dan susahkan abang dan mama, kan?" Tinggi suara Qaseh. Buat pertama kalinya dan itu jelas menyentakkan Adam.

"Jangan nak tuduh abang yang bukan-bukan. Dah memang niat Qaseh nak kahwin dengan abang tu tak betul jadi salah ke apa yang abang cakap?" 

Qaseh ketawa. Pelipisnya diurut perlahan dan perlahan langkah diambil mendekati Adam. 

"Dan apa niat sebenar abang layan Qaseh lebih-lebih macam ni?" 

Adam terdiam lagi. Macam biasa langsung tak nak jawab soalan Qaseh sebab takut rahsia hatinya yang sebenar dibuka dan dibogelkan oleh Qaseh.

Qaseh seka air matanya. Qaseh gagal malam ini dalam menyorok rasa hatinya. Dadanya terasa terlalu sesak dan sebal. Kepala Qaseh dah tak mampu nak fikir apa lagi yang patut Qaseh buat. Malam ini ketika bersama lelaki selain Adam membuktikan sesuatu dan berjaya membuka mata Qaseh. Tak biasa hidup tanpa Adam adalah bukan sesuatu yang terbaik untuk Qaseh bila Adam sendiri seakan-akan mahu Qaseh menjauhinya.

Melihat air mata Qaseh yang tumpah di depannya membuatkan Adam tersampuk bisu. Menyentak hati dan fikirannya agar kembali normal dari terus-terusan menjadi mangsa egonya.

"Qaseh —," Suara Adam tersekat dan tangannya yang baru mahu diangkat memujuk ditahan lembut oleh Qaseh. 

"Sumpah Qaseh sayangkan abang. Rasa sayang tu —," Qaseh menunduk. Tersedu-sedan dan nampak payah dalam usahanya mahu dihabiskan ayatnya. Air mata diseka dengan belakang tapak tangannya. Adam dah keras kejung di situ. Tak tahu apa yang mahu dia lakukan. Selalunya kalau Qaseh bersedih begini hanya nasihat dan sedikit kata-kata semangat yang Adam titipkan. Tapi kali ini rasanya berbeza. Lain sangat. 

Qaseh hela perlahan nafasnya agar sedikit bertenang. "Rasa sayang Qaseh pada abang bukan sekadar sayang, tetapi dah lama bertukar ke rasa cinta." 

Dan sekali lagi Adam rasa terpukul di situ. Terhenti sekejap nafasnya. Terasa panas telinganya tiba-tiba. Wajah Qaseh yang masih menunduk cuba dicari. Mahu melihat sejauh mana keikhlasan gadis di depannya itu.

Jadi, Qaseh betul cintakan Adam?

"Apa Qaseh —," 

"Lantaklah apa nak jadi pun dan apa pun abang nak fikir pasal Qaseh. Qaseh malas nak simpan perasaan ni dah. Qaseh nak abang tahu je. Sebelum —," 

Qaseh angkat bebola matanya yang berkaca. Merenung tepat ke muka Adam yang jelas nampak terkejut dengan pengakuan berani matinya kepada Adam. 

"Qaseh. Abang —," 

"Sebelum Qaseh nak move on." 

Adam kerut kening. Kedua-dua belah bahu Qaseh dipegang. "Move on?”

Qaseh cuba ukir senyum. Tangan Adam di bahunya dijatuhkan. "Qaseh tahu tak mungkin abang dapat sayangkan Qaseh melebihi dari sepatutnya. Qaseh adik abang. Selamanya adik abang. Jadi, Qaseh nak move on. Beri peluang orang lain sayangkan Qaseh yang sepatutnya dan selayaknya." 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience