Rate

Sedetik - I

Short Story Series 26956

ADAM baru sahaja selesai solat subuh bila pintu biliknya diketuk perlahan. Seperti kebiasaannya. Sekadar tiga kali ketukan. Matanya naik mengerling jam di dinding kepala katilnya. Tahu siapa di sebalik muka pintu itu membuatkan Adam tidak terburu-buru mahu membuka pun. Bersahaja dia habiskan doanya sebagai penutup solat.

Klak. Pintu biliknya dibuka. 

Qaseh tersenyum seperti selalu. 

"Assalammualaikum, abang! Good morning," ucap Qaseh ceria sebelum melangkah masuk melepasi Adam yang diam merenungnya. 

"Ini baju dan seluar abang macam biasa. Hari ini hari Isnin. So baju warna biru, seluar dan tali leher warna hitam." 

Tenang suara Qaseh sambil menyangkutkan sepasang baju pejabat milik Adam di penyidai. Kemudian, tanpa memandang Adam yang masih tegak di muka pintu merenung setiap pergerakan Qaseh, Qaseh beralih ke katil Adam. Semua bantal diturunkan dan cadar dikemaskan dan ditarik tegang-tegang.

"Stoking abang, Qaseh dah masukkan dalam kasut abang dekat depan shoe stool. Jam tangan dan kunci kereta atas drawer macam biasa." Qaseh terus-terusan berceloteh walaupun Qaseh sedar tiada balasan mahupun usikan langsung daripada Adam kali ini tidak seperti kebiasaannya. Setelah memastikan kedudukan bantal kemas barulah Qaseh berpaling memandang seraut wajah yang tidak beriak merenungnya tidak berkelip.

Qaseh berhenti betul-betul di depan Adam yang masih berbaju melayu dan berkain pelekat itu. Mendongak membalas renungan Adam dengan senyum langsung tak pudar dari bibir merah jambunya.

"Macam biasa, baju kotor letak dalam bakul. Bakul letak depan pintu. Nanti Qaseh datang collect," ujar Qaseh tenang walau bersungguh berusaha mengekalkan nada suaranya agar tidak menderhaka dengan tuan punya badan.

Adam masih begitu. Membisu. Sekadar menunduk menjatuhkan anak rambut mencucuk sedikit keningnya dan merenung tajam wajah Qaseh.

Qaseh mengalah. Pandangannya dijatuhkan ke lantai dan bahagian dalam pipinya digigit perlahan. Kekok. Sudah masuk hari ke lapan Qaseh seakan-akan bercakap dengan jasad tanpa roh Adam. Faham yang pagi yang ke lapan ini juga bakal sama seperti hari-hari yang lepas Qaseh ambil keputusan tinggalkan sahaja Adam yang dingin itu di situ.

"Qaseh ingat abang memang tak boleh hidup ke kalau Qaseh tak ada? Sampai abang nampak desperate sangat kena kahwin dengan Qaseh sebab semua ni?" Suara beku Adam menyapa telinga Qaseh sebaik sahaja dua langkah diambil menjauhi Adam. 

Qaseh pejam mata sesaat. Adam versi baharu ini memanglah tak pernah tak gores hati Qaseh. Nafas tenang di hela dan hati sendiri dipujuk sebelum Qaseh berpaling dan masih kekal tersenyum manis seperti selalu.

"Dah biasa dengan yang terbiasa. Qaseh —," 

"Jangan biasakan sebab terpaksa! Abang tak nak dengar alasan bodoh tu lagi." 

Bulat mata Qaseh bila Adam meninggikan suaranya pagi-pagi begini. Bukan tak pernah Qaseh dimarahi oleh Adam. Dah biasa dan kerap juga tetapi bukan disebabkan hal ini. Adam tak pernah marah malah memang Qaseh yang rela hati menjaga Adam seperti Adam menjaganya juga. 

"Sebelum ni tak pernah timbul pun isu ni? Bukan baru semalam Qaseh buat semua ni. Qaseh —," 

"Stop pretending yang Qaseh ikhlas buat semua ni. Kalau nak sangat balas budi abang dan mama, pergi cari someone else yang Qaseh cintai dan bawak jumpa kami. Masa tu Qaseh boleh pergi so that Qaseh tak akan rasa seperti Qaseh termakan budi kami lagi." 

Hati Qaseh berderai. Ini rupanya yang mengganggu Adam selama beberapa hari ini. Adam sangka keputusan Qaseh untuk menerima pinangan Puan Hajar semata-mata kerana mahu membalas budi?

Malas nak tarik perhatian Puan Hajar di bawah yang kebarangkalian boleh mendengar perbalahan mereka di waktu subuh begini Qaseh sekadar mampu mengangguk kecil.

"Abang bersiaplah. Mama dah tunggu dekat meja makan agaknya. Qaseh pun nak bersiap," pinta Qaseh perlahan. Sengaja tidak mahu mengulas lebih panjang mengenai tuduhan Adam. 

"Kenapa tak nak balas apa Abang cakap tadi?" Lengan Qaseh yang berlapik baju berlengan panjang itu dipegang sedikit kuat oleh Adam sekali lagi merencatkan langkah Qaseh.

Qaseh merengus. Tajam bebola matanya diangkat melawan pandangan Adam yang masih dengan muka tegang tak puas hati dia kepada Qaseh. 

"Pagi lagi nak bergaduh dengan abang yang tiba-tiba dapat penyakit meroyan ni. Cukuplah Qaseh selama ni menumpang rezeki abang dan mama, takut pula kalau bergaduh pagi-pagi macam ni rezeki Qaseh kurang. Macam mana Qaseh nak hidup sendiri tanpa abang dan mama nanti kan?" Sarcastic balasan daripada Qaseh terus membisukan Adam.

Tergeleng kepala Qaseh. Kesal. Tak sepatutnya begitu jawapan balasnya tetapi Qaseh betul malas nak cuba fahamkan Adam di waktu-waktu begini. Lagipun Adam yang mulakan dulu kan?

"Find someone else Qaseh kalau itu memang niat asal Qaseh. Don't keep playing since I'm not your toys," ujar Adam keras seakan-akan memberi amaran kepada Qaseh. Lengan Qaseh dilepaskan dan berdentum kuat kemudiannya bunyi pintu bilik Adam. 

Qaseh genggam penumbuk dan diangkat ke arah pintu bilik Adam. Hanya sekadar diacah-acah sahaja tanda dia terlalu geram. Terjegil matanya seakan-akan Adam betul ada didepannya sekarang. Sabar Qaseh. Sabar. Belum masa lagi untuk kau meletup pula. Kau tunggulah Adam Umar!

***

ADAM berdiri lama melihat imej dirinya di depan cermin. Rambutnya yang dirapikan gaya maskulin dengan pomade dibetulkan sekali lagi. Tali lehernya dipegang dan dielus.

Qaseh Fatima.  

'Macam mana Qaseh nak hidup sendiri tanpa abang dan mama nanti kan?' 

Adam mendesis. Bergerak-gerak rahangnya bila gigi dilagakan. Geram. Sakit hati. Macam mana boleh setajam itu lidah Qaseh yang dulunya cukup terjaga tuturnya. Walaupun mereka kerap bergurau senda dan saling menyakat tidak pernah pula sampai ke tahap yang boleh menggores hati Adam sebegini.

Mungkin sahaja emosi Qaseh sendiri sudah terganggu sebaik sahaja mama memintanya untuk berkahwin dengan aku? Qaseh sedang memprotes dalam diam? Rela dalam terpaksa? Qaseh tiada pilihan?

Adam tertunduk dengan kedua-dua belah tangannya ditumpangkan di meja solek. Matanya dibawa pejam beberapa saat sebelum satu helaan nafas yang sangat berat Adam lepaskan.

.

.

ADAM perhati sahaja Qaseh yang asyik melipat baju di ruang tamu sambil menemaninya menonton bola. Jam sudah berada di angka 2.00 pagi tetapi Adam paksa juga gadis itu duduk di situ menemaninya menyaksikan perlawanan bola. Di atas meja sudah ada dua gelas Nescafe panas berasap nipis. Puan Hajar sudah lama pun selamat berlayar di biliknya.

Adam sungging senyum bila sesekali dilihat Qaseh menguap besar, namun ditahankan juga kantuknya. Sebab tu agaknya Qaseh gigih melipat baju bagi menghilangkan bosannya.

"Qaseh, kalau tak ada perempuan lain boleh sediakan semua ni untuk abang, abang tak nak kahwin. Qaseh pun tak boleh kahwin.”

"Eh, kenapa Qaseh tak boleh kahwin pulak?" Qaseh menoleh sedikit dan Adam yang tersengih mengada di atas sofa dengan mata masih pada skrin televisyen itu dijeling. 

"Sebab Qaseh je boleh buat semua ni. Mama dah tak larat. Azra lagilah tak boleh harap," balas Adam yang duduk bersahaja bersila di atas sofa. Santai dengan seluar pendek dan sleeveless shirtnya. Rambut yang sedikit panjang diikat gaya pokok kelapa kegemarannya. Sejemput sahaja seperti gaya rambut budak perempuan umur satu tahun.

Qaseh cebir bibir. "Kalau macam tu kahwin jelah dengan Qaseh!" Kasar sahaja gaya Qaseh membalas namun berjaya melebarkan sengihan Adam.

Adam menunduk sedikit ke arah Qaseh yang bersila di atas lantai. "Kan? Senang-senang Qaseh jelah kahwin dengan abang. Habis cerita." 

Tangan Qaseh terhenti. Lama matanya bertembung dengan mata nakal Adam yang tersenyum-senyum mengusiknya.

Qaseh julingkan matanya lantas muka Adam dilibas dengan baju di tangannya. "Macam tak ada pilihan lain! Bosan." 

Adam ketawa. Bersungguh dia ketawa. "Bukan tak ada pilihan, ruang untuk memilih pun tak ada," ujar Adam dalam tawanya yang berbaki.

Qaseh dah rasa panas pipi dan sebenarnya Adam pula gugup dan masih lagi berdebar semenjak mata mereka bertembung tadi. Sengaja dia ketawa bagi menutup sedikit kegugupannya.

Jeda. Habis di situ sahaja gurauan mereka malam itu. Adam yang mencuri renung Qaseh dan Qaseh yang masih memikir-mikir tentang apa yang diguraukan oleh Adam tadi. 

.

.

.

ADAM celikkan semula matanya bila suara Puan Hajar sudah kedengaran memanggilnya dari bawah. Pening memikirkan hal perasaan dan hati. Tak sangka serumit ini. Ingatkan senang je kahwin ni tapi…

Qaseh nampak sibuk di meja makan. Puan Hajar hanya memerhati. Semenjak kakinya tidak lagi kuat kerana masalah urat saraf yang dialaminya setahun yang lepas, semua urusan perihal keluarga ini dijaga oleh Adam dan Qaseh. Dia bertuah kerana Adam dan Qaseh kedua-duanya anak yang sangat taat dan bertanggungjawab biarpun hakikatnya dia bukan ibu kandung kepada Qaseh. 

"Assalammualaikum mama." Suara garau Adam dan bauan dari tubuh lelaki itu membuatkan Qaseh jadi gugup tiba-tiba, namun dikawal juga riak muka dan pergerakannya agar tidak dapat dikesan oleh siapa-siapa pun.

"Waalaikumussalam. Lambat turun?" soal Puan Hajar. Matanya memerhati penampilan Adam pagi ini. Begitu juga Qaseh. 

Eleh! Tadi marah orang siapkan baju dia macam biasa. Pakai jugak! Dasar anak lelaki terlebih manja!

"Cari tali pinggang tadi. Tak jumpa." Adam melirik Qaseh yang berdiri di sebelah Puan Hajar. Menyapukan mentega pada roti bakar untuk Puan Hajar seperti biasa. Diam tidak berkutik langsung gadis itu. Tempat duduknya yang berhadapan dengan Puan Hajar diambil.

Tali pinggang?

Qaseh telan liur. Kecil matanya mendesis dalam diam.

Macam mana boleh lupa ni Qaseh? Ah, Adam punya pasal juga! Tahu nak mengamuk je.

Qaseh buat tak faham. Berjalan pula menghampiri Adam dan berhenti betul-betul di sebelah Adam. "Telur separuh masak dua biji untuk abang." Dua biji telur separuh masak dipecahkan di atas dua keping roti benggali bakar seperti kesukaan Adam.

Adam mendongak merenung muka tak berperasaan Qaseh. Qaseh masih mengabaikan sahaja. "Nescafe kosong. Ni creamer satu paket. Last stock. Nanti balik singgah beli stock baru," pesan Qaseh. Adam ni cerewet. Air dibancuh sendiri mengikut rasa tekak dia.

Qaseh buat semuanya macam biasa. Langsung tak peduli dengan Adam yang keras merenungnya dari bawah. Setelah itu tempat duduk di sebelah Puan Hajar diambil. Tenang Qaseh menyuap bijirin miliknya.

Puan Hajar menggeleng. Dapat dia rasakan aura panas antara budak berdua itu. Tak seperti selalu yang wajib kecoh pagi-pagi begini. Seorang mengusik dan seorang lagi merengek.

"Kalau Qaseh tak ada agaknya jangan kata tali pinggang, entah-entah pergi pejabat pun bogel tak berseluar," perli Puan Hajar selamba membuatkan kening Adam sedikit berkerut. Nak membalas dikatakan derhaka pula nanti. Qaseh pun hanya diam langsung tak ketawa macam selalu. Jadi, Adam pun diamkan sahaja.

Puan Hajar mengeluh. Cawan yang tak jadi mahu disisipkan ke bibir diletakkan sedikit kasar di atas piring menyebabkan Adam dan Qaseh serentak memandangnya.

"Kalau sebab mama suruh korang kahwin masing-masing bergaduh macam ni tak payahlah kahwin. Abaikan je permintaan mama ni," ujar Puan Hajar. Kedengaran berjauh hati sahaja nadanya. 

Terhenti terus kunyahan Adam. "Mama —,"

"Dah tak payah nak pusing-pusing. Ikut koranglah." Puan Hajar bangun. Tongkat dicapai dan perlahan dia mula melangkah. Adam terus sahaja bangun. Baru sahaja lengan Puan Hajar disentuh mahu membantu, Puan Hajar menoleh ke sisi bahunya. Adam dijeling dan Qaseh yang hanya memandangnya dilirik sekilas. 

"Kalau tak boleh sangat nak kahwin, Adam cari calon isteri. Cari yang boleh jaga kita semua. Cari yang boleh buat apa yang Qaseh dah buat supaya nanti Qaseh dah kahwin dan keluar dari sini ikut suami dia, mama tak terasa sangat." 

Adam tergamam. Padu dan menusuk terus ke jantungnya permintaan Puan Hajar. Menunduk sedikit namun mata tetap memandang redup Puan Hajar. Bibirnya dibasahkan.

"Qaseh pun sama. Cari suami yang boleh sayangkan Qaseh macam kami sayangkan Qaseh. Suami yang tahu nak hargai apa Qaseh buat untuk dia." Seraya itu Puan Hajar menjeling Adam.

Adam terus larikan matanya. Tahu dan cukup faham yang sindiran Puan Hajar itu memang untuk dirinya.

Qaseh kulum senyum. Padan muka kena ayat sentap!

Adam kembali duduk. Tegang je muka memandang Qaseh yang bermain-main dengan telefon di tangannya. Senyum pula bukan main melebar. Makin panas pula hati Adam.

"Elok sangatlah tu main telefon masa makan," tegah Adam membuatkan mata hazel di depannya itu diangkat memandangnya dengan sedikit kerutan di dahi.

Qaseh buat tak dengar. Mood Adam Umar tu sememangnya tak menentu tambah lagi baru lepas kena ayat sentap daripada Puan Hajar kesayangan mereka tadi. Jadi, lebih baik Qaseh simpan dulu ayat sentap dia untuk anak lelaki manja Puan Hajar itu.

"Nak kahwin konon tapi belakang abang sibuk pakwe keliling pinggang."

Qaseh masih begitu. Membebel macam orang tak betul sahaja Adam Umar ni. Cemburu cakaplah cemburu.

"Kenapa baju abang berkedut sangat? Qaseh ikhlas ke tak sebenarnya nak gosok?"

Qaseh merengus. Membebel je dari tadi! Sengaja cari point nak menyembanglah tu kan? Rindu tapi poyo!

"Siapa suruh duduk atas shawl Qaseh semalam? Abang tahu kan pantang perempuan ni bila shawl or baju dia yang dah siap gosok kena —,"

Ayat Qaseh tak habis bila Adam sibuk dengan rambut pokok kelapa dia yang macam hidup segan mati tak mahu tu.

Geramnya!

"Nak ke mana pulak?" soal Adam bila Qaseh tiba-tiba bangun membawa mangkuk bijirinnya tadi ke singki. Pelik. Selalunya Qaseh akan menunggunya sehingga dia selesai terlebih dahulu.

Qaseh menoleh dan berjalan perlahan melepasi Adam. Bibirnya dicebirkan ke arah Adam. Sengaja nak provok abang angkatnya itu. "Well, mama suruh cari bakal suami kan? Qaseh nak pergilah ni. Manalah tahu berjodoh dalam lif dengan CEO tempat Qaseh praktikal tu kalau Qaseh datang awal." 

"Jangan nak berangan yang Qaseh tu heroin dalam novel cinta," gumam Adam seraya dia menyisip perlahan air Nescafe bancuhannya.

"Lebih baik berangan dari terus berharap pada harapan palsu dan omong kosong," bidas Qaseh seraya menapak naik anak tangga biarpun dapat Qaseh rasakan pandangan tajam Adam mengiringi setiap langkahnya.

"Abang hantarkan."

"Tak nak. Qaseh nak naik grab. Kalau tak dapat CEO, dapat driver grab pun okey. Untung-untung dapat naik free hari-hari." Qaseh sorok senyum bila dilihat Adam terkocoh-kocoh menyudahkan sarapannya dan bangun menuju ke muka pintu. Tahu taktik Adam kalau tak mengizinkan Qaseh keluar. Adam akan gunakan badannya untuk menutup ruang keluar di pintu.

King of ego!

Adam merengus. Serba tak kena hatinya sekarang. Adam sangat yakin Qaseh sedang berusaha untuk melepaskan dirinya daripada Adam dan sedang memprovok Adam menolaknya tanpa perlu Qaseh yang memulakan penolakan jodoh mereka kepada Puan Hajar.

Apa perlu dia buat? Lepaskan Qaseh agar dia bahagia sendiri tanpa Adam? Bahagia ke Qaseh selama ni?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience