-11-

Thriller Series 704

TAPAK ARKEOLOGI SUNGAI MEMPAWAH.
TIGA MINGGU SEBELUM

Lelaki dalam hujung usia 50-an itu masih juga belum terlelap walaupun jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Sedang khemah lain yang berselerak di sekitar tempat tersebut rata-rata sudah gelap kerana para penghuninya sudah lama larut dalam mimpi sendiri, khemah utama yang dijadikan markas projek itu masih pula terang-benderang.

Tepat di bawah lampu yang tergantung rendah di tengah khemah, terdapat satu meja panjang yang tidak beralas. Artifak berupa serpihan-serpihan batu ,pinggan-pinggan lama yang sumbing, potongan-pontongan tulang ataupun sebarang penemuan yang menjawab hipotesis mereka bahawa tempat tersebut pernah menjadi kawasan penempatan manusia purba tersusun kemas di atas meja tersebut dan ditandakan mengikut tag masing-masing berupa koordinat lokasi dan tarikh penemuan artifak tersebut.

Dia tidak memperdulikan bahang panas daripada lampu yang tergantung rendah hampir menyapu kepalanya itu kerana seluruh perhatiannya tertumpu kepada deretan penemuan arkeologi yang terhampar di atas permukaan meja sedangkan serangga-serangga malam berupa kelkatu itu berterbangan mengitari lampu dan ada pula yang hinggap di atas kepalanya.

Sementara di luar, malam semakin menghampiri dinihari dan sayup-sayup bunyi burung hantu saling bersahut-sahutan seperti merayu bulan pucat yang senyap di sebalik awan tinggi di langit barat.

Prof. Hussien mendekatkan kepalanya ke arah salah sebuah artifak yang ditemui pasukan C itu dan dengan menggunakan kanta pembesar di tangannya, tembikar berbentuk labu sayung itu ditatap dengan pandangan mata yang berbinar-binar.

Di bawah kanta pembesar, tangan kanannya menghilangkan sebarang partikel asing daripada tembikar tersebut dengan menggunakan berus kecil berbulu halus dan dia menggerakkan berus tersebut dengan amat teliti dan perlahan-lahan.

Artifak yang ditemui oleh pasukan Dr. Kumaran itu adalah antara barang tinggalan purba yang paling sempurna bentuknya pernah dilihat Prof. Hussien.Tidak  seperti kelaziman tembikar labu sayung yang lain, artifak di hadapannya itu lebih kecil dan tidak halus buatannya.

Saiznya hanya separuh daripada penumbuknya dan bahagian leher tembikar tersebut hanya mempunyai dua lok yang ramping menuju ke atas dan berakhir dengan satu penutup yang seakan-akan melekat terus di pisahkan oleh celah yang amat halus dan hampir tidak kelihatan jika tidak diperhatikan di bawah kanta pembesar.

Melalui data yang baru diterimanya daripada Jabatan Muzium  Dan Antikuiti menggunakan Ujian Pentarikhan Radiokarbon yang juga dikenali dengan  Ujian Radioisotop Karbon 14 ,Dr.Chung mengesahkan bahawa tembikar tersebut sudah berusia 650 tahun dan adalah suatu bentuk keberuntungan pasukan mereka menemui artifak tersebut dalam keadaan masih utuh dan sempurna.

Jika perkiraan mereka benar, ternyata tembikar tersebut dihasilkan lebih awal daripada kedatangan Parameswara ke Semenanjung Suvarnabumi kira-kira 1400 tahun yang silam.

Nanti.

Spontan mata Prof. Hussein menyepet apabila matanya menangkap alur-alur tenggelam yang merambati tembikar tersebut bermula daripada penutupnya. Masih menggunakan kanta pembesar, Prof. Hussein memerhatikan dengan saksama dan tiba-tiba sahaja kepalanya bagai menerima curahan ilham dari langit.

Memusingkan tembikar itu perlahan-lahan dan cuba membunyikan huruf bersambung itu di dalam hatinya dari atas ke bawah dan tatkala bacaannya terhenti pada huruf terakhir, Prof. Hussein terlonjak bangun dan menyentak tangannya kegembiraan. Sah. Tidak mungkin dia tersilap.

Surah Al-Baqarah ayat 255 dan diikuti oleh surah lazim Empat Qul yang diukir kemas lengkap dengan tanda-tanda bacaan !

" 16 Mei 2019 jam 0234 Hrs. Jurnal ke lapan pada hari keempat berada di tapak arkeologi Sungai Mempawah. "

Begitu kata Prof. Hussein seraya mendekatkan alat perakam suara itu lebih dekat ke mulutnya dan dalam masa yang sama matanya terus melihat tembikar itu dengan pandangan bersinar.

Selepas meletakkan kamera pada sudut pandang yang membolehkan seluruh pekerjaannya awal pagi itu dirakamkan, Prof. Hussein kembali asyik dengan tembikar tersebut.

Menggunakan seurat benang hitam yang halus, perlahan-lahan benang tersebut diletakkan di celah penutup tembikar itu dan menggerakkan nya ke kiri ke kanan.

Melakukan hal yang sama sebelum kembali melalukan mata berus halus bagi menyingkirkan debu daripada celah penutup tersebut dan semakin lama alur penutup tembikar itu semakin kelihatan jelas.

Tiba-tiba sahaja kedengaran bunyi ranting kering dipijak membuatkan pantas Prof. Hussein menoleh. Berada di tapak cari gali yang terletak di tengah hutan itu bukanlah perkara baru baginya tetapi walau dalam keadaan begitu pun, waspadanya tetap tidak boleh dilonggarkan.

Beberapa hari yang lepas, Annisa salah seorang daripada pasukan cari gali tersebut telah terserempak dengan harimau jantan yang bersaiz menyamai anak lembu jantan sehingga menyebabkan gadis tersebut berlari lintang pukang seperti tidak cukup tanah.

Dan demi memikirkan keselamatan anak-anak buahnya, mereka mereka sepakat meletakkan perimeter yang mengelilingi kawasan khemah tersebut menggunakan perimeter khas yang dilengkapi dengan penggera kecemasan infra-merah bersensitiviti tinggi.

" Assalamualaikum.. "

Telinga sensitif Prof. Hussein menangkap suara seorang lelaki memberi salam dari luar khemah membuatkan seketika lelaki itu mengerutkan kening sementara matanya memantau skrin kecil di meja sebelah yang memaparkan keadaan sekeliling khemah dalam mode night vision.

Bukan sahaja skrin tersebut tidak memperlihatkan sebarang kewujudan pergerakan, bahkan penggera kecemasan yang akan mengeluarkan bunyi setiap kali ada sesuatu yang melintasi perimeter tersebut juga tidak mengeluarkan bunyi amaran.

" Assalamualaikum. "

Meletakkan kanta pembesar ke atas meja, Prof. Hussein melangkah lebar menuju ke arah pintu khemah dan sebaik sahaja zip pintu tersebut dibuka, satu wajah yang tidak dikenali sedang menatapnya dengan pandangan teduh.

Bersama dengan itu juga udara awal pagi mendadak berubah semakin dingin dan angin semilir menyerbakkan bau haruman yang lembut seperti bau gabungan antara bunga Melur dan bau Kemboja yang samar-samar.

Sempat Prof. Hussein mengerling bulan tua di langit barat dan kini bebola berwarna kuning pucat itu terlindung di sebalik juraian awan yang tebal menjadikan suasana di luar khemah utama itu gelap .Hanya sebuah lampu limpah di tengah-tengah kawasan perkhemahan itu dibiarkan menyala.

" Walaikumsalam. " Sahut Prof. Hussein seraya menekan bingkai kaca matanya lebih rapat ke hidung " Boleh saya bantu? "

" Tuan telah mengambil sesuatu yang tidak sepatutnya."Ujar pemuda tersebut tanpa basa-basi"Pulangkan! "

" Maafkan saya saudara. Apa-apa saja artifak yang ditemui dikawasan ini adalah hak milik kerajaan .Semua yang kami lakukan adalah mengikuti prosedur dan undang-undang. Saudara tidak boleh meminta pulangkan sesuatu secara melulu begini"

" Bukan semua. " Balas lelaki itu lalu jari telunjuknya mengarah ke satu sudut di meja besar di tengah-tengah ruangan tersebut. " Hanya itu! "

Hujung jari pemuda itu bagaikan magnet yang menarik leher Prof. Hussein untuk mengekori ke mana arah jari itu ditunding dan akhirnya lurus menunding ke arah meja besar di ruangan tersebut atau lebih tepatnya kepada tembikar labu sayung itu.

" Boleh saya tahu kenapa? " Leher Prof. Hussein kembali menoleh kepada pemuda tersebut.

" Tembikar tersebut sepatutnya tidak boleh dimiliki oleh sesiapa pun. "

" Saudara. " Prof. Hussein mengetap bibir "Sejak kawasan ini diwartakan sebagai tapak cari gali -segala apa yang kami temui disini adalah menjadi milik Jabatan Muzium Dan Antikuiti. Tidak ada apa-apa yang kami boleh lakukan. "

" Dapat Tuan pastikan tidak akan ada sesiapa yang membuka tembikar
tersebut? "

Mata Prof. Hussein mengernyit ragu namun tidak pula dia mengangguk atau menggelengkan kepala. Wajah lelaki muda itu hanya diperhatikan dengan saksama.

Pemuda itu masih berada dalam usia yang terbilang muda barangkali dalam lingkungan pertengahan 20-an.Memiliki rangka tubuh yang seimbang dengan ketinggian serta bidang bahu yang lebar dan tegap.

Wajahnya berseri dengan kulit cerah kemerahan tetapi dibingkai oleh garis rahang yang kukuh serta dahi yang tidak terlalu luas kerana anak-anak rambutnya diserkupi kain semutar berwarna hitam yang melilit dahi ke belakang kepala.

Rambut hitamnya kelihatan berkilat ditampan sinar lampu dan dipotong kemas.Sepasang matanya hitam dan menyinar tegas dipayungi kening yang melintang sementara hidungnya yang terletak diapit pipi bersih tanpa sebarang cela. Begitu juga dengan bibirnya yang seakan-akan melorekkan senyuman walaupun sebenarnya pemuda itu tegak tanpa sebarang ekspresi ketara.

Selain binaan tubuh yang bagus dan seimbang, pakaian yang membalut tubuh lampainya juga bukan pakaian biasa-biasa. Baju yang dikenakannya berwarna hijau pucuk pisang dan berkibar longgar sahaja dengan lengan baju itu melebihi paras siku.

Disisipkan kedalam seluar longgar berwarna sama dengan kepanjangan tidak mencecah buku lali sementara pada pinggangnya disimpulkan kain sampin berwarna hitam sama seperti baju luar tanpa lengan yang dipakainya.

Lalu akhir sekali kepada hulu keris berwarna cokelat tua yang tersisip di rusuk kirinya dan tampilan pemuda itu diakhiri dengan mengenakan sepasang capal yang mengapit jari-jemari kakinya.

Pendek kata ringkas bicara, pemuda itu seperti baru meloncat turun daripada pementasan teater Melayu purbawara.

" Kenapa? "

" Kerana Tuan tidak akan tahu kejahatan apa yang tersimpan di dalam sana! "

+             +              +

Pagi masih terlalu awal di tapak cari gali tersebut apabila kedengaran suara jeritan daripada khemah utama dan tempat tersebut segera dikerumuni semua orang.

Di atas lantai yang masih sedikit becak, satu susuk tubuh ditemui terlentang dengan kedua-dua bola matanya tidak ada sementara rongga matanya yang kosong hangus menghitam seperti dibakar oleh api yang sangat panas manakala dari sudut bibir dan telinganya mengalir darah pekat yang mulai mengering. Tidak ada tanda-tanda pergelutan dan disisi tubuh kaku itu berselerak serpihan tembikar daripada tanah liat yang berwarna cokelat gelap.

Prof. Hussein !

+             +             +

Bunyi menderu daripada kenderaan pacuan empat roda terakhir yang meninggalkan tapak penempatan sementara pasukan cari gali tersebut di sambut dengan seringai sinis dari sudut bibirnya yang kering dan menggelupas.

Udara pagi yang sejuk dan nyaman disedut dalam-dalam dengan seringai puas sebelum dia menyelubungkan kepalanya menggunakan hud baju labuhnya yang kusam dan koyak-rabak lalu berpaling perlahan meninggalkan kawasan tersebut.

Lesap menghilangkan diri seperti angin di antara redup payungan daun-daun rimbun yang saling bertaut.

"Kalian akan membayar harga yang amat mahal kerana telah mengurung aku selama ratusan tahun!  "

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience