- 03 -

Thriller Series 704

NAUFAL

Sudah berkali-kali Naufal menguap sehingga rahangnya terasa sakit sementara sudut matanya sudah perit namun dia masih belum bersedia untuk menerima tatapan tidak suka dari sang ayah jika dia berani-berani untuk berganjak dari situ.

Bunyi serunai dan gendang saling tingkah meningkah langsung tidak diendahkan Naufal.Baginya adegan dua orang pemuda dalam balutan pakaian hitam dengan tali pinggang kuning dan bertanjak serta saling serang menyerang antara satu sama lain itu tidak ada apa yang menarik baginya.

Jerit pekik dua pemuda yang sedang beradu tenaga di tengah gelanggang itu kedengaran memecah suasana ditingkah bunyi serunai dan gendang yang tingkah bertingkah.Dua pemuda saling memperaga buah silat dan langkah manakala ada belasan pemuda pemudi lain duduk bersila dengan takzim.Api dari obor yang dipacak mengelilingi gelangang tanah tidak berumput itu meliang-liuk di tiup angin yang bertiup dari serata arah.

Entah malang apa yang melintangi nasib Naufal kali itu.Menghabiskan cuti semester di kampung sahaja sudah merupakan satu bentuk ketidak beruntungan baginya dan kini dia dibebeli  pula sehingga telinganya rasa berdenyut atas satu sebab.Ayahnya mahu dia mampir ke gelanggang silat untuk saling bersilaturahim dengan sahabat handai yang kebanyakannya adalah rakan sepermainan ayahnya semasa remaja dulu.

Dengan nyamuk yang mengitari cuping telinga,Naufal sudah menyemburkan sebakul sumpah seranah kepada serangga penghisap darah tersebut yang sepertinya galak pula menghulur belalai ke dalam liang roma pemuda itu.Nyamuk satu hal.Bunyi cengkerik dan serangga-serangga malam pula kedengaran sangat mengganggu bagi Naufal.Sungguh.Dia benar-benar rindu dengan ruang tamu rumah mereka yang luas dengan televisyen bersaiz 60 inci di dalam bilik tidurnya.

Rasa sejuk dari pendingin hawa,modem jalur lebar serta konsol-konsol permainan videonya jauh lebih menarik daripada puluhan orang anak muda dalam pakaian hitam dengan pelbagai warna tali pinggang malahan ada pula yang memakai selempang.Bertanjak daripada kain hitam yang di lilit ke kepala dan berkaki ayam malahan saling serang menyerang dan saling elak mengelak antara satu sama lain.

Naufal tidak tahu apa yang dibanggakan sangat oleh ayahnya tentang hal itu.Dalam zaman serba canggih dengan teknologi dihujung jari,apa sangat kelebihan ilmu persilatan begitu? Apa perlunya? Untuk berperang menentang senjata moden dengan radar satelitkah?

Melihat gambar-gambar lama ayahnya ketika zaman remaja dulu Naufal hampir seratus-peratus yakin bahawa sikap aneh ayanhya tentang dunia persilatan Melayu pasti diturunkan dari nenek moyang mereka.Susuk tubuh ayahnya dalam persalinan hitam dan berselempang kuning serta bertanjak itu masih jelas dalam ingatan Naufal tetapi hal itu tidak pernah diendahkan olehnya sehingga kini.

" Akan ada suatu ketika nanti segala ilmu dan pengetahuan moden tidak akan berguna lagi dan manusia kembali kepada zaman di mana manusia akan berperang menggunakan pedang dan tombak diatas kuda-kuda perang seperti mana zaman Nabi dahulu.Dan mungkin kerana itulah Nabi menggalakkan umatnya untuk belajar memanah dan menunggang kuda."

Satu suara yang menyapa  pendengaran Naufal membuatkan dia benar-benar terjengkang ke belakang kerana terlalu terkejut.

" Sekurang-kurangnya berilah salam dulu.Susah sangat?"

Wajah berkulit cerah dengan bingkai rahang dan pipi yang kelihatan tegas itu kedengaran tertawa kecil membuatkan Naufal mendesis.Sambil bangkit semula dan melabuhkan lagi punggungnya di atas permukaan pangkin ,Naufal menyeluruhi wajah pemuda tersebut.

Sudah hampir seminggu Naufal berada di kampung tersebut dan setakat ini dia tidak pernah melihat raut wajah itu di mana-mana baik ketika dia merayau kebosanan ataupun ketika dia menatap dengan jengkel puluhan pemuda yang merupakan anak-anak murid datuknya itu menghabiskan masa dari waktu selepas Maghrib sehingga Isyak berpeluh-peluh saling menyerang ataupun mengelak serangan antara mereka.

" Baiklah saudara Naufal Hatta." Pemuda itu tersenyum lagi sehingga deretan giginya yang putih terserlah.
" Assalamualaikum.."

" Walaikumsalam !" Naufal meringis tidak suka seraya melabuhkan tapak tangannya ke lutut dan seekor nyamuk yang separuh kenyang dilenyek dengan jari penuh kesumat." Kan senang begitu ?"

" Nama kita Tun Indera.Naufal boleh panggil Indera."

Spontan mata Naufal yang sejak dari tadi melekat ke permukaan skrin telefonnya dikerlingkan sekilas kepada pemuda dengan wajah paling berseri diantara puluhan muda-mudi di sekeliling gelanggang tersebut.

Pemuda yang memperkenalkan diri sebagai Tun Indera itu disedari Naufal mungkin sebaya dengannya dan ketika duduk diatas pangkin ,bahu mereka separas membuatkan Naufal hampir pasti mereka juga punya ketinggian yang agak sama sekitar 180 sentimeter.Bahu Tun Indera tampak tegap dengan rambut hitamnya dipotong kemas namun ditutupi oleh kain berwarna hijau yang diikat meliliti kepala seperti semutar yang dipakai oleh pahlawan dalam cerita-cerita bangsawan mahupun drama purbawara yang ditayangkan di televisyen.

Sepasang kening pemuda itu kelihatan lebat tetapi kemas memagari matanya yang hitam jernih dan mengapit hidungnya yang mancung terletak.Lalu kepada dua ulas bibir kemerahan yang sentiasa menguntumkan senyuman dicelah tiap katanya.Pendek kata ringkas bicara,pemuda bernama Tun Indera itu tampan tetapi tampak aneh dalam  nuansa yang dibiaskan pakaiannya ketika itu.

" Tak pernah nampak pun sebelum ni?"

" Ada .Hanya Naufal sahaja barangkali yang tidak melihat kita .."

" Indera pun anak murid Tok Abah juga?"

" Bukan.."sahut Tun Indera masih tersenyum menyeluruhi wajah Naufal " Hanya hati kita tidak dapat menahan daripada ingin bersua sendiri dengan cucu lelaki Ayahnda Al-Attas  yang terkenal.Maka kerana itu kita kemari.Bertegur sapa dengan sang empunya tubuh."

Jika tidak memikirkan bimbang akan menyinggung perasaan Tun Indera,mahu sahaja Naufal tergelak.Penampilan Indera sahaja sudah terbilang aneh belum lagi mengambil kira tentang caranya berkata-kata seperti bahasa yang biasa digunakan dalam filem-filem klasik yang pernah dilihatnya entah di mana.

" Terkenal ? " Kening Naufal sudah bercantum dan menatap tajam ke arah ayahnya yang sedang memandang kearahnya dengan riak wajah sukar ditebak.

" Seingat kita,kita belum lagi pernah bertemu dengan seorang ayah yang tidak bangga dengan anak sendiri.."

Naufal mencebik namun tidak mahu menanggapi apa-apa kerana bimbang menyinggung pemuda disebelahnya ketika itu.

" Barangkali saya adalah orang pertama.Siapa tahu?"

Kali ini giliran Tun Indera pula tidak menyahut namun dari sudut matanya Naufal dapat melihat pemuda tersebut hanya tersenyum nipis mendengarnya.

Namun belum sempat Naufal berkata lebih banyak,satu bau harum yang aneh dan sejuk menusuk hidungnya dan dilihatnya Tun Indera segera berdiri sambil menyarung capal yang sempat ditanggalkan nya ketika duduk bersila di atas permukaan pangkin tersebut.

Tatapan mata Tun Indera mengarah ke satu sudut dalam kegelapan malam dan walaupun Naufal cuba menajamkan penglihatannya,tetap sahaja dia gagal melihat sebarang susuk tubuh di tempat tersebut.

"Nampaknya kita terpaksa pergi,Naufal.Sahabat kita sudah sampai.."

Naufal sekadar menganggukkan kepalanya dan tidak teragak-agak sedikit pun untuk menyambut tangan Tun Indera yang dihulur kepadanya ketika itu.

" Baik..Semoga kita bertemu lagi.Malam esok barangkali?"

" Dengan izin Allah ,Naufal."Tun Indera menepuk-nepuk bahunya mesra " Pasti kita akan bertemu lagi.Sampaikan salam kita kepada Ayahnda Sallehuddin.Assalamualaikum.."

Begitu kata pemuda tersebut sebelum melangkah dan akhirnya hilang dalam kegelapan malam dan bau harum yang memenuhi hidungnya juga turut lenyap begitu sahaja bagaikan asap yang ditiup angin.

Dan mendadak sahaja keadaan kembali seperti biasa dengan bunyi serunai serta gendang yang dipalu meningkahi langkah serta bunga yang diperagakan itu kedengaran lagi.

Begitu juga dengan bunyi cengkerik serta serangga malam yang lain sementara suasana sekeliling yang sebentar tadi terasa sejuk bertukar hangat lagi seperti ketika mula-mula Naufal melabuhkan punggungnya disitu.

" Naufal buat apa?"

Suara ayahnya-Tuan Sallehuddin kedengaran bertanya sambil matanya menatap ke arah di mana Tun Indera lenyap ditelan kegelapan malam sebentar tadi.

"Tak ada apa.Lama lagi kah,Abah? Saya mengantuk ni.Mana dengan nyamuk lagi !"

Tuan Sallehuddin menghembuskan nafasnya dengan berat.Sememangnya apa juga yang diharapkannya daripada anak tunggalnya nan seorang itu?

" Sekejap lagi.Naufal baliklah dulu kalau Naufal letih.."

" Hmm..iyalah.." Pemuda itu bangkit senang hati tetapi langkahan riangnya berhenti seketika lalu menoleh ke arah sang ayah " Tun Indera kirim salam,Abah.."

" Indera?" Wajah Tuan Sallehuddin berubah serta-merta " Tun Indera?"

" Tun Indera  !" Angguk Naufal." Tapi dia terpaksa pergi.Ada hal agaknya.."

Anaknya itu menyahut ringan sahaja lalu kembali menapak riang menuju ke arah halaman rumah yang hanya terletak beberapa meter dari gelanggang tersebut sementara Tuan Sallehuddin yang ditinggalkan bersendirian itu tercengang.

Apakah....??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience