- 02 -

Thriller Series 704

INDAH

Bunyi katil yang berkeriut memasuki deria pendengaran Indah membuatkan dia membuka kelopak matanya perlahan. Dari remang lampu beranda yang menyala, jelas dia melihat susuk tubuh kakaknya sedang tergesa-gesa menyarung tudung ke kepala.

" Kenapa?" Indah bertanya seraya bingkas bangun dan menggosok-gosok matanya yang masih terasa mengantuk.Sekilas dia mengerling jam di dinding.Jam dua pagi.

" Indah tidurlah..Ada hal sikit .."

Dengan kata begitu, kakaknya meleset keluar dari celah pintu dan melalui tingkap, Indah dapat melihat kakaknya melangkah tergesa-gesa dengan diekori tiga pelajar perempuan.

Ditinggalkan sendirian, Indah terkebil-kebil dalam gelap.Rasa tidak senang mulai meruap membuatkan Indah bingkas bangun dan menekan suis lampu.Mendadak bilik tidur tersebut terang benderang.

" Takkanlah ?"

Indah menggelengkan kepalanya dan kemudian bingkas mencari tudung dan stoking yang ditanggalkan dan diletakkan begitu sahaja ke atas meja .

Hawa dinihari yang semakin lewat mulai menghampiri subuh menghantar rasa sejuk yang menggigit menerpa sebaik sahaja Indah mencelah keluar dari tautan daun pintu.Lampu jalan terang dan tegak menyorot sinarnya dalam kerumunan serangga kecil yang mengitari bagaikan terpukau dengan sebiji mutiara besar yang hangat dan berkilauan ketika itu.

Indah menyegerakan langkahnya menuju ke dua blok bangunan setinggi tiga tingkat di sebelah kanannya dan kelihatan dikelilingi pagar tinggi dan satu-satunya pintu yang terbuka adalah pintu berpalang di bahagian hadapan manakala satu pintu lagi adalah pintu belakang di hujung sana yang menghadap ke arah lereng kaki bukit kecil yang ditumbuhi pohon-pohon tinggi.

Agak jarang semua lampu dalam setiap bilik dinyalakan lewat malam begitu melainkan ada sesuatu yang sedang berlaku.Ruangan tengah yang dilitupi rumput pendek serta deretan pasu bunga juga terang benderang dan semua empat buah lampu limpah dinyalakan.Puluhan susuk tubuh pelajar tersebut senyap tetapi tergesa-gesa menuruni tangga dan berbondong-bondong menuju ke satu bilik di hujung bangunan.

Di celah jejalan para pelajar perempuan yang ada dalam kalangan mereka masih terpinga-pinga begitu, Indah sesekali menghindar agar tidak menjadi penghalang kepada mereka yang jelas kelihatan kebingungan dan kehairanan Indah terjawab apabila wajah gusar kakaknya tersembul antara tautan daun pintu.

" Siti Aminah.." gamit kakaknya ke arah seorang pelajar perempuan yang bertubuh kurus dengan tudung labuhnya sedikit berkibar dek kerana lebarnya dia melangkah malahan boleh dikatakan Indah sebagai sedikit berlari anak." Tidak ada yang tinggal?"

" Semua sudah turun, Ustazah.."

" Baik.."

Angguk kakaknya .Dengan wajah sedikit mengah,pelajar perempuan yang dilaung dengan nama Siti Aminah itu menyelit di antara mereka berdua dan segera memasuki bilik tersebut.

" Indah..Kak Long ingat Indah tak ikut tadi.."

" Apa yang berlaku?"

Wanita dalam lewat usia dua puluhan itu mengisyaratkan sesuatu kepada adiknya dan Indah yang memahami gestur kakaknya itu tanpa banyak soal segera menyertai kakaknya memasuki bilik tersebut setelah menanggalkan selipar yang mendakap kakinya.

Benar sahaja.Di dalam bilik luas yang sepertinya sebuah dewan berlapikkan karpet biru itu,puluhan wajah pelajar perempuan sedang saling berpandangan sesama sendiri dengan riak wajah kebingungan.Termasuk kakaknya,ada enam lagi guru wanita yang berada di dalam bilik tersebut dan sedang mengarahkan sesuatu kepada beberapa orang pelajar lain yang dapat dipastikan sebagai pengawas ataupun sekurang-kurangnya ahli majlis persatuan pelajar asrama puteri. Dengan wajah kaget pelajarnya,lampu yang dinyalakan serentak juga bunyi kipas yang menderu-Indah tahu ada sesuatu yang serius sedang berlaku di tempat tersebut.

Telahan Indah tidak meleset sama sekali apabila dari sudut ekor matanya dia melihat sekelibat bayangan yang berlegar-legar di sekitar bilik tersebut dan Indah tidak mengendahkannya .

" Kak Long.."

Cuit Indah ke arah kakaknya yang masih berdiri sambil tertinjau-tinjau bagaikan sedang menghitung apakah semua pelajar perempuan di asrama tersebut semuanya sudah keluar dari bilik masing-masing.Demi merasakan lengannya dicuit,Ustazah Aatiyyah menoleh lagi.Keningnya diangkat menandakan dia bertanya mengapa adiknya mencuit lengannya sekejap tadi.

"Suruh budak-budak baca Ayat Kursi dalam hati atau berzikir."

Wajah Ustazah Aatiyyah berubah dan anggukan kecil daripada adiknya dibalas dengan menggamit seorang guru wanita yang berdiri paling hampir dengannya.Tatkala Ustazah Aatiyyah membisikkan sesuatu,tersirap darah Indah apabila kelibat tersebut menempelkan wajahnya ke arah tingkap sambil merenungnya tajam.

Indah tahu pesanannya disampaikan secara bisikan dari seorang ke seorang ,bukan sahaja tidak mahu menambahkan kepanikan yang memang sudah sedia terasa namun lebih daripada itu-tidak semua pelajar perempuan yang berada dalam bilik tersebut adalah beragama Islam.

Suara jeritan kedengaran lagi dan Ustazah Aatiyyah pantas menarik lengan adiknya menuju ke sebuah bilik lain dan sekilas pandang,kelibat pada tingkap yang merenungnya tajam sebentar tadi sudah tidak lagi kelihatan.

Indah mengernyitkan keningnya sambil mengerling ke sudut kirinya sementara di hadapannya pula tiga orang guru wanita sedang berhempas pulas menahan rontaan dua orang pelajar perempuan yang berusaha untuk menyerbu pintu dimana Indah dan Ustazah Aatiyyah menyelit sebentar tadi.

" Syafiqahh..Hafizah..mengucap banyak-banyak..Jangan ikutkan sangat .."

Kelelahan sekali dua guru wanita yang cuba memegang dua pelajar perempuan tersebut.Aneh bagaimana mereka sebenarnya hanya bertubuh sederhana tetapi memiliki tenaga luar biasa dan berkali-kali pula kedua-dua pelajar perempuan tersebut cuba melepaskan diri daripada pegangan tangan guru wanita itu.

" Aku tahu kau boleh nampak aku !"

Indah tidak mengendahkan suara kering dan gemersik begitu yang kedengaran seolah-olah dihembuskan ke cuping telinganya dan terasa ada angin sejuk menyapu tengkuknya membuatkan Indah bergidik seketika lalu mengusap tengkuknya yang mendadak meremang.
Ustazah Aatiyyah yang menyedari gerak-geri adiknya mencerunkan pandangan dengan wajah gusar.

" Pergi sajalah..Jangan ganggu budak-budak ni."

Amaran keras yang diucapkan oleh Indah secara tidak sengaja singgah ke pendengaran tiga orang guru wanita yang sedaya-upaya cuba untuk menahan rontaan keras dua pelajar perempuan tersebut dan spontan mereka berbalas pandang.

Bukan tidak pernah mereka menghadapi masalah serupa tetapi tidaklah terlalu teruk seperti kali ini.Nik Syafiqah dan Nur Hafizah,dua orang pelajar senior yang hanya beberapa bulan sahaja lagi akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tiba-tiba sahaja tumbang dan mulai menjerit dalam nada aneh dan kejadian itu serta-merta menggemparkan seluruh warga asrama puteri.Jika tidak dihalang oleh beberapa orang pelajar lain, Hafizah hampir sahaja terjun dari atas beranda tingkat tiga sebentar tadi.

Sementara Hafizah meronta histeria memekik sebentar-sebentar dalam suara wanita dan sebentar-sebentar dalam suara lelaki,Syafiqah juga mengalami hal yang sama.Tenaga mereka mendadak berlipat kali ganda daripada kekuatan gadis biasa dan tubuh mereka seakan licin tidak dapat ditahan.Wajah kedua-duanya pucat tetapi mata mereka tiba-tiba bertukar kemerahan dan menatap Indah dengan mata hendak tersembul keluar.

" Mereka berdua memang patut
dihukum !!"

" Apa kesalahan yang budak-budak ni sudah buat?"

" Menyimbah air panas sesuka hati.Dasar manusia tidak tahu diri !"

" Maafkan mereka kerana mereka tidak tahu."

Dua lembaga yang sesekali kelihatan seperti gumpalan asap dan sesekali pula kelihatan seperti wajah manusia yang tidak jelas itu berlegar-legar di antara Syafiqah dan Hafizah sambil sesekali menghayunkan tangan ke arah dua pelajar tersebut dan ketika itu jugalah Syafiqah dan Hafizah akan mengejang seperti sedang menahan kesakitan yang amat sangat.

Indah berpura-pura terbatuk kecil dan dalam masa yang sama menegakkan letak kakinya namun matanya tetap mengerling ke luar tingkap.Bagaikan dihalang oleh sesuatu yang tidak kelihatan,lembaga putih seperti seorang wanita dalam balutan perca kain putih yang carik berjurai-jurai dan wajahnya ditutupi rambut hitam melepasi paras punggung itu kelihatan seakan-akan terpelanting setiap kali cuba untuk memasuki bilik tersebut.

" Yang di luar tidak boleh masuk.Yang di dalam tidak boleh keluar. Perlu kalian menunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk?"

Dua lembaga hitam seperti asap yang mengitari tubuh Syafiqah dan Hafizah kelihatan tersentak dan menatap Indah dengan nanar.

" Ustaz Hambali belum tentu akan
berhati mulia untuk melepaskan kalian begitu sahaja !"

Dua lembaga tersebut saling berpandangan sesama sendiri dengan gerak-geri sedikit ragu tetapi kelihatan masih cuba berdegil membuatkan Indah mendengus.

" Hafizah.."

Indah pantas menghampiri salah seorang daripada pelajar tersebut dan sebalik sahaja dia berada di sebelah gadis itu,Indah berpura-pura merapikan kain baju tidur labuh yang dipakai Hafizah tetapi sebenarnya dalam pergerakan pantas dan tidak ketara,ibu jari kaki kanan gadis tersebut diraihnya lalu dipicit dengan kuat.

" Jangan layan sangat.Biasalah tekanan untuk menghadapi peperiksaan begini."

Begitu kata Indah tetapi dalam masa yang sama dia memicit ibu jari kaki kanan gadis tersebut sambil membacakan ayat-ayat suci Al-Qur'an membuatkan Hafizah semakin nyaring pekikannya dan mata kemerahan gadis itu mencerlang ke arah Indah.

" Pergi aku kata !!"

" Lepaskan aku !!!"

Jeritan Hafizah berubah menjadi suara geraman aneh seperti suara yang kedengaran daripada kata yang diucapkan dalam keadaan leher tercekik.Indah langsung tidak mengendahkan pekikan gadis tersebut malahan semakin memusatkan tumpuannya kepada ayat suci yang dibacanya di dalam hati.

" Pergi atau kalian akan berhadapan dengan Ustaz Hambali?"

" Kau tutup segala pintu.Bagaimana kami mahu keluar??"

" Aku boleh buka semula tapi dengan syarat kalian mesti melepaskan Hafizah dan Syafiqah."

Indah mengamit kakaknya sebentar dan membisikkan sesuatu kepadanya.Hanya dengan anggukan kecil,Ustazah Aatiyyah menjengukkan kepalanya ke luar dan kedengaran dia menyeru satu nama.

" Sekarang pergi !!"

Tengkingan Indah dalam hati itu dibalas dengan raut wajah tidak suka dua lembaga yang menganggu Syafiqah dan Hafizah namun apabila kedengaran satu suara memberi salam,raut wajah dua lembaga tersebut pantas berubah menjadi ketakutan dan hanya sekelip mata kedua-duanya melayang melalui celah tingkap.Dan ketika itu jugalah tubuh kedua-dua pelajar tersebut merosot lembik seperti kain lusuh di tepi dinding.

Membiarkan Ustaz Hambali dan seorang wanita bertudung labuh yang diyakini Indah sebagai isteri kepada lelaki tersebut menguruskan hal yang selebihnya,Indah menyelit antara celah daun pintu yang separuh dibuka namun sempat dilihat Indah lelaki tersebut mengerlingnya dengan tatapan aneh dan menyelidik.

Keluar sahaja,mata Indah pantas melilau ke segenap ruangan dan kemudian ke arah tingkap.Lembaga dalam pakaian putih yang melayang-layang di luar tingkap sebentar tadi sudah tidak lagi kelihatan.

" Kalau tak ada apa-apa lagi,Indah balik dululah Kak Long.."

Dengan perlahan ,Indah melangkah menghampiri pintu dan kemudian mencari di mana letak selipar yang dipakainya sekejap tadi dan kelihatan tergeletak antara berpuluh-puluh pasang selipar yang diletak sebarangan arah.

Keadaan Hafizah dan Syafiqah yang sudah sedarkan diri tetapi masih dalam keadaan lembik kehilangan tenaga membuatkan Ustaz Hambali segera menghampiri Ustazah Aatiyyah yang sibuk mengarahkan sesuatu kepada para pelajarnya yang beransur-ansur meninggalkan bilik tersebut. Ada sesuatu yang perlu ditanyakannya kepada guru wanita itu.Mendengar namanya diseru,dia menoleh pantas.

" Maafkan saya kerana mengganggu Ustaz dan Kak Zahara malam-malam begini.."

" Tak apalah,Ustazah..Kalau boleh saya tanya,yang memakai tudung hitam tadi siapa?"

" Oh.." Ustazah Aatiyyah tersenyum
sekilas " Itu adik bongsu saya.Baru datang semalam..Kenapa Ustaz?"

" Tak ada apa-apalah,Ustazah.Saya hairan sebab tak pernah pula nampak sebelum ini.."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience