Bab 3

Romance Series 30144

- Taman ini cinta pertama aku. Di taman ini juga, aku jatuh cinta. -

Jarum jam menunjukkan pukul 7.00 pagi. Matahari di ketika itu masih malu-malu untuk bangkit daripada kamarnya, sekadar memberi cahaya nipis. Lis pula duduk di hadapan cermin sambil menyisir rambutnya yang ikal mayang. Sedikit olesan pemerah pipi sudah cukup untuk menyerlahkan tulang pipinya. Jantungnya berdetak laju daripada kebiasaan. Sekali sekala, dia tersenyum sendiri. Dia berasa sedikit malu dengan diri sendiri kerana dia bukanlah seorang yang mahir bersolek. Sehelai selendang putih menutupi rambutnya.

Matahari mulai terbit. Cahaya kuning keemasan mengintai di celahan jendela dan memancar sinar pada rambutnya yang terurai. Sambil menatap cermin, Lis mengoles bibirnya dengan lipstik berwarna natural sebagai pelengkap. Sebelum keluar daripada bilik, dia sempat merapikan selendangnya dan memeriksa penampilan sekali lagi di cermin sehingga berpuas hati. Tangannya ligat mencapai tas tangan kecil sebelum menyarung kasut tumit tinggi.

Perjalanan ke taman terasa begitu perlahan, meskipun laluan itu bukanlah laluan yang asing bagi Lis. Perasaan bercampur-baur memenuhi segenap rasa; teruja, takut semuanya ada. Tapak tangannya terasa sejuk. Lis cuba menggosok tapak tangannya untuk mendapatkan sedikit kehangatan. “Haih. Kenapa aku nervous teruk sangat ni?” ujarnya perlahan sambil menghela nafas berat. Akhirnya, kereta yang membawa Lis diparkir di tepi pagar. Matanya menancap pada ukiran batu dengan tulisan di atasnya.

TAMAN SEROJA

Langkah kaki diatur perlahan, serasa lemah. Perasaan gugup telah mengambil separa tenaganya. Panorama Taman Seroja dan suara alam pada hari itu sungguh menenangkan. Lis menongkah kaki ke laluan berbatu di taman itu yang sekitarnya dihiasi barisan pokok renek dan bunga Seri Pagi. Dia kemudiannya duduk di atas bangku taman sambil mencium aroma bayu yang membawa wangian bunga di taman itu. Hatinya yang gugup sebentar tadi perlahan-lahan menjadi tenang. Dia leka dibuai keindahan taman itu, tanpa menyedari akan dirinya dihampiri seseorang yang paling dinantikan. Sinar matahari pagi menembusi celahan kanopi serta pantulannya yang menari-nari di lantai cukup menghiburkan. Udara yang nyaman bersatu dengan sinar lembut matahari pagi yang memberi kehangatan. Tidak kurang indah juga, kelopak teratai yang mengapung di kolam menghasilkan lukisan alam yang cukup mempersona. Alunan gemercik pancuran air yang memantulkan cahaya matahari seperti permata, ditambah dengan nyanyian halus burung murai menjadi halwa buat pancaindera.

“Assalamualaikum,”

Satu suara mengusik pendengaran Lis, lantas mencuri segala perhatiannya. Dia dengan perlahan menoleh. Lis terpegun sejenak. Dua pasang mata bertemu. Pemandangan itu begitu asing buat dirinya. Seorang jejaka yang sedang berdiri tegap di hadapannya. Wajah tampannya dihiasi senyuman yang menyenangkan. Pandangan matanya begitu redup, membuatkan sesiapa sahaja ingin tumpang berteduh. Warna perang gelap yang memenuhi iris kolam mata jejaka itu turut memenuhi lompong hatinya yang selama ini kekosongan. Jejaka itu kemas berkemeja putih membaluti tubuh tinggi lampainya, lengan baju yang dilipat kemas sehingga ke paras siku. Sehelai kot hitam sekadar disangkut pada lengan kanannya.

“Waalaikumussalam.”

“Ini Lis ke?”

“Ya,” Lis seperti kehilangan kata-kata. “Umm, ini Encik Edit-”

“Syafiq. Panggil Syafiq je.” Syafiq tersenyum. Senyuman kali ini lebih mencairkan hati hawanya. Luruh habis jantungnya. Lis terdiam sejenak.

“Lis?” Lis tersentak sedikit. Aduh, lelaki itu sedar dia sedang mengelamun. Malunya bukan kepalang. “Ah, maaf. Saya Amarylis. Panggil Lis.”

“Amalis?”

“Amarylis. Bukan Amalis.”

“Eh, salah sebut. Minta maaf ya.”

Perbualan canggung itu berakhir dengan ketawa kecil. Mereka saling menatap wajah buat seketika.

“Umm, jom. Kita cari mana-mana tempat yang sesuai. Atau Lis nak stay sini je?”

“Oh, okay.”

“Lead the way?” Syafiq tersenyum. Dia tidak mahu Lis berasa janggal dengannya.

“Sana.” Jari telunjuk Lis mengarah ke suatu kawasan redup yang disediakan kerusi dan meja taman, tidak jauh dari mana mereka berdiri. Mereka pun berjalan beriringan.

“Lis tinggal dekat mana?” Syafiq cuba memecah kesunyian yang terasa begitu canggung jika dibiarkan.

“Oh, Lis tinggal tak jauh mana dari sini. Rumah Lis dekat kawasan bukit sana. Syafiq?”

“Ya?”

Lis menjeda. “Terima kasih.”

“Hmm?”

“Sebab sanggup datang dari jauh nak ke sini. Maaflah kalau menyusahkan,” ujar Lis dengan perlahan. Dia akui serba salah meminta Syafiq datang sejauh ini untuk bertemu.

“Eh. Jangan cakap macam tu. Lagipun tempat ni cantik. Tak salah kalau sekali sekala dapat escape bandar besar dan datang sini.”

Lis hanya tersenyum. Sifat Syafiq yang tenang dan bersahaja membuatkan dia semakin selesa bersama lelaki itu. Baginya, Syafiq tidaklah seperti lelaki ‘dunia luar’ seperti yang diceritakan oleh Babah. “Bandar besar tu, macam Kuala Lumpur ke?” Lis sepertinya tertarik dengan istilah ‘bandar besar’. Syafiq mengangguk kecil. Mereka pun akhirnya tiba di kawasan tempat duduk taman yang diteduhi barisan pohon hujan-hujan yang bercantum membentuk terowong kanopi hijau yang indah.

“Lis pernah pergi Kuala Lumpur?” Syafiq memandang Lis dengan penuh tanda tanya. Lis hanya menunduk.

Aih, aku salah cakap ke, hati Syafiq diserang serba salah.

“Sebenarnya, Lis belum pernah pun keluar dari kawasan ni.” Bulat mata Syafiq itu mendengar jawapan itu. “Oh.” Dia tersengih.

“Kelakar ke?” Lis menyoal. Wajah manisnya bertukar muram.

“Eh tak, tak.” Syafiq gelabah. “Okey, buka file manuskrip awak,” Syafiq cepat-cepat mengalihkan fokus kepada tujuan asal pertemuan mereka.

Seiring masa berlalu, matahari mulai tegak di atas kepala. Jatuhan bayang-bayang beralih arah, menjadikan kawasan yang asalnya teduh menjadi hangat. Tidak disangka perjumpaan ini menjadi lama.

“Nanti, email kepada saya dokumen yang sudah lengkap ya, Lis.”

“Baik.”

“Kalau dah tak ada apa-apa, saya nak minta diri dulu.”

Lis terkedu. Itu je? Takkan itu je? Sukar bagi gadis itu membuang kekecewaan yang mula bersarang di hatinya. Hakikatnya, ingin sekali Lis mengenali Syafiq lebih mendalam. Syafiq sepertinya hanya melihatnya sebagai teman sekerja. Lis hanya terdiam sambil membulatkan mata ke arah Syafiq.

Eh, reaksi apa ni? Aku salah cakap lagi ke? Syafiq gelisah. “Lis?” Wajahnya berkerut. Tadi nampak macam happy. Bila aku kata nak balik, buat muka pulak. “Hello?”

Petikan jari menyedarkan Lis daripada lamunan. Ah, aku mengelamun lagi ke. Lis cepat-cepat memperbetulkan reaksi wajahnya. Fikiran Syafiq pula ralat dengan pelbagai persoalan. Perempuan ni tak reti cover line langsung ke? Comel betul. Syafiq hanya bermonolog dalam hati. Perlakuan Lis yang innocent dan sedikit kelam-kabut benar-benar mencuit hatinya. Dia tertawa kecil. “Kenapa? Taknak saya balik lagi ke?”

Rona wajah Lis bertukar kemerahan kerana malu. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberi. Lis masih lagi berdiam. Syafiq makin dilanda resah. “Lapar tak? Jom.” Dia cuba memancing suasana.

“Nak ke mana?” Lis akhirnya bersuara. Fahamlah Syafiq bahawa Lis masih ingin meluangkan masa dengannya.

“On the way ke sini tadi, saya nampak ada mall. Mesti ada tempat makan dalam tu. Jom, kita makan situ.”

Mall? Bukan tempat maksiat ke, macam Babah selalu cakap? Tak berdosa ke kalau pergi? Lis ditimpa pelbagai persoalan. “Hmm, Syafiq. Tak apa ke pergi mall?” Syafiq terkebil-kebil mendengar soalan itu.

“Kenapa pulak?”

“Mall, bukan tempat tak elok ke? Tak dosa ke pergi?” Syafiq seperti dipanah halilintar mendengar kata-kata Lis. Apakah selama ini aku berdosa kerana pergi mall? Itulah yang bermain di benaknya.

“Kalau macam tu, kita cari tempat makan outdoor. Tak dosa kut.” Syafiq hampir mati akal. Jantungnya seperti hendak tercabut.

“Okay,” ringkas jawapan Lis, namun cukup melegakan. Mereka berjalan beriringan bertemankan hening petang. Mujur Syafiq memarkir keretanya tidak jauh, maka tidak perlulah mereka berlama-lama dalam keheningan itu.

Syafiq duduk kemas di tempat duduk memandu. Sejurus menutup pintu kereta, dia menoleh ke tempat penumpang sebelah kiri. Eh, mana Lis? Dia menjengukkan kepala keluar tingkap sebelah kanannya pula. Aik, mana dia pergi? Syafiq kehairanan. Dengan perlahan, dia menoleh ke tempat duduk belakang. Ya, Lis duduk di tempat duduk penumpang di belakang. “Eh, kenapa tak duduk depan?” Lis hanya menguntum senyum dan menggeleng perlahan. Syafiq memalingkan muka ke hadapan sambil menarik nafas dalam. Gadis ini penuh dengan kejutan. Dia menghidupkan enjin kereta dan menekan pedal minyak dengan perlahan. Kenderaan Honda Civic merah miliknya itu mula bergerak ke hadapan.

“LIS pergi mana? Dah tengah hari buta ni.” Tuan Haji Abu Bakar menyoal Ummi di ruang tamu.

“Kan budak tu ke taman. Biarlah.” Puan Salmah menjawab bersahaja.

“Taman? Buat apa? Tak ada bagitahu pun?” Tuan Haji Abu Bakar melabuhkan punggung ke atas sofa.

Puan Salmah tercengang melihat reaksi suaminya. “Apa abang ni? Kan memang setiap hujung minggu dia pergi sana. Takkanlah asyik nak kena bagitahu je. Lagipun dia dah besar. Biarlah. Nanti petang dia balik la tu. Bagilah dia peluang nak tenangkan fikiran kejap.”

“Tenangkan fikiran? Rumah ni huru-hara ke sampai nak kena keluar?” Tuan Haji Abu Bakar mengerutkan wajah.

“Eh, yang abang tu huru-hara sangat kenapa? Kalau risau sangat, abang pergilah cari dia.” Puan Salmah malas melayan. Tangannya ralit mencari remote tv yang sudah ditelan sofa. “Ini lagi satu. Ke manalah pulak hilang remote tv ni? Abang! Abang letak mana?”

“Eh? Dia yang control tv tu, kita pulak yang disalahkan.” Tuan Haji Abu Bakar tercengang. Tak semena-mena dia terbabit dengan kehilangan remote tv. “Abang, bangun kejap.” Puan Salmah bercekak pinggang. “Kenapa suruh orang berdiri tiba-tiba ni?”

“Berdiri dulu.”

“Ya Allah. Abang tak duduk la atas remote tv tu.”

“Berdiri jelah…” Puan Salmah masih tidak percaya.

“Haih...” Tuan Haji Abu Bakar berdiri malas. Sejurus dia berdiri, remote tv jatuh bergolek di lantai. Entah dari mana dia datang.

“Haa... Tengok.” Puan Salmah mencuka. Tuan Haji Abu Bakar hanya mengeluh berat. Layankan aje kerenah isterinya.

“Abang nak keluar kejap. Nak ambil angin,” ujar Tuan Haji Abu Bakar sambil membongkokkan badan untuk mencapai remote tv.

“Terima kasih. Keluar tu elok-elok.” Puan Salmah kini menghalakan perhatiannya kepada televisyen.

Tuan Haji Abu Bakar berjalan perlahan dan mencapai kunci kereta yang disangkut di belakang pintu. Manalah perginya budak bertuah ni. Dia mengomel dalam hati. “Mansur! Keluarkan kereta kejap.”

Dia menghulur kunci kereta kepada Mansur, pemandu peribadi keluarga itu. “Nanti, bawakan saya ke Taman Seroja.”

“FUH, pedas betul tomyam kat sini.” Syafiq berpeluh satu badan. Tangannya ligat mengipas-ngipas muka. Wajahnya berkerut. Syafiq mencapai gelas berisi jus tembikai dan meneguk dengan laju. Dia sempat mengerling ke arah Lis yang sedang menghirup kuah Tomyam dengan tenang.

“Tak pedas ke?” Soalan Syafiq hanya dibalas ketawa kecil. “Boleh tahan jugalah pedasnya.” Lis mencedok kuah Tomyam dan menuangnya ke atas nasi. “Eh, pedas tu. Tak sakit perut ke?” Syafiq memandang Lis dengan wajah kehairanan.

“Sayang kuah ni kalau tak habis.” Lis menyuap nasi ke dalam mulut dengan selamba. Syafiq kagum seketika. Dia kemudian mengerling ke arah pinggannya. Masih terdapat sisa nasi yang belum mampu ditelan dek kepedasan yang dahsyat. Dia menggeleng kepala, kemudian tersenyum. Lis memang seorang gadis yang penuh dengan kejutan. “Dah selesai makan? Saya hantarkan awak balik ya.”

“Eh, jangan! Hantar saya ke Taman Seroja. Nanti driver saya jemput saya hantar balik rumah.” Lis risau pertemuannya dengan Syafiq sampai ke pengetahuan Babahnya. Mahu naik hantu orang tua itu.

“Tapi Lis-” Syafiq menatap wajah gadis manis di hadapannya.

“Tak apa awak. Thanks sebab luangkan masa dengan Lis hari ni.” Syafiq mengangguk faham. “Jom.” Mereka berjalan beriringan menuju ke kereta.

Syafiq menghantar Lis ke Taman Seroja seperti yang dipinta. Dia tidak mahu memulakan apa-apa dengan gadis itu. Cukuplah sekadar hari ini mereka bertemu atas urusan kerja. Itu pun sudah terlanjur keluar makan bersama. Syafiq memarkir kereta di tepi pintu masuk dengan berhati-hati. Dia cepat-cepat turun dari kenderaannya dan membuka pintu kereta untuk Lis.

“Ermm, tak apa ke Lis? Betul tak nak saya hantar sampai rumah?” Syafiq masih serba salah. Lis melangkah turun dari kereta dengan berhati-hati.

“Tak apa Syafiq. Terima kasih.” Lis menyantuni Syafiq. Mereka saling berbalas senyuman. Tatapan kali ini membuatkan jantung Lis terasa kencang. Dia hanya mampu menelan air liur. Redupnya pandangan mata lelaki di hadapannya itu benar-benar menggelojak emosi hawanya. Jantungnya terasa kencang.

“Assalamualaikum.” Satu suara yang amat dikenali menjengah ke telinga Lis.

“Waalaikumussalam.” Syafiq memusingkan tubuh dan terlihat seorang lelaki umur separuh abad hanya mengukir senyuman. “Ya, pak cik. Cari siapa?”

“Lis ni anak pak cik. Pak cik cuma nak jemput dia balik,” ujarnya sambil menuding jari ke arah Lis.

Syafiq terkejut bukan kepalang. Mukanya cuak. Ayah Lis? Jumpa aku macam ni? Apa aku nak buat ni? Minda Syafiq huru-hara meskipun luarannya terlihat tenang.

Lis pula tergamam. Jantungnya berdegup lebih kencang daripada kebiasaan. Perasaan gemuruh dan cuak menguasai dirinya. Wajahnya juga terasa membeku. Babah benar-benar berdiri di hadapannya. Tetapi, apa yang Babah buat di sini pada waktu begini? Apa aku nak jawab dengan Babah di rumah nanti? Fikiran Lis buntu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience