Bab 2

Romance Series 30144

“Paras manis gadis Melayu, satunya dalam seribu, lembutnya sang bayu, teguhnya sang ratu,
berakal jitu bagai peluru.
Paras rupawan bagai rembulan, siang hari idaman, malam jadi igauan.”

Jelitawan Amarylis, puteri kesayangan Tuan Haji Abu Bakar dan Hajjah Ummu Salamah. Seperti jua namanya, Amarylis berseri seperti bunga. Gadis Melayu itu bermata bulat dan berwajah manis seperti madu. Cukuplah membayangkan kejelitaannya seumpama shot-shot filem yang hanya memaparkan bahagian mata dan bibir secara close up. Tuturnya disusun lembut berhati-hati, hormatnya kepada Babah dan Ummi. Namun dalam lembut gemalai, terselit juga nakalnya. Bukan sekali bukan dua kali, si manis Amarylis berangan-angan memasang impian untuk mengintip jendela kebebasan dan melihat dunia, yang dahulu sampailah kini begitu asing baginya.

“Lis, sayang. Buku umpama jendela ilmu. Daripada buku, Lis boleh melihat, Lis boleh belajar dan menilai. Daripada buku juga, Lis boleh jadi macam-macam orang. Nak jadi menteri? Nak jadi cikgu? Nak jadi perwira? Haa, semua boleh tau. Sebab itulah Babah belikan Lis banyak buku. Kalau Lis nak lagi, bagitahu je Babah. Okay?”

“Okay Babah.” Lis tersenyum. Sedari kecil sememangnya Lis hanya mengenal dunia melalui pembacaan. Tidak sekalipun Babah mengizinkannya keluar jauh dari rumah. Paling-paling pun, dia hanya ke sebuah muzium kesenian Melayu berhampiran rumahnya dan juga sebuah taman, yang juga berada berhampiran rumahnya. Jauh sekali Babah memberi izin untuk ke pusat membeli-belah atau pawagam, apatah lagi ke bandar-bandar besar. Amarylis dan Akasia sedari kecil hanya menjalani homeschooling. Babah akan melantik para tuan guru daripada kenalan-kenalan rapatnya yang dipercayai untuk mengajar ilmu seperti ilmu agama, ilmu alam Melayu dan ramuan herba tradisional. Kedengaran sepertinya kolot, tetapi Babah mempunyai ramai kenalan yang terdiri daripada golongan elit serta pakar dalam pelbagai bidang ilmu tersebut. Maklumlah, Babah bukan hanya hartawan, tetapi juga sangat dihormati.

Tuan Haji Abu Bakar yang juga digelar Babah oleh puteri-puterinya cukup menyayangi dan menjaga keluarganya. Lantaran itu, beliau tidak sanggup melepaskan Amarylis dan kakaknya, Akasia untuk sewenang-wenangnya meneroka ‘dunia luar’, sebaliknya hanya membesarkan mereka di rumah agam miliknya.

Amarylis dan Akasia, kedua-duanya beranggapan bahawa segala tindak-tanduk Babah adalah atas dasar kasih sayang tidak terbahagi kepada mereka. Lantas, mereka akur dan tidak mempersoalkan apa-apa. Namun, jauh di sudut hati, Lis masih belum berdamai dengan hakikat itu. Dia teringin sekali memecah kepompong dan terbang bebas di awangan seperti orang lain. Mungkin juga, dia dambakan sebuah cinta sejati.

Beberapa tahun yang lepas,

“Babah. Umm.. Babah sayang Lis dengan Kasya kan?” Lis menghampiri Babah yang sibuk meregang sendi kaki di ruang tamu. Barangkali, tubuh tuanya keletihan.

“Ya, Lis. Mestilah Babah sayang kamu berdua. Kenapa ni?” Babah kehairanan. Jarang anak gadisnya itu bertanya soalan aneh-aneh di pagi hari yang cerah. “Lis kan Babah, ada impian yang Lis dah lama nak capai tau. Hmm..” Lis kembali berdiam. Takut-takut terguris hati Babahnya kalau tersalah cakap. “Iya, apa dia Lis? Apa impian Lis tu?”

“Lis kan, sebenarnya teringin nak lihat dunia luar tu. Lis nak ke bandar, ke pinggir bandar, ke kawasan kampung, nak tengok tempat orang.” Babah menghembuskan nafas berat. “Tapi Lis, kan ada banyak buku Babah belikan kalau Lis nak tahu macam mana rasanya dunia luar tu. Lagipun tak ada faedah pun kalau Lis keluar ke bandar tu. Dah lah ye Lis, tak payahlah cakap pasal ni lagi ye,”

"Tapi Babah, sekali-sekala Lis teringin juga nak jalan-jalan keluar Babah. Lis taknaklah terkurung je dalam rumah ni.”

“Lis ada impian, ada cita-cita. Lis nak jadi penulis Babah. Lis nak teroka macam-macam, lepastu Lis nak tulis-”

“Lis! Tak cukup lagi ke Babah tunaikan segala apa yang Lis minta sebelum ni? Tak boleh ke kali ni Lis tunaikan kehendak Babah? Tak cukup lagi ke pengorbanan yang Babah buat untuk berikan Lis kehidupan yang serba cukup, serba senang ni?”

“Babah. Tapi Lis nak juga merasai kebebasan Babah. Lis nak juga ada kawan, macam orang lain. Lis taknak kena kurung macam ni. Lis dah lama simpan hati Lis untuk Babah, patuh segala yang Babah suruh. Lis bukan macam kak Kasya. Lis nak tengok dunia luar jugak Babah. Bagilah Lis peluang. Sekali ni je. Lagipun-”

“Cukup Lis, cukup! Dunia luar tu Lis. Modern lifestyle konon tu. Hedonisme! Hiburan! Liberal tu. Tu semua nak merosakkan akhlak! Merosakkan jiwa! Babah taknak anak-anak Babah terpengaruh, terikut-ikut dengan diorang tu semua! Cuba ikut macam kak Kasya, baik je dengar cakap Babah. Tolonglah, Lis. Babah buat semua ni, sebab sayangkan kamu. Itu je. Nanti kamu dah cukup dewasa, Babah satukan kamu dengan lelaki yang hebat, yang sepadan untuk kamu.” Kata-kata Babah ibarat peluru yang menembusi kalbu. Lis terbungkam seketika, lantas mengutip semula keberanian untuk mengangkat muka.

“Apa Babah ni? Lis cakap pasal impian Lis. Bukannya Lis nak kahwin. Taknaklah Lis jadi macam kak-” Lis terbungkam sekali lagi, melihat Akasia yang tiba-tiba melintasi kawasan ruang tamu. Cepat-cepat dia memotong kata-katanya.

Kreokk!

Sofa ditolak kasar. “Hmph!” Lis mendengus perlahan. Dia terus bangun dan meluru ke biliknya. Tiada sekelumit pandangan pun diberi kepada Babahnya. Matanya bergenang kolam air mata dan hatinya dihambat pilu. Ah, biarlah Babah melihat kekecewaannya. Bukanlah dia mahu menguris hati Babahnya, namun hatinya sendiri dihurung kecewa. Babah yang masih duduk di sofa hanya menghembus nafas berat sambil matanya mengekori setiap gerak langkah kaki Lis. Pagi hari yang indah sepertinya dibadai ribut.

“Babah ok ke? Lis tu kenapa Babah?” Kasya terpinga-pinga melihat situasi itu. Dia berlari anak mendapatkan Babahnya yang kelihatan susah hati. “Babah. Babah nak apa-apa? Nak air? Kasya buatkan ye.” Kasya cuba memujuk.

“Kalau macam tu, Babah nak air teh. Siapa suruh offer.” Ujar Babah seraya mengusik Kasya. Babah cuba tersenyum, merendam emosi sedalam-dalamnya. Tidak sanggup dia membiarkan Kasya melihatnya sedih. Kasya sedikit lega melihat Babahnya. “Okay. Babah duduk dulu ya. Jap ye,” Kasya pun hilang ke dapur. Senyuman Babah mulai pudar sejurus Kasya berlalu. Dia menghembus nafas berat.

Lis tersentak dari lamunan. Tapak tangannya masih terletak kemas di atas komputer riba. Fikirannya menerawang ke peristiwa yang bertahun-tahun sudah berlalu, di mana berlakunya pertengkaran bersama Babah. Dia akui masih terusik dengan peristiwa itu. Komputer riba itulah sebuah pemberian Babahnya sebagai tanda memujuk. Melalui komputer itu juga, Lis mengenali Mr. Editor. Lis mengesat matanya berkaca. Dadanya terasa sakit. “Mreowh,” Sabrina menggeliat dan membetulkan kedudukan tubuhnya. Dia bersandar pada peha Lis. “Seronoknya jadi kucing,” ujar Lis sambil menggosok-gosok tubuh Sabrina. Malam itu, hatinya terasa hiba.
“Abang..” Vienna meleretkan suaranya. “Kenapa termenung je ni?”

Badrul masih berdiam. Sepertinya dia malas mahu melayan. “Alaa.. Nanti okaylah Kasya tu. Sekejap je tu.” Badrul membalas dengan pandangan kosong. Keadaan sepi seketika.

“Vienna?”

“Hmph,” Vienna mencebik bibir. Dia memalingkan muka.

“Vienna…” Badrul memanggil namanya buat kali kedua. “Alahai,” Badrul tersengih sambil menggaru kepala. Sensitif betul orang perempuan ni. Sikit-sikit merajuk. Jarinya pantas mencuit pinggang Vienna, membuatkan gadis itu tertawa kecil. “Ish, dia ni.” Vienna hanya melirik manja.

“Vienna.. Abang tak faham something la.” Badrul tidak menyambung kata-katanya. Vienna memandang kehairanan.

“Apa dia yang abang tak faham?”

“Entahlah Vi. Abang pun tak faham.”

“Iyalah… Apanya yang tak faham?”

“Vi lah. Abang tak faham dengan Vi, tak penat ke?”

“Kenapa dengan Vi? Penat apa?”

“Tak penat ke jadi cantik?”

Wajah Vienna kemerahan. “Bencilah.” Sakit pula hatinya dengan suami orang ini. Elok-elok dia mahu merajuk lama sedikit, pandai pulak dia mengusik hati. Pantas tangannya memukul lengan Badrul sambil mencebik bibir. Badrul pula hanya tertawa, sedar umpannya mengena. “Vi, abang nak minta diri dulu. Nak teman Kasya.”

“Hmph. Pergilah.” Vienna menjuih bibir dan berlalu pergi. Badrul menghembus nafas berat.

Di bilik tidur di tingkat atas, Kasya mulai sedar dari tidur. Matanya terasa berat. Dia tidak sedarkan diri sepanjang hari. Kepalanya terasa berat dan tubuhnya seperti dikunci di atas katil. Kasya menoleh ketika mendengar bunyi tapak kaki yang melangkah masuk. Dia tersenyum.

“Sayang dah bangun?” Badrul mengusap lembut dahi Kasya. “Dah okay ke sayang? Lapar tak? Kalau nak apa-apa, bagitahu je, abang bawakkan,” ujarnya lembut lalu mengucup dahi isterinya. Kasya hanya menggeleng perlahan. Melihat keadaan isterinya yang masih lemah, Badrul lantas mengurut-urut kepala Kasya dengan penuh keikhlasan. Kasya hanya merapatkan kelopak mata sambil tersenyum. Di sudut hatinya, dia bersyukur dikurniakan suami yang lemah-lembut dan penyayang seperti Badrul.

“Abang, lamanya. Dah selesai ke belum?”

“Sabar, Ma. Nanti selesailah tu.” Babah cuba menenangkan Ummi yang kelihatan resah.

“Bismillah.” Tabib terkumat-kamit membaca sesuatu dan meniupnya ke dalam gelas yang berisi air. “Minum ni.”

Kasya cuba minum daripada gelas itu sambil dibantu Badrul. Bau asap, bunga-bungaan dan herba memenuhi ruang bilik itu. Lis sama sekali tidak mampu meneka apa jenis herba yang digunakan. Entah bacaan apa yang diucap tabib itupun tidak difahami. Mereka sekeluarga hanya menanti dengan penuh kesabaran.

Selesai upacara tersebut, Babah dan Ummi serta tabib itu tadi beransur keluar daripada bilik, memberi ruang kepada Kasya untuk berehat. Mereka berbual-bual di ruang tamu. Lis pula hanya menatap Kasya yang sedang tidur. Entah kenapa, perasaan bersalah menggunung dalam hatinya. Namun, dia terganggu apabila menyedari Badrul pula sedang merenungnya. Badrul hanya memberi pandangan kosong kepada Lis. Entah apa yang bermain dalam fikirannya. “Ish, creepy betul. Nasib je muka elok. Kalau tidak, mau aje aku lempang.” ngomel Lis dalam hati. Wajahnya mencuka. Badrul yang menyedari Lis perasan akan perbuatannya hanya mampu tersengih. Terlupa pula nak cover macho. Dengan perasaan menyampah yang berbakul, Lis bingkas bangun dan berlalu pergi.

“Eh, kata nak jumpa. Takda bagitahu apa-apa pun. Hmm..”

Ting! Ting!

*New messages from Mr. Editor ??.

“Hai, selamat malam, penulis Lis. Maaf mengganggu awak. Nanti, jangan lupa tetapkan tarikh dan tempat berjumpa ya. Terima kasih.”

Pesanan Mr. Editor sedikit sebanyak menyenangkan hati Lis. Dia tersenyum nipis. Banyak keserabutan yang berlaku sepanjang hari, sehinggakan dia terlupa untuk memaklumkan perkara itu kepada Mr. Editor. Lis mencapai kalender dan membelek-beleknya untuk seketika.

Bzz.. Bzz

*New messages from Penulis Lis ??.

“Minta maaf, Encik Editor. Saya mencadangkan untuk kita berjumpa pada pagi hujung minggu ini di Taman Seroja. Saya sertakan location sebagai rujukan encik. :-)”

“Ahad pagi,” Mr. Editor mencapai kalender miliknya dan mencoret sesuatu.

*appointment with Penulis Lis*

“Okay, deal. Nanti apa-apa, saya inform kepada penulis Lis ya. Selamat malam.”

Ah, bahagianya. Hati Lis berbunga-bunga membaca pesanan itu. Malam ini pasti tidurnya nyenyak seperti bayi. Lis berterusan dibelai angan-angan bayangan Mr. Editor. Persoalan tentang identiti dan rupa lelaki itu akan terjawab tak lama lagi. Lis mematikan komputer riba dan menghempas tubuh ke tilam yang empuk. Biarlah dirinya menikmati kebahagian seketika ini setelah apa yang dilaluinya bersama Badrul dan Vienna sedari pagi tadi. Matanya terpejam, namun jiwanya terus dibelai mimpi dan angan-angan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience