Matanya sedari tadi memerhatikan patung di hadapannya itu. Sebuah patung perempuan tembaga yang diukir separuh itu dikatakan berpuaka. Salah langkah boleh mengundang maut kepada pemiliknya. Kononnya usia patung itu sudah menjangkau ratusan tahun.
Dexter tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita tersebut. Baginya, patung itu sama sahaja seperti patung-patung lain koleksi bapanya.
Ketika bapanya membawa pulang patung itu yang dibeli dari sebuah acara lelongan harta, Dexter memandang penuh minat. Bapanya tidak akan membeli sembarangan patung sekiranya tiada nilai.
Bahkan, bapanya tentu tidak percaya kepada cerita-cerita karut itu dan sebab itulah dia sanggup membelinya dengan harga mahal.
Bagi bapanya, walaupun patung itu dalam bentuk material tembaga tetapi ukirannya sangat halus dan teliti. Berada dalam posisi sedang membelai rambut sendiri yang berjuntaian di dada.
Sekali pandang macam manusia sebenar. Tinggal lagi badannya cuma separuh, diletakkan diatas tiang bulat berukir.
Namun, cerita-cerita yang beredar dikalangan rakan-rakan kolejnya membuatkan Dexter mula musykil.
"Aku dengar dari nenek aku, patung tu berhantu! Kalau kau pandang lama-lama, silap-silap mata patung bergerak dan pandang kau balik.
"Kalau kau tak percaya, cuba kau tenung patung tu.." salah seorang rakan Dexter mencabar setelah tahu bapa Dexter tegar membeli patung berpuaka itu.
"Kau nak bertaruh dengan aku apa? Takkan kosong je?" cabar Dexter kembali. Setiap cabaran haruslah ada habuan.
"Dua ratus ringgit! Amacam? Sanggup? Tapi aku takut kau dah tak datang kolej esok, sebab kena pangkah dengan patung tu! Hahahaha!"
Ejekan dan cabaran tersebut menguatkan lagi semangat Dexter untuk mencuba.
Kalau tak terjadi apa-apa kepadanya, memang terbukti cerita-cerita yang beredar dari mulut ke mulut itu tidak ubah hanya sekadar urband legend yang tidak sahih!
Pulang dari kolej, Dexter curi-curi masuk ke bilik galeri bapanya. Bapanya paling pantang sekiranya ada yang masuk ke dalam galeri itu tanpa kebenaran kerana ia hanya bagi tatapan tetamu, sebagai alat bermegah-megah dengan koleksi yang dia ada.
Patung perempuan itu berada ditengah ruang. Tanpa sedikit pun rasa ragu, Dexter mendekati patung tersebut. Dia mencari mata patung itu lalu merenungnya dalam-dalam.
Sedetik.. dua deik.. tiga detik.. hinga berpuluh detik, tiada apa-apa yang berlaku.
Beberapa kali mencuba, patung itu tetap tidak menunjukkan sebarang perubahan. Sudahnya mata Dexter yang kepenatan. Dia kembali menegakkan tubuh sambil mengeluh kesal.
"Bodoh betul aku ni! Yang aku percaya sangat dengan cakap diorang kenapa? Dah sah-sah patung ni cuma patung, mana boleh bergerak! Cis! Bodoh betul!" Dexter memaki diri sendiri lalu segera berpaling.
Saat dia berpaling itu, tanpa disedarinya, tiba-tiba sahaja kepala patung itu berpusing.
Share this novel