MEREKA kini berada di kafe pelajar yang berhampiran dengan fakulti. Petang ini merupakan kelas terakhir mereka pada hari tersebut.
Alisya memerhati siku Raffa yang ada kesan luka. Namun, telah pun ditampal dengan plaster.
Raffa memberitahu mereka yang dia mengalami kemalangan kecil. Hanya itu saja. Selebihnya mereka tidak tahu. Entah bagaimana Raffa boleh terlibat dalam insiden itu.
“Kau nak tahu sesuatu tak, Raf?” ucap Zafrul seraya angkat kening.
Raffa menoleh.
“Kau kena satu group dengan Qis. Aku baru aje dengar tadi.” Ucap Zafrul.
Berkerut dahi Raffa. Sama sekali tak menyangka. Bibir Zafrul mengukir senyuman gaya mengusik.
“Untunglah kau. Dapat pula dengan Qis. Qis tu… Dahlah budak pandai. Lepak ajelah kau lepas ni. Goyang kaki.” Zafrul menyengih.
Raffa merengus. Lain pula yang dia fikirkan.
“Bukan kau ke yang satu group dengan aku macam selalu?” Dia memandang Zafrul.
Zafrul menggeleng seraya menepuk belakang Raffa. “Bukan aku yang tak nak, bro. Kau jangan salah faham.” Jawabnya.
“Alisya?” Raffa menoleh.
Alisya serba salah. Tak tahu nak kata apa.
Memanglah dia lagi mahu satu kumpulan dengan Raffa. Mana mungkin dia menolak.
Raffa… lelaki diminatinya sekian lama. Crushnya. Apakan daya yang lebih berhak menentukan ialah pensyarah mereka. Dia pun turut mendengar cerita daripada rakan sekuliah mereka.
“Kenapa takde sorang pun yang sebut nama aku masa aku takde tu? Kau, Zafrul? Boleh main biar-biar aje. Korang patutnya beritahu prof yang korang dah pilih aku untuk satu group dengan korang.” Raffa bernada serius. Jelas benar yang dia tidak berpuas hati.
Masing-masing senyap.
Nampaknya tidak berani nak bersuara lebih-lebih sebaik melihat Raffa sudah mula naik angin.
“Tapi Raf, aku tak nampak pun itu satu masalah. Apa masalahnya? Lagipun Qis sorang aje yang takde group untuk site visit pergi Melaka. Logik juga bila prof nakkan kau sama group dengan Qis. Betul tak? Setuju?” Ucap Zafrul.
Raffa mengerling sekilas. “Seriuslah?”
Zafrul angkat kening sebelah.
“Aku nak pergi jumpa prof lepas habis kelas. Aku tak setuju,” putus Raffa.
“Eh, mana boleh bro. Setahu aku Prof Rahmat tu tegas. Susah sikit nak berkompromi dengan mana-mana studen.” Balas Zafrul.
Raffa terdiam.
“Wow, lepas ni diorang selalulah bersama masa pergi Melaka nanti, kan.” Alisya menyindir.
Hatinya mula dipagut cemburu. Sepatutnya dia yang berada di tempat Qistina.
Masing-masing mendiamkan diri sebaik perasan Qistina lalu berhampiran meja mereka.
Qistina buat tak peduli. Terus saja melabuhkan punggung menghadap mereka di meja yang kosong. Beg galas bahunya diletak di kerusi bersebelahan.
“Hisy, kereknya…” Alisya juih mulut. Memainkan hujung rambutnya dengan jari telunjuk. Dia menjeling Qistina. Kemudian beralih pula memandang Raffa yang bermuka biasa.
“Dia selalu aje dekan setiap sem. Sebab baik dengan semua pensyarah. Aku ni tak hairan sangat.” Zafrul membalas. Sepasang matanya tepat memandang Alisya.
Alisya gelak.
“Pandai bodek kan. Itu ke maksud kau?”
“Qis pernah tolak cinta kau, kan?” duga Alisya.
Zafrul berpura-pura biasa. Dia mengerutkan dahi. “Bila masanya pula aku cakap yang aku sukakan dia?”
“Eleh… Baik kau mengaku. Kau pernah beritahu aku dulu. Takkanlah dah lupa kut? Tapi, Qis reject kau. Sebab tu kau macam alergik dengan dia.” Alisya menuding telunjuknya itu.
“Alergik. Ingat makanan ke apa?” usik Zafrul.
“McD? KFC? Kyochon?”
“Hah. Betullah tu. Weh, lapar pula perut aku.” Zafrul membalas seraya memegang perutnya.
Mereka ketawa-ketawa. Hanya Raffa yang masih dengan muka selamba. Raffa sibuk melihat telefon pintarnya. Malas hendak mengambil tahu perbualan mereka.
Zafrul seperti tengah memikirkan sesuatu.
“Bila masa… ermm, dia reject aku? Kan aku dah beritahu dulu. Aku yang reject dia. Dia yang nakkan aku masa mula-mula. Aku… tak minat lah perempuan macam tu. Pendiam. Lepas tu nerd sangat. Boringlah.” Kata Zafrul.
Raffa mengerling sekilas. Dia tidak menyampuk apa-apa.
Alisya gelak.
“Aku boleh bayangkan macam mana kalau kau couple dengan Qis. Kau yang banyak cakap ni… mesti kau aje yang bercakap. Kan? Macam tengah berborak dengan dinding.”
Alisya memerhati gelagat Raffa yang langsung tak terkesan dengan kata-katanya.
“Qis dah memang macam tu. Kan? Sejak di sem satu lagi. Kawan pun takde sangat. Lebih suka buat hal sendiri. Lone ranger.” Ucap Zafrul.
Masing-masing beriak sinis.
“Hai, bro. Senyap aje?” Zafrul menoleh kepada Raffa yang langsung tak bersuara.
“Aku rasalah, kan. Apa kata kita betting sesama kita? Lagi seronok. Raf, kau rasa macam mana?” Cadang Zafrul.
“Aku setuju.” Alisya laju membalas.
Dia menjeling Qistina.
“Ini lebih kurang sama macam tipikal cerita cinta cliché hero dengan heroin dalam mana-mana drama. Setuju tak?”
Zafrul tertawa.
“Kepala hotak kau yang suka mengarut tu… Simpan sikit boleh?” Raffa tiba-tiba bersuara.
Zafrul terdiam.
“Betting? Kau ingat aku hairan sangat dengan Qis? Bukan type akulah dia tu. Dan, untuk pengetahuan kau orang semua…” Raffa meleretkan ayat.
“Aku tak suka buang masa dengan betting apa ke benda tu semua. Lebih baik aku habiskan course ni cepat-cepat. Tanpa repeat subjek yang sama buat kali kedua. Buat semak kepala aje. Cukuplah sekali dulu aku gagal.”
Raffa beraut serius. “Dan kau…” menuding telunjuknya kepada Zafrul.
“Aku tak nak dengar apa-apa lagi benda mengarut keluar daripada mulut kau. Faham? Bettinglah… Apalah… Pasal perempuan tu… pandai-pandailah aku nak handle Qis nanti. Easy bro. Tak perlu pun sampai nak betting ke apa. Silap hari bulan, dia yang terhegeh-hegeh nakkan aku.”
Raffa berkata angkuh seraya merengus. Dia benar-benar tak berpuas hati setiap kali membayangkan yang dia perlu bekerjasama dengan Qistina nanti.
Alisya senyum sinis.
Zafrul mengerutkan dahi sebaik melihat Raffa bangun dari kerusinya, mengayun langkah ke arah Qistina. Entah apalah yang Raffa hendak buat agaknya?
“Weh bro, kau nak ke mana tu? Kelas dah nak mula kejap lagi.”
Raffa tak membalas.
_
ADA tangan seseorang yang menarik nota daripada pegangannya. Terus Qistina hilang fokus. Dia meletakkan pen berdakwat biru di atas meja. Dia segera menoleh kepada Raffa yang sedang tercegat di sisinya.
Raffa bermuka serius sambil berpura-pura membelek nota tersebut. “Apa yang buatkan kau sibuk sangat ni? Mari sini aku nak tengok kau tulis apa.” Ucapnya.
“Hisy.”
Qistina merentap notanya itu.
“Nak apa?”
Acuh tak acuh Qistina bertanya.
Raffa senyum sinis.
“Perempuan yang tak reti nak berjalan dengan betul sampai langgar aku semalam, rupanya, satu group dengan aku.” Ucap Raffa senafas.
“Kau sengaja minta dengan prof sebab nak sama group dengan aku, kan? Macamlah aku tak tahu.” Tuduhnya.
Berkerut dahi Qistina.
“Bila masanya? Perasan aje lebih.” Jelingnya.
Sejak kejadian dalam kelas itu, Qistina malas nak pandang muka Raffa. Meluat. Dulu tidaklah sampai ke tahap membenci. Biasa-biasa saja.
Mereka jarang berbual. Atau… boleh dikatakan hampir tidak pernah. Mereka bukanlah rapat sangat walaupun satu batch. Pertama kali ditugaskan pensyarah untuk satu kumpulan pun ketika masing-masing di semester akhir. Benar-benar membuatkan dia tidak selesa.
“Kenapa tak duduk aje dekat kawan-kawan awak?” Qistina mencebik.
Raffa senyum. “Jealous?”
Qistina balas dengan jelingan tajam.
“Excuse me. Kenapa pula saya nak jealous? Tak kuasalah.”
Raffa menarik kerusi bersebelahan Qistina, sengaja merapatkan dirinya.
Qistina menyedari yang kedudukan mereka cukup hampir. Menyirap darahnya. Seakan sukar nak percaya dengan sikap Raffa yang selamba habis.
Belum pernah Raffa berkelakuan begitu dengannya. Atau pun, mungkin selama ini dia menyangkakan yang dia sudah pun mengenali diri Raffa. Tapi sebenarnya tidak. Tak pernah menyangka yang Raffa begitu orangnya.
“Tolong jauhkan kerusi awak tu. Jangan nak macam-macam ya.” Qistina menggerit gigi.
Meletus tawa kecil. Cukup hampir di gegendang telinga Qistina. Qistina merasai debarannya itu.
“Apa dia? Nak aku lagi rapat? Oh, boleh aje.”
Raffa buat tak peduli. Menarik kerusinya itu dengan sengihan.
Turun naik nafas Qistina. Gaya menahan sabar. Mukanya panas berbahang.
“Isy…”
Dia menjauhi Raffa. Dengan tak semena, nota yang dalam pegangannya itu bertukar tangan.
“Eh, awak nak buat apa dengan nota saya?” soal Qistina dengan air muka garang.
“Hai, nak pinjam sekejap pun tak boleh? Kedekut sangat. Lagi satu… ingat. Jangan memandai pergi buka cerita pasal aku. Kau ada nampak kan aku dengan perempuan tu? Masa dekat kolej kau tu.” Kata Raffa.
Qistina menunduk. Dia angguk perlahan.
“Aku tak main-main bila aku cakap yang… Aku takkan lepaskan kau.” Raffa sengaja mengugut.
Dia memandang Qistina dengan muka tak berpuas hati. Raffa menepuk meja itu dengan sebelah tangan sebelum berlalu pergi.
Qistina terkesima.
Terima kasih kerana membaca. Ikuti update novel eksklusif ini di link patreon.com/AimiHikaru
Share this novel