BAB 1 - His Ex?~

Romance Series 5143

QISTINA meletakkan dua beg besar yang penuh dengan barang peribadinya ke atas lantai.

Seluruh bilik diperhatikan mereka sebaik masing-masing menapak masuk. Ada dua katil bujang yang kosong dan loker berwarna merah. Dua meja studi serta papan kosong yang bersaiz sederhana untuk menampal nota penting atau pun jadual kuliah.

Qistina berpuas hati.

"Ingat baik-baik pesan mak ni. Tak cukup duit aje, telefon. Ada masalah apa-apa... bagi tahu mak. Jangan main senyap aje. Tahu-tahu aje kau berikat perut sanggup tak makan. Tak habis dengan alasan kau tak nak susahkan mak. Kau ingat mak ni tak risau?" Mak Eda mengomel.

"Aku masih mampu lagi bagi duit untuk kau makan. Lainlah esok-esok kau dah kahwin dengan lelaki yang berduit. Boleh juga aku menumpang sikit."

"Isy, apa mak ni? Cakap macam tu pula."

Qistina mengerutkan dahi. Tak menyangka Mak Eda akan berfikiran begitu.

"Qis nak kerja dulu lepas grad, mak." Sambungnya.

Suhaili menggeleng tak faham. Macam-macam kerenah emaknya itu.

"Yalah, mak. Hari ni dah berapa kali kitorang dengar mak asyik dok ulang cakap benda yang sama."

Qistina memandang senyuman lebar terlukis di raut muka Suhaili yang selamba menghenyakkan punggung di salah satu katil. Suhaili terus berbaring dengan kedua-dua tangan diletak di bawah kepalanya.

"Isy, Eli ni tak senonoh. Mak tengoklah tu. Dia boleh selamba aje baring dekat katil entah siapa-siapa. Baik kau bangun sekarang sebelum tuan dia sampai." Qistina juih mulut.

Suhaili menyengih. Dia masih lagi berbaring tanpa mempedulikan kata-kata itu. Tahu yang Qistina buat-buat garang. Macamlah dia takut?

"Ah, lantaklah. Katil ni lagi empuk daripada katil dekat rumah tu." Suhaili mencebik.

"Apa kau cakap? Hai, bertuahnya anak aku. Sesuka hati dia kutuk barang dekat rumah aku tu ya. Apa? Kau ingat mak beli semua tu pakai daun kering?" Mak Eda bercekak pinggang seraya memandang Suhaili.

"Relakslah, mak."

Qistina siap menyimpan barangnya itu ke dalam loker, lalu menguncinya dengan mangga. Kotak berisi buku-buku diletak di meja. Satu per satu buku dia keluarkan.

"Banyak lagi ke yang kau nak kemas tu, Qis?" tanya Mak Eda.

"Entahnya akak ni. Dah-dahlah tu mengemas. Tak pun, akak kemaslah lepas kitaorang dah balik. Malam ni kan boleh. Banyak lagi masa. Kan?" Rungut Suhaili.

Dia bangun daripada perbaringan dan memeluk kedua-dua lututnya pula. Faham benar dengan sikap rajin kakak angkatnya. Terlebih rajin sampaikan waktu itu juga mahu dikemas segala benda. Pantang tengok biliknya bersepah. Dia pula? Hmm, tidaklah serajin Qistina.

Mak Eda lebih mengharapkan Qistina serba serbi. Tak ambil hati pun jika Mak Eda acap kali memuji Qistina di depannya. Kerana dia turut menyayangi Qistina ibarat saudara kandung sendiri. Qistina hanya anak angkat Mak Eda. Mereka sama-sama membesar sejak kecil lagi. Masing-masing sudah pun menginjak dewasa. Beza usia Suhaili pula hanya dua tahun lebih muda daripada Qistina.

"Mak sedihlah nak berpisah dengan kau. Lepas ni kau dah sibuk balik dengan belajar. Hmm, tinggal mak ajelah berdua dengan Eli."

Qistina memandang mereka. Membalas pegangan itu seeratnya. Kolam mata mula bergenang. Manalah dia tahan sebaik melihat Mak Eda bersedih begitu.

"Mak, Qis belajar tak lama dah pun. Tinggal satu sem aje lagi yang Qis perlu habiskan. Nanti mak sendiri yang tak sedar. Alih-alih mak tengok Qis dah grad." Pujuknya.

"Tipulah yang mak ni tak rindukan kau." Mak Eda berkata sayu.

"Ya, Qis tahu. Qis pun rindukan mak... rindukan Eli. Siapa aje lagi yang Qis ada? Selain keluarga ni? Cukuplah mak doakan urusan Qis ni dipermudahkan Allah. Qis nak betul-betul habiskan belajar dan tolong keluarga kita ni. Qis terhutang budi sebab maklah, Qis berada di tempat sekarang tau." Ucap Qistina sebak.

Mereka terdiam. Sama-sama melayan perasaan.

"Mak sabar ajelah. Betul apa yang Kak Qis kata tu. Tup, tup... kita dah nak kena hantar kakak pergi konvo. Haa... Mak tak happy ke?"

Mak Eda tersenyum.

"Lagipun, mak kan ada Eli. Eli selalu ada dekat rumah temankan mak." Giliran Suhaili pula memujuk. Memeluk kedua-dua bahu Mak Eda dengan manja.

"Hmm. Yalah... yalah." Balas Mak Eda.

Qistina bernafas lega.

"Mak selalu aje doakan korang berjaya. Walau apa pun bidang yang kau orang pilih. Yang penting mak nak kau belajar betul-betul. Jangan risau sangat fikirkan pasal mak dan Eli. Tahulah kami nak jaga diri. Mak nak kau fikir pasal belajar aje lepas ni." Ucap Mak Eda. Sedaya-upaya dia menyorokkan rasa sebaknya.

Qistina balas dengan anggukan. "Yalah, mak. Qis ingat pesan mak tu."

"Dah. Jomlah Eli kita balik. Karang lama pula Pak Uda kau tu tunggu. Dia nak masuk ke sini sekali tak boleh."

"Ini kan kolej perempuan, mak. Memanglah lelaki tak boleh masuk," balas Suhaili.

"Mari Qis hantarkan mak dengan Eli. Qis pun nak jumpa Pak Uda dulu." Qistina mahu berterima kasih sekali lagi dengan jiran mereka kerana sudi juga menghantar dia pulang ke kolej.

Sanggup menunggu sejak mula-mula dia mendaftar sampailah sekarang. Padahal dia beria-ia mahu ke kolej dengan Grab. Tanpa menyusahkan sesiapa.

Mak Eda beria-ia mahu menemaninya. Mengatakan yang ini merupakan semester terakhir dia ditemani mereka. Selepas ini, mereka tidak lagi merasai saat-saat begini. Hanya Qistina yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di sebuah universiti swasta. Suhaili lebih berminat membantu Mak Eda mengambil upah menjahit.

Begitulah kehidupan hari-hari yang dilalui Qistina. Cukup membahagiakan. Kalau boleh dia mahu begini sampai bila-bila. Cukuplah ada Mak Eda dan Suhaili di sisinya.

Itu lebih bermakna daripada segalanya.

_

QISTINA sudah bersedia untuk pergi ke kelas. Kuliah pertama yang harus dia hadiri dijadualkan pada hari tersebut. Dia begitu bersemangat sejak dari semalam. Dia sempat berbual dengan teman sebiliknya sebelum melangkah keluar tadi.

Sebaik menuruni tangga dari tingkat satu, seperti terdengar suara perempuan yang boleh tahan kuat di bangunan kolej. Dia menapak lebih laju.

"Raffa?"

Dia tertanya-tanya.

Raffa merupakan kawan satu batch dengannya. Raffa bersama dengan seorang pelajar perempuan tak dikenali. Entah budak kos manalah.

Apa yang Raffa buat di kolej perempuan ini? Entahlah. Dia tiada jawapan.

Raffa tidak turun langsung daripada motosikal berkuasa besarnya, langsung tak perasan Qistina yang tercegat berhampiran situ.

Perempuan itu tiba-tiba saja menampar Raffa. Qistina terkejut melihatnya. Raffa hanya membiarkan dengan muka selamba habis. Seperti langsung tak terkesan dengan perbuatan itu.

"I tak nak tengok muka you lagi."

Raffa tertawa kecil.

Perempuan itu bengang. Menampar pipi Raffa buat kali kedua dengan nafas turun naik.

"How dare you. You boleh gelak? Apa? Kelakar sangat ke bila putus dengan I?"

Raffa tak buat apa-apa pun. Bersuara pun langsung tidak. Terus berlalu dari situ sebaik memakai helmet berwarna hitam sambil diperhati perempuan tersebut. Perempuan itu turut berlalu. Sedikit pun tak kisah walaupun tahu Qistina sibuk memerhati mereka sejak tadi.

Qistina bagaikan terpaku. Masih tergamam dengan apa yang dia lihat di depan mata. Dia menggeleng perlahan. Haih, macam-macam. Boleh pula mereka berdrama pukul 7.00 petang seperti di televisyen itu.

"Baik aku cepat. Malaslah nak fikir hal orang," bisiknya.

Motorsikal yang Raffa tunggangi begitu laju. Hampir merempuh Qistina yang langsung tak disedari Raffa.

Bulat mata Qistina. Jantungnya berdegup kencang seakan tak percaya. Raffa ini buta ke? Tak nampak ke yang dia tengah nak melintas? Teragak-agak sama ada mahu ke ke kiri atau kanan? Ah, sudah.

Raffa cuba mengelak daripada melanggar Qistina yang tiba-tiba saja boleh ada di depan matanya. Raffa membulatkan sepasang mata. Sejak bila pula ada perempuan ni?

Pinn!

Bertalu-talu dia menekan hon.

Qistina menekup muka sambil terjerit. Habis jatuh buku-bukunya. Namun... tiada apa pun yang berlaku. Perlahan-lahan, dia menjatuhkan kedua-dua tangan. Memberanikan diri untuk melihat.

Adakah dia sudah dilanggar Raffa?

Tidak. Bukanlah dia meminta mahu dilanggar.

Sebaliknya tindakan Raffa yang serta-merta membrek secara mengejut sehingga terjatuh di atas jalan berturap. Suara Raffa mengaduh kesakitan jelas kedengaran. Mujurlah dia tidak dihempap motorsikal. Jika tidak, pasti keadaan bertambah lebih buruk.

Qistina terperanjat.

Jantungnya pula tak habis berdegup kencang. Mengapa pula ini yang terjadi... di hari pertama kuliah mereka? Dia panik. Bergegas kepada Raffa yang sedaya-upaya cuba untuk bangun.

Raffa mencapai motosikalnya itu, lalu melihat kesan luka di siku. Hmm, teruk juga.

Qistina mendekati Raffa dengan muka bersalah.

"Oh my God! Sorry... Awak... Tak apa-apa ke? Ada luka ke?" tanyanya.

Raffa berlagak tenang. Bebola mata bergerak kepada muka itu. Dia memandang Qistina tajam.

"Mana lukanya tu?"

"Tak payah." Dia berkata kasar sebaik Qistina mahu menolongnya.

Raffa melarikan tangannya itu. Tak selesa melihat Qistina yang bergaya menyibuk. Rimas betul.

Dia menaiki motosikalnya itu, lalu menghidupkan enjinnya. Lebih baiklah dia blah cepat-cepat. Namun, pandangannya tertancap pada nota di atas jalan. Dia membiarkan saja.

"Raf," Qistina menahan.

Raffa memandang Qistina seraya memeluk tubuh.

"Awak betul ke nak pergi kelas dalam keadaan macam ni?"

"Habis? Kau nak aku ponteng ke? Apa yang kau boleh buat sekarang? Hmm?" Raffa bernada sarkastik. Nadanya itu masih kasar, sama macam tadi.

Qistina terdiam. Tidak pasti apa yang perlu dia lakukan. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Dia sudah lambat.

"Saya... pergi dulu. Apa pun, saya minta maaf sekali lagi ya."

Dia berlalu pergi.

Hi lovely readers! Harap korang enjoy bab 1 ni, Raf and Qis first encounter. Rasa teruja untuk tulis chapter ni. Setiap kali ada part atau scene Raf dan Qis, mesti rasa tak sabar nak tulis. Hehe. Lots of love from author Amyra Aimi~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience