Series
345
ALINA SOFEA hanya mempunyai satu prinsip dalam hidup, dan prinsip itu tidak pernah mengecewakannya.
Dia tidak berhutang dengan sesiapa.
Bukan wang. Bukan pertolongan. Dan paling penting, bukan hutang budi mata wang paling lembut tetapi paling berbahaya apabila seseorang mula percaya bahawa dirinya perlu menjadi pengecualian dalam hidup orang lain.
Selama tiga tahun bekerja di Ho & Partners Advisory, Alina Sofea membina kerjayanya berpegang pada prinsip yang sama. Tugasnya adalah meneliti akaun syarikat, menyiasat transaksi mencurigakan dan mencari titik di mana angka-angka yang kelihatan sempurna mula berhenti bercakap benar.
Dia pandai melakukannya.
Sangat pandai.
Dan dengan prinsip yang sama juga, dia membina kehidupannya.
“Alina, mari tolong nenek kejap. Mesin ni buat hal lagi.”
Suara neneknya kedengaran dari bahagian hadapan kedai.
Alina Sofea mengangkat wajah daripada buku kira-kira yang sedang diperiksanya.
Ya.
Buku kira-kira sebenar.
Dengan helaian kertas yang sudah sedikit kekuningan, tulisan tangan dan resit-resit lama yang diselitkan di celah halaman.
Nenek sudah menguruskan kedai pajak gadai itu selama lebih 40 tahun dan wanita tua itu mempunyai satu kepercayaan yang tidak pernah berubah. Perniagaan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada mesin yang boleh mati hanya kerana bekalan elektrik terputus.
Alina Sofea sudah lama berhenti berdebat mengenainya.
Dia menutup buku itu lalu bangun.
“Apa yang rosak pula kali ni?”
Namun langkahnya terhenti sebaik sahaja tiba di ruang hadapan kedai.
Ada dua orang lelaki berdiri berhampiran pintu masuk.
Dan sebelum mana-mana daripada mereka membuka mulut, Alina Sofea sudah tahu mereka tidak sepatutnya berada di situ.
Bukan kerana mereka melakukan sesuatu yang pelik.
Sebaliknya kerana mereka terlalu sempurna untuk berada di sebuah kedai pajak gadai lama pada pukul 9.00 pagi.
Alina Sofea membesar di situ. Dia sudah terlalu biasa membaca manusia hanya dengan sekali pandang.
Kedua-duanya mengenakan sut yang terlalu kemas.
Kasut kulit mereka berkilat.
Dan lelaki yang lebih berusia memegang sebuah fail hitam dengan cara seorang peguam memegang dokumen. Seolah-olah kertas di dalamnya lebih bernilai daripada semua barang kemas di dalam peti kaca kedai itu.
“Alina Sofea?”
Tepat kepada Alina Sofea.
“Alina Sofea binti Jamal.”
Cara lelaki itu menyebut nama penuhnya membuatkan tengkuk Alina Sofea tiba-tiba terasa dingin.
“Kami mewakili Silver Dragon Holdings.” Lelaki itu membuka fail di tangannya. “Kami datang berkenaan satu hutang tertunggak atas nama Jamal bin Awang.”
Dunia Alina Sofea seakan-akan terhenti untuk sesaat.
Jamal bin Awang
Nama bapanya.
Sudah berbelas tahun dia tidak mendengar sesiapa menyebut nama itu di hadapannya.
Sejak lelaki itu menghilang ketika Alina Sofea berusia sebelas tahun, bapanya perlahan-lahan berhenti menjadi manusia yang dibicarakan dalam keluarga mereka.
“Bapa saya dah hilang sejak saya berumur sebelas tahun.”
Suara Alina Sofea kedengaran jauh lebih tenang daripada degupan jantungnya.
“Kalau dia ada hutang dengan sesiapa, itu urusan dia.”
Lelaki itu tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi.
“Hutang itu masih belum diselesaikan, Cik Alina.”
Dia mengeluarkan beberapa helaian dokumen.
Daripada tempatnya berdiri, Alina Sofea dapat melihat satu salinan dokumen lama. Naluri profesionalnya terus mengambil alih sebelum emosinya sempat berbuat demikian.
Dia membaca nombor.
Membaca tarikh.
Mengira kadar.
“Bapa cik meminjam lima ratus lima puluh ribu ringgit daripada seorang rakan perniagaan keluarga Ghazi pada tahun 2009 dia membayarnya kemudian dia meminjam lagi pada tahun 2019.”
Alina Sofea mengangkat wajah.
“Selepas itu dia meninggalkan Malaysia tanpa melangsaikan pinjaman tersebut.”
Lelaki itu menolak satu helaian kertas ke atas kaunter.
“Dengan faedah terkumpul berdasarkan perjanjian asal, jumlah tertunggak sekarang adalah kira-kira 3.2 juta ringgit.”
Sunyi.
Angka itu jatuh ke tengah-tengah kedai seperti sesuatu yang mempunyai berat.
RM3.2 juta.
Jari nenek segera mencengkam bucu kaunter.
Alina Sofea bergerak ke hadapan hampir secara naluri, berdiri sedikit di hadapan neneknya.
Dia tidak memikirkannya.
Memang begitulah dia sejak kecil.
Melindungi satu-satunya manusia yang tidak pernah gagal melindunginya terlebih dahulu.
“Tak masuk akal.”
Alina Sofea mengambil dokumen itu lalu melihat pengiraan yang tertera.
Matanya bergerak pantas.
Principal.
Kadar faedah.
Tempoh.
Faedah terkumpul.
Kemudian dia mengangkat wajah.
“Kadar macam ni takkan boleh dituntut sesuka hati melalui mahkamah.”
“Kami tidak bercadang untuk membawa perkara ini ke mahkamah, Cik Alina.”
Kali ini lelaki yang lebih muda bersuara.
Nada suaranya hampir kedengaran simpati.
Entah bagaimana, itu membuatkan keadaan terasa lebih buruk.
“Tuan Amir juga tidak berminat untuk melalui proses litigasi.”
Alina Sofea memandangnya tepat.
“Jadi?”
“Dia mahu menyelesaikannya dengan cara lain.”
“Apa caranya?”
“Kami tidak diberi kuasa untuk membincangkan butiran tersebut.”
Lelaki berusia itu menutup semula failnya.
“Tuan Amir Tariq mahu berjumpa dengan cik sendiri.”
Nama itu membuatkan Alina Sofea terdiam.
Amir Tariq.
Sudah tentu dia mengenali nama itu.
Hampir semua orang dalam dunia korporat Kuala Lumpur mengenalinya.
Pengarah urusan Silver Dragon Holdings.
Syarikat yang mempunyai kepentingan dalam hartanah, logistik, hiburan, kelab eksklusif dan beberapa perniagaan lain yang secara rasmi kelihatan terlalu bersih untuk sebuah empayar yang berkembang begitu pantas.
Alina Sofea pernah melihat nama syarikat itu muncul dalam dua fail semakan pematuhan di tempat kerjanya.
Tiada apa-apa yang pernah dapat dibuktikan.
Itulah masalahnya.
Buku mereka sentiasa terlalu sempurna.
Dan selepas tiga tahun bekerja meneliti transaksi orang lain, Alina Sofea tahu satu perkara.
Kadang-kadang akaun yang terlalu kemas jauh lebih menakutkan daripada akaun yang bersepah.
“Esok pagi,” sambung lelaki itu. “Pukul 10.00. Pejabat Silver Dragon Holdings di Menara Silver Dragon, Jalan Ampang.”
Dia mengeluarkan sekeping kad.
“Tuan Amir meminta kami menjelaskan bahawa ini bukan ancaman terhadap perniagaan nenek cik. Dan bukan juga ancaman terhadap keselamatan cik.”
Alina Sofea hampir mahu ketawa.
Orang yang tidak berniat mengugut biasanya tidak perlu menjelaskan bahawa mereka tidak sedang mengugut.
“Katanya ini hanyalah satu cadangan perniagaan.”
Kad itu diletakkan di atas kaunter.
“Dan dia percaya cik akan mendapati syaratnya munasabah.”
Munasabah.
Alina Sofea memandang kad tersebut.
Satu perkataan yang sangat bergantung pada siapa yang menyebutnya.
Dia sudah cukup lama membaca laporan siasatan kewangan untuk memahami bahawa definisi 'munasabah' bagi lelaki seperti Amir Tariq barangkali sangat berbeza daripada definisinya.
“Kalau saya tak datang?”
“Kalau cik menolak, hutang tersebut kekal belum selesai.”
Matanya bertemu dengan mata Alina Sofea.
“Dan Tuan Amir mungkin terpaksa mempertimbangkan kaedah lain untuk mendapatkan penyelesaian.”
Ancaman.
Dibungkus kemas dalam bahasa korporat.
Alina Sofea mengenalinya serta-merta.
“Saya nasihatkan cik supaya tidak membuatkan dia perlu mempertimbangkan pilihan itu.”
Kemudian mereka pergi.
Loceng kecil di atas pintu berdenting ketika pintu kedai dibuka.
Sekali lagi ketika pintu tertutup.
Selepas itu, hanya bunyi pendingin hawa lama dan trafik dari jalan raya yang memenuhi ruang.
Alina Sofea tidak bergerak.
Sekeping kad berwarna krim masih berada di atas kaunter.
Ringkas.
Mahal.
Hanya nama bangunan, alamat dan waktu pertemuan tercetak di atasnya.
Tetapi bagi Alina Sofea, sekeping kad itu terasa seperti RM3.2 juta yang dipadatkan menjadi satu objek kecil.
Di sebelahnya, pernafasan nenek perlahan-lahan kembali stabil.
“Lin.”
Alina Sofea tidak menjawab.
Nenek memandang belakang cucunya.
“Pasal papa kamu dulu...”
“Jangan.”
Jawapan Alina Sofea pantas.
Terlalu pantas.
Dia mengambil kad itu.
“Nenek tak perlu fikir apa-apa.”
Dia akhirnya berpaling.
Wajahnya tenang.
Sangat tenang sehingga sesiapa yang tidak mengenalinya mungkin percaya dia langsung tidak takut. Dia memandang sekeliling kedai.
Kedai itu sudah memberi makan keluarga mereka selama lebih 40 tahun. Nenek membesarkan Alina Sofea di situ selepas bapanya menghilang dan ibunya terpaksa bekerja siang malam.
Setiap inci tempat itu adalah rumah.
Dan sekarang, disebabkan keputusan seorang lelaki yang sudah tujuh belas tahun tidak wujud dalam hidupnya, semuanya mungkin berada dalam bahaya.
Jari Alina Sofea mengetat pada kad di tangannya.
Selama ini dia percaya kehidupannya berada dalam kawalannya kerana dia tidak berhutang apa-apa kepada sesiapa.
Tetapi hutang ini tidak pernah dipinjamnya.
Perjanjian ini tidak pernah ditandatanganinya.
Namun sekarang seseorang datang mengetuk pintu dan memberitahunya bahawa dia perlu membayarnya.
Esok pagi, dia perlu masuk ke pejabat Silver Dragon Holdings.
Berhadapan dengan Amir Tariq.
Seorang lelaki yang sudah mengetahui siapa dirinya sedangkan Alina Sofea langsung tidak tahu apa yang lelaki itu mahukan daripadanya.
Dan naluri yang selama ini membantunya mengenal pasti angka palsu, akaun mencurigakan dan manusia yang berbohong sedang memberitahunya satu perkara.
RM3.2 juta bukanlah perkara sebenar yang Amir Tariq mahu.
Hutang itu cuma alasan untuk membawa Alina Sofea kepadanya.
Share this novel