Rate

BAB 1

Romance Series 2316

Kertas kecil sebentar tadi menjadi tatapannya sudah dikeronyokkan. Kemudian dilontarnya kertas itu ke arah si bakul sampah yang sentiasa ternganga. Setiap detik sudah bersedia menerima apa sahaja yang diberikan. Tidak tahu menolak kecuali jika isinya sudah terlalu padat.
Tubuhnya disandarkan ke dinding. Bantal bersarung biru ditarik rapat ke dada, kemudian dipeluk seerat-eratnya. Apa lagi yang dimahukan oleh Hakim daripadanya? Sudah ditegaskan, apa yang terjalin di antara mereka seharusnya sudah terputus. Dia sendiri yang meminta, tetapi lelaki itu tidak pernah mengendahkannya. Seolah-olah sengaja hendak menyeksa hatinya.
Jika tidak kerana Azhar sudah tentu kertas kecil itu tidak berada di tangannya. Lelaki yang selama ini begitu setia menjadi orang tengah di antara mereka berdua. Akur dengan apa sahaja yang diarahkan oleh Hakim. Pernah juga dia memarahi Azhar kerana terlalu menurut kerenah Hakim. Ah... Azhar seperti biasa akan tersenyum dan tertawa kecil. Katanya, 'bukan susah sangat, setakat nak sampaikan pesan hakim sahaja.'
Anis Razikin pejamkan mata. Alangkah baiknya jika semua itu tidak berlaku. Tidak mengenali Hakim dan tidak menjalin sebarang hubungan dengan lelaki itu, tapi semuanya sudah tersurat. Sudah tertulis memang begitu jalan ceritanya. Dia sendiri, Hakim dan Azhar adalah pelakon utamanya.
"Hoi... termenung."
Sedikit tersentak Anis Razikin menoleh ke arah pintu yang sudah terbuka. Norma yang tidak pernah tahu memberi salam ketika masuk ke bilik orang lain sudah tercegat di muka pintu. Tersengih-sengih seperti kerang busuk, menampakkan barisan giginya yang tidak tersusun.
"Kau ni orang Islam ke apa?" sergah Anis Razikin, tidak senang dengan sikap Norma.
Semakin lebar sengihan Norma. "Maaf tak sengaja... Assalamualaikum."
Anis Razikin menjeling tajam. Memuncung mulutnya.
"Waalaikumussalam."
Norma melangkah masuk ke dalam bilik. Terus sahaja dia melabuhkan punggung kecilnya dia atas katil berhadapan dengan katil Anis Razikin. Biasanya gadis itu sentiasa berada di biliknya pada waktu petang begitu.
"Wati mana?"
Anis Razikin menjongketkan bahu. Ketika dia masuk ke dalam bilik sebentar tadi, bilik itu tidak berpenghuni. Azilawati mungkin belum balik dari perpustakaan, tapi tidak pula dia melihat kelibat Azilawati ketika berada di perpustakaan tadi.
"Malam ni aku nak keluar makan dengan Hana. Kau nak ikut tak?" Norma mempelawa Anis Razikin.
Anis Razikin mendongak. Merenung wajah Norma seketika. Pelawaan yang menarik, sudah agak lama dia tidak keluar makan dengan rakan-rakannya. Sejak Hakim mula mengawal gerak langkahnya. Entah apa mimpi lelaki itu, apa saja yang dilakukannya tidak pernah ada yang elok. Ada saja yang hendak ditegur, tapi kalau Hakim yang berkepit ke sana sini dengan perempuan lain tidak mengapa pula.
Anis Razikin tidak pernah ambil peduli dengan siapa Hakim hendak berkawan. Hendak berkepit dengan sesiapa pun, dia tidak ambil tahu. Hakim berhak menentukan siapa yang hendak didampinginya dan alangkah baiknya jika Hakim juga berfikiran begitu. Tidaklah hidupnya rasa terkongkong.
"Nak ikut tak?" tanya Norma lagi.
"Naik apa?" balas Anis Razikin.
"Keretalah."
Anis Razikin menoleh ke arah Norma. "Kereta siapa?"
"Hana."
Bekerut dahi Anis Razikin. Bila masanya pula Hana memiliki kereta?
"Dia balik kampung minggu lepas. Abang dia beli kereta baru, kereta ayah dia dah dipulangkan, so dia bawa ke sini," ujar Norma.
Anis Razikin tersengih. Hmm... kalau dia hendak mengelakkan diri daripada bertemu dengan Hakim di perpustakaan malam ini, ada baiknya dia menerima pelawaan Norma. Lebih baik menghadap muka teman-temannya daripada memandang muka Hakim yang terlalu sukar hendak tersenyum. Ah... memang susah hendak melihat Hakim tersenyum padanya, tapi dengan perempuan lain, bibir Hakim begitu mudah mengukir senyuman.
"Kalau kau nak ikut, aku tak ajak orang lain dah."
"Wati macam mana?"
"Ajak Wati sekali. Kita berempat sudahlah. Mana muat nak masuk ramai-ramai kereta kancil si Hana tu. Wati sorang saja dah senget Kancil itu."
Anis Razikin tergelak. "Kau ni... dengar dek Wati, kecil hati dia."
Norma hanya tersengih. "Kalau kau tak cakap, tak adanya dia tahu."
Anis Razikin hanya menggelengkan kepalanya. Norma memang begitu, kalau bercakap ikut sedap mulut dia sahaja.
"Okay... pukul lapan ada kat bawah, jangan lambat," pesan Norma.
"Kalau Wati taknak ikut?"
"Kita bertiga ajelah, tapi aku berani jamin, minah tu kalau pasal makan sure dia nak ikut," balas Norma sambil tersengih-sengih. Masakan Azilawati akan menolak ajakan mereka.
"Okay... pukul lapan. Jangan kau pula yang lambat."
Norma ketawa kecil. Sudah bersedia untuk bangun dan beredar dari bilik itu.
"Oi... tarik balik cadar katil Wati tu. karang bising mulut minah tu." Sedikit terjerit Anis Razikin memarahi Norma.
"Alamak... ni yang aku malas ni," gumam Norma.
"Kalau dah tahu malas. Lain kali duduk atas lantai," omel Anis Razikin.
Norma sudah menegangkan cadar berwarna putih yang berkedut sebentar tadi.
"Okay... dah siap. Aku balik bilik dulu." Norma melangkah keluar dari bilik itu.
Anis Razikin mengeluh perlahan. Dia sendirian lagi selepas ditinggalkan oleh Norma. Ingatannya kembali pada isi kandungan kertas yang sudah berada di dalam perut si bakul sampaj. Apa alasan yang hendak diberikan pada Hakim jika dia tidak hadir dalam pertemuan yang diaturkan oleh lelaki itu malam nanti? Ah... pedulikan, dia boleh memberi apa sahaja alasan. Terpulang pada Hakim hendak menerima atau menolak. Dia juga berhak menikmati hidupnya. Dia cuma keluar bersama teman-teman perempuan lainlah lelaki kacak itu.
Anis Razikin tersenyum sendiri. Wajah Hakim yang berkulit cerah itu terbayang di mata. Lelaki yang memiliki sepsang mata yang galak dan bersinar. Sekali tersenyum, sudah tentu ramai gadis yang tergoda.

"KAK IKIN! Abang Hakim tu handsome, kan?"
Itu komen Maria, adik bongsu Azhar sebaik sahaja Azhar mengajak Hakim masuk ke biliknya. Itulah kali pertama dia bertemu dengan Hakim. Azhar yang membawa Hakim pulang ke kampung. Kononnya hendak merasa hidup di kampung. Anak orang berada agaknya, tidak ada kampung halamam.
"Kak Ikin! Dengar tak Yaya cakap apa?" soal Maria, tidak berpuas hati apanila kata-katanya tidak diendahkan.
Anis Razikin tersenyum. "Dengar."
"Handsome, kan?"
Anis Razikin tertawa kecil. "Tak handsomelah... lelaki berkulit cerah macam tu pada Kak Ikin tak handsome."
Maria mencebik. "Pandailah Kak Ikin."
"Itu pendapat Kak Ikin. Handsome di mata Yaya, tapi di mata Kak Ikin... biasa sajalah."
"Mana Abang?" soal Zainora. Dulang berisi minuman yang masih berasap diletakkan di atas meja.
"Masuk bilik," jawab Maria sambil membetulkan duduknya. Cempedak goreng yang masih terasa panas segera dicapai lalu ditiup pantas.
"Hah... Yaya nak tanya Kak Nora pula." Maria membetulkan duduknya.
"Tanya apa?" balas Zainora.
"Kawan abang tu handsome tak?" soal Maria sambil merenung wajah kakaknya.
Zainora tersenyum. "Handsome juga... macam pelakon hindustan pun ada."
Anis Razikin sudah tergelak.
"Hah... Kak Nora pun cakap handsome. Kak Ikin ni memang tak ada cita rasalah," omel Maria.
"Apa yang seronok sangat ni?" Azhar muncul di ruang tamu. Hakim pula mengekori langkahnya dari belakang.
"Syyy... jangan cakap," bisik Maria.
"Apa bisik-bisik ni?" Pantas Azhar menarik rambut adik bongsunya.
"Sakitlah bang," marah Maria. Panjang muncungnya.
"Bisiklah lagi, cakap cepat. Tengah bisik apa tadi?"
Zainora dan Anis Razikin sudah berbalas pandang sambil tersenyum-senyum.
"Anak dara dua orang ni asyik tersenyum saja apa hal pula?" tanya Azhar sambil memandang ke arah Zainora dan Anis Razikin.
"Tak ada apalah," balas Zainora masih dengan senyumannya.
Anis Razikin sudah bersedia untuk bangun. Tidak manis rasanya dia hendak berlama-lama di rumah sahabatnya itu. Kalau Azhar dia tidak kisah, sejak kecil lagi dia sudah mengenali Azhar. Lelaki yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri.
"Hah... Ikin nak ke mana pula?" Azhar segera bertanya apabila melihat Anis Razikin sudah bangun dari kerusi yang didudukinya.
"Nak ke rumah Irah... bagitahu abang dah balik," jawab Anis Razikin sambil tersenyum-senyum.
Azhar turut sama tersenyum apabila nama si buah hatinya disebut oleh Anis Razikin.
"Amboi, bang... baru dengar nama Irah, senyum sampai ke telinga. Belum lagi Irah berdiri depan mata," giat Zainora sambil mengenyit mata pada Anis Razikin yang sudah tertawa kecil.
Azhar hanya tertawa mendengar usikan adiknya.
"Okay... Ikin balik dulu." Anis Razikin sudah melangkah ke pintu.
"Ingat Ikin... jangan lupa singgah rumah Irah," pesan Zainora sambil melirik pada abangnya yang masih tersenyum-senyum.
"Insya-ALLAH... nanti Ikin ajak Irah datang sini ta?" balas Anis Razikin. Matanya singgah ke wajah Azhar. Seronok dia melihat Azhar yang tersenyum begitu, tentunya Azhar sudah tidak sabar lagi hendak bertemu dengan Umairah, buah hatinya.
"Kirim salam pada Irah ya, Ikin." Sempat Azhar berpesan ketika Anis Razikin sudah berdiri di muka pintu. Selipar Jepun berwarna biru sudah disauknya.
"Insya-ALLAH. Okay... Ikin balik dulu."


bersambung....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience