Rate

BAB 2

Romance Completed 561

“Ibu, terima kasih,” tuturnya lembut berbahasa. Matanya tepat memandang ibu tercinta. “Saya pergi sekolah dulu, ibu jangan lupa makan ubat. Saya sayang ibu, jaga kesihatan ibu elok-elok,” Dinesh hampir sahaja menitiskan air mata pagi itu.“Ibu juga sayang kamu. Ibu harap kamu belajar bersungguh-sungguh, dengar kata cikgu dan jangan sesekali melawan walaupun ditegur cikgu,” kata Kumari sambil mencium dahi anak lelakinya tanda restu.“Ibu, saya pergi sekolah dulu ya,” dia meminta izin dari ibunya lalu melangkah masuk ke perut bas.

Bas yang boleh memuatkan 40 orang pelajar itu mula bergerakperlahan-lahan. Setia mengambil penumpangnya setiap hari. Sudah lama bas itu berbakti kepada mereka yang tinggal di Taman Desa Sejahtera itu.Setiap pagi jugalah, para pelajar berdedai-dedai dengan baju putih sambil menggalas beg untuk mencari ilmu. Ilmu yang patut dituntut hingga ke akhir usia.“Semoga Kau sembuhkan ibuku yang sedang menahan sakitnya itu,” desis hatinya berkata, tidak didengari oleh sesiapa.
Dinesh anak ketiga daripada empat orang adik-beradik. Hanya dia seorang anak lelaki dalam keluarga itu. Sebetulnya dia dianggap sebagai abang.Dialah yang akan bertanggungjawab terhadap keluarga itu. Baik pada ibu,kakak dan adiknya yang masih kecil, dia seorang yang amat bertanggungjawab.“Selamat pagi abang,” ucap Dinesh lalu mengambil tempat duduk di belakang pemandu bas.Dia seorang yang baik hati dan peramah. Dia amat menghormati orang tua.Pantas sahaja bual bicaranya pagi itu berkisar kepada keadaan cuaca yang tidak menentu. Sedang dia rancak berbual-bual dengan pemandu, tiba-tiba Dinesh terjerit kecil menyebabkan tayar bas berdecit nyaring. Penumpanglain yang rata-ratanya adalah murid sekolah turut terpinga-pinga dengan
kejadian itu.
************
Anak kucing itu datang menghampiri kakinya yang sedang terjuntai-juntai tidak sampai ke bumi. Dia membiarkan sahaja kakinya dicakar-cakar dengan kuku si kucing. Dia suka, dia lebih rela. Memang dia menyayangi haiwan terutama haiwan kesayangan Rasulluallah itu. Haiwan itu tidak bernajis lantaran lidah tirus dan air liurnya bersih. Lidah tirus itulah yang selalu menjilat bulu tubuhnya supaya sentiasa kelihatan bersih. Kucing itu adalah peneman hari-harinya.

“Dah makan?” dia mengangkat kucing itu lalu diletakkan ke atas ribanya.“Belum lagi?” dia mengomel sendirian.Lalu dia ke dapur mencari sisa-sisa makanan yang masih ada. Sebolehnya nasi putih berlauk ikan dicampurkan bersama-sama. Pembuka selera untuk kucing kesayangannya. Dia yang membela kucing itu. Bukannya kucing itu seekor tetapi berpuluh ekor yang lain. Dia rajin mengutipnya di pasar-pasar, di tepi jalan, di kaki lima, tidak kiralah yang berkurap atau tidak. Dia akan mengambilnya, dibela, diberi makan, tempat tinggal dan dilayan dengan sempurna.

“Lapar lagi ya?” dia berbicara sendirian.Bahasa yang mungkin dia sendiri dan kucing-kucing belaannya sahaja yang mungkin memahami. Setelah kematian suaminya tiga tahun yang lalu, dia telah lama tinggal bersendirian. Anaknya sudah dewasa dan tinggal berasingan. Oleh sebab itulah, dia membela kucing-kucing yang dibuang oleh manusia merata-rata. Niat murninya hanya satu, ‘yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat.’

“Mana anak kamu?” tanya dirinya pada kucing berbulu kuning keperang-perangan bernama Comot itu. “Mana anak kamu?” dia bertanya lagi.Pelik juga kerana semenjak pagi lagi dia berasa bagaikan kehilangan sesuatu yang amat berharga. Dia terasa pelik kerana anak kucingnya tidak kelihatan. Pantas, dia melepaskan si Comot.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience