BAB 1

Romance Completed 14337

Tentatif harian hari ini bermula seawal lima pagi. Dia sudah berjanji dengan Mak Pah untuk berpuasa bersama-sama. Sesudah selesai bersahur dengan masakan yang enak hasil air tangan Mak Pah dia terus saja meringankan kaki dan tangan untuk mengemaskan apa-apa yang patut.

“Nana… Mak Pah boleh buat sendiri...,” halang Mak Pah. Namun dia sekadar
menarik senyum nipis sambil tangannya meneruskan kerja walaupun dihalang
oleh Mak Pah.

“Dah… Nana pergi mandi, nanti lambat pula nak ke sekolah!” Mak Pah sudah
memberi arahan untuk memastikan dia beredar keluar dari dapur secepat
mungkin. Dia tarik senyum lagi.

“Jangan risaulah Mak Pah… tak adanya mama dengan papa nak marah Nana
tolong dekat dapur ni…,” balasnya sambil tersenyum.

“Ada saja jawapan dia… dah, pergi bersiap!” akur dengan kata-kata Mak
Pah, dia terus berlalu ke biliknya. Sempat diintai ke arah bilik mama
dengan papa yang masih gelap. Masih tidur agaknya.

Tuala di penyidai dicapai dan cermin mata berbingkai hitam ala betty itu
diletakkan di atas meja solek. Tanpa membuang masa, dia terus saja mandi
dan bersiap. Tepat pukul tujuh dia sudah turun ke bawah.

“Nana… tak breakfast?” suara mama, Puan Suzila kedengaran. Perlahan
langkah kakinya dihayun ke meja makan.

“Nana puasa hari ni…,” serentak itu dia dapat menangkap wajah yang
mencebik ke arahnya.

“Tak cakap pun dengan mama…,” ucap mama terkejut. Dia menarik senyum lagi.

“Dah cakap dah… mama yang cakap hari ni busy, tak boleh puasa. Papa
saksi… betul kan pa…,” suaranya menjadi manja sambil memandang ke wajah
papa, Tuan Hamdan. Papanya hanya tersenyum.

“Mama dah makin tua agaknya, tu yang cepat lupa…,” sempat lagi papa
mengusik. Panjang tangan mama terus mencubit lengan Tuan Hamdan. Namun
suaminya tersenyum senang. Muncung dan jelingan isterinya tidak diambil
serius.

“Pa…,” tangan papa dicapai dan disalam. Beralih pada mama pula. Manusia
yang berdiam di tepi papa dikerling sekilas.

“Nana gerak dulu…,” dia sudah mengatur langkah. Apabila kakinya sudah
sampai ke muka pintu barulah orang itu bersuara.

“Eja pergi dulu…,” dengan lagak penuh sopan orang itu pun mencium tangan
papa dan mama. Tanpa menunggu lama, dia sudah masuk ke dalam kereta. Pak
Jamal sudah menanti dengan senyuman.

Sampai saja di pintu pagar sekolah, mereka sama-sama melangkah keluar
dari kereta. Kereta Toyota Vios yang dipandu oleh Pak Jamal sudah mula
bergerak. Dia juga sudah mula mengatur langkah. Namun langkahnya
terhenti. Lengannya ditarik kasar.

“Nah!!!” seperti biasa sepucuk surat dihulurkan. Dia menjeling sekilas
tidak puas hati. Ingat aku datang sekolah nak jadi posmen surat cinta
dia ke?

“Aku malaslah!” balasnya enggan menurut.

“Kau jangan nak mengada-ngada… kau tak ada pilihan melainkan buat!!!
Faham!!!” Fariza atau Eja sudah mengeluarkan arahan mandatori.

“Aku malaslah!!!” tolaknya lagi. Nada kali ini lebih kasar.

Serentak itu lengannya dicengkam. Kuat! Berkerut-kerut keningnya menahan
sakit.

“Kau terlupa ke? Apa jadi masa kau ingkar arahan dua bulan sudah?”
semakin kuat lengannya dicengkam oleh Eja. Keningnya berkerut-kerut
menahan sakit.

Memikirkan apa yang telah dilakukan oleh Eja dua bulan sudah, hampir
membuatkan dia serik untuk melanggar arahan yang diberikan kepadanya.
Pantas saja surat itu dicapainya dengan rasa terpaksa.

“Good girl!!!” kepalanya diusap lembut. Senyuman sinis dihadiahkan. Eja
terus melangkah meninggalkan Nana di belakang. Keluhan kecil meniti
bibirnya. Entah apalah nasib badannya, dilahirkan untuk jadi kuli cinta
buat saudara kembarnya. Kalau tidak dituruti, ada saja bala yang menanti.

Langkah diatur ke kelas 5 Sains 1 dengan hati yang sebal. Sampai saja di
kelas, matanya meninjau pada seseorang.Dia sudah ada! Baik aku
selesaikan kerja dengan cepat. Kalau tidak, belum sempat panas punggung
aku sudah ada yang menjenguk dari tepi tingkap. Siapa lagi, kalau bukan
kembarnya, Eja!

Surat tersebut dihulurkan pada si dia dengan wajah tanpa riak. Kening si
dia terangkat.

“Hai bertuahnya… pagi-pagi sudah sampai warkah sayang dari pujaan hati!” usik rakan di
sebelah. Si dia terus tersenyum sinis.

“Tapi yang tak bestnya, kena terima daripada si gadis muka tak berapa
nak siap!” sindir rakan di sebelah yang lain pula.

Dia mengetap bibir. Sudahlah buat kerja tak berguna. Diri aku pula yang
kena sindir. Tak guna! Ikutkan hati yang terlalu marah, dia melemparkan
surat tersebut dan betul-betul terkena batang hidung si dia. Terus dia
berpaling hendak melangkah ke mejanya. Belum sempat pun dia membuka
langkah ketiga, lengannya ditarik kasar.

Wajah si dia yang jelas kemarahan singgah di dalam pandangan mata.
Matanya merenung tanpa berkelip. Kecut juga rasanya. Dia bukanlah berani
mana sangat, tadi pun sebab ikutkan hati yang tengah sakit dengan
kutukan mereka yang menjadi rakan baik pada si dia.

“Dah la kau hantar surat bodoh ni pada aku tiap-tiap hari… tanpa paksaan
aku kena terima… dan hari ni, suka hati kau je baling kertas bodoh ni
kat muka aku. Kau ingat muka aku macam muka kau ke. hah! Muka tak siap…
Kau nak muka aku yang kacak ni, jadi macammuka kau ke?” ucap si dia
dengan berang. Mata dia masih terkelip-kelip. Pertama kali dia melihat
jejaka idaman Eja mengamuk sakan.

“Suka hati akulah!” tanpa perasaan takut dia membalas juga sambil
menarik laju lengannya yang dicengkam oleh lelaki itu.

“Amboi… Farhana! Dah pandai melawan cakap hero kelas kita…,” suara
teman-teman si dia sudah kembali kedengaran. Nana malas nak ambil
peduli. Tugasnya dah selesai. Dia sudah bergerak ke tempat duduknya
tanpa mengambil endah ucapan-ucapan yang dilemparkan oleh orang belakang.

Tidak sampai beberapa minit kemudian, matanya sudah dapat menangkap
kelibat Eja yang mengintai-intai melihat jejaka idamannya. Kemudian Eja
tersenyum sendiri. Gila! Hanya itu saja yang lahir di benak fikirannya
tentang tindakan Eja yang sah-sah seperti perigi mencari timba. Bukannya
lelaki itu sukakan dia pun. Eja saja yang perasan lebih dengan lagak
seperti primadona dalam sekolah mereka.

Bunyi loceng yang membingitkan telinga benar-benar melegakan hatinya.
Dia sudah tidak sabar untuk menghabiskan sesi persekolahan. Bukan kerana
dia tidak suka datang ke sekolah, tapi kalau hari-hari kerjanya jadi
posmen cinta tak bertauliah, tambahan kena kutuk-kutuk dengan orang
belakang, mana nak tahan telinganya. Bengang juga! Makanya… dia sudah
tidak sabar hendak tamat belajar tingkatan lima ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience