Hidup kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang. Tiada dapat kita duga akan masa depan. Yang penting, hadapilah hari demi hari dengan tabah, cekal dan gigih. Yang lain, berdoa dan pasrah kepada Tuhan.
— 1960 —
Hidup kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang. Tiada dapat kita duga akan masa depan. Yang penting, hadapilah hari demi hari dengan tabah, cekal dan gigih. Yang lain, berdoa dan pasrah kepada Tuhan.
Lamunan Ah Ti kian bergentayangan. Sejak dilahirkan lima dekad setengah yang lalu, hidupnya masih dalam pencarian. Yang penting, Ah Ti berpeluang ke sekolah, cukup makan dan minum setiap hari. Dia dapat berteduh daripada hujan panas mentari biarpun sebuah rumah usang peninggalan leluhurnya di pinggir Tanjong Malim.
Setiap pagi ke sekolah, Ah Ti tidak pernah tidak dibekali wang saku. Dua kupang. Maklumlah, tahun enam puluhan. Sekupang untuk Ovaltine panas secawan. Baki sekupang lagi untuk biskut coklat di kantin sekolah. Pak Sinamuthu, pengoperasinya. Ah Ti ke sekolah naik beca Pak Tua, kenalan rapat abahnya. Pak Tua, bujang sedaerah di tanah lelulur abah. Fujian, Tanah Besar Tiongkok.
Demikianlah, dunia tadika yang dilalui sebelum Ah Ti menjejaki sekolah rendah dan menengah. Dua tahun di tadika. Enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Mahu jadi siapa selepas dewasa nanti? Doktor? Peguam? Politikus? Barangkali bukan kerjaya itu. Jadi, mahu jadi siapa? Pensyarah? Guru? Kerjaya yang pernah tercatat pada Kad 001. Atau barangkali kuli, seperti abahnya? Yang penting kerjanya halal, tidak korup dan berintegriti.
Abah, kuli kedai Sin Teck Soon. Syarikat pemborong barangbarang runcit, milik anak-beranak tiga generasi. Ada bau-bau bacang dengan leluhur Ah Ti. Sejak 1922, syarikat itu berdiri gah biarpun pernah jatuh dan hampir muflis pada zaman Nippon.
Ingat, kerja abah mulia! Jasa abah cukup besar! Kuli seperti abahlah yang menjadikan syarikat itu hidup memberikan pulangan kepada tauke, generasi demi generasi. Kuli seperti abahlah, anak-anak Ah Hai sebanyak enam orang membesar dewasa. Abang Cheng , Kak Kiew, Kak We, Adik Bee dan Adik Poo, termasuk Ah Ti.
Semuanya diberi pendidikan, biarpun tidak mengapai menara gading. Sekurang-kurangnya pendidikan Darjah Enam. Janji anak-anak bisa hidup, tahu hidup, kenal hidup dan mampu menghadapi sepak terajang kehidupan. Awas, kata abah, jangan sekali-kali jadi sampah masyarakat. Jangan sekali-kali jadi pengkhianat bangsa dan negara. Biar kita miskin asalkan kaya ilmu, akal budi, rajin dan berakhlak mulia. Ada maruah, ada integriti. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!
Di sana padi di sini padi, Itulah nama sawah dan bendang; Di sana budi di sini budi, Barulah sempurna bernama orang.
Kata-kata perangsang abah masih terngiang-ngiang di gua telinga Ah Ti.
“Daripada kemiskinan, kita bangkit! Kita majukan diri dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman. Janji esok lebih baik daripada hari ini!” Bertalu-talu, nasihat diberikan oleh abah. Nasihat abah berdasarkan pengalaman hidup selama 77 tahun tanpa pelajaran. Abah buta huruf. Pelajaran abah ialah kegagalan dan kejayaan. Pelajaran abah ialah pengalaman.
Pengalaman suka duka itulah bersepadu membina dan membesarkan keluarga, termasuklah Abang Cheng , mangsa nahas jalan raya di Rawang, lima dekad yang lalu. Sungguh, malang tidak berbau. Jangan bala lalu dibawa singgah. Kita, insan kerdil di sisi Tuhan. Kita bisa merancang dan melaksanakannya. Segalagalanya, di tangan takdir. Biarpun, pernah bijak pandai bermadah, jika kita gagal merancang, maka kita merancang untuk gagal sebenarnya.
— 1980 —
“Ah Ti akan bangkit, abah!” ujar Ah Ti sungguh-sungguh ketika melihat lambaian abah di stesen bas Len, bertentangan Restoran Asia, Jalan Douglas. Keberangkatan Ah Ti ke Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) ditemani Abang Yee, abang saudaranya. Sejak kecil, Abang Yee dijaga dan dibesarkan oleh abah dan ibu setelah kematian ibu kandung di tanah leluhur. Maka bermulalah dunia Ah Ti sebagai guru pelatih MPIK. Bakal gurulah, Ah Ti. Syukur, dengan enam kepujian minimum dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education, permohonan Ah Ti ke maktab perguruan berjaya. Barangkali kejayaan banyak dibantu oleh pengalaman sebagai guru sementara di SMJK Katholik (Persendirian), Tg. Malim. Di situlah, minat Ah Ti mula berputik di kebun perguruan. Tidak dapat dinafikan bahawa pengalaman telah mendewasakan kehidupan insan.
Di buana perguruan MPIKlah, Ah Ti mula mempelajari ilmu pedagogi, ilmu psikologi, dan ilmu sosiologi. Biarpun beropsyen Ilmu Hisab, Ah Ti aktif dalam genre penulisan. Perbahasan antara opsyen, pementasan teater, pestarama, Latihan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) dan Latihan Amali di SMK Kepong, Kepong.
MPIK juga membolehkan Ah Ti berinteraksi dengan rakan semaktab biarpun berlainan opsyen berlainan ras berlainan agama. Kenal-mengenal. Bantu-membantu. Hormat-menghormati. Kepelbagaian dalam persamaan. Bukan diri aku, aku. Diri engkau, engkau. Sampai bila?
Yang penting setiap warga perlu tahu, sedar dan insaf akan batas sempadan masing-masing. Elakkan kontroversi, tingkatkan prestasi, perkukuh integrasi! Hidup bagaikan putaran. Lahirnya bayi ke dunia, membesar ia sebagai kanak-kanak, remaja, belia dan kemudian dewasa. Cita-cita, kerjaya, rumah tangga, tua dan akhirnya menunggu giliran untuk dipanggil oleh-Nya.
— 1986 —
Tahun yang membawa perubahan kepada Sifu Ah Ti. Berita kematian ayah cukup menyentuh hatinya. Terpaksalah Sifu Ah Ti memikirkan masa depannya. Masa depan keluarganya. Keluarga tidak boleh diurus oleh Abang Cheng . Abang Cheng , abang skiforenia. Pertukaran amat diperlukan untuk pulang ke desa kelahiran. Pertamatama, menguruskan keluarganya. Kedua, menjaga ibunya yang semakin tua dan uzur. Ketiga, barangkali sudah tiba waktunya, Sifu Ah Ti berumah tangga dengan gadis pilihan.
SMK Sungkai, sekolah ketiga Sifu Ah Ti. Pengalaman yang ditimba cukup mendewasakan Sifu Ah Ti. Masyarakat di pekan kecil ini berpendapatan rendah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada waktunya anak-anak diminta membantu untuk menambahkan sumber pendapatan keluarga. Musim durian dan petai dapat menambahkan pendapatan marhaen. Kata orang tua-tua, rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari.
Share this novel