Rate

BAB 2

Drama Completed 318

Hampir lima tahun, Sifu Ah Ti berulang alik dari Tg. Malim ke Sungkai. Bas Mogah. Dapat pula Sifu Ah Ti berkawan dengan Pak Busu, pemandu bas yang petah berceritera. Di Sungkai pula, dapatlah Sifu Ah Ti menimba ilmu dan pengalaman dengan Cikgu Lee, Cikgu Zaini, dan Cikgu Kulasingam, veteran dalam bidang perguruan. Yang jelas, setiap guru mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kebolehan yang tersendiri. Aras atau band yang berbeza-beza. Pengalaman yang pelbagai. Hal inilah yang harus dihalusi oleh barisan pentadbir tanpa gagal. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Ingat, semangat berpasukan dalam satu pasukan!

Seperti rutin kerja yang dijadualkan, Sifu Ah Ti menunaikan tugas hakiki tanpa gagal. Guru Kelas. Guru Disiplin. Guru Penasihat Persatuan. Guru Unit Beruniform. Guru Sukan. Yang penting, bagi Sifu Ah Ti, guru haruslah proaktif, kreatif dan inovatif. Dari desa perlombongan bijih, Tg. Tualang, Sifu Ah Ti beralih angin mengajar di pekan perladangan getah dan kelapa sawit, Sungkai. Rata-rata penduduk di sini berkebun dan bekerja sendiri demi sesuap nasi, seteguk air untuk membangunkan seisi keluarga.

Dari segi pedagogi, pembelajaran dan pemudahcaraan Sifu Ah Ti disesuaikan dengan latar. Yang cerdik perlu didorong. Yang sederhana perlu dibimbing. Yang lemah perlu dibantu, penuh simpati dan empati. Yang penting, guru mengajar, murid belajar. Jangan sekali-kali menjatuhkan hukum tanpa menghalusi masalah yang berbangkit.

Sebagai pendidik, kita harus senantiasa bertanya, mengambil tahu, merancang, meneliti, menangani dan berdampingan dengan setiap anak didik. Segan bertanya, sesat jalan. Yang jelas, sebagai guru atau pentadbir, aspek IQ (Intelligence Quotient) dan EQ (Emotional Quotient) haruslah seimbang untuk mengawal, memberikan reaksi dan respons ketika berhadapan dengan sesuatu situasi.

Boss? Leader? Pemimpin perlu mempunyai keupayaan, bakat memikat, dan menambat hati orang yang dipimpin. Jadilah pemimpin yang dapat memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita. Amalkan sikap, mempermudah bukan menyusahkan urusan dengan orang sekeliling. Berikan kasih sayang, bersangka baik dan percaya akan pekerja. Kata-kata Profesor Dr. Muhaya Muhamad muncul di skrin ingatan Sifu Ah Ti.
— 1994 – 2013 —

Dengan izin Tuhan, hadir peluang kedua setelah gagal ke UPM. Dapatlah Sifu Ah Ti melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Maka, bergurulah Sifu Ah Ti dengan barisan profesor terulung dan bitara di UM. Di UMlah, Sifu Ah Ti mendewasakan diri di buana ilmu kebahasaan dan kesusasteraan Melayu. Bersyukur, Sifu Ah Ti kepada Tuhan, keluarga, isteri, dan anak-anak yang prihatin sebelum kembali bertugas sebagai PPPS di SMK Slim, Slim River sebelum bertukar ke SMK Methodist, Tg. Malim, alma maternya buat kali kedua. Seperti biasa, orang baharu akan diberi tugas yang luar biasa.

Kononnya, tradisi. Maka, bermulalah rutin tugas sebagai guru, munsyi, pendidik, GC, KP, JU, fasilitator, moderator, deklamator dan juruacara. Hebat, Sifu Ah Ti! Proaktif, Sifu Ah Ti. Persoalannya, dapatkah ia melahirkan modal insan yang berpengetahuan (knowledge person), modal insan yang berguna (useful person) dan warganegara yang baik (good citizen), berwibawa dan berketerampilan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara dan PPPM?

Seperti dunia siasah, dunia perguruan juga dibelenggu oleh kerenah politiknya. Politik kawan. Politik tugas. Politik jawatan. Politik APC! Biarkan, biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Yang penting, yang benar perlu dipertahankan. Yang layak perlu diberi penghargaan dan pengiktirafan. Yang menyebarkan fitnah, perlu ditangani sebelum kudis menjadi tokak. Amar makruf, nahi mungkar. Jika tidak, rosak dunia kerjaya perguruan. Jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis sekandang dipalitnya. Perbuatan melontar batu, sembunyi tangan harus diperangi hingga akar umbi agar profesion ini kembali mulia di persada tanah air.

Yang jelas, guru tidak boleh berada di zon selesa. Dulu, ketika baru keluar maktab perguruan, Sifu Ah Ti, akur, cekal dan tabah memikul tugas yang diamanahkan tanpa banyak soal. Daripada tugas tersebutlah, Sifu Ah Ti dapat menimba ilmu dan pengalaman. Benar kata mendiang abah, kegagalan dan kejayaan intipati pengalaman hidup. Di situlah, Sifu Ah Ti mematangkan diri dan menyerlahkan kepakaran di buana perguruan!

Segala-galanya harus bermula dari bawah! Bermonolog lagi, Sifu Ah Ti. Mungkin seribu kali. Mungkin sejuta kali. Ingat bukan mudah kita bergelar guru. Naik setahap demi setahap. Tiada jalan pintas. Tiada jalan singkat!

Syukur kepada Tuhan. Sememangnya diakui, bukan mudah bergelar pengetua, guru besar, JU, GC, Munsyi, SISC+ atau SIP+! Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Amanah dan tanggungjawab tidak tertanggung oleh pundak kita. Jika bersikap sambalewa, dibelenggu oleh kebobrokan integriti, uzur dan ketandusan ilmu di dada, usahlah kita pikul tugas yang diamanahkan.

Kenapa? Tugas dan tanggungjawab guru adalah untuk membina kecemerlangan dan kebitaraan modal insan. Zaman pendidikan kini berteraskan KBAT dan i-Think! Zaman HOTaCS! HOTaCS? Higher Order Thinking and Creative Skill! Sistem Pendidikan Abad Ke-21! Modal insan yang berilmu, berakhlak, berwibawa, berketerampilan, berwawasan dan bertaraf global perlu kita lahirkan.

Ingat, transformasi dalam pendidikan. Sebelas anjakan utama untuk transformasi sistem. Tujuh belas inisiatif utama. Lapan inisiatif tambahan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Faham?

Sifu Ah Ti menarik nafas panjang seketika. Dia mahu bercerita lagi, sekadar mahu berkongsikan pengalaman. Pahit manis pengalaman selama tiga dekad suku dalam dunia perguruan. Daripada guru maktab perguruan kepada guru berijazah. Sesungguhnya, keterampilan dan kewibawaan seseorang guru yang berjaya bukan semata-mata dinilai pada sekeping dua sijil lusuh atau segulung dua ijazah tinggi!

Yang penting, insan guru memerlukan roh sebagai pendidik, pengawal disiplin murid yang bijak, kreatif, inovatif, dan pelaksana PdP (termasuk pemudahcaraan) yang berkesan. Excellent! Ah, mampukah dia? Mampukah Sifu Ah Ti? Dunia ICT kian mendepani kita. Dunia globalisasi kian mengasak kita. Pelbagai isu manusia dan persekitaran kian membelenggu kita.

Tiada sesiapa pun yang mampu menafikan kekuasaan takdir. Usia lewat lima puluhan menyaksikan satu persatu penyakit mahu melamar Sifu Ah Ti. Benarlah kata-kata mendiang ayah, waktu muda kita gunakan kudrat sasa untuk mencari rezeki, cita-cita, kerjaya, pangkat dan kebahagiaan. Kebahagiaan? Waktu tua pula, terpaksa kita habiskan wang pencen, gratuiti dan kekayaan yang kita kumpul selama ini untuk memerangi atau mengubati penyakit moden yang tidak diduga.

Hakikatnya, kudrat Sifu Ah Ti semakin lemah. Minda Sifu Ah Ti tidak secerdas guru muda, lulusan IPTA, IPGM atau universiti luar negara. Sesekali, pernah jua aksara-aksara ingatan Sifu Ah Ti tercicir di pertengahan jalan kehidupan. Sifu Ah Ti faham benar akan keadaan dirinya. Sifu Ah Ti tidak mahu menjadi liabiliti kepada sekolah, sistem, dan nusa bangsa! Maka, berbincanglah Sifu Ah Ti dengan anak isteri, BSYong, WZhuang, WShen dan WXing tentang hasratnya untuk bersara pilihan. Usia lima dekad setengah! Tiga dekad suku dalam dunia perguruan dan keguruan!
— 2014 —

Keputusan telah diambil. Yang penting, keputusan untuk bersara pilihan tepat dan muktamad setelah berkhidmat di bawah dua belas orang pengetua. Benarlah, wang bukan segala-galanya. Kepuasan dan kebahagiaan hidup bukan mutlak dapat diukur oleh wang ringgit atau dunia kebendaan semata-mata. Kesihatan. Ruang kebersamaan dengan keluarga yang tersayang. Yang penting, Sifu Ah Ti dapat melunaskan hasrat yang sudah sekian lama bertangguh dan tertangguh.

Hakikat? Usia kian memanjat tua. Kudrat kian lesu. Daripada dilambung ombak duga alaf baharu yang cacar marba, eloklah ia bersara pilihan. Hati senang, jiwa tenteram. Yang penting, tidak perlu pening-pening lalat atau stres memikirkan isu pendidikan yang masih belum bernoktah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience