dua

Romance Series 2468

RAYSHA melangkah ke dalam bilik rehat pekerja. Niatnya untuk menukar pakaian terbantut apabila Izz turut sama masuk ke dalam bilik itu untuk berehat. Izz terus membaringkan tubuhnya di atas sofa lalu menanggalkan apron. Tubuhnya terasa agak letih kerana terlalu ramai pelanggan hari ini. Wajahnya juga kelihatan kemerahan. Raysha menghampiri Izz untuk memeriksa keadaan lelaki itu.

"Apahal bro? Letih semacam saja," soal Raysha sambil menanggalkan topi di kepalanya.

Rambut panjang yang digulung dalam topi dilepaskan. Walaupun personalitinya seperti lelaki, dia tetap menjaga dengan baik rambutnya. Dia tidak berani berbuat demikian kerana abahnya tidak akan benarkan dia memotong rambut.

"Letih la. Banyak gila pelanggan hari ini. Panjang juga rambut kau Ray. Kau tak pernah tunjuk pun. Asyik pakai cap je memanjang," adu Izz.

Raysha hanya tersenyum manis. Tiba-tiba telefon bimbit Izz berdering. Dengan pantas Izz mencapai telefon bimbitnya. Izz memandang wajah Raysha lalu dia menjerit keriangan. Tubuh Raysha ditarik ke dalam pelukannya. Raysha yang bingung dengan situasi sekarang tidak membalas pelukan rakannya itu.

"Weh, Elina ajak aku keluar. Seumur hidup aku tak pernah keluar dengan perempuan weh. Nervous gila ni. Dah la si Elina tu stok-stok awek lawa kat KL ni," beritahu Izz dengan gembira.

Wajah Raysha terus berubah mendengar kata-kata Izz. Dia segera melonggarkan pelukan rakannya itu lalu menolak tubuh Izz kasar. Raysha terus melangkah keluar dari bilik rehat tersebut. Izz pula terpinga-pinga melihat kelakuan Raysha. Tapi dia hanya membiarkan sahaja. Raysha memang tak suka jika dia rapat dengan perempuan lain. Izz segera menukar pakaian lalu bergegas pulang ke rumah.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Izz terserempak dengan Elina di tepi jalan. Nampaknya gadis itu sedang berada dalam masalah. Izz segera memberhentikan motosikalnya di tepi jalan.

"Elina, you ada masalah ke?" soal Izz sambil menanggalkan topi keledarnya.

"Kereta I buat hal pula. Tetiba ja enjin dia down," rungut Elina.

Izz menggaru-garu kepalanya. Hendak ditolong, dia pun tak tahu sangat tentang kereta. Maklumlah dia hanya ada motosikal Yamaha LC miliknya sahaja. Pandangan Izz terarah pada langit. Nampaknya hujan akan turun tidak lama lagi.

"I tak tahu sangat tentang kereta ni. Tapi kawan I boleh bantu. Apa kata you tinggalkan kereta di sini and I tumpangkan you balik. Then I akan call kawan. Itupun kalau you sudi naik motosikal buruk ini lah." Izz memberikan ideanya.

"I okay je. Asalkan I boleh sampai rumah." Elina melangkah ke arah keretanya lalu mengambil beg tangan.

Izz berlari-lari anak ke arah motosikalnya lalu menghidupkan enjin. Nampaknya hari ini memang hari yang sangat bertuah untuknya. Elina memegang bahu Izz lalu melangkah naik ke atas motosikal. Hujan rintik sudah mula membasahi bumi. Izz menarik tangan Elina agar memeluk pinggangnya tetapi Elina tidak pula membantah malah hanya memeluk pinggang Izz erat. Nampaknya hujan semakin lebat dan Izz terpaksa berhenti di perhentian bas yang berdekatan.

"Sorry Elina. You dah basah," rungut Izz apabila ternampak gadis yang berdiri di sampingnya itu sudah basah.

"It's okay Izz. I dah biasa." Elina memeluk tubuhnya. Blouse yang tersarung pada tubuhnya mendedahkan sedikit bahagian tubuhnya yang kebasahan.

Alahai Izz. Zina mata pulak. Baik kau tangalkan jacket kau bagi dia. Kurang sikit dosa kau hari ini. Lagipun kesian dia sebab sejuk kan. Kau lelaki mesti boleh tahan sejuk punya. Izz segera menanggalkan jacket miliknya lalu diletakkan ke atas bahu Elina. Gadis itu agak terkejut dengan tindakan Izz tetapi cepat sahaja tangannya mengemaskan jacket itu. Memang Elina sangat kesejukan sekarang ini.

"Thank you Izz." Elina tersenyum manis.

Izz turut membalas senyuman Elina. Hujan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Langit dipandang sepi tanpa perbualan di antara mereka berdua. Sungguh Izz terasa sangat janggal berada dalam situasi sekarang. Tidak lama selepas itu, terdapat sebuah kereta Myvi yang berhenti di hadapan perhentian bas. Cermin bahagian penumpang diturunkan oleh pemandu.

"Ray..." getus hati Izz sebelum Raysha terus memandu pergi meninggalkan perhentian bas tersebut.

Kenapa mata Raysha merah. Dia menangis ke? Dia ada masalah ke atau dia kena marah dengan Cik Suzy lagi. Tapi kenapa dia tak berhenti untuk tumpangkan aku. Selalunya Ray akan bantu aku dalam hujan begini.

"Izz, I mesti menyusahkan you kan. Kalau bukan kerana I pasti you dah sampai di rumah tadi," rungut Elina.

"Taklah. Kalau I tak bantu siapa lagi. Entah-entah mamat jahat mana pula berhenti culik you kan nanti," seloroh Izz.

Elina ketawa terbaha-bahak. Walaupun kali pertama bertemu Izz, sikap lelaki itu memang membuatkan dia rasa selesa. Izz juga pandai mengambil hatinya. Pandangan Elina melekap pada wajah Izz saat lelaki itu meraup anak rambutnya yang kebasahan ke belakang. Wajah Izz putih bersih dan mungkin hatinya juga sebersih itu. Kening Izz di kanan sedikit berbelah tapi itu tidak mencacatkan wajah lelaki itu.

"Hujan dan renyai dah. Jom la balik. Nanti hujan lebat pula," ujar Izz sekali gus mematikan lamunan Elina.

Elina mengangguk lalu melangkah ke arah motosikal Izz. Kali ini dengan beraninya dia memeluk pinggang Izz. Kepalanya dirapatkan pada belakang tubuh lelaki itu. Senyuman manisnya mula terukir. Setibanya di apartment, Izz segera turun dari motosikal itu. Dia membuka jacket lalu dihulurkan pada Izz.

"You jangan lupa mandi okay. Nanti demam pula," pesan Izz sebelum terus pulang ke rumah.

Izz memarkir motosikalnya di bawah pangsapuri. Seperti biasa dia akan bertembung dengan Mak Senah. Apalah orang tua ni buat di luar rumah hujan-hujan begini. Mak Senah boleh dikategorikan sebagai makcik bawang paling popular di kawasan itu. Hendak ditegur nanti perbualan yang pendek menjadi panjang pula. Kakinya pantas melangkah mendaki anak tangga. Maklumlah pangsapuri begini memang lif selalu sahaja rosak. Ketika hendak melangkah ke anak tangga yang terakhir, Izz perasan kelibat seorang perempuan sedang menangis di tepi tangga.

"Ray....kau kenapa?" Izz melepaskan topi keledarnya lalu terus mendapatkan Raysha yang sedang menangis. Hujung bibirnya pecah dan ada kesan darah. Tubuhnya juga ada kesan lebam.

"Izz, aku sakit." Tangisan Raysha semakin menjadi-jadi.

Izz menarik Raysha ke dalam pelukannya. Kepala Raysha diusap perlahan untuk menenangkan sahabatnya itu. Tubuh Raysha dirangkul lalu dibawa masuk ke dalam rumahnya. Izz meletakkan Raysha di sofa sebelum berlari anak ke dapur mendapatkan air suam untuk mencuci luka Raysha.

"Cuba kau cerita dengan aku apa yang berlaku?" soal Izz sambil mencuci luka di tepi bibir Raysha dengan perlahan.

Raysha hanya menggeleng-geleng kepalanya. Air matanya semakin laju mengalir apabila disoal begitu. Dia juga tidak tahu kenapa dia datang mencari Izz ketika ini sedangkan dia tahu Izz berada di perhentian bas sebentar tadi. Dia sangat takut sekarang. Hanya Izz sahaja yang boleh dia percaya.

"Shh! Okay-okay, kau rileks dulu. Kalau kau ready, kau cerita sahaja dekat aku okay." Izz mengusap perlahan wajah Raysha. Wajah itu berbekas kemerahan seperti terkena tamparan. Apa yang terjadi pada kau sebenarnya Raysha. Risau betul aku dengan kau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience