JARUM jam menunjukkan tepat pukul 6:00 pagi. Hujan yang turun lebat di luar membuatkan Izz Aryan rasa susah sangat hendak tinggalkan katilnya yang empuk. Jika diikutkan hati, memang dia nak sambung tidur sahaja. Tapi kalau ikut hati, memang tak menjadi semua kerja. Dia terus bangun lalu mengeliat membetulkan urat-uratnya yang tegang.
Telefon bimbit di tepi katil dicapai. Ada hampir 20 mesej dan 12 panggilan tidak berjawab. Ini mesti Raysha yang mengubunginya. Semalam mereka janji hendak keluar lepak sama-sama selepas tamat waktu kerja. Tapi Izz terus pulang ke rumah kerana rasa kurang sihat. Salahnya juga kerana tidak maklum pada Raysha terlebih dahulu.
Izz membawa langkahnya ke arah balkoni di ruang tamu. Matanya terarah ke arah jalan raya yang sudah mula sibuk. Beginilah keadaan ibu negara Kuala Lumpur setiap hari. Entah bila akan lengang pun tidak tahu. Setiap hari semua orang akan berasak keluar awal untuk elakkan kesesakan lalu lintas. Malangnya, akan terperangkap juga.
Mata Izz kini terarah pada balkoni pangsapuri di hadapannya. Kelihatan seorang perempuan sedang menikmati secawan minuman panas di situ. Cantik betul ciptaan Tuhan. Inilah yang akan menjadi sarapan mata Izz setiap pagi. Elina adalah gadis yang menjadi dambaan hati Izz semenjak dia berpindah ke pangsapuri ini. Tapi hingga sekarang dia masih belum berani untuk menyapa gadis itu. Biarlah dia mendambakannya dalam diam sahaja.
"Sudahlah Izz. Baik kau bersiap pergi kerja. Lambat nanti kena hentam dengan Cik Suzy pula," tegur Amat yang sibuk menguap dan membetulkan urat-uratnya.
"Kau tu pun pergilah bersiap. Semalam kau balik pukul berapa?"
Amat menghampiri Izz lalu mengusap dagunya yang sedikit berkumis.
"Pukul 3 lebih juga. Kesian dekat Ray, dia macam nak gila cari kau. Dah laa kau tak jawab call dia. Dah macam kucing mati anak dah gayanya."
Izz tersengih menampakkan giginya yang tersusun rapat. Masuk kerja nanti mesti dia kena bebel dengan Raysha. Gadis itu adalah sahabat baiknya semenjak mereka bertemu beberapa tahun lepas. Raysha jugalah yang banyak membantunya membina kehidupan di kotaraya ini. Dia tidak mungkin mempunyai kehidupan seperti sekarang jika Raysha tidak menghulurkan bantuan.
Amat menepuk bahu Izz lalu bergegas ke tandas. Hari ini mereka perlu masuk awal kerja kerana ada penghantaran stok baru untuk Axoc Cafe. Lagipun, Amat dan Izz antara pekerja yang diberi kepercayaan oleh Cik Suzy untuk uruskan stok yang baru masuk. Stok yang baru masuk ke kafe perlu diperiksa sebaiknya agar tiada kerosakkan yang bakal merugikan mereka.
Selesai sahaja bersiap, Amat dan Izz bergegas turun ke bawah. Kedua-dua mereka hanya menunggang motosikal ke tempat kerja. Dapat jugalah mereka mengelak dari terperangkap dalam kesesakkan lalu lintas.
"Izz, kau gerak dulu ke kafe. Aku nak singgah petrol pump kejap lagi," ujar Amat lalu menunggang motosikalnya pergi.
Izz terpandang akan kelibat Elina di kawasan parkir kereta. Bibirnya menguntum senyuman manis. Indahnya ciptaan Tuhan yang satu ini. Elina sangat cantik dengan mengenakan solekan yang agak nipis pada wajahnya. Tanpa menunggu lebih lama, Izz segera menunggang motosikalnya pergi. Makin lama dia di situ, makin banyak masa yang dihabiskan.
Setibanya di kafe, Izz dapat melihat wajah cemberut Raysha yang sedang memeluk tubuh di hadapan pintu masuk. Izz hanya mampu menguntum senyuman sahaja. Habislah dia pagi ini. Mahu sampai habis waktu kerja dia kena dengar bebelan Raysha.
"Kau pergi mana semalam Izz. Aku call banyak kali tau. Kau memang tak tahu nak jawab ke. Kau ni memang nak kena kan. Malas laa ajak kau lepak lagi lepas ni." Kedengaran nada merajuk dalam kata-kata Raysha.
Gadis itu terus membawa langkahnya ke arah bilik rehat pekerja. Raysha menyarung apron ke tubuhnya lalu terus bergegas keluar. Izz melepaskan keluhan lalu menyimpan helmet ke dalam loker. T-shirt yang tersarung pada tubuh ditanggalkan lalu diganti dengan sehelai kemeja berwarna hitam. Lengan kemeja itu pula dilipat hingga paras siku. Izz membelek wajahnya pada cermin. Mana tahu ada sesuatu melekat ketika menunggang motosikal tadi. Tugas Izz di Axoc Cafe adalah sebagai seorang barista. Dia akan menyediakan minuman yang dipesan oleh para pelanggan.
Izz bergegas ke arah kaunter setelah menyarungkan apron pada tubuh. Dari jauh dia dapat melihat Raysha sedang mengemop lantai di sudut kafe. Hanya tinggal 30 minit sahaja lagi sebelum kafe dibuka.
"Izz, kau tolong jaga kaunter lima hari ni. Lee tak masuk kerja hari ni," arah Cik Suzy lalu melangkah pergi.
Izz mengeluh. Dia cukup tak suka jaga kaunter. Izz membawa langkahnya menghampiri Raysha. Dia perlu memujuk rakan baiknya itu. Izz menarik batang mop yang sedang dipegang oleh Raysha.
"Lepaslah Izz. Aku ada kerja ni."
"Kau marahkan aku kan. Maaflah Ray. Aku tak sengaja. Semalam aku rasa tak sedap badan. Aku terus balik," terang Izz.
Raysha mengeluh.
"Alah, aku bukan nak marah sangat. Aku sedih ja kau buat aku macam tu," balas Raysha.
Izz sangat faham akan diri Raysha apabila gadis itu merajuk. Segala jenis pujukan harus dilakukan untuk memenangi hati Raysha semula.
"Malam minggu ni aku teman kau lepak. Sekarang kita kerja dulu." Izz mengusap kepala Raysha sebelum kembali ke kaunter.
Sebaik sahaja kafe dibuka, beberapa pelanggan terus masuk menuju ke kaunter membuat pesanan. Axoc Cafe sememangnya menjadi pilihan penduduk setempat untuk bersarapan pagi. Menu yang disediakan juga sangatlah menarik dan bersesuaian dengan harga. Izz menongkat dagu di kaunter, belum ada pelanggan yang datang padanya untuk membuat pesanan.
Matanya terarah pada Amat di kaunter sebelah, rakannya itu memang pandai melayan pelanggan. Amat juga merupakan barista. Tapi lelaki itu lebih selesa bekerja di kaunter. Raysha pula pada bahagian pelayan.
"Good morning," sapa seseorang.
Izz cepat-cepat berdiri tegak sambil membetulkan apron. Terlopong mulutnya melihat Elina sedang berdiri di hadapan. Wajah Izz terus merona kemerahan. Tapi dia cepat-cepat mengawal perasaan malu itu.
"Yes miss, may I take your order?" tanya Izz sambil matanya memandang ke arah mesin mengambil pesanan.
"Emm... Saya nak hazelnut hot chocolate dengan tuna sandwich."
Izz memasukkan pesanan pada mesin. Dia meminta Elina menunggu di ruangan menunggu sementara pesanan disiapkan. Berdebar betul rasanya tadi.
"Rezeki datang depan mata," sindir Amat. Dia sangat tahu bahawa Izz sudah lama memerhati gadis pangsapuri sebelah itu.
Izz mencebik. Dia bergegas ke bahagian minuman untuk menyediakan minuman yang dipesan Elina. Kekurangan pekerja hari ini menyebabkan dia terpaksa melakukan dua tugas. Mujurlah dia audah terbiasa. Jadi tak perlulah dia terkejar-kejar membuat pesanan.
"Cik, pesanan cik dah siap." Izz meletakkan pesanan Elina di atas kaunter.
"Awak budak apartment sebelah kan. Pagi-pagi saya selalu nampak awak. Boleh saya dapatkan nombor awak?" pinta Elina berani.
Fuh, jatuh maruah Izz perempuan minta nombor dulu. Dia tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sehelai tisu dicapai lalu Izz menulis nombor telefonnya.
"Nanti saya call awak ya. Terima kasih." Elina melangkah pergi sambil melambai tangannya pada Izz.
Izz hanya mampu tersenyum sahaja. Tak apalah Izz, ada juga yang memulakan. Kalau harap kau, asyik pandang saja.
Share this novel