Rate

Bab 2

Science Fiction Series 1410

Perlahan-lahan kau menarik nafas. Tidak gentar. Tidak pula kau cemas. Kau sangat tenang. Seperti sudah biasa dengan keadaan begini. Sebenarnya, kau ini … siapa?

“Cepat serahkan Atma sebelum peluru pistol ni tembus kepala kau.”

Atma? Apakah? Apa benda tu?

Tanpa kau sedar, bahu kau terangkat-angkat. Macam sedang tahan ketawa. Makin lama makin tak dapat kau tahan ketawa. Pistol dekat kepala kau itu, tunggu arahan aje ini.

Pap!

Belakang lutut kanan kau disepak kuat. Lutut kau bengkok dan keseimbangan badan kau semakin mengkhianati kau. Lantai rumah sedia menyambut. Tidak pula kau meraung kesakitan. Ataupun mendecit kepedihan.

“Hoi, cepat serahkan Atma!”

Kau memejamkan mata seketika. Berfikir mahu ketawa atau menjawab soalan Encik Parasit. Parasit? Yalah. Masuk rumah kau tak bawa apa-apa manfaat, buah tangan pun tak bagi. Tiba-tiba datang minta itu ini. Ingat pusat kebajikan? Dasar parasit!

Kau tersenyum.

“Hoi, kau pekak ke? Mana Atma tu? Kau sembunyikan dekat mana? Jawablah!” pekik Encik Parasit.

Eh, terseronok pula gelar dia Encik Parasit. Bunyi … macam canggih!

Perlahan-lahan kau menoleh ke belakang. Melihat Encik Parasit. Pakaiannya serba hitam. Topi hitam, baju hitam, seluar hitam, jaket hitam, muka? Pun hitam! Haha! Seronok ya kau gelak. Amboi!

“Encik salah rumah ni. Ini rumah Jeewa. Bukannya rumah sakit mental.”

Bang!

Habis berkecai televisyen kau. Sudahlah baru beli beberapa hari yang lepas. Suka hati mak nenek dia aje tembak tv kau. Sekarang ini, siapa nak ganti rugi? Ewah … ewah … ewah!

Serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai, kau abaikan. Kau berjalan di atas karpet kaca bak seorang puteri yang kejam. Dengan senyuman yang sangat menakutkan, perlahan-lahan kau hampiri Encik Parasit itu.

“Oh, kena ugut dulu baru nak dengar cakap? Cepat serahkan Atma! Kalau tak … peluru ni tembus otak miskin kau tu!” herdik Encik Parasit.

Kau menghela nafas. Sudahlah pagi kena ganggu. Ada pula yang hantar kotak misteri. Lepas itu, kedatangan Yang Terhormat Encik Parasit. Isk! Serabut! Bukan hari Ahad sepatutnya hari bermalas-malasan ke?

“Atma ya? Ada. Ada dekat sana.”

Jari telunjuk kanan kau menembak ke arah sebuah lukisan yang tergantung elok pada dinding.

“T-tolong! Jangan a-apa-apakan saya Encik Para ….”

Shhh! Janganlah kantoikan! Isk, kau ini! Tutup sikit mulut kau itu.

Mata kau menyaksikan proses penyelongkaraan. Satu per satu lukisan pada dinding dicabut.

Macam kau sorokkan periuk nasi eletrik dalam asrama. Warden datang dengan bersungguh-sungguh nak bagi kau hukuman yang setimpal. Tapi …

“Mana? Isk, kau jangan main-main. Kau tahu tak Atma tu bahaya? Boleh bunuh kau.”

Uuu … takutnya! Mata kau terbuntang luas. Mulut pun ternganga. Tangan? Tangan? Ya! Menggeletar! Tutup sikit mulut kau itu. Tak sopan pula.

Kring! Kring! Kring!

Siapa lagi telefon kau? Sudahlah tengah layan Encik Parasit. Malang betul ya nasib kau hari ini.

Tok! Tok! Tok!

Ah, sudah! Siapa pula datang nak beraya ini. Terkenal betul ya kau?

Tanpa kau sedar, Encik Parasit pandang kau. Kau pun balas pandangan dia. Kening terangkat sebelah. Encik Parasit meletakkan jari telunjuk pada bibirnya. Kau pun ikut sekali.

Tangan kau terus mencapai telefon pintar dan kau berjalan menuju ke pintu sambil menjawab panggilan. Encik Parasit pula setia mengekori kau dari belakang. Muncung pistol tak lepas dari belakang badan kau. Macam … parasit. Haih.

“Helo?”

Mata kau mengintai lubang pintu. Oh, ada lubang kanta! Kenapa kau tak guna tadi?

“… dah tak ada ….”

Sepi. Daun pintu terbuka luas.

“Selamat kembali ke neraka, Jeewa.”

Muncung pistol dihalakan tepat ke arah kepala kau selepas kau membuka pintu. Malaikat maut datang kutip nyawa!

Encik Parasit yang ada dekat dengan kau terus lepaskan satu das tembakan ke arah malaikat maut versi manusia itu.

Pegangan pistol yang dipegang oleh malaikat maut mulai lemah. Terus kau toleh ke belakang tengok Encik Parasit bertindak sesuka hati sesedap rasa dia.

“Hoi! Hoi! Memekaklah! Jangan tembak-tembak!” pekik salah seorang jiran kau.

Malaikat maut terus melarikan diri selepas misinya digagalkan oleh Encik Parasit. Apa lagi, kau terus kejar malaikat maut itu. Sambil kaki kau mengejar, kau terus aktifkan butang kasut virtual pada gelang kiri kau.

Matlamat kau cuma satu. Jemput balik malaikat maut.

“Woi, rumah ni siapa nak jaga? Kunci mana?” jerit Encik Parasit.

Tsk! Membebankan. Kau abaikan Encik Parasit. Biar dia pula yang kemaskan rumah kau. Wah, jadikan Encik Parasit sebagai pembantu rumah. Menarik!

“Jeewa kunci anjung.”

Kau bisikan arahan itu pada gelang kiri kau. Tiba-tiba, pintu rumah menarik Encik Parasit secara paksa ke dalam rumah sebelum pintu itu tertutup dengan sendirinya.

“Woi, kau nak culik aku ke apa?” jerit dia ketika ditarik. Pintu ditutup rapat. Sistem keselamatan rumah kau beroperasi pada tahap dua.

Subang di cuping telinga kanan kau terus dilaraskan. Mata kau ditutupi dengan satu lapisan cahaya biru.

Selamat datang, Lovely J.

Misi:
Hapuskan malaikat maut.

Sasaran berada tidak jauh dari koordinat kau. Peta maya menunjukkan lagi beberapa meter kau akan bertemu dengan malaikat maut.

Tangan kiri kau menyeluk poket sisi kanan seluar kau. Sebilah pisau jagdkommando dicapai. Sambil berlari, kau sempat membuat imbasan data pada hulu pisau dengan penuh teruja.

Malaikat maut yang sedang melarikan diri daripada kau sekarang ini sedang berusaha mencari jalan pintas.

Dengan sekali bantai, kau berjaya memadam seluruh sistem komunikasi pada tubuh malaikat maut itu dengan menggunakan pisau kau yang telah ditulis skrip hapus.

Kini, malaikat maut menuju ke jalan mati tanpa sebarang bantuan daripada pasukannya. Wah, rezeki!

“Tak guna! Aku yang patut bunuh kau. Bukan kau yang bunuh aku!” Malaikat maut terus menghalakan pistol ke arah kau.

Hulu pisau jagdkommando diacukan ke arah muka kau.

“Macam ni?”

Perlahan-lahan kau menapak rapat ke arah malaikat maut itu. Senyuman tak lekang.

“Kenapalah Ody hantar budak mentah macam kau. Tak seronok. Tapi, bolehlah untuk main-main.”

Aura dari subang kanan kau membuatkan malaikat maut itu seperti dalam ketakutan. Atau subang itu membebaskan aura yang negatif?

“M-maafkan aku! Aku hanya menjalankan tugas!”

Terketar-ketar malaikat maut membela diri. Tangan kiri kau terus menepis pistol malaikat maut ke tepi.

Perlahan-lahan tangan malaikat maut diangkat lalu melutut depan kau. Menyerahkan diri tanpa dipaksa. Kepalanya ditundukkan sedikit. Belakang lehernya ditadah.

Kau tersenyum manis.

Dengan penuh kesopanan, pisau jagdkommando kau mula menziarahi leher malaikat maut. Mata pisau kau menghiris leher itu dengan perlahan-lahan. Kulit leher mulai terkupas kepada tiga kelaran. Tangan malaikat maut mencengkam tangan kau. Menggelupur hebat.

Satu kelar mengelilingi leher itu membuatkan darah malaikat maut memancut-mancut tanpa henti. Jasad malaikat maut menyembah bumi.

Pisau yang berada di tangan kau, ditatap lama. Tidak lama kemudian, keluar satu data pada paparan mata kau.

+50 MMX

351 malaikat maut.

Anda berada di tangga kesembilan minggu ini.

Tahniah Lovely J!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience