Kring! Kring! Kring!
Ada satu panggilan yang berjaya memekakkan pagi kau. Baru saja jam lapan pagi, celik mata, telinga sudah didendangkan dengan sebuah lagu yang nyaring dan berpotensi untuk memecahkan gegendang telinga.
Perlahan-lahan kau capai telefon pintar kau yang pintarnya lebih rendah daripada tahap kepintaran kau. Ewah!
Jari kau pun sentuh ikon berwarna hijau. Kau rapatkan telefon ke cuping telinga kanan kau.
"Helo, nak apa? Semaklah telefon pagi-pagi."
Ya. Dengan tak bagi apa kata-kata sapaan, kau terus tegur si pemanggil. Mana tidaknya, adik perempuan kau. Telefon tak minta duit, itu luar biasa. Yalah, kau sudah bekerja. Gaji mestilah berkepuk-kepuk. Belum kena kikis dengan pakwe. Oh, kau ada kekasih hati?
Oh ya, kau sebenarnya seorang gadis sunti yang sangat aktif dan bergaya serta cantik. Alahai, puji diri sendiri. Menyampah! Tapi, apa pekerjaan kau? La, diri sendiri … Tak kan tak tahu? Seriuslah?
"Kawan ayong datang rumah tadi. Suruh bayar hutang. Kau hutang apa lagi, yong?"
Soalan daripada adik perempuan kau membuatkan kau tersentak seketika. Hutang? Bila masa kau berhutang? Dengan siapa?
"Lelaki ke perempuan?"
"Pondan! Entahlah. Mana aku tahu. Dah pakaiannya serba hitam. Macam malaikat maut datang kutip nyawa. Kau buat apa lagi ni, yong?"
Terdiam. Sepi.
Kau pun imbas balik apa benda kau buat sepanjang kau hidup selama 19 tahun ini. Jari kau memegang dagu yang tak berapa nak runcing itu.
Sedang kau berdiri sambil berangan, telinga kau terdengar satu bunyi seperti mekanisma sepapan pintu besi. Segera kau toleh ke belakang.
Pada pintu tersebut, terpapar angka 2121. Ya, tahun sekarang. Perlahan-lahan kau berjalan menghampiri pintu yang maha canggih itu. Telefon pintar kau entah mana kau campak.
Tiba-tiba, pada kiri bingkai pintu itu, ada sebentuk segi empat sama. Bersinar-sinar. Tak lama kemudian, ada panel imbas cap tapak tangan kanan muncul secara perlahan-lahan.
Lampu berwarna merah berkelip-kelip. Kau dengan tidak sabar mahupun nak usyar kiri dan kanan, terus kau imbas tapak tangan kanan kau pada panel tersebut.
Cahaya imbasan menjalankan tugasnya. Tiga detik kemudian, lampu bertukar ke warna hijau dan pintu besi terbuka dari dalam. Kau tersengih.
Sekejap. Sebenarnya, kau nak ke mana?
Seperti ada daya sedang menarik kau masuk ke dalam pintu besi tersebut. Kau teruja bukan main. Macam nak terima takhta jadi ratu. Ada ramai umat manusia sedang bersorak untuk kau.
Tiba-tiba, ada satu lubang misteri muncul betul-betul di bawah tapak kaki kau. Apa lagi, tarik nafas untuk sesi menjerit. Sudah bersedia?
Tiga …
Dua …
Satu …
Arghhh!!!
Belakang badan tersandar pada papan gelongsor. Syukur ada gelongsor! Kalau terus masuk lubang kubur? Pergh!
Tempat apa ini? Gelap macam masa depan kau. Eh, terasa ke? Haha! Relakslah kawan. Inikan diri kau. Yang suka buat lawak hambar tak kira masa dan tempat.
“Yong, apa hal?”
Tiba-tiba suara adik perempuan kau menyedarkan diri kau. Eh? Kau masih berada di dalam bilik kau? Bukan tadi dekat gelongsor ke?
Cepat-cepat kau lekapkan balik telefon pintar ke telinga kanan. “Apa? Apa? Tak ada apalah! Dah la. Jangan kacau aku tidur. Entah-entah, penyewa lama yang berhutang. Tu yang cari rumah kita.”
Wah, hebatnya alasan kau! 10 markah! Nampak bijak.
“Apa yang kau merepek ni, yong? Ini rumah kita sendiri. Tanah kita. Keturunan kita. Bila masa keluarga kita bagi sewa kat orang lain?”
“Dahlah. Aku nak sambung tidur. Jangan kacau aku!”
Tut. Panggilan telefon dimatikan. Sebenarnya, kau sudah kenapa? Kenapa nak marah sangat dengan adik kau? Kau hutang apa? Hutang nyawa?
Tok! Tok! Tok!
Ah sudah. Baru saja kau kerah tenaga untuk layan adik kau, mambang entah mana datang ketuk pintu kau. Mulut kau membebel-bebel. Tak berhenti. Macam bertih jagung tengah meletop. Pop pop pop! Eh, serupalah! Jom buat lagi! Pop pop …
Tok! Tok! Tok!
Haih. Apa lagi. Kau ini ditakdirkan untuk tidak aman ya? Kasihan.
Dengan perasaan malas semula jadi, perlahan-lahan kau aturkan langkah menuju ke pintu rumah utama. Oh ya, kau duduk di sebuah kondominium yang ada tiga buah bilik. Kau seorang aje duduk dalam rumah ini. Gaji berkepuk-kepuk kan ...
“I’m coming!”
Perlahan-lahan kau buka pintu. Tuas kunci disentuh dengan ibu jari. Sistem keselamatan rumah kau bersiap sedia. Daun pintu terbuka sendiri.
Sebuah kotak kecil berwarna hitam dan sepucuk surat ditindih dengan kotak tersebut. Kuno? Yalah. Nak buat macam mana? Bajet tak cukup mungkin. Tapi, kau patut bersyukur dapat rumah yang serba canggih.
Kau pun toleh ke kiri dan ke kanan dan ke kiri semula. Tiada seorang pun yang berada di lorong rumah kau. Siapa pula yang hantar kotak itu?
Kau pun ambil kotak itu dengan penuh berhati-hati. Puas membelek-belek kotak itu, kau pun mengambil keputusan untuk masuk ke dalam rumah dengan dahi yang tidak berkerut. Pintu rumah kau tutup kembali.
Kau terus meluru ke arah ruang tamu. Kotak kecil di tangan kau terus letakkan di atas sebuah meja kopi. Kau cekak pinggang. Tangan kiri kau pegang dagu.
Siapa pula yang beri hadiah? Nak kata hari jadi kau, dah lepas. Nak kata kau ada peminat rahsia, macam perah santan pula.
Snap!
Ya, baru teringat yang kau ada alat pengimbas objek. Mana tahu ada dadah atau bom. Siapa tahu?
Kau pun berjalan menuju ke laci meja yang tak jauh dari kau. Sedang kau membuka salah satu laci, telinga kau menangkap bunyi sesuatu. Kau terhenti seketika daripada meneruskan aktiviti kau. Kau rasa diperhatikan. Mulalah kau berkira-kira. Nak toleh ke tidak.
Tapi, sepanjang kau duduk seorang diri dalam rumah ini, kau tak pernah lagi jumpa dengan benda-benda mistik.
Atau semua ini hanya halusinasi kau? Mungkin.
Kau menggeleng-gelengkan kepala. Akhirnya kau jumpa juga alat pengimbas objek. Bentuknya seperti sebuah kamera. Lain macam ya alat kau ini. Kau pun terus meluru ke arah meja kopi kau.
Butang kuasa ditekan. Dengan sekali sentuhan pada ikon kamera, kau hanya perlu menunggu beberapa detik untuk melihat isi kandungan kotak itu. Sambil-sambil itu, kau mula membuka sepucuk surat untuk dibaca.
Kepada Jeewa,
Selamat tinggal. Terima kasih untuk segala-galanya.
Tunggu aku di pintu syurga.
Usai membaca surat itu, dahi kau berkerut. Ini wasiat ke? Mana pula peratus pembahagian harta? Terlupa letak ke?
Bip!!!
Proses imbasan selesai. Ingin sahaja kau beralih, mata kau terbuntang luas. Ya, sangat realistik. Terasa ada sepucuk pistol diacu tepat di belakang kepala kau.
Share this novel