Laila tengah bersiap bersama kakaknya, Laiqah untuk ke pasar malam bersama abang mereka. Dua tahun berlalu semenjak kejadian persembahan Tok Sungai Kuning, hidup mereka sudah kembali seperti biasa.
Laiqah sedang memakai tudung shawl instant biru gelap labuh yang dibeli dari shopee; murah harganya tapi kualiti tetap memuaskan hati. Laila pula masih membetulkan awning tudung bawal labuh yang tidak kunjung dirasakan betul dimukanya. Sekejap-sekejap dibaiki sampai rapit, hingga ibunya datang mengetuk dinding luar bilik dengan nada tergesa-gesa; abang mereka sudah menghidupkan kereta.
Laila dan Laiqah tergelak kerana mereka tidak perasan panggilan Abe Mi tadi saking sibuk bersiap; kasihan Abe Mi terlalu lama menunggu.
Perjalanan ke pasar malam Machang tidaklah jauh. Apabila tiba, Laila dan Laiqah meninggalkan Abe Mi yang ingin mencari parkiran sesuai. Tempat pertama yang dikunjung Laila dan Laiqah adalah gerai roti. Mereka meminati banyak perisa pada roti buatan Hawa, pembuat dan penjual roti yang sudah cukup lama di pasar malam Machang.
Laiqah meminati apa sahaja perisa yang manis; coklat, strawberi, vanila, jagung dan jika kena pada musimnya, durian adalah yang paling diminati; meski ia agak sedikit mahal. Laila pula meminati perisa seperti sardin, serunding ayam atau daging, sambal ayam atau daging, isi ikan dan apa sahaja jenis lauk yang sesuai diletak dalam roti atau pau Hawa.
Lama mereka berada di situ berborak dengan Hawa sambil mendengar nasihat cara pembuatan roti yang sesuai; Hawa minat berkongsi caranya yang lebih ke arah mengukus roti kerana ia lebih lembut dan menangkap lebih banyak rasa dari inti yang diletak. Kemudian, mereka meneruskan pencarian ikan segar.
Memandangkan tidak ramai orang, banyak ikan segar dan udang yang mereka beli; walhal ibu menasihatkan supaya membeli ikan dahulu sebelum ke tempat lain.
Ketika Laila berhenti melihat beg di sebuah gerai tanpa kakaknya yang tiba-tiba hilang, dia terlihat sekumpulan aktivis yang sedang berdemonstrasi di tengah jalan pasar tidak jauh darinya.
Beberapa orang sedang memegang papan tanda tertulis 'Kehilangan Aktivis Muda di Kampung Kuning adalah berpunca dari penebangan hutan dan pembukaan ladang kelapa sawit HARAM'
Laila ingat kejadian tersebut. Lebih kurang tiga bulan yang lalu, sekumpulan aktivis memprotes di ladang milik bapa saudaranya. Kawasan itulah terletaknya astaka Tok Sungai Kuning. Pihak keluarganya sudah memberi amaran untuk tidak berada di situ saking bahayanya, tapi tidak berjaya. Sedangkan yang masuk ke situ hanyalah ahli keluarga yang dipimpin oleh waris Tokdor. Akibatnya, empat orang hilang manakala yang terselamat menjadi gila atau mati kerana sakit yang ganjil.
Kehilangan empat orang aktivis menjadi tajuk utama pada setiap badan berita. Beberapa minggu berlalu di Kampung Kuning dengan penuh orang ramai yang terdiri dari bomba penyelamat dan penjejak serta wartawan.
"Manusia itu amat bodoh, bukan?"kata satu suara dari belakang Laila.
Dia adalah sepupunya, Rayyan yang tua dua tahun darinya. Rayyan adalah waris Tokdor yang baru setelah Tokdor hilang selamanya(baca:mati).
Laila masih ingat dua tahun lalu, Rayyan hilang setelah semua orang terkeluar sekelip mata setelah ngauman Tok Sungai Kuning bergema. Kemudian, dia ditemui dalam keadaan disalib pada sebatang pokok kelapa sawit. Kulitnya seakan tertanam pada batang pokok yang membuatkan efek seakan melekat. Mereka perlu memotong pokok tersebut untuk mendapatkan Rayyan. Tubuhnya penuh dengan darah sendiri dan perlu dibawa ke hospital kerana risau dengan jangkitan.
"Kita juga adalah manusia."balas Laila lembut lalu kembali memandang ke arah para aktivis.
"Kita berdua adalah tidak."balas Rayyan kembali. Laila sudah tidak menjawab. Dia memandang sebentar sepupunya itu dengan sedikit perasaan keliru. Kenapakah dia berubah mendadak?
Dahulu, Rayyan adalah seorang yang ceria dan bermatlamat tinggi; kini, dia menjadi seorang pesimis angkuh, pendiam dan hilang segala minat.
Dulunya punya impian menjadi guru, tapi kini dia berhenti sekolah sebelum sempat menghabiskan tingkatan empat. Dia juga sering masuk ke dalam Medan Sungai Kuning seorang diri dan sering juga Laila terpaksa ikut kerana dirinya adalah gadis sunti terpilih. Dari hubungannya dengan Tok Sungai Kuning, Rayyan membentuk pemikiran yang pelik-pelik.
Hasilnya adalah anggapan Rayyan bahawa Gadis Sunti Sungai Kuning dan Waris Tokdor adalah satu spesies makhluk yang berbeza setelah dipilih. Baginya, fizikal mereka berubah meski tidak dapat dilihat demi memenuhi tanggungjawab dalam gelaran tersebut. Bukan itu sahaja, Rayyan percaya yang mereka berdua punya 'kuasa', yang mana agak sukar untuk diterima akal.
Laila tidaklah sepenuhnya menolak tanggapan tersebut, tapi dia juga tidak percaya sepenuhnya. Hatinya menolak kerana takut otak pemikirannya berubah menjadi seperti Rayyan. Tapi akalnya menerima bulat-bulat kerana matanya sudah melihat kengerian dan keanehan yang berlaku sepanjang berada di dalam Medan Sungai Kuning.
"Pujuk mereka supaya pergi dari sini. Tok Sungai Kuning tidak suka langau masuk menganggu rumahnya. Guna kuasamu sebagai Gadis Sungai Kuning."bisik Rayyan.
"Kami nak minta isi petisyen ini online ya cik, kami perlukan sokongan supaya dapat meneruskan siasatan."Seorang aktivis berjanggut nipis menghulur sekeping flyer kepada Laila sambil tersenyum. Dia dapat melihat namanya pada name tag adalah Tengku Adnan. Laila cuba mencari Rayyan, tapi dia sudah tiada; lesap entah ke mana. Ah, dia guna 'kuasa'nya!
Laila melihat kertas flyer yang tertera QR kod. Dia mengangguk pada Tengku Adnan, lalu tersenyum. Kemudian dia mengucapkan terima kasih. Laila tidak tahu yang Tengku Adnan punya peranan yang besar dalam hidupnya dan pada cerita yang kita akan kisahkan.
Tapi kita simpan itu untuk bahagian seterusnya. Bersambung…
P/S: Nampaknya, ramai yang tak suka cerita yang terlalu panjang. Ini berdasarkan bilangan view sebelum pada bahagian kedua. Atau mungkin semua orang terlalu sibuk beraya. Jadi saya cuba sedaya upaya untuk tulis sedikit-sedikit kali ini, tanpa meninggalkan kualiti cerita yang terbaik. Sampai jumpa lagi!
Share this novel