Episod 1

Thriller Series 510

Laila dikejutkan dari tidur pada suatu malam yang sangat gelap; malam anak bulan. Ibu dan kakaknya mendesak supaya cepat bersiap untuk ke astaka Tok Sungai Kuning kerana Tokdor sudah berada di situ menunggunya(datuk saudara mereka). Apabila ditanya kenapa, mereka beritahu akan beritahu sepanjang perjalanan ke sana. Laila anak yang sangat baik dan menurut kata, tapi dia tidak lurus bendul. Sudah pukul berapakah dia dikejutkan ini? Penting sangatkah untuk ke sana? Dia tidak pasti. Dia bangun ke tandas dan mencuci diri. Matanya melilau pada jam dapur, pukul 2 pagi! Apalah yang ingin dibuat di sana pagi-pagi buta ini?!

"Pakai saja telekung, kita sudah terlalu lewat! Ramai sedara mara sudah menunggu di luar,"ibunya menghulur telekung lalu bergegas keluar.

Meski masih mamai, dia menyauk telekung dan turun. Kakaknya yang terakhir berada dalam rumah, menutup pintu dan menguncinya. Perlahan-lahan tubuhnya ditolak oleh kakak kerana kelihatan masih cuba memproses apa yang terjadi supaya segera mengikut ibu. Dia dapat melihat ramai saudara-maranya sedang berkumpul di depan pagar rumah. Bapa saudara, ibu saudara dan sepupu-sepupunya juga hampir separuh berada di situ. Seorang sepupu lelakinya, Jani menghulur dulang kayu dengan pulut kuning dan telur ayam hutan(kecil) kepadanya untuk dipegang. Dia tertanya-tanya dalam hati, siapa yang nak makan pulut malam-malam sebegini?

Lana, sepupu perempuan yang berumur empat belas tahun, datang padanya dengan wajah pucat dan bertanya adakah dia sudah bersedia; mereka sebaya berbeza dua bulan. Tapi, Laila tidak memahami apa yang sedang berlaku, jadi Lana memperingatkannya tentang persediaan yang telah dilakukan oleh keluarga mereka dan bagaimana Laila dipilih.

Barulah ingatan siang tadi datang memenuhi fikirannya. Laila dipilih sebagai salah seorang gadis sunti untuk mempersembah adat pulut kuning keluarga Tok Sungai Kuning kepada Tokdor. Adat ini diperturunkan dari generasi ke generasi untuk pertukaran hak milik kepada waris seterusnya. Waris masih belum dipilih dan menurut ayahnya, akan diketahui malam ini.

Laila mula berdebar. Jantungnya berdegup laju. Dia asyik berharap hari ini tidak akan tiba. Seminggu yang lalu, dia dilatih untuk membawa hanya dulang biasa hingga jauh ke dalam ladang kelapa sawit, lalu masuk ke dalam kawasan astaka yang dibina tepi sungai kuning. Dia tidak akan keseorangan malam ini. Seluruh keluarganya akan mengikut dari belakang dan dia sebagai kepala. Ibu saudaranya memakaikan sanggul lintang yang diperbuat dari emas dan permata di kepalanya, lalu membacakan doa perlindungan dari syaitan durjana.

Bermulalah perjalanan yang sangat panjang ke dalam ladang kelapa sawit milik keluarganya. Kelihatan pihak lelaki bersiaga dengan sebilah parang setiap seorang dan membentuk satu barisan di kiri dan kanan manakala pihak perempuan berada di tengah-tengah, tapi tiada satu pun mendahului Laila kerana dia adalah ketua persembahan.

Apabila sampai di satu kawasan, berlaku satu keajaiban yang menakutkan. Pelita yang dipasang sepanjang jalan menuju astaka menyala satu persatu tanpa ada sesiapa yang lakukan. Yang lebih pelik adalah cahayanya berwarna biru dan ia hanya menerangi jalan di tengah-tengah (jalan mereka), tidak jalan di sekeliling yang lain; bahkan langit pun tidak kelihatan saking gelapnya keadaan mereka. Mereka seakan berada dalam terowong yang dipenuhi cahaya biru yang saling menari antara satu sama lain.

Perkara pelik biasanya datang selepas satu persatu. Maka tidak lama kemudian, kedengaran nyanyian kanak-kanak yang bersahutan dengan bunyi gendang dan kompang yang halus. Nyanyian mereka sukar difahami kerana ia dalam loghat Kelantan kuno yang terlampau jauh terpisah dari dunia moden. Namun beberapa perkataan dapat dikenalpasti seperti Che-teri yang bermaksud Che Tuan Puteri. Selebihnya hanyut dalam melodi nyanyian dan alat muzik yang didendang.

Pada ketika ini, Laila sudah menangis ketakutan. Tubuhnya terketar-ketar dan berpeluh. Dalam hatinya berkata, sanggup keluarga membiarkan dirinya berjalan di depan sekali dalam keadaan gelap gelita seperti berada dalam lohong hitam. Dia tidak sedar, ibu dan ahli keluarga perempuan di belakang juga turut menangis, malah ada yang menutup mata kerana terlalu takut. Keadaan mereka seakan berada dalam dunia lain; dunia yang terlalu asing dan jauh dari sangkaan mereka bahawa ia dahulunya adalah sebuah ladang kelapa sawit.

Bukankah sepatutnya ada pokok sawit? Tapi jalan ini langsung tidak menampakkan ada hidupan selain mereka; ia hanyalah dipenuhi tanah dan batu-batu kecil, tapi tiada rumput. Malah, tiada langsung 'bunyi hutan' melainkan suara nyanyian kanak-kanak yang berada entah di mana; seluruh keluarga Laila betul-betul berada dalam 'dunia yang sangat sunyi'.

Laila sudah tidak dapat bertahan. Ketakutan yang terlalu kuat hampir meretakkan mindanya yang rapuh. Bukankah dia hanya budak berumur empat belas tahun? Minda empat belas tahun mana yang dapat bertahan disuruh mengetuai persembahan hingga penghujung jalan yang kelihatan tidak akan berakhir; hampir termuntah jika melihat jalan ini terlalu lama kerana ia seperti fatamorgana yang bergerak berpusing-pusing. Ditambah pula dengan bunyi-bunyian yang dirasakan tidak sesuai didendang pada pukul tiga pagi; sebuah nyanyian yang dirasakan bukan datang dari anak tekak manusia kanak-kanak, tapi milik entiti yang tidak difahami akal fikiran budak empat belas tahun atau mana-mana manusia.

Terlintas difikiran Laila untuk melarikan diri ke belakang dan pulang ke rumah; kembali di atas katil dan mengunci pintu. Dia tidak kisah apa yang keluarganya akan kata sebab dia sangat perlu untuk bebas dari ketakutan ini. Tangannya sudah kebas memegang dulang kayu yang sedikit berat. Tiba-tiba, dia mendengar 'sesuatu' sedang bernafas(menarik dan menghembus); sesuatu yang dirasakan sangat besar kerana impak angin yang dihembus sangat kuat meniup tubuhnya. Sekali lagi Laila menangis ketakutan sambil menunduk. Dia tidak dapat melihat apa yang berada di depan atau atasnya, semuanya gelap. Jadi hembusan itu memberi gambaran dalam kepalanya, ada gergasi yang sedang melihat. Dia juga dapat mendengar tangisan ketakutan Lana dan beberapa orang lagi sepupunya; juga esakan hingus dari sepupu lelaki yang cuba menyembunyikan ketakutan sendiri.

Laila memejam mata kerana sudah tidak sanggup. Lintasan hati untuk lari sudah terpadam. Sekarang, dia kaku dan tidak lagi bergerak. Kakinya terketar-ketar menahan dari terduduk. Jika pundi kencingnya berisi, pasti dia sudah terkencing di situ. Ketika itulah, dia mendengar suara seseorang melarangnya menutup mata. Suara itu sangat dikenalinya; ia milik abang kandung, Abe Mi yang baru masuk umur dua puluh lima tahun. Laila membuka matanya perlahan-lahan dan melihat abangnya memakai topeng merah Makyong dan berbaju silat hitam dengan tali pinggang merah; bajunya tiada lengan, jadi kelihatan otot lengan yang kekar hasil latihan yang tegas. Dia teringat yang abangnya tiada bersama ketika awal-awal mereka meninggalkan rumah, bahkan ayah juga tiada. Rupanya mereka sudah ke'sana' terlebih dahulu.

Abe Mi berkata lembut dan jelas, seakan masa tidak terburu-buru sambil memegang tangan Laila."Laila, bahaya berjalan dengan mata terpejam, nanti terjatuh. Pegang dulang sembah dengan tenaga yang kuat dan bersemangatlah. Tok Sungai Kuning tidak suka yang lemah-lemah. Cepat berjalan, sudah lama Tokdor menunggu."

Laila mengalih pandangan pada jalan dan cuba menarik nafas yang tercungap-cungap. Sentuhan tangan Abe Mi tadi seakan memberi sedikit kekuatan pada tubuhnya yang menjalar hingga ke jantung. Sedikit tenaga itu memaksanya membuat keputusan untuk meneruskan langkah kaki. Lorong gelap dengan cahaya biru yang langsung tidak membantu menerangkan jalan kelihatan sangat jauh. Adakah terdapat pengakhiran kepada jalan yang terasa panjang ini? Laila tidak tahu. Tapi dia perlu bergerak pantas. Tokdor sudah menunggu.

InnsyaAllah, akan ada 12 Bab kesemuanya. jemput baca selebihnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience