Bahagian 2

Thriller Series 510

Langkah pertama Laila dimulai dengan pengharapan kepada Tuhan; memohon perlindungan dari apa yang sedang menakutkan hatinya. Hatinya berkata, jika Tuhan tiada, pasti dia akan melarikan diri tanpa menghiraukan abangnya.

Perjalanannya tiba di sebuah kawasan luas yang mempunyai cahaya kuning terang. Cahaya tersebut dihasilkan dari air sungai kuning yang biasanya berada di tepi astaka. Tidak silap lagi, dia sudah tiba di astaka Tok Sungai Kuning. Nyanyian kanak-kanak tadi juga sudahpun berhenti sejurus mereka tiba di sini. 

Tempat ini betul-betul berbeza dari keadaan asalnya. Pokok-pokok kelapa sawit yang sepatutnya tumbuh tersusun dalam barisan samada seberang sungai atau di belakang astaka, langsung tidak kelihatan. Cahaya dari sungai kuning yang terlihat mengalir sangat pekat menerangkan keadaan sekeliling yang dirasakan sangat asing, seakan berada di sebuah tempat berbatu yang kering dan tanpa sedikit pun tumbuhan. Bahkan tanah pun banyak kesan rekah. Laila melihat kepada kawasan yang berada jauh dari cahaya sungai; ia gelap gelita seperti angkasa yang tiada bintang mahupun bulan. 

Pada Laila, ini adalah dunia asing; terpisah daripada dunianya sendiri melalui 'terowong' yang mereka lalui. Adakah ini yang dipanggil 'Medan Sungai Kuning'?

Ketika kecil, mereka sering dimomokkan dengannya jika tidak pulang setengah jam sebelum maghrib. Kata nenek, medan ini biasanya terbuka pada waktu diantara cahaya dan kegelapan(waktu senja); sesiapa yang mendatangi medan ini tanpa izin, tidak akan dapat menemui jalan pulang. Medan yang terbuka, kata nenek, hanyalah ibarat tanda Tok Sungai Kuning ingin 'membiarkan angin masuk' kerana malam adalah siang baginya. Mereka yang tersesat di Medan Sungai Kuning, tidak akan dapat bertahan lama kerana angin yang bertiup di sini tidak sama dengan dunia sebenar; bahkan makanan dan juga minuman. Buktinya, lihatlah kepada sungai kuning tersebut; pekat likat seperti gam.

"Jangan alih tumpuan. Aku tidak mahu kau menutup mata nanti."Laila mengalih pandangan ke arah depannya. Tokdor, yang berpakaian baju Melayu biru, datang ke arahnya sambil memberi beberapa amanat. Di belakang Tokdor adalah ayah Laila, bapa saudara dan sepupu ayah Laila yang memakai pakaian sama dengan Abe mi; hanya topeng sahaja berlainan warna. Ayahnya tidak dapat bercakap dengannya, jadi dia hanya mengangguk dengan alamat supaya Laila kuat dan tabah.

Laila mengikut Tokdor dari belakang dan menaiki tangga astaka Sungai Kuning. Setiap anak tangga menghilangkannya dari pandangan keluarga; sekali lagi, dia memasuki lapisan alam yang berbeza. Alam ini memisahkannya dari luar astaka; hanya kegelapan yang berada di luar. Astaka pula tidak ada lampu. Ia hanya diterangi satu cahaya yang datang entah dari mana. Di situ terdapat neneknya yang sedang duduk melutut sambil menunduk hormat, seakan melakukan perkara yang biasa dibuat pada raja. Selain mereka bertiga, tiada siapa di situ. Sepertinya, nenek menunduk hormat tidak kepada sesiapa, tapi pada sesuatu yang ghaib.

Tanpa disuruh, Laila berjalan di hadapan nenek, lalu duduk mempersembah dulang pulut. Dia duduk menegak dan merapatkan kedua belah tangan setinggi dadanya, lalu mula menyanyi. Ia adalah nyanyian gadis sunti berloghat Kelantan yang menceritakan tentang keadaan semasa dan bentuk dunia luar. Seiring dengan nyanyian Laila, nyanyian kanak-kanak juga bergema sebagai suara latar.

Di timur, punya laut

Tenangnya air, tapi manusia tidak

Dua raja saling berbalah,

Mengugut perang yang tidak kunjung tiba.

Di tanah tengah masih kemarau

Tanah masih tandus

Punya air tapi tidak boleh diminum

Air rebutan raja barat

Semoga berakhir musim kemarau

Doa si raja timur.

Di barat yang dikata subur,

Makin lama mula bergolak,

Tanah dan airnya makin tidak tenang,

Kuasa khayal menghancur rakyat

Itulah dia,

Itulah dia,

Cerita-cerita,

Yakniku sembahkan.

Itulah dia,

Itulah dia,

Kisah-kisah.

Nyanyian ini memakan banyak tenaga Laila, hingga dia tercungap-cungap. Semakin lama, semakin banyak peluhnya keluar. Tapi dia tidak berani mengelap peluh kerana berasa takut. Tidak lama kemudian, dia mendengar sesuatu bergerak; bunyi mengengsot seperti ular, hanya sahaja kedengaran lebih besar. Neneknya semakin rapat dengan bumi setelah mendengar bunyi itu. Laila dapat mendengar neneknya teresak menahan air mata; dia juga sedang sangat takut.

Tiba-tiba, deruan angin merempuh mereka; ia tidak terlalu kuat, tapi berasa amat besar, seakan datangnya dari hembusan nafas gergasi. Ia datang berulang kali menguatkan sangkaan tersebut. Laila semakin takut. Dia tidak dapat menahan air mata; pipi yang sudah kering, mulai basah kembali. Dia ingin menutup mata, tapi Tokdor sudah melarangnya awal-awal lagi dengan amaran keras. Kasihan Laila yang masih mempunyai mental seorang budak muda.

Baru sahaja dia cuba bertenang, sesuatu muncul dari kegelapan luar astaka; ia masuk ke dalam perlahan-lahan. Kali ini, ketakutan Laila bertambah berlipat ganda. Apakah itu? Apakah ada bentuk yang tidak mempunyai bentuk? Bentuknya seperti air tapi tidak selembut air. Lalu, apakah bentuk itu? Ia tidak menepati segala bentuk yang wujud dalam pemahaman dan pelajaran manusia; bukan segitiga, bukan petak, bukan bulat, malah bukan mana-mana polygon atau campuran dari kesemuanya. Tubuhnya tidak terpisah dari kegelapan luar, seperti anggota tubuh yang direnggang untuk mencapai sesuatu. Mungkinkah itu Tok Sungai Kuning?

Apabila ia menghampiri pulut kuning, barulah Laila yakin yang ia berfungsi seperti tangan. Cara ia mengambil pulut juga sangat menghairankan kerana ia lesap sekelip mata, tinggal dulang sahaja yang dilempar ke belakang, lalu patah. Tubuh Laila terketar-ketar apabila ia cuba menghampirinya. Keluar satu wap udara ketika ia sudah dekat dengan wajahnya; wap panas yang hampir mencederakan wajahnya. Oleh sebab terlalu takut, dia tidak berganjak meski berasa sangat sakit. Lama ia cuba memerhati seluruh tubuh Laila sebelum kembali semula ke dalam kegelapan. Tapi Laila masih belum berani untuk bergerak. Tangannya tidak mampu untuk mengelap pipi yang semakin lama semakin banjir dengan air mata yang maha takut.

Belum jua dia dapat menarik nafas lega, tubuh entiti tadi menerkam neneknya dengan menelan hidup-hidup. Laila dapat melihat jelas nenek yang kelihatan lemas dalam tubuh entiti yang seakan lutsinar; bukan itu sahaja, dia juga terseksa kerana wap panas yang dihasilkan entiti ini. Seiring mulut nenek yang menganga cuba mencapai udara, Laila juga ternganga kerana terkejut; air liur mengalir keluar sama laju dengan air mata.

Tiba-tiba, kepala nenek terpulas beberapa kali seperti kepala paip. Semakin banyak yang dipulas, semakin luas mata dan mulutnya. Akhirnya, nenek mati tanpa hembusan nafas terakhir. Laila tidak dapat menahan esakan sejurus melihat mata nenek terbeliak memandangnya seakan mahu tersembul keluar. Kemudian, tubuh entiti mencekik leher yang sudah terpulas hingga terpisah dari badan. Ia terapung sebentar dalam tubuh entiti, lalu keluar dan jatuh bergolek di hadapan Laila. Kasihan nenek, hilang nyawa begitu sahaja.

Setelah 'tangan' entiti kembali ke dalam gelap, Laila mengambil kepala nenek yang melecur teruk. Tudung nenek masih melekat pada wajahnya, namun banyak kesan terkoyak. Kain tudung yang masih tinggal, dibalut menutup seluruh wajah. Dia melihat sekali lagi balutan kepala nenek; langsung tiada darah, seakan ia disedut keluar tanpa belas. Laila memeluknya sambil melepaskan esakan kecil; dia masih takut, tapi terlalu sedih. Dia memandang Tokdor yang berada tidak jauh daripadanya; air mata membasahi janggut dan pipi menandakan Tokdor juga terseksa jiwa raga melihat adiknya dibaham sebegitu rupa.

Laila kembali memeluk nenek dan akhirnya tertidur dalam keadaan begitu. Lama dia tertidur sebelum tersedar kembali dalam keadaan terkejut. Dia memandang Tokdor dan ingin bertanya apa yang telah berlaku. Tapi Tokdor memberi isyarat supaya diam dan duduk menegak. Laila kembali membuka balutan tudung nenek dan setelah yakin kepala itu masih nenek, dia kembali menutupnya.

Tiba-tiba, suara ngauman raksasa yang sangat membingitkan telinga bergema segenap penjuru. Ia adalah ngauman yang sangat aneh kerana Laila belum pernah lagi mendengarnya. Apakah seperti harimau? Tidak, kerana ia lebih lembut. Adakah seperti gajah? Tidak, kerana ia lebih keras. Adakah seperti serigala? Tidak, kerana ia lebih panjang. Ngauman itu menikam jantung Laila, lalu menyerang dengan ketakutan. Kepala nenek digenggam dengan sangat kuat kerana itulah simbolik nyawanya; usaha untuk melindung hati sendiri.

Usai ngauman berhenti, Tokdor bangun, lalu memandang Laila dengan perasaan kasihan; wajahnya penuh dengan emosi kepenatan. Laila tidak tahu apa yang akan terjadi sekarang. Arahan diberi supaya setelah selesai, dia perlu keluar. Setelah Tokdor mengangguk dengan mata terpejam, barulah dia faham. Kini, giliran Tokdor pula menjadi seperti nenek. Tokdor mengidupkan api pada pelita di tangannya, lalu berjalan ke dalam kegelapan. Buat seketika, Laila masih dapat melihat cahaya sayup. Namun sekelip mata, cahaya itu hilang ditelan kelam.

Bergema angkasa dengan jeritan seseorang dengan diikuti barisan jeritan suara kanak-kanak yang mula-mulanya menyanyi. Ia bersahutan seperti jeritan yang diulang banyak kali.

Setelah habis segala insiden ngeri dan dipastikan 'dunia' sudah kembali aman, Laila menunggu sebentar selama dua puluh minit sebelum berdiri untuk pulang. Tapi kakinya kebas, lalu dia jatuh terjelepuk ke lantai dan kepala nenek bergolek. Dia cuba mengengsot tubuhnya sedikit demi sedikit saking kaki yang tidak berfungsi, lalu cuba mencapai nenek. Kemudian, dia mengengsot perlahan keluar dari astaka, lalu menuruni anak tangga satu persatu. Tiada sudah ahli keluarganya di situ, kawasan ini sudah menjadi tanah yang sunyi.

Laila memandang ke arah air sungai kuning; sungguh cantik dan memukau seperti emas yang bersinar. Lama dia memandang, hinggalah kekuatannya pulih untuk meneruskan langkah kaki keluar dari medan sungai kuning. Perjalanannya sungguh lama sepanjang melalui terowong untuk ke dunia luar; sunyi dan sepi tanpa sebarang bunyi. Apabila Laila sudah bebas, dia terbaring sebentar di atas jalan tar; tubuhnya sangat penat. Mujurlah ahli keluarganya datang menyambut dengan tangisan air mata dan jeritan. Ibunyalah yang paling panik; hampir gila memikirkan anak yang dibiarkan sendiri dalam medan sungai kuning.

Dalam riuh-rendah tersebut, Laila dapat mendengar suara seseorang menjerit 'Waris Tokdor sudah dipilih!' 'Waris Tokdor sudah dipilih!'. 

Dia tidak sempat melihat siapakah orangnya. Malam yang dirasakan panjang ini telah meragut jiwa dan kekuatannya, hingga dia tidak mampu lagi bertahan untuk berjaga. Laila pengsan tidak sedarkan diri di pangkuan ibu dan ayah.

Bersambung…

P/S: (Penulis) Terima kasih semua atas sambutan kepada cerita 'Laila dan Hantu Sungai Kuning' Bahagian 1. Saya terharu sungguh setelah baca semua komen murni dari para pembaca budiman. Ada yang berharap bahawa tulisan ini perlu disambung. Oleh sebab itu, saya sangat bersemangat menulis Bahagian 2 dan hasilnya adalah penulisan yang panjang ini.

Untuk Bahagian 3 nanti, kita akan dapat tahu lebih banyak lagi tentang peribadi Laila, siapakah waris Tokdor dan sifat alam Hantu Sungai Kuning. Bukan itu sahaja, kita akan diperkenalkan dengan watak aktivis yang cuba memasuki Medan Sungai Kuning tanpa sengaja. Jangan risau, kalau terlalu panjang, saya akan potong dan masukkan ke bahagian empat.

Apapun, terima kasih atas sambutan kali ini. Jumpa lagi di Bahagian 3!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience