BAB 1

Romance Completed 7750

Kael lelaki yang pemalu. Hendak keluarkan sepatah perkataan pun payah. Sepatah ditanya sepatah dia jawab itupun nampak macam terpaksa. Oleh kerana sifat malunya yang terlalu itu akhirnya menyebabkan dia menjadi seorang yang lebih banyak diam daripada banyak bercakap. Maka Kael digelar lelaki pendiam dan pemalu.

Lelaki yang berambut pendek, berkulit sawo matang dan berkaca mata bingkai tebal itu melangkah sambil menundukkan kepala memandang bumi. Dalam ketenangan pagi itu dia melewati sebuah taman rekreasi. Pada waktu begini terdapat beberapa orang sedang bersenam. Ada yang berlari-lari anak, ada yang sibuk tekan tubi dan sebagainya.

Sekitar jam lapan pagi matahari mula meninggi. Sinar terang itu merupakan satu nikmat yang dikurniakan oleh Ilahi tiada tara. Dia membayangkan alam ini sekiranya tanpa cahaya, sudah pasti manusia akan terus teraba-raba mencari arah. Dari itu dia sentiasa mensyukuri setiap anugerah Ilahi tidak kira walaupun ia cuma sebesar zarah.

Cahaya matahari yang memanah kulit jelas terasa bahangnya. Kael membuat keputusan untuk duduk di bangku kayu di dalam sebuah pondok yang berada tidak jauh darinya.. Hanya beberapa langkah akhirnya dia tiba di situ. Dia menamatkan senaman berjalan kaki dengan duduk di bangku tersebut. Lakaran dan corak serta ukiran yang terdapat pada bangku itu sungguh unik dan ia dipersembahkan dalam bentuk tradisional. Suatu nilai dan khazanah Melayu yang diteruskan tradisinya agar tidak luput ditelan zaman untuk generasi akan datang.

Kael mengeluh panjang kerana dalam usianya yang menjangkau lewat 30an, dia masih belum berumahtangga sedangkan rakan-rakan sebaya dengannya sudah menemui jodoh masing-masing. Bukannya dia memilih tetapi ada yang tidak kena. Bukan kecantikan seseorang gadis yang dicari tetapi nilai lemah lembut serta nilai budi bicara yang diharapkannya. Masih ada lagi ke gadis macam tu? Dia tertanya-tanya sendiri sambil mahu menopang dagunya. Kaki yang berbujur itu dilipat dan dia sedia duduk dalam keadaan bersila di atas bangku itu.

Teringat kata-katanya pada malam tadi, ketika itu dia sibuk menyiapkan proposal untuk memulakan perniagaan. Dia mahu mengusahakan satu perniagaan berasaskan ikan Sudah pasti keropok lekor merupakan idea utama yang mesti direalisasikan. Dia sedia maklum bukan mudah untuk bergelar usahawan berjaya..

"Bila kau nak balik ni Kael? Bulan depan adik kamu nak kahwin.Sampai bila kau nak hidup bujang?" Ibunya, Rosnah bertanyakan akan hal sedemikian. Bagaikan tersentap rasa hati tatkala dia masih dihambat kekecewaan.

Kael mendengar setiap bebelan ibunya di hujung talian yang bagaikan satu panahan yang cukup tajam terbenam ke jantung hati. Ibunya menasihatinya agar melupakan sahaja apa yang berlaku. Jangan dikenangkan lagi perkara yang sudah.

"Bila Kael dah betul-betul bersedia." Jawab Kael perlahan dan semakin rancak pula leteran ibunya kerana kedegilan Kael sendiri yang enggan memberi ruang untuk melepaskan igauan ngeri dalam hidupnya.

"Sudahlah Kael, kau hiduplah dalam kenangan kau tu. Walaupun kau berdendam dengan Ida sekalipun dia takkan balik sini lagi. Dia dah ada teman hidup. Sampai bila kau nak harapkan dia? Tak habis lagi ke rajuk kamu tu?" Ujar ibunya.

"Saya tak pernah berdendam dengan dia mak, malah saya sentiasa maafkan dia. Mak... bukan Ida yang kecewakan saya." Balas Kael sambil bangun dari duduknya dan terus menghempaskan punggung ke katil.

Dia cuba meluahkan kenyataan sebenar kenapa dia terpaksa lepaskan Ida tunangannya. Betapa dia sayangkan Ida gadis secantik bunga yang mekar. Ida seorang gadis yang dikenalinya sejak dibangku sekolah lagi sehingga dewasa kini dia tetap rindukan Ida.

"Kenapa dia sanggup kahwin dengan orang lain? Kamu tu yang menyakitkan hati dia." Balas ibu.

"Assalamualaikum..." Tiba-tiba terdapat seorang gadis bertudung labuh lengkap berseluar sukan serta berkasut menyapa Kael yang temangu sendiri di pondok itu. Lamunan tadi berderai dan Kael terpisat-pisat menyambut salam yang dihulurkan.

"Wa`alaikumussalam." Balas Kael sambil memandang gadis itu dan kemudian pandangan matanya dijatuhkan. Malu benar dia berhadapan gadis yang kelihatan polos itu.

Gadis itu memandang pelik terhadap tingkah laku Kael yang nampak malu-malu. Kehairanan menampung teguh setelah Kael bingkas bangun dan memberikan tempat duduk kepada gadis yang tidka diketahui namanya.

"Jemput duduk." Pelawa Kael lantas melebarkan senyuman yang dipalsukan.

"Tak mengapalah. Saya datang ni pun sebab saya nak pulangkan dompet awak yang tercicir. Minta maaflah kerana saya telah membukanya untuk memastikan siapa sebenarnya pemiliknya." Beritahu gadis itu. Kael yang mendengar terus melihat dompet yang dihulurkan itu seraya meraba poket belakangnya. Dan ternyata, itu memang dompetnya sesudah diambil dari tangan gadis itu kemudiannya ditilik seimbas mata.

"Terima kasih." Kael berbesar hati benar-benar terhutang budi di atas kebaikkan gadis itu.

"Sama-sama." Balas gadis itu itu sambil tersenyum dan menampakkan lesung pipit terhias di wajah. Sementara itu, sekali lagi dompet itu dibuka oleh Kael. "Jangan risau, saya tak usik apa-apa pun selain daripada melihat foto awak." Gadis itu melanjutkan kata-katanya.

"Eh, saya tak bermaksud macam tu." Tingkah Kael kerana menyedari ucapan salah faham berbutir di bibir gadis berkulit cerah bertudung kelabu itu.

"Saya nampak awak bermurung. Ada masalah ke?" Tidak semena-mena gadis itu bertanya akan hal Kael yang tadinya nampak muram.

"Tak ada."

"Nama saya Nurul."

"Kael."

"Selalu datang sini?"

"Kadang-kadang."

"Saya pun kadang-kadang. Kebetulan pula kan?" Petah pula Nurul bersuara seolah-olah berminat untuk berkenalan dengan Kael. Kael hanya mengangguk sahaja. "Saya belanja minum, nak?" Kali ini Nurul mempelawa Kael minum. Janggal pula rasanya setelah Nurul yang tidak dikenali itu mempelawanya minum. Hendak ditolak nanti dikatakan sombong. Kalau menerima pula mungkin dikata mengada-ngada. Serba tidak kena jadinya.

"Kita berkawan boleh?" Pinta Nurul yang bersungguh-sungguh mahu mengenali Kael.

"Errr... boleh kut." Kael teragak-agak. Nurul pula tidak kedekut dengan senyuman.

"Datang seorang?"

Kael mengangguk.

"Kata nak pergi minum?" Kael mengingatkan Nurul yang mula rancak bertanya itu dan ini. Sengaja Kael mahu Nurul tidak banyak bertanya. Dirasakan pelik sikap Nurul seperti tidak takut mengenali orang yang tidak pernah bersua. Inilah kali pertama mereka bertemu.

"Jadi awak setuju?"

"Ya."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience