3

Romance Series 23204

SHAH ALAM

SOFEA tersentak. Perlahan-lahan matanya dibuka. Dia memegang kepalanya yang terasa berat. Botol ubat dimeja sisi ditoleh. Sofea cuba mengingati apa yang terjadi sebelum dia terlena. Telefon yang tergeletak di sebelah bantal dicapai. Demi sahaja melihat jam, dia mengeluh. Selalu sahaja begini. Tidur tidak sampai 5 jam. Susah benar dia mahu mencapai tidur yang benar-benar puas. Sofea bangun, duduk bersandar di kepala katil. Dia belek semula telefonnya. Terdapat banyak pesanan daripada Dr. Hafeez. Sofea baca satu-persatu pesanan itu. Berkali-kali Dr. Hafeez berpesan supaya menjaga kesihatan. Dia tidak endahkan pesanan itu. Dia Cuma tertarik pada pesanan yang terakhir.

Dr. Hafeez ~ Lena Sofea tidur. Tolong jangan macam ni lagi. Saya risau. Betul-betul risau. Kalau awak nak bercerita atau berbual, datang saja ke klinik atau call saya terus. Jangan sesekali awak rasa awak berseorangan. Awak masih ada mama dan papa. Awak masih ada saya.


Sofea merenung skrin telefonnya. ‘Dia teman aku sampai aku tidur?’ fikirnya. Dia mengeluh buat sekelian kalinya. Kenapalah lelaki ini harus jadi bayangan Farid? Semua apa yang dia buat, cara bercakap dan cara pandang hampir menyamai lelaki itu? Sofea menyembamkan wajah ke lutut. Memejamkan mata, cuba menghapuskan ingatan terhadap lelaki bernama Farid Ziqri. Namun, makin dia cuba untuk lupakan Farid, makin kuat ingatannya terhadap lelaki itu. Tujuh tahun bersama, bukanlah waktu yang singkat. Banyak kenangan pahit dan manis terlakar di Kota London, rata-ratanya bersama dengan Farid Ziqri.

IMBAS KEMBALI

LONDON

SOFEA membetulkan kaca matanya sebelum meletakkan kaki kanvas pendek dibawah sebatang pokok maple yang rendang. Sehelai kain dibentangkan untuk mengalas duduknya nanti. Beberapa media lukisan disusun disebelah kaki kanvas. Setelah itu dia meletakkan sebuah kanvas yang sederhana besar secara melintang. Sofea menarik nafas sebelum memandang bangunan Royal Holloway University of London. Dia memandang sekeliling. Terdapat beberapa orang pelajar yang sepertinya di situ. Ada juga rakan sekelasnya. Tugasan pertama mereka untuk semester kedua ini adalah melukis bangunan berwarna merah bata itu dengan menggunakan teknik gosokan. Media yang akan digunakan Sofea adalah pensel arang dan beberapa batang pensel jenis H, 5B dan 8B. kedua jenis media itu adalah media biasa yang digunakan untuk melukis menggunakan teknik gosokan, lorekan dan garisan.

Sofea memulakan lukisannya. Sebatang pensel H digunakan sebagai pemula lakaran. Pensel jenis H adalah pensel yang sesuai untuk memulakan lakaran kerana kehitamannya tidak terlalu cair dan tidak juga terlalu pekat. Dengan penuh khusyuk, Sofea melakukan perkara yang paling digemarinya sejak sekolah menengah lagi. Melukis adalah sesuatu yang menjadi minatnya sejak kecil tetapi tidak disangka pula minatnya itu akan terbawa hingga menyambung pelajarannya dalam bidang ini. Mamanya pernah berkata bahawa minatnya itu menurun dari adik papanya, yang kini sudah berjaya membuka sebuah galeri lukisan di Kuala Lumpur.

Leka dia menyiapkan lukisan itu, sehingga tidak sedar seorang lelaki berdiri dekat di sebelahnya. Ralit memerhatikan setiap pergerakan tangan Sofea yang mengaris dan mengosok lukisan dikanvas. Spontan dia tersenyum memandang betapa khusyuknya Sofea sehingga tidak menyedari kehadirannya. Matanya menjelajah seluruh wajah bersih Sofea. ‘Orang Malaysiakah?’ getusnya sendiri.


“Hai!” tegurnya. Hampir ketawa dia melihat Sofea yang terangkat sedikit bahunya akibat terkejut.


“I’m sorry if I startled you. Are you Malaysian?” soal Farid. Sofea hanya senyum segarit dan mengangguk. Dia kemudian meneruskan kerjanya tanpa menghiraukan Farid.


“Ouh haha! Ingatkan orang sini. Muka tu western betul ya!” Sofea tidak berkutik. Dia mengharapkan lelaki itu agar segera beredar. Dia tidak mahu diganggu!


‘Ish pergilah.. please!’ bisik Sofea. Dia menghela nafas perlahan apabila lelaki itu masih setia berdiri disisinya. Dia mengerling sedikit kearah lelaki yang tinggi lampai itu. Kacak! Dengan kulit putih dan mata bundar yang bersinar. Rambut lelaki itu agak tebal dan dikuak kebelakang. Sedikit panjang dihadapan. ‘Macam Neels Visser!’


“I Farid. Farid Ziqri! You..?” Suara lelaki itu lagi. Tangannya dihulurkan kepada Sofea. Sofea mendongak sedikit. Memandang lelaki itu. Dia kemudian kembali menyiapkan kerjanya tanpa mempedulikan Farid. Lelaki itu mengangkat bahu apabila Sofea tidak mengendahkannya.


“I ganggu you ke?” soal Farid. Tanpa segan-silu dia melabuhkan punggung disebelah Sofea.


“Sedikit..,” balas Sofea selamba. Tangannya berhenti menggosok lukisan apabila terdengar tawa kecil meletus dibibir Farid.


“Cantik you.. lukis,” puji Farid, ikhlas. Tanpa Sofea sedar Farid mengamati wajahnya.


“Imogen Poots..,” getus Farid. Secara tidak sengaja terbayangkan aktres kelahiran Hammersmith London itu apabila melihat wajah Sofea. Gadis itu mempunyai lekuk didagu dan tahi lalat kecil dipipi. Sama seperti Imogen Poots.


“Sorry..?” Sofea akhirnya memandang Farid kerana berasa terganggu dengan suaranya yang agak.. menjengkelkan! Matanya tajam merenung Farid yang masih tersenyum. Entah kenapa kehadiran lelaki yang tidak dikenali itu agak merimaskan.


“Farid!” belum sempat Farid bersuara, seseorang memanggilnya. Dia menoleh kelihatan temannya datang mendekat.


“Riz!” Farid bangun. Dia menepuk bahu kawannya itu. Memang pada mulanya dia mahu mencari lelaki itu tetapi Sofea lebih menarik minatnya untuk mendekati gadis itu. Terlupa sekejap dia pada Hud Aariz, temannya.

“Eh.. Sofea?” Aariz menjenguk, memandang wajah Sofea. Kelihatan gadis itu sedikit terkedu mendengar suaranya. Farid hanya memerhati sambil menjungkitkan kening. ‘Riz kenal ke?’

“Abang Hud!” Sofea tersenyum memandang abang sepupunya itu. Serta-merta senyumannya mati apabila tersedar bukan mereka berdua sahaja yang berada disitu. Dia berdehem sekali dua.

“Korang dah kenal ke?” soal Farid. Aariz pandang Farid kemudian matanya teralih pada Sofea.

“Dia sepupu akulah! Fea ni kawan abang, Farid. Kami ada kerja sikit dekat sini, tapi si Farid ni beria nak datang sini sebab nak tengok struktur bangunan. Tapi bukan bangunan yang ditengok!” terang Aariz. Sempat dia menyindir Farid. Lelaki itu ketawa kecil.

Memang itu tujuan utama mereka berdua ke London. Untuk melihat struktur bangunan yang terdapat disekitar Kota London. Aariz dan Farid Ziqri adalah rakan arkitek disebuah syarikat di Jerman. Seorang klien mereka berniat mahu membuka sebuah hotel yang berkonsepkan struktur bangunan seperti yang ada di London. Ala-ala British konsep yang dimahukan. Oleh itu mereka berdua harus ke London untuk membuat kajian dan melihat contoh bangunan yang ada. Kebetulan pula bertemu dengan sepupu Aariz yang belajar disini.

“Aku tengok bangunanlah! Tengok ni sepupu kau lukis. Cantik! Dia ambil architecture jugak ke?” soal Farid, sengaja. Kalau ditanya sendiri pada tuan badan, pasti tak akan dijawab!


“Tak! Degree in art. Fea dah habis kelas ke? Dah makan?” soal Aariz sambil melihat jam tangan. Waktu yang sesuai untuk mereka makan tengah hari.

“Baru habis. Nantilah Fea makan. Nak siapkan assignment!” kata Sofea, lembut. Aariz mengangguk.

“Kau nak makan tak! Ke dah kenyang usha anak dara orang?” Aariz menepuk bahu Farid, menyedarkan lelaki itu yang terlalu khayal memandang adik sepupunya itu. Ada rasa tidak senang hati melihat ulah Farid. Sofea yang mendengar apa yang dikatakan Aariz, menunduk sedikit. Dia tahu ‘anak dara’ itu ditujukan kepadanya.

“Ish kau ni! Kesitu pulak. Yalah, jom makan. Aku lapar ni! Jumpa lagi.. Sofea,” lembut pandangan Farid. Dia tersenyum manis kepada Sofea. Gadis itu hanya mengangguk. lega kerana lelaki itu sudah mahu beredar.

“Abang pergi makan dulu. Fea jangan lupa makan jugak. Nanti abang datang lagi..” Kata Aariz. Sofea hanya mengangguk dan tersenyum.

“Haa abang yang ni pun datang lagi tau!” usik Farid. Dia suka melihat wajah Sofea yang sedikit merona merah. Aariz menyinggung sedikit pinggang Farid. Sofea tertawa kecil apabila lelaki itu mengaduh. Aariz buat muka meluat, namun beberapa ketika dia turut ketawa.

“Bye, Sofea!” Farid melambai manja kepada Sofea. Gadis itu membalas lambaian itu beserta senyuman manis.


Dia kemudian kembali menyambung kerjanya. Lakaran sudah siap membentuk sebuah bangunan, hanya perlu diperincikan tingkap dan bayangannya sahaja. Sofea mengeluarkan sebatang pensel arang. Pembalutnya dibuka sehingga paras yang diinginkan. Cukup untuk menghasilkan tahap kehitaman yang diinginkan. Dia mula menggaris dan menghitamkan ruang dalaman lakarannya. Sofea paling suka menggunakan media arang kerana ia menghasilkan kesan gelap yang maksimum tetapi lembut. Warna yang dihasilkan lebih tepat dan tajam. Walaupun tahu, ia akan mencomotkan tangan bersihnya tetapi Sofea berasa puas melihat hasil lukisannya nanti.

AARIZ menyuap nasi lemak kedalam mulutnya. Biarpun tidak sesedap nasi lemak di Malaysia, tetapi itu sudah cukup berbanding tiada langsung! Hendak tunggu balik Malaysia, tidak tahu bila. Walaupun terpaksa membayar dengan harga yang tidak masuk akal, dua puluh ringgit Malaysia bagi sebungkus nasi lemak dan teh susu. Farid hanya memandang Aariz yang begitu berselera menjamah makanannya. Dia asyik teringatkan Sofea. Sepupu Aariz yang pemalu dan agak pendiam.

“Riz.. Sofea tu dah ada boyfriend ke?” soal Farid tiba-tiba. Aariz hanya mengangguk, menyembunyikan wajahnya yang sedikit berubah mendengar soalan Farid. Dia pandang Farid yang menyedut Latte aisnya.


“Dah! Akulah boyfriend dia!” kata Aariz bersahaja. Tidak semena-mena air yang disedut Farid tersembur dan mengena wajah Aariz. Terkedu sekejap Aariz bila menerima serangan yang tidak terduga itu.

“Er sorry bro.. sorry! Kaulah siapa suruh buat aku tergelak,” Farid lekas menarik tisu dan mengelap wajah Aariz yang mula keruh. Aariz merampas tisu dari tangan Farid yang masih menahan tawanya.

“Nak gelak, gelak! Kang pengsan kat sini dah satu kerja nak mengangkat. Kau ingat kau ringan ke? Kalau kau pengsan sini, aku heret kau sampai hotel tau! Tak pun aku tinggal aje sini!” kata Aariz. Dia mengelap wajahnya yang masih tersisa tempias semburan Farid tadi. ‘Euww kuman!’ Farid sudah menghamburkan gelaknya. Kuat sehingga menarik mata beberapa orang yang berada dikafe itu. Aariz menjeling tajam wajah Farid yang merah akibat banyak tertawa.

“Serious lah Riz! Sofea tu dah ada boyfriend ke belum?” Farid mengulangi soalannya dengan tawa yang masih bersisa. Aariz buat muka selenge.


“Tak tau! Belumlah kot,” jawab Aariz. Dia kemudian meminta diri ke tandas. Terasa melekit wajahnya dan pasti rambutnya juga sudah rosak gara-gara terkena ‘hujan’. Haah hujan, hujan latte bonus sekali air liur!

Farid tersenyum. Dia kemudian terus ke kaunter, membayar harga minuman. Dia turut membayar untuk Aariz. Menebus salahnya dengan membelanja rakannya itu. Sempat dia mencapai sebungkus sandwish dan se tin karamel latte. Dia mahu memberi Sofea makanan itu kerana pasti dia belum menjamah apa-apa.


Aariz kembali kemeja yang didudukinya tadi. pelik apabila Farid sudah tiada disitu. Dia merengus seraya menyeluk telefon dari poket seluar jeansnya. Satu pesanan dari Farid dibaca. Dia menyuruh Aariz supaya balik kehotel tanpa menunggunya. Aariz menggeleng. Ada sahajalah yang dibuat Farid!

SOFEA sudah menurunkan kanvas dari kakinya. Lukisan bangunan Royal Holloway University of London sudah siap. Hampir sejam dia berteleku dibawah pokok itu bagi menyudahkan lukisan. Lenguh tangannya menggaris dan menggosok lukisan. Akhirnya siap juga, biarpun Sofea masih belum berpuas hati dengan hasilnya.


“Tak apalah! Balik nanti touch up apa yang patut!” katanya bersendiri. Tangannya lincah menyimpan peralatan lukisan. Arang yang sudah separuh digunakan dibalut cermat agar tidak mengotorkan bekas alat tulisnya.

“Sofea!” serta-merta Sofea mendongak bila mendengar suara memanggil namanya. Kelihatan Farid berdiri membongkok memegang lutut. Termengah-mengah. Keningnya terangkat. Skeptikal.

“Kenapa?” Soal Sofea. Dia menjenguk kebelakang Farid. Kalau-kalau lelaki itu datang semula bersama Aariz. Tetapi tiada siapa yang dikenalinya.

“I datang sorang saja! Bawa ni,” Farid mengunjukkan beg kertas kecil kepada Sofea.

Sofea mencapai beg kertas itu. Sebungkus sandwish tuna dan se tin karamel latte dikeluarkan. Dia memandang Farid yang masih sedikit mengah.


“Datang untuk hantar ni je?” tanya Sofea, teragak-agak. Dahinya berkerut apabila Farid mengangguk dan tersenyum.


“Makanlah! Tak baik biar perut kosong,” ujar Farid. Dia duduk disebelah Sofea.


“Ouh err..” Sofea menunjukkan tangannya yang dikotori arang kerana melukis tadi. teragak-agak dia tersengih.

“Ahh I suap ajelah macam tu!” Farid ambil bungkusan sandwish dari tangan Sofea. Berubah wajah Sofea. Dia memandang sekeliling. Takut kalau-kalau ramai yang memandang mereka. Namun tiada siapa yang menghiraukan mereka.

“Eh tak apa! I makan nanti,” bersungguh Sofea meyakinkan Farid. Lelaki itu tertawa kecil. Dia hanya mengusik sahaja dan reaksi Sofea yang comel mencairkan hatinya.


“Gurau sajalah! Nanti makan tau.. you ada kelas lepas ni?” Sofea geleng. Dia kemudian menyambung mengemas. Farid yang menyedari itu lekas berdiri dan membantu melipat kain yang dijadikan alas duduk.

“Class cancel. I dah boleh balik,” kata Sofea. Farid mengangguk faham.

“Sofea tinggal dimana? I hantarkan..,” kata Farid lagi. Sofea mengangkat kaki kanvas dan melipat kekudanya. Melihat banyak barang yang mahu dibawa Sofea, Farid lekas mencapai beg dan kaki kanvas milik Sofea.

“I tolong bawakan, ya?” Sofea yang masih teragak-agak, hanya mengangguk.

“Apartment St. Bakers. Tak apa ke? Jauh dari sini, kena jalan kaki!” Sofea menggalas beg berisi peralatan melukis. Ringan sedikit apabila Farid menawarkan hendak membawa kanvas dan kaki kanvas yang agak berat. Farid tersenyum. Bolehlah dia berbual dengan Sofea sepanjang perjalanan nanti! Fikirnya.

“Boleh aje! Jom!” kata Farid sesudah Sofea selesai membersihkan tangannya dengan tisu basah. Mereka beriringan berjalan, perlahan-lahan menyusuri laluan pejalan kaki.


SHAH ALAM

LAUNGAN azan dari masjid berdekatan taman perumahan itu mengejutkan Sofea. Berkecai lamunannya dibawa angin entah kemana. Perlahan-lahan dia mengusap pipinya yang terasa basah. Dia beristighfar berkali-kali, meredakan kekusutan yang melanda jiwanya. Pelik! Sofea tidak berasa seperti selalu apabila teringatkan Farid. Dadanya tidak terasa sempit. Nafasnya tidak selaju apabila diserang serangan panik. Dia melekapkan tanganya didada. Mata dipejam rapat. Alunan merdu sang muazzin melaungkan seruan suci dihayati. Sangat mendamaikan. Ketukan pintu mengejutkan Sofea. Pantas dia membuka matanya semula.


“Sofea.. dah subuh sayang,” Suara Puan Zara menjengah. Sofea menghela nafas.


“Ya, mama! Fea dah bangun. Kejap lagi Fea keluar,” balas Sofea. Pasti Puan Zara dan E.n Hadi sudah menunggu untuk berjemaah bersama. Tanpa berlengah, Sofea bangun dan terus kekamar mandi. Selepas subuh nanti, Sofea merancang untuk keluar mengambil angin ditaman. Sudah lama rasanya dia tidak keluar dari rumah untuk beriadah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience