2

Romance Series 23204

BANDAR BUKIT MAHKOTA, BANGI

DR. HAFEEZ menghenyakkan tubuh ke sofa empuk. Tali lehernya dilonggarkan. Baru sahaja dia mahu melelapkan mata, bahunya ditepuk perlahan. Dia tersenyum memandang Datin Julia. Wajah penatnya dimaniskan sebaik mungkin. Datin Julia melabuhkan punggung berhadapan dengan anak sulungnya itu. Dr. Hafeez tersenyum. Bagaikan tahu apa yang mahu dikatakan ibunya itu.
“Lewat balik hari ni?” soal Datin Julia. Bertaut kening Dr. Hafeez. Dia mengerling jam.
“Mana ada lewat, bu. Biasalah ni. Ibu ada apa-apa nak cakap dengan Ian ke?” tukas Dr. Hafeez. Dia tersengih bila Datin Julia tertawa kecil. Sengaja bertanya biarpun dia sudah dapat mengagak apa yang mahu dikatakan ibunya.
“Ian dah fikirkan apa yang ibu cakap tu?” lembut suara Datin Julia.
“Ibu… Ian penatlah. Ian naik atas dulu ya?” perlahan-lahan Dr. Hafeez berdiri.
“Ian…” Datin Julia memanggil. Dr. Hafeez berhenti di kaki tangga. Dia buat muka kesian.
“Sekejap saja, Ian. Nak tunggu malam, kamu nak rehat pula nanti,” lembut Datin Julia memujuk. Dia tersenyum apabila Dr. Hafeez mengangguk akur. Dia kembali duduk di hadapan Datin Julia.
“Lagi tiga bulan Ian dah masuk 32 tahun kan?” Datin Julia berbasa-basi. Dr. Hafeez hanya tersenyum dan mengangguk.
“Haah.. tahun ni jatuh masa bulan Ramadan,” ujar Dr. Hafeez. Dia hanya mengikut rentak ibunya.
“Ian… dah ada calon?” Datin Julia terkidum-kidum memandang Dr. Hafeez.
Sudah beberapa kali mereka berbincang mengenai perkara ini. Dia sangat mengharapkan Dr. Hafeez untuk berkahwin. Apatah lagi umur anak sulungnya itu sudah makin meningkat. Sejak dahulu lagi dia dan arwah suaminya, Dato’ Dr. Hafsham menginginkan seorang anak perempuan, namun tiada rezeki buat mereka. Kedua-dua anak mereka adalah lelaki. Jadi apabila Dr. Hafeez berkahwin, dapatlah mereka menumpang kasih anak perempuan dengan menantu mereka nanti.

“Ibu.. Ian sibuk sangat dekat klinik tu, tak sempat pun nak cari calon! Kawan perempuan pun Ian tak ada, apatah lagi bakal isteri,” Dr. Hafeez menunduk. Dia tidak berbohong. Memang benar dia belum mempunyai sesiapa yang bertakhta dihati.
“Tak kan tak ada sesiapa? Kawan perempuan pun tak ada? Masa belajar dulu?” Dr. Hafeez menggeleng. Datin Julia tersenyum lebar.
“Kalau tak ada.. ibu ada calon!”
“Hah!” terbuntang Dr. Hafeez apabila ibunya mengeluarkan sekeping gambar. Disuakan gambar itu kepada Dr. Hafeez.
“Alisya. Anak Auntie Murni!” kata ibunya lagi.
“Auntie Murni?! Jiran sebelah ni?” Dr. Hafeez terkejut lagi. Tak ada orang lain ke? Liurnya ditelan. Terasa kesat.
“Yang kamu ni terkejut sangat kenapa?” tegur Datin Julia.
“Tak adalah ibu. Cuma, kenapa anak Auntie Murni?”
Dr. Hafeez mengerutkan kening. Alisya. Dia kenal gadis itu. Masakan tidak, gadis itu pernah mengejarnya dengan penyapu kerana disangkakan mahu menculik ‘anaknya’ si kucing Parsi ketika mereka masih remaja. Ketika itu, mereka sekeluarga baru sahaja berpindah ke sini. Garang! Tak mahu aku! Getusnya.
“Kenal lah dulu. Dia baru saja habis Master. Dia pun doktor tau! Sekarang dia posting dekat Az-Zahrah. Kenal-kenal dulu hati budi masing-masing. Mana tahu serasi?” pujuk Datin Julia lagi. Begitu mengharap. Dr. Hafeez meleret bibir.
“Tengoklah macam mana ibu. Ian naik dulu. Nak mandi, nak solat,” ucap Dr. Hafeez. Dia capai beg sandangnya, dan terus memanjat anak tangga. Datin Julia menggeleng melihat ulah anak sulungnya itu.

DR. HAFEEZ merebahkan badan ke atas katil. Dia memandang siling yang dihiasi ukiran awan larat. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata ibunya tadi. Dia faham galaunya hati sang ibu apabila memikirkan anak terunanya masih belum berpasangan. Tapi kenapa Alisya Lee, Si Singa garang tu? Macam manalah dia sekarang? Mesti lagi garang dari dulu! Dr. Hafeez teringatkan gadis kacukan Cina itu. Anak si jiran sebelah, teman gosip ibunya. Uncle Lee adalah kawan baik kepada arwah ayahnya sejak mereka berpindah disini 20 tahun lalu. Keluhan kasar terluah direngkungan. Dia bangun, mahu membersihkan diri dan mengerjakan solat Asar sementelah waktu juga sudah hampir kepenghujungnya.

SHAH ALAM

PUAN Zara mengatup rapat pintu bilik Sofea seperlahan yang mungkin. Tidak mahu menganggu lena anaknya itu. Sejurus sahaja memberi Sofea ubatnya mengikut jadual, dia menemani Sofea sehingga tertidur. Kemudian barulah Puan Zara keluar. Dia menatang keluar dulang yang berisi segelas air dan botol ubat-ubatan Sofea. En. Hadi yang sedang menonton berita utama diruang tamu, menoleh sekilas kepada Puan Zara.
“Fea dah tidur?” Soalnya tanpa mengalihkan mata dari kaca TV. Puan Zara duduk disebelah suaminya itu. Dulang diletakkan diatas meja kopi.
“Dah. Agaknya, Dr. Hafeez tu yang terbaik setakat ni, bang,” ujar Puan Zara. En. Hadi memandang isterinya. Keningnya terjungkit.
“Kenapa sayang cakap macam tu?” soalnya.
“Sayang tengok Fea tu macam dah tenang sikit! Mungkin sesi Dr. Hafeez tu berkesan. Tak sia-sia abang cari doktor tu,” terang Puan Zara.
“Doktor semua sama saja, Sayang! Anak awak tu saja yang mengada!” Gerutu En. Hadi. Berubah wajah Puan Zara mendengarnya.
“Abang! Kalau dengar dek Sofea kecik hati dia!” tegur Puan Zara. Dia mengerling ketingkat atas. Kelihatan pintu bilik Sofea yang terkatup rapat. En. Hadi mendengus perlahan.

SOFEA menutup semula pintu biliknya. Tadi, Sofea hanya pura-pura tidur. Setelah mamanya keluar, dia kembali membuka mata. Dia mengenggam erat tangan. Jelas terdengar ditelinga ayahnya sendiri yang merungut mengenai perangainya. Perlahan-lahan dia duduk bersandar dipintu. Dia memegang kedua belah lututnya. Wajahnya disembamkan untuk seketika. Terasa sayu hatinya apabila orang yang diharapkan menjadi tulang belakang berfikir bahawa dia hanya mengada-ngada dan sengaja berpura-pura.
Dia bangun. Mendekati meja tulisnya. Lampu dinyalakan. terpampang papan nota kecil dihadapannya. Beberapa helai lukisan yang sudah siap tertampal disitu. Semuanya gambar beberapa watak anime kegemarannya. Dia mengusap lukisan itu. Dia tidak mampu lagi untuk melukis sebaik dulu. Fokusnya sudah hilang. Perhatiannya teralih apabila terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Dia mencapainya. Kelihatan satu pesanan ringkas dari Dr. Hafeez.

Dr. Hafeez ~ Dah tidur? Make sure makan ubat dulu sebelum tidur.

Sofea menghela nafas. Dia meletakkan semula telefon itu diatas meja. Tidak berniat mahu membalas pesanan tersebut. Dia menarik laci meja. Sebuah buku lakaran dikeluarkan. Sebatang pensel hitam yang biasa digunakan untuk melakar dicapai dari bekas pensel. Dia mahu mencuba melakar sesuatu malam ini. Namun puas dia cuba. Lakar dan padam. Kemudian lakar lagi. Dan padam lagi. Akhirnya dia berputus asa. Pensel diletakkan kembali.
Matanya terhala pada kertas lakaran yang sudah comot. Dia mengeluh lagi. Bakat yang ada pada dirinya bagaikan tidak terluah. Jika dulu, mudah sahaja dia menyiapkan lakaran karakter anime dalam hanya beberapa minit. Namun kini, walaupun ideanya banyak, ia bagai tidak keluar! Sofea sendiri tidak mengerti mengapa.
Dia capai semula telefon bimbitnya. Pesanan ringkat Dr. Hafeez dibaca lagi. Segarit senyuman terlakar dibibir. Sedikit malu apabila dia teresak-esak dihadapan doktor itu siang tadi. Gambar profile doktor itu ditekan. Kelihatan segak dengan kot putihnya. Sofea kerling kaki kanvas yang berada disudut bilik. Dia bangun mendapatkan kanvas kosong yang disimpan didalam almari. Entah kenapa dia rasa bersemangat untuk melakar potret Dr. Hafeez.
Sofea meletakkan kanvas diatas kakinya. Beberapa peralatan yang selalu digunakan diambil dari dalam laci. Dia membelek medium yang mahu digunakan. Terdapat beberapa batang pensel arang yang masih baru dan belum digunakan dan juga pensel biasa.
“Nak guna yang mana ni? Eh! Kenapa nak beria pulak? Pakai ajelah apa pun!” desis Sofea. Wajahnya kembali beku apabila tersedar dia terlalu beria untuk melukis potret doktor kacak itu. Dia menarik keluar sebatang arang, dibuka pembalutnya dan muka melakar.

BANDAR BUKIT MAHKOTA, BANGI

DR. HAFEEZ meletakkan kembali telefonnya di sebelah bantal. Sudah setengah jam dia menunggu untuk Sofea membalas pesanan ringkasnya, namun tiada.
“Hmm tidurlah kot!” fikirnya. Dia tertawa kecil mengenangkan Sofea yang menangis bagaikan anak kecil siang tadi. Dalam pada masa yang sama, Dr. Hafeez berasa kasihan. Terlalu banyak yang dipendam gadis itu sehingga kesihatan jiwanya terganggu. Entah apa yang berlaku kepadanya sehingga dia menanggung sebegitu dalam luka.

“I’ll promise I’ll take a good care of her!” bisik Dr. Hafeez. Dia kembali membelek telefon bimbitnya. Dahinya berkerut apabila melihat Sofea berada dalam talian namun pesanannya masih tidak berbalas.
“Belum tidur? Tapi tak reply pun!” getus Dr. Hafeez. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Jarinya bergerak-gerak mahu menghantar pesanan lagi.

Dr. Hafeez ~ Sofea, jangan berjaga lewat sangat

Jumpa awak minggu depan
Tapi kalau awak nak jumpa saya bila-bila

pun boleh!

“Erk lain macam pulak! Delete!” Pantas Dr. Hafeez memadam semula pesanan yang terakhir.
Dia pandang telefonnya. Sofea masih diatas talian, namun pesanannya masih belum dibaca. Beberapa saat kemudian tanda ‘online’ dibawah nama Sofea hilang.
Dr. Hafeez meletakkan telefon itu disebelah bantal semula. Matanya cuba dipejamkan namun dibuka semula. Dia teringatkan kata-kata ibunya tadi.
Dr. Hafeez bangun dan duduk bersila. Dia bersandar dikepala katil. Dia tertawa kecil apabila terasa dia terlalu memikirkan hal ini.
“Haih! Tua sangat ke aku ni sampai ibu carikan jodoh untuk aku?” katanya sendiri. Dia merebahkan badannya semula kekatil. Terasa penat namun matanya tidak mahu lelap pula.
Dia sendiri tidak tahu apa yang difikirkan. Sama ada tentang Sofea atau pun Alisya si jiran sebelah yang garangnya kalah singa itu.
“What ever were you thinking, get a sleep first boleh?” katanya, bagaikan berkomunikasi dengan otaknya yang tidak henti bekerja. Baru sahaja matanya tertutup, bunyi notifikasi mengejutkannya. Lekas dicapai telefon itu.

Sofea ~ saya tak dapat tidur..

~ kalau saya taknak jumpa?

~ jangan nak delete sangat lah, saya dah baca!

Bukannya saya nak jumpa doktor sangat pun..

Dr. Hafeez tergelak kecil. Suka bergurau juga gadis ini walaupun selalu bersikap dingin.

Dr. Hafeez ~ nak saya call? Saya boleh temankan awak

kalau awak tak dapat tidur
~ nak tak nak awak kena juga jumpa saya!

Typing…

Sofea ~ tak apa, saya dah biasa

~ selamat malam dan terima kasih..

Dr. Hafeez ~ sama-sama kasih!

~ selamat malam

Dr. Hafeez tersenyum sahaja melihat Sofea masih lagi diatas talian. Dia terus memejamkan semula matanya.

SOFEA buat muka selepas membaca pesanan Dr. Hafeez. ‘Sama-sama kasih? Pftt!’ Dia meletakkan semula telefon diatas meja. Lukisan potret dihadapannya ditatap. Hanya memerlukan sedikit sahaja lagi tacapan sebelum lukisan itu siap. Dia sedikit gembira apabila berjaya melukis semula.
“Haven’t lost my touch yet,” bisiknya.
Senyumannya pudar apabila teringat akan sesuatu. Dia pandang tangannya yang kehitaman kerana arang. Tangan itu menggeletar tiba-tiba. Sofea bangun secara paksa sehingga kerusinya terbalik ke belakang. Dia tersembam di lantai. Air matanya gugur tiba-tiba. Bayangan wajah Farid terlayar di matanya. Dia menggigit kuat tangannya supaya tidak menjerit. Dia tidak mahu mengejutkan mama dan papanya yang pasti sudah lena.
Pantas telefonnya dicapai. Tangannya menekan nombor. Tanpa melihat nombor siapa, dia menekan punat hijau.
“Hello.. Sofea?” kedengaran suara serak seorang lelaki. Sofea terkelu.
“Dok.. doktor?”
“Why? Are you crying?” Suara Dr. Hafeez semakin jelas. Air mata Sofea semakin lebat.
“I’m sorry.. temankan saya sekejap?” pinta Sofea, separuh berbisik. Tangannya masih lagi mengigil.
“Okay.. tenang, tarik nafas dalam-dalam. Ubat awak mana? Ambil ubat awak..,” Dr. Hafeez berusaha untuk tenang.
Sofea pandang meja sisi katilnya. Ubat dan sebotol air ada disitu. Pantas dia mengambil ubat tersebut. Dia meneguk air sehingga separuh. Bajunya sedikit basah terkena air yang tumpah. Perlahan-lahan nafasnya kembali teratur. Tubuhnya masih lagi mengigil. Telefon yang terdampar diatas katil dipandang sepi. Mode pembesar suara diaktifkan.
“Sofea..? are you okay?” suara Dr. Hafeez kedengaran.
“Hmm..,”
“Jangan risau, saya ada! Saya teman awak. Jangan nangis lagi, please..,” pujuk Dr. Hafeez. Suaranya kedengaran sedikit melonjak.
Sofea mengesat air matanya. Sedunya masih ada. dadanya terasa sempit, nafasnya laju bagai baru sahaja berlumba lari. Dia memejamkan matanya. Kepalanya terasa sedikit ringan selepas mengambil ubat.
“Sofea.. jangan fikir apa-apa. Kosongkan fikiran awak. Don’t worry, everything’s gonna be alright soon. Tidurlah, saya ada tak pergi mana-mana pun,” bisik Dr. Hafeez lembut. Sofea tidak mampu untuk membalasnya. Matanya semakin berat dan akhirnya perlahan-lahan tertutup.
Dr. Hafeez menghela nafas lega mendengar dengkuran halus Sofea, tanda gadis itu sudah pun lena. Namun dia masih belum memutuskan talian. Dia takut Sofea terjaga apabila dia menamatkan panggilan. Dadanya berdebar apabila mendengar suara Sofea yang bagaikan putus nafas tadi. Dia takut, sungguh dia takut jika terjadi apa-apa pada Sofea.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience