" PAPA, jangan tinggalkan El ! "
Suara jeritan itu memecah suasana sunyi di kawasan taman permainan itu yang masih lengang. Belum ramai pengunjung datang ke taman itu memandangkan cuaca yang masih panas pada petang itu.
" Kejar papa cepat, kalau tak papa tak belanja ais krim ! " balas Encik Hafizi Iqmal kepada anak perempuannya yang masih berlari untuk mengejar.
Elsalina Farisya yang sudah kepenatan itu menghentikan lariannya. Gadis berusia sepuluh tahun itu terduduk di atas rumput hijau yang menghiasi taman permainan itu.
" El kenapa ni? " melihatkan anaknya yang sudah terduduk di atas rumput itu, Encik Hafizi Iqmal berpatah balik ke arah anaknya.
" Pa, El penatlah. El nak aiskrim. " rengek Elsalina Farisya dengan suara yang manja. Matanya terkebil-kebil meminta belas kasihan.
Encik Hafizi Iqmal tersenyum kecil mendengar rengekan anak perempuannya itu. " Yalah. Dah bangun, kotor seluar tu nanti. Jom makan aiskrim. "
" Angkat. " ujar Elsalina seraya menghulurkan tangannya ke arah si papa.
Encik Hafizi Iqmal hanya melayan kehendak anaknya itu. Tangan gadis kecil itu disambut mesra.
" Jom kita.. "
" Makan aiskrim ! " jerit Elsalina Farisya girang.
" Pandai anak papa. " tangan Encik Hafizi Iqmal mengusap manja kepala anaknya.
Mereka melangkah ke arah sebuah kedai berhampiran. Elsalina Farisya pantas bergerak ke arah peti aiskrim. Dibeleknya satu persatu aiskrim yang dijual mencari mengikut citarasanya.
" Pa, bila papa mula kerja? " soal Elsalina Farisya kepada papanya. Kepalanya menoleh sekilas ke arah papanya.
" Minggu depanlah sayang. Kenapa? "
" Kenapa papa nak jadi pilot? Selalu tinggalkan El dengan mama. Kami rindu bila papa kerja. Tak ada yang nak bawa El pergi taman, makan aiskrim, tengok wayang, main buaian, main piano. Tak ada siapa nak bacakan buku cerita buat El. Tak ada siapa nak nyanyi sebelum El tidur. " jelas Elsalina Farisya panjang lebar.
Encik Hafizi Iqmal mengukirkan senyuman ke arah anaknya. " Papa kan kerja. Bukannya papa saje nak tinggalkan El dengan mama. Papa janji, bila waktu papa cuti papa akan luangkan masa dengan El, dengan mama. Janji okay. "
" Betul? "
" Ya. Tak percaya papa ke? "
" Percayalah. Papa kan tak pernah tipu. " Elsalina Farisya mendakap lembut tubuh papanya. " Pa, El nak main buai. " pintanya manja.
" Buai? Alah, mesti papa yang kena tolak buai tu nanti. " seloroh Encik Hafizi Iqmal sekadar mengusik anaknya itu.
" Papa ni, tu pun nak berkira. Papa dah janjikan? " Elsalina Farisya memuncungkan bibirnya sebagai tanda memprotes.
" Alah, papa gurau jelah. Jomlah, tak mahu merajuk. Tak comel dah anak papa ni. " dengan sengaja Encik Hafizi Iqmal mencubit pipi tembam Elsalina Farisya.
" Sakitlah papa ! "
" Alolo comelnya anak papa. Jom, kata nak naik buai. " Encik Hafizi Iqmal bangun dari duduk. Tangannya dihulur ke arah Elsalina Farisya.
Melihatkan senyuman yang terukir di bibir papanya, sedikit terubat rajuknya. Elsalina Farisya menyambut huluran tangan daripada papanya. Dia terus berdiri. Langkah kaki terus dibawa menuju ke arah buaian di taman permainan tersebut. Elsalina duduk di atas buaian.
" Cepat papa, tolak laju-laju ! "
****
" EL, tak nak makan ke? Mama dah siap masak. "
Teguran tersebut menyedarkan Elsalina Farisya yang sedang termenung. Tangan kecilnya menyeka lembut air mata yang membasahi pipinya.
" El kenapa ni sayang? El jangan macam ni. Nanti sakit kan susah. " pujuk Puan Zakiah apabila dilihatnya gadis itu tidak memberikan sebarang reaksi.
" Ma, bila papa nak balik? Dah tiga minggu papa tak balik. Papa ke mana? Papa tak rindu El ke? Papa tak pernah tinggalkan kita lama-lama. "
Puan Zakiah mengambil tempat bersebelahan anaknya. " InsyaAllah, papa akan balik. Kita doa untuk papa ya? " Puan Zakiah mengalihkan pandangan ke arah lain. Tangannya turut menyeka air mata yang mengalir. Melihatkan kesedihan yang dilalui anaknya, dia turut merasakan kesedihan itu. Dia turut merindui suaminya.
" El rindu papa. "
Puan Zakiah memaut lembut bahu anaknya. " Kita doa untuk papa. El tak boleh macam ni. El kena makan. Jom. "
" El tak nak. El nak papa. "
Puan Zakiah sudah tidak mampu untuk menjawab. Dia tahu betapa rindunya gadis kecil itu kepada si papa. Sekiranya dia yang sudah tua itu tidak mampu menanggung rasa tersebut, apatah lagi gadis sepuluh tahun seperti itu. Pasti sedihnya susah diubat.
" El nak papa. " Elsalina Farisya merintih sekali lagi. Dia masih tidak berkutik daripada tempat duduknya. Matanya masih terhala ke arah taman permainan yang terletak berhadapan dengan rumah keluarganya itu. Dia rindukan kenangan lama. Masih terngiang suara jeritan, gelak tawanya bersama si papa.
" Syyhh. El bersabar. InsyaAllah papa akan balik. Percaya cakap mama. Kita doakan papa ya? " Puan Zakiah menarik tubuh kecil Elsalina Farisya ke dalam pelukannya. Melihatkan dan mendengar rintihan gadis kecil itu membuatkan air matanya semakin galak mengalir. Dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya sebegitu. Dahi anaknya dikucup lembut.
****
ELSALINA FARISYA duduk di atas kerusi yang disediakan. Suis piano dihidupkan. Sebuah buku dicapai dan diselak satu persatu. Jari jemarinya bergerak perlahan memainkan melodi.
" Pa, El rindu papa. " luahnya berbentuk bisikan kecil. Hanya dirinya yang mendengarnya. Buku yang terbuka ditutup kembali. Kepalanya menoleh ke sisi. Kalau dulu papanya yang akan mengajarnya bermain piano, tapi kini si papa tiada di sisi.
" El, ikut papa main piano ni. Belajar betul-betul. "
" Susahlah pa. Tak naklah main. Bosan. " balas Elsalina Farisya dengan wajah yang mencuka. Buku yang menjadi tunjuk ajar untuknya bermain piano itu diletakkan di atas meja piano.
" El, kenapa ni. Sebelum ni okay je main piano. Jomlah. Papa ajar. " pujuk Encik Hafizi Iqmal. Rambut anaknya diusap manja.
" Tak nak. El tak nak. Penatlah tapi tak pandai-pandai. Papa mainlah, El tengok je. " Elsalina Farisya menyilangkan tangannya.
" El, macam mana nak pandai ni. Papa nak hantar pergi kelas, tak nak. El kena pandai, kalau papa tak ada El boleh main piano ni. " Encik Hafizi Iqmal menitipkan nasihat.
" El minta maaf pa. El janji akan belajar main piano. El nak jadi macam papa. " tekad Elsalina Farisya pada dirinya sendiri. Matanya dipejam rapat buat seketika sebelum ianya dibuka kembali.
Buku yang dipegang dibuka. Diselaknya helaian demi helaian mencari lagu yang menjadi lagu kegemaran papanya.
Perlahan-lahan jemari halusnya bergerak di atas papan kekunci piano menghasilkan sebuah lagu. Penuh teliti mata dan jarinya berkerja bagi menghasilkan muzik tersebut.
Puan Zakiah yang sejak tadi menjadi pemerhati menguntumkan senyuman. Dia tahu hati anaknya sedang bersedih, dan dia tahu anaknya cuba melepaskan rindunya dengan bermain piano itu.
****
Puan Zakiah memulas perlahan tombol pintu bilik Elsalina Farisya. Dilihatnya anaknya itu sedang membaca buku.
" El, jom minum petang. "
Sapaan itu menyedarkan Elsalina Farisya. Kepalanya menoleh sekilas. " Okay ma. " gadis itu bingkas bangun dan melangkah ke arah Puan Zakiah.
" Ma buat apa petang ni? "
" Tengoklah sendiri. "
Sebaik sampai di meja makan, Elsalina Farisya sedikit tergamam. Ditariknya kerusi lantas punggungnya dilabuhkan di atasnya. Matanya terpaku pada makanan yang terhidang di atas pinggan dihadapannya.
" Cup cake. Papa suka buat cup cake. " ujarnya perlahan. Tangannya mencapai satu daripada cup cake tersebut.
" Pa, senang tak buat cup cake? " soal Elsalina Farisya. Matanya memerhati gerak geri papanya yang sedang sibuk membuat cup cake.
" Senang je sayang. Nak belajar ke? "
" Tak nak. Papa kan ada. Kalau El nak makan, papa boleh buatkan. "
Encik Hafizi Iqmal tersenyum kecil mendengar jawapan si anak. " Kalau papa tak ada, siapa nak buatkan? "
" Alah, papa nak pergi mana pulak? "
" El, papa tak akan selamanya ada dengan El. Ajal, Allah yang tentukan. "
" Alah papa ni, tak nak cakap pasal ni. Papa tak sayang El ke? Papa nak tinggalkan El? "
" Jom papa tunjuk cara buat cup cake ni. Senang je. " ujar Encik Hafizi Iqmal cuba mengalih topik perbualan mereka.
" El, kenapa tak makan? "
Elsalina Farisya sedikit terkejut dengan teguran tersebut. " Sama macam cup cake papa buat. "
" Dahlah, jangan sedih. Kan mama suruh banyakkan doa untuk papa. Dah, makan. "
" Ma, nanti ajar El buat cup cake. Boleh? "
" Betul ni? "
Elsalina Farisya mengangguk kecil. " El nak pandai macam mama dan papa. "
" Okay. Nanti mama ajar. Makan. " Puan Zakiah melihat wajah mulus anaknya. Tersungging senyuman kecil pada dua ulas bibirnya. ' Ya Allah, ada hikmah atas segala yang berlaku. '
****
" PAPA, kali ni berapa lama papa kerja? " soal Elsalina Farisya kepada Encik Hafizi Iqmal yang sedang mengemas barang keperluannya untuk memulakan tugas pada keesokan harinya.
" Seminggu. Kenapa? "
" Lamanya. " Elsalina Farisya menggumam perlahan. " Kenapa lama? Tak boleh ke satu hari je? "
Encik Hafizi Iqmal tersenyum mendengar kata-kata anaknya. Beg yang mengandungi barang miliknya diletakkan dihadapan almari. Dia bangkit dan menghampiri Elsalina Farisya yang sedang duduk di atas katil di biliknya.
" Lah, mana ada lama. Sekejap je tu. "
" Lamalah pa. Papa jangan pergi boleh? "
" Mana boleh sayang. Nanti siapa nak bawa kapal terbang. Papa kena pergi, tu kerja papa. Kenapa ni? "
" El tak nak papa tinggalkan El dengan mama. Papa minta cutilah. Kan boleh. " Elsalina Farisya berusaha memujuk si papa.
" Tak boleh. Papa dah lama cuti. El kenapa ni? Sebelum ni okay je bila papa nak pergi kerja. Kenapa ni sayang? " Encik Hafizi Iqmal memandang anak perempuannya itu dengan satu pandangan pelik. Tak pernah-pernah anaknya itu menghalangnya daripada pergi bekerja.
" El takut papa tinggalkan El dengan mama. "
" Seminggu je kan papa kerja. Nanti papa balik, macam biasalah papa belikan hadiah. Okay? "
" Papa janji tak tinggalkan El dengan mama. " ujar Elsalina Farisya sambil menghulurkan jari kelingkingnya kepada papanya.
" Ya, papa janji sayang. " Encik Hafizi Iqmal mencantumkan jari kelingkingnya bersama jari kelingking anaknya sebagai satu tanda perjanjian.
" El sayang papa ! " Elsalina Farisya pantas memeluk tubuh papanya. Begitu erat bagaikan itu adalah pelukan yang terakhir.
" Papa sentiasa sayangkan El. Selamanya. " Encik Hafizi Iqmal turut membalas pelukan anaknya.
Setelah beberapa minit, pelukan mula terungkai.
" Puas peluk papa? " seloroh Encik Hafizi Iqmal sekadar mengusik anaknya.
" Pa, El nak tidur. "
" Jom papa hantar pergi bilik. Sian anak papa mengantuk teman papa kemas barang. " jari runcing Encik Hafizi Iqmal menarik manja hidung anaknya.
Bilik Elsalina Farisya terletak bersebelahan dengan bilik orang tuanya. Sebaik sampai di dalam bilik, gadis kecil itu terus berlari ke arah katilnya. Anak patung yang tersandar di kepala katil digapainya.
" Nak dodoi ke? " soal Encik Hafizi Iqmal sebaik duduk di sebelah Elsalina Farisya yang sudahpun berbaring di atas katil miliknya.
" Nak. Nyanyi. "
Encik Hafizi Iqmal tersenyum manis seraya tangannya mencapai gitar yang terdampar di hadapan meja sisi katil. Memang itulah rutinnya bagi menidurkan anaknya.
Bunyi petikan gitar mula mengisi sunyi di dalam bilik itu. Elsalina Farisya sekadar mendengar lagu yang dinyanyikan oleh papanya dengan mata yang separa pejam. Anak patungnya dipeluk erat.
Setelah dilihat anaknya sudahpun terlena, Encik Hafizi Iqmal menghentikan petikan gitarnya. Gitar miliknya diletakkan di tempat asalnya. Diperhati lama raut wajah satu-satunya anak gadisnya itu. Itulah cinta hati dan nyawanya.
Perlahan-lahan bibirnya mendarat di dahi si anak. " Selamat malam cinta hati papa. Jaga diri bila papa tak ada. Dengar cakap mama, jangan lupa apa yang papa ajar pada El. Papa sayang El. " ucapnya lembut. Walaupun dia tahu anaknya itu tidak akan mendengar apa yang diucapkannya. Sekilas tangannya mengusap lembut kepala si anak sebelum melangkah keluar dari bilik itu.
****
SEBAIK MATANYA dicelikkan, seraut wajah yang paling dikenalinya berada di sisinya. Berkerut dahinya tambah-tambah lagi apabila mendengar suara tangisan di dalam biliknya itu.
" Ma, kenapa ni? " soal Elsalina Farisya kepada mamanya.
" El, mama harap El sabar dengan berita yang mama nak sampaikan ni. " ujar Puan Zakiah berselang-seli dengan esak tangisnya.
" Berita? Apa? " terus sahaja Elsalina Farisya bangun daripada baringan. Wajah mamanya dipandang meminta jawapan.
" El, papa.. "
" Kenapa dengan papa? " tanpa sempat Puan Zakiah menghabiskan ayatnya, Elsalina terlebih dahulu menyampuk.
" Papa.. dah tiada sayang.. papa dah tiada. "
Tergamam seketika apabila diberi berita sedemikian. " Tak. Papa ada lagi. Mama gurau kan? " Elsalina Farisya menggeleng kepalanya menepis berita yang baru disampaikan oleh mamanya.
" Betul sayang. Papa dah tiada. " sejurus itu Puan Zakiah terus menarik tubuh gadis kecil itu ke dalam pelukannya. Belakang badan anaknya diusap lembut cuba memujuk.
" Tak. Papa dah janji takkan tinggalkan El. Mama tipu ! " jerit Elsalina Farisya. Esakan halus mula kedengaran.
" Mama tak tipu. Papa kemalangan kapal terbang. Tak ada yang hidup dalam kemalangan tu, termasuk papa sayang. " pujuk Puan Zakiah.
" Papa dah janji takkan tinggalkan El. " gadis kecil itu merintih lemah. Tangisan yang tadinya perlahan mula berubah rentak. " El nak papa. "
" Syhhh. Istighfar sayang. " Puan Zakiah menyapu lembut mutiara jernih yang tidak berhenti mengalir di pipi anaknya. Hatinya terasa hiba melihat anaknya yang tampak begitu lemah setelah mengetahui berita tersebut. Sekiranya dia sendiri terkejut mendapat tahu hal tersebut, apatah lagi anaknya yang masih kecil itu. Pasti sukar untuk menerimanya.
****
SUASANA di ruang tamu rumah agam itu kelihatan begitu suram dan sunyi. Yang kedengaran hanyalah suara tetamu yang hadir membacakan surah Yassin. Ada di antaranya yang termenung dan mengalirkan air mata.
Di satu sudut pula, Elsalina Farisya masih merintih. Di sisinya ialah Puan Zakiah yang berusaha memujuk lara hati anaknya sedangkan hatinya sendiri turut bersedih. Namun dia harus kuat demi anaknya.
" Kak, jenazah dah sampai. " ujar Salwa Arisya, adik iparnya.
Puan Zakiah mengangguk kecil. " El, jom. "
Puan Zakiah terpaksa memapah tubuh anaknya yang tampak begitu lemah itu menuju ke ruang tamu yang menempatkan jenazah suaminya. Turut dibantu ahli keluarga yang lain.
Sebaik tiba di ruang tamu, Puan Zakiah tidak dapat menahan sebak. Air matanya pantas sahaja mengalir keluar. Perlahan-lahan kakinya menapak menghampiri jenazah suaminya yang terbaring kaku itu.
" Papa.. " Elsalina bersuara sayu tatkala menatap seraut wajah yang disayanginya itu sudah tidak bergerak seperti dahulu. Dibaluti kain berwarna putih. " El rindu papa. Kenapa papa tinggalkan El? Papa dah janji nak jaga El. Pa, bangunlah. El nak papa. El nak peluk papa. " rintih gadis itu bersama tangisannya.
Puan Zakiah mengusap lembut kepala anaknya. Dia berusaha menenangkan anaknya.
" El nak papa. Bangunlah pa. El rindu papa. Kenapa papa tinggalkan El. "
" Sabar sayang. Papa dah tak ada. "
" Ma, kenapa papa tak bangun? Papa tak sayang El ke? Papa tak nak jumpa El. Kenapa papa diam? El nak papa. Ma, kejut papa ma. Kenapa papa baring je? Papa tipu El. Papa dah janji tak tinggalkan El. Papa tipu El ! " sambung Elsalina Farisya. Dia terus-terusan merintih.
" Sabar El. Mama ada. "
" El nak papa. Pa, bangunlah pa. Jomlah kita pergi taman, makan aiskrim. El janji El tak nakal. El dah pandai main piano. Papa mesti nak dengarkan? El dah pandai buat cup cake, mama ajar. Papa tak nak rasa ke cup cake El buat? Pa, bangunlah pa. Kenapa papa diam? El nak papa ! " Elsalina Farisya menggoncang tubuh kaku papanya berkali-kali. " Pa, bangun pa. "
Puan Zakiah yang tidak mampu melihat dan mendengar rintihan tersebut terus sahaja memeluk tubuh anaknya.
Beberapa tetamu yang hadir mengalirkan air mata melihat apa yang berlaku di hadapan mereka. Sedih melihat tangisan serta rintihan daripada gadis kecil yang tidak dapat menerima kehilangan orang yang disayang.
" El nak papa. " buat kesekian kalinya Elsalina Farisya merintih sebelum gadis itu pengsan di dalam pelukan mamanya.
****
BEBERAPA TAHUN KEMUDIAN
" MAMA ! "
Puan Zakiah yang sedang menonton televisyen di ruang tamu terkejut mendengar jeritan anaknya. Elsalina Farisya sedang berlari ke arahnya.
" Ma, baca surat ni ma. " ujar Elsalina Farisya begitu teruja sambil menghulurkan sepucuk surat kepada mamanya.
" Surat apa ni? "
" Mama bacalah. Cepatlah ma. " arah Elsalina Farisya.
" Yelah. Tak menyabar langsung. " lambat-lambat Puan Zakiah membuka surat yang diberikan. Isi kandungan surat dibaca.
" El serius ke ni? " soal Puan Zakiah sambil matanya memandang tepat ke wajah anaknya yang kini sudah berusia 18 tahun.
" Ya. El nak jadi macam papa. Mama tak setuju ke? "
" El pasti El boleh buat? "
Pantas gadis itu mengangguk. " Kalau papa boleh, kenapa El tak boleh? El boleh ma. "
" Okaylah. Terpulang pada El. Mama nak yang terbaik untuk anak mama. "
" Terima kasih ma. " Elsalina Farisya pantas sahaja memeluk mamanya. " El naik atas eah? " Gadis itu bingkas bangun dan berlari kecil mendaki anak tangga menuju ke biliknya.
Ketika berada di dalam bilik, dia termenung seketika di meja belajarnya. Dicapainya bingkai gambar keluarganya.
" Pa, El nak jadi macam papa. " ujarnya perlahan.
Bingkai gambar diletakkan di tempat asal. Kemudian dia beralih ke arah katil. Sebuah gitar yang tersandar di kepala katil digapainya pula. Perlahan-lahan jari jemarinya memetik gitar mengalunkan sebuah lagu.
Jika dulu, dia hanya mendengar papanya menyanyi untuknya sambil memetik gitar. Kini, dia mewarisi segala yang ada pada diri papanya. Bermain gitar, piano, membuat cup cake dan yang paling penting dia akan mewarisi kerjaya yang pernah digalas oleh papanya. Dia akan menyambung pengajian dalam bidang penerbangan dan akan menjadi seorang juruterbang seperti papanya.
#####TAMAT#####
Share this novel