Series
13
“AYAH! Pak Long ambil rambut Alya!”
Alya meluru ke meja makan. Ayah sedang mengupas buah oren. Ibu menyuap nasi ke mulut Aisyah, seperti menyuap budak kecil.
Ayah tidak berhenti mengupas. “Apa Alya merepek ni?”
“Dalam kereta tadi. Dia pegang kain kuning. Ada rambut Alya, ada getah rambut biru Alya!”
“Pak Long baru bagi Alya gelang emas.” Ayah meletakkan pisau. “Alya tolak depan dia. Alya malukan Ayah. Sekarang Alya tuduh Pak Long mencuri?”
“Alya nampak dengan mata Alya sendiri!”
“Kenapa Pak Long nak rambut kau?” Adam ketawa dengan mulut penuh. “Nak buat rambut palsu?”
“Adam,” tegur Ibu.
“Cukup.” Ayah menunjuk ke arah singki. “Seminggu Alya basuh pinggan. Seminggu tak ada duit belanja.”
“Ayah...”
“Nak dua minggu?”
Alya mengetap bibir. Air matanya bertakung tetapi tidak jatuh.
Di belakang Ayah, Aisyah memandangnya. Perlahan, Aisyah mengangkat jari telunjuk dan meletakkannya di bibir.
Sama seperti Pak Long.
PAGI Isnin, Ayah menghantar mereka ke sekolah. Aisyah duduk di depan, di sebelah Ayah. Tempat yang selalu Alya rebut dengan Adam. Alya duduk di belakang, memeluk beg.
“Ayah, nanti petang Aisyah ada latihan nasyid,” kata Aisyah riang.
“Pukul berapa habis?”
“Lima. Kakak tak masuk nasyid. Kakak masuk bola jaring.”
Alya memandang tengkuk Aisyah. Dia memang masuk bola jaring. Hari Rabu. Aisyah tahu semua benda.
Kereta berhenti di depan pagar sekolah. Ayah memandang Alya melalui cermin pandang belakang.
“Alya. Jangan buat malu kat sekolah.”
KELAS 5 Bestari riuh macam biasa. Alya masuk beberapa saat di belakang Aisyah. Dia terus ke tempat duduknya, di tepi tingkap, sebelah Farah. Aisyah sudah duduk di situ.
“Itu tempat aku,” kata Alya.
Farah mengerutkan dahi. “Alya, Aisyah memang duduk sini dari Tahun Satu.”
“Farah, kau kawan aku. Bukan kawan dia. Kau ingat birthday aku tahun lepas? Kau bagi aku pensel kotak gambar kucing.”
“Ingat. Kau dengan Aisyah tiup lilin sama-sama. Aisyah dapat pensel kotak gambar arnab.”
Alya terasa lantai bergoyang di bawah kakinya.
“Farah. Aku tak ada adik. Kau datang rumah aku seratus kali. Kau pernah nampak dia?”
“Alya, kau ni...” Farah memandang Aisyah, kemudian Alya. “Aku tidur rumah kau cuti sekolah hari tu. Kita bertiga main batu seremban sampai pukul 2.00 pagi.”
Aisyah ketawa kecil. “Kakak kalah teruk.”
“Kau okey ke?” Farah tersengih serba salah. “Aku dengar Opah kau...”
“Bangun semua!”
Cikgu Rohana masuk dengan buku kehadiran. Murid berdiri, memberi salam, duduk semula. Alya masih berdiri di sebelah meja yang bukan lagi mejanya.
“Alya, duduk.”
“Kat mana, cikgu?”
Cikgu Rohana menunjuk meja kosong di barisan belakang, sebelah tong sampah. “Situ dulu. Cepat.”
Alya duduk. Kerusi itu bergoyang. Kakinya senget.
Cikgu Rohana membuka buku kehadiran dan mula memanggil nama satu demi satu.
“Nur Aisyah binti Hakim.”
“Hadir,” jawab Aisyah dari tepi tingkap.
Alya menunggu. Namanya selalu dipanggil selepas Nur Aina. Sebelum Nur Balqis.
“Nur Balqis binti Azman.”
“Hadir.”
Alya mengangkat tangan. “Cikgu, nama saya cikgu tak panggil lagi.”
“Siapa nama kamu?”
“Nur Alya. Binti Hakim.”
Cikgu Rohana menurunkan buku. Dia meneliti senarai itu dari atas ke bawah. Kemudian dari bawah ke atas. Jarinya berhenti, bergerak, berhenti lagi.
“Cikgu, saya dah lima tahun dalam kelas cikgu!”
Beberapa murid ketawa kecil. Seseorang berbisik, “Dia ni kenapa?”
Aisyah mengangkat tangan dari tepi tingkap. “Cikgu, itu kakak saya. Mungkin pejabat tersilap daftar.”
“Oh. Mungkin.” Cikgu Rohana mengangguk, lega. “Terima kasih, Aisyah. Nanti cikgu semak dengan pejabat.”
Aisyah menoleh ke belakang dan tersenyum kepada Alya. Senyuman seorang adik yang baik.
Cikgu Rohana kembali meneliti buku itu sekali lagi. Jarinya berhenti, bergerak, berhenti lagi.
“Kamu dengan Aisyah adik-beradik kan? Mesti nama kamu sebelah nama dia.” Dia menggeleng perlahan. “Pelik. Tak ada pun nama tu dalam senarai.”
KASUT sekolah Alya bertaburan di rak luar surau. Dia tidak sempat menyusunnya. Dia terus menolak pintu surau sekolah dan masuk, nafasnya tercungap.
Ustazah Hana sedang melipat telekung di saf hadapan. Dia mengangkat muka, membetulkan cermin mata bulatnya.
“Alya? Kenapa ni? Waktu rehat, kan?”
“Ustazah...” Alya terduduk di atas sejadah. “Ustazah percaya tak kalau saya cakap... saya tak ada kembar?”
Ustazah Hana meletakkan telekung. Dia bersila di depan Alya. Dia tidak ketawa.
“Cerita dari mula.”
Alya bercerita. Pinggan kelima. Potret. Katil kuning. Papan nama yang pudar. Buku kehadiran. Semuanya keluar sekali gus, bercampur esak.
Ustazah Hana mendengar sampai habis. “Ustazah, saya gila ke?”
“Orang gila jarang tanya soalan tu.” Ustazah tersenyum nipis. “Bila semua ni mula?”
“Malam ketiga tahlil Opah.”
“Ada apa-apa yang pelik malam tu? Selain dia?”
Alya berfikir. “Bunga, Ustazah. Bunga cempaka layu. Kat tempat dia berdiri. Bau dia macam bilik Opah masa Opah meninggal.”
Ustazah Hana diam. Jarinya yang sedang melipat hujung telekung terhenti.
“Kembar kamu tu,” katanya perlahan, “mana dia sekarang?” Alya menoleh ke pintu surau.
Aisyah berdiri di luar, di sebelah rak kasut. Kakinya rapat di garisan pintu. Dia tidak melangkah masuk.
“Aisyah,” panggil Ustazah Hana. “Masuklah. Kawan-kawan dah nak solat Dhuha.”
“Aisyah uzur, Ustazah,” jawab Aisyah sambil tersenyum.
Ustazah Hana diam sejenak. Matanya menyorot dari wajah Aisyah ke kakinya. Kaki yang tidak berani melepasi bendul pintu.
“Tak apa,” kata Ustazah perlahan. “Tunggu kat luar.”
Bila Ustazah berpaling semula kepada Alya, ada sesuatu yang berubah dalam pandangannya. Seperti orang yang terdengar bunyi pelik di rumah sendiri.
“Alya. Kalau kamu takut, baca tiga Qul dan Ayat Kursi. Opah kamu mesti dah ajar, kan?”
“Ustazah kenal Opah saya?”
Ustazah Hana bangun dan mengambil semula telekung. “Semua orang kenal Opah kamu.”
Dia tidak memandang Alya ketika menjawab.
Alya memandang ke pintu sekali lagi. Aisyah masih di situ. Masih di luar garisan.
Dia tak boleh masuk, fikir Alya. Dia tak boleh masuk sini. “Kak,” panggil Aisyah dari luar. “Jom balik kelas. Cikgu cari.”
“Aku tak nak keluar.”
“Kakak tak boleh duduk dalam surau selama-lamanya.” Aisyah tersenyum, manis seperti biasa. “Nanti kakak kena balik rumah jugak. Rumah kita.”
PETANG itu, ruang tamu penuh kotak. Barang-barang dari rumah Opah dibawa balik dari kampung. Kain batik, tasbih, bekas sirih, Quran lama berbalut kain. Ibu menghulurkan sesuatu kepada Alya. Sebuah telefon lama dalam sarung kain batik.
“Telefon Opah,” kata Ibu. Matanya merah. “Masa sakit, Opah pesan. Telefon ni untuk Alya. Bukan untuk orang lain.”
Alya memeluk telefon itu ke dada. Masih ada bau minyak angin Opah pada sarungnya.
Telefon rumah berdering. Ibu mengangkatnya.
“Assalamualaikum, Abang Long... Ya, ada... Telefon Mak?” Ibu memandang Alya. “Ada pada Alya... Oh, nak simpan nombor-nombor penting? Boleh, nanti Su bagi.”
Alya sudah berundur ke tangga.
“Alya,” Ibu menutup gagang telefon dengan tangan. “Pak Long nak telefon Opah tu. Bagi Ibu kejap.”
“Ibu kata Opah pesan untuk Alya.”
“Pak Long cuma nak salin nombor.”
“Esok Alya bagi.”
“Alya...”
Ibu mengangkat semula gagang. “Abang Long, dia kata esok... Ya. Ya, Su faham. Budak ni degil sikit sejak Mak pergi.”
Suara Pak Long kedengaran samar-samar dari gagang. Ketawa. Tenang. Seperti orang yang tidak tergesa-gesa.
“Tak apa, Su. Esok pun boleh. Lusa pun boleh. Telefon tu bukan nak lari ke mana.”
Alya berlari naik sebelum Ibu sempat membalas. Dia tidak masuk ke biliknya. Aisyah ada di dalam. Dia masuk ke bilik air dan mengunci pintu.
Paip dibuka kuat. Bunyi air memenuhi ruang.
Dia menghidupkan telefon Opah. Bateri tinggal sedikit. Tiada kata laluan.
Dalam aplikasi rakaman suara, ada satu folder. Namanya ditaip huruf besar.
UNTUK ALYA.
Ada beberapa fail. Alya menekan yang paling atas. Suara Opah keluar. Serak. Penat. Tetapi suara Opah. “Alya. Kalau kau dengar ni, Opah dah tak ada.”
Alya menekup mulut.
“Dengar baik-baik, cu. Lepas Opah pergi, mungkin ada budak datang. Dia mengaku keluarga dia ahli keluarga Alya. Semua orang akan percaya dia.”
Bunyi Opah terbatuk-batuk.
“Jangan terima dia, Alya. Dia bukan kembar Alya.” Jeda panjang. Hanya bunyi nafas Opah.
“Kembar Alya dah sebelas tahun dalam tanah, Alya.”
Share this novel