Series
13
BACAAN tahlil bergema dari ruang tengah rumah kayu Opah.
Alya bersembunyi di balik pintu dapur. Sebelah fon telinga tersumbat di telinganya. Sebelah lagi tergantung, supaya dia dengar kalau ada orang datang. Dia menekan fail kedua dalam folder.
UNTUK ALYA.
“Alya. Ini Opah lagi.” Suara Opah lebih lemah dari rakaman pertama. “Kalau Alya tak percaya cakap Opah, pergi tengok sendiri.”
Bunyi kertas diselak.
“Belakang rumah Opah, lepas pokok getah. Kubur Tok Wan. Sebelah dia, ada kubur kecil. Pergi tengok, cu. Tapi jangan pergi seorang...”
Rakaman terputus. Bateri telefon berkelip merah.
“Alya! Tolong Ibu hidang air!”
Alya cepat-cepat menyorok telefon ke dalam poket baju kurung.
Dia melintasi beranda. Kerusi malas Opah masih di situ, di sebelah tiang. Kosong. Kipas tangan buluh terletak di atas tempat duduknya.
Di kerusi itulah Opah selalu duduk setiap petang. Alya duduk bersila di lantai, di kaki Opah.
“Ulang, cu,” kata Opah dulu, sambil mengipas. “Ayat Kursi. Jangan tergopoh. Sebut satu-satu. Allah dengar.”
“Panjang sangat, Opah.”
“Panjang sebab dia kuat. Satu hari nanti Alya perlukan dia.”
Alya menyentuh kipas tangan itu. Buluhnya masih hangat dari cahaya petang.
“Alya.” Ayah muncul di pintu, bersongkok. “Jangan menyusahkan Ibu hari ni. Hari ni hari kenduri Opah.”
“Alya tak susahkan sesiapa.”
“Bagus. Gerak sekarang.”
DI dapur, Ibu sedang menuang air sirap ke dalam jag. Beberapa mak cik kampung sibuk menyusun kuih di atas dulang.
“Ya Allah, comelnya kembar ni.” Mak Cik Timah mencubit pipi Alya, kemudian pipi Aisyah yang sedang mengelap gelas. “Makin besar makin serupa.”
Aisyah tersenyum malu. “Terima kasih, Mak Cik.”
“Mak Cik ingat lagi masa korang lahir. Arwah Opah kau buat kenduri besar kat sini. Siap tukar...”
“Mak Cik Timah!” Ibu memotong, suaranya terlalu kuat. “Kuih seri muka tu dah potong ke belum?”
Mak Cik Timah terkebil-kebil. “Belum, Su. Kejap.”
Alya memandang Ibu. Ibu tidak membalas pandangannya.
Dia mendekati Ibu dan berbisik. “Ibu. Kubur sebelah kubur Tok Wan tu, kubur siapa?”
Tangan Ibu terhenti. Air sirap melimpah dari jag, membasahi meja.
“Ya Allah, Su! Tumpah!”
Ibu tersentak. Dia mencapai kain lap. Dia tidak memandang Alya. “Kubur apa? Mana ada kubur.”
“Kubur kecil. Opah kata...”
“Alya.” Suara Ibu bergetar. “Pergi hantar air ni ke depan. Sekarang.” Alya mengangkat dulang. Dia sempat menoleh. Ibu sedang memerah kain lap ke dalam singki. Bahunya terhinggut-hinggut. Ibu menangis tanpa bunyi.
ADAM sedang bersandar di tiang beranda, bermain telefon. Di kampung, liputan internet lemah. Dia mengeluh setiap lima saat.
“Abang. Belakang rumah Opah, ada kubur siapa je?”
“Kubur Tok Wan. Lepas tu kubur orang kampung.”
“Ada kubur kecil?”
Adam mengangkat bahu. “Entah. Aku tak pernah pergi. Opah tak bagi.”
“Kenapa Opah tak bagi?”
“Opah kata kubur bukan tempat budak main.” Adam menjeling. “Kenapa kau tanya?”
“Saja.”
“Jangan nak pergi kubur sorang-sorang. Aku tak nak teman.”
SELEPAS tahlil, tetamu makan di ruang tengah.
Alya menunggu peluang. Pintu belakang dapur terbuka luas. Dari situ, dia nampak barisan pokok getah, gelap dan tinggi.
“Kakak nak pergi mana?”
Aisyah berdiri di belakangnya, memegang pinggan kuih. “Tandas.”
“Aisyah teman.”
“Tak payah.” Alya berpaling dan melangkah ke pintu. Satu tangan mencekak lengannya. Kuat.
“Nak ke mana tu?”
Pak Long. Baju Melayu maroonnya basah peluh di bahagian dada. Cincin batu merahnya menekan kulit Alya.
“Tandas.”
“Tandas kat dalam kan.” Pak Long tidak melepaskan. Matanya turun ke poket baju Alya. Ke bentuk telefon di dalamnya. “Telefon Opah tu. Bila nak bagi Pak Long?”
“Ibu kata Opah pesan untuk Alya.”
“Opah dah tak ada, Alya. Orang mati tak boleh pesan apa-apa.”
“Opah boleh.”
Pak Long mengangkat kening. Senyumannya menipis. “Oh? Opah cakap apa?”
Alya mengetap bibir. Dia tidak menjawab.
Pak Long membongkok. Mukanya dekat dengan muka Alya. Nafasnya berbau rokok dan kopi.
“Pak Long nasihat sikit. Kampung ni bukan macam bandar.” Suaranya rendah, hampir berbisik. “Budak yang merayau waktu Maghrib, selalunya tak balik rumah terus lepas tu.”
AZAN Maghrib berkumandang dari surau hujung kampung.
Lelaki-lelaki bangun dan berpusu-pusu keluar ke surau. Pak Long melepaskan lengan Alya, membetulkan songkoknya, dan mengikut Ayah keluar.
Kaum perempuan pula bergerak ke bilik tengah untuk berjemaah. Alya mencari Aisyah dengan matanya.
Aisyah duduk di hujung tangga dapur. Kedua-dua tangannya menekup telinga. Matanya terpejam rapat. Badannya kaku, seperti patung.
Alya tidak membuang masa. Dia menyarung selipar dan berlari keluar melalui pintu belakang.
Kebun getah itu lebih gelap dari yang disangka. Daun kering berderap di bawah kakinya. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan.
Di hujung kebun, pagar dawai berkarat. Di sebaliknya, tanah perkuburan kampung.
Pokok kemboja berbunga putih. Batu-batu nisan senget di sana sini. Alya berhenti di pagar. Kakinya tidak mahu melangkah.
Dia teringat Opah memimpin tangannya ke sini, waktu dia kecil, membawa air mawar untuk kubur Tok Wan.
“Masuk kubur, bagi salam dulu, cu. Mereka dengar.”
Alya menarik nafas. “Assalamualaikum ya ahlal kubur,” bisiknya. Dia melangkah masuk.
Kubur Opah paling mudah dicari. Tanahnya masih merah. Nisan kayunya masih baru, ditulis dengan cat hitam.
Alya melutut di sebelahnya.
“Assalamualaikum, Opah,” bisiknya. “Alya datang. Opah suruh Alya tengok. Alya takut, Opah. Semua orang dah tak kenal Alya.”
Angin berdesir di celah daun kemboja.
“Kalau Opah ada, mesti Opah marah diorang, kan?”
“Opah pesan jangan terima dia. Alya tak terima, Opah. Alya tak pernah terima. Tapi Ibu terima. Ayah terima. Abang pun.”
Dia mengesat hidung dengan lengan baju.
“Opah suruh Alya tengok kubur kecil. Alya dah datang ni.”
Di sebelah kubur Opah, kubur Tok Wan. Nisan batunya sudah berlumut.
Dan di sebelah kubur Tok Wan, betul-betul di bawah pokok kemboja, ada satu kubur kecil.
Terlalu kecil. Panjangnya tidak sampai sedepa.
Nisannya diselaputi lumut hijau tebal. Ada bunga kemboja kering bertaburan di atasnya. Ada juga sekuntum bunga segar. Seperti baru diletakkan seseorang.
Alya merangkak ke situ. Lututnya basah di atas tanah lembap. Dia mengikis lumut itu dengan kuku. Lumut tercabut sedikit demi sedikit. Huruf pertama muncul. N. Kemudian U. Kemudian R. “Nur...” bisiknya.
Dari jauh, dari arah rumah Opah, kedengaran suara memanggil. Suara Ibu.
“Alyaaa! Aisyaaah!”
“Sekejap, Ibu,” bisik Alya. “Sekejap je.”
Dia mengikis lebih laju. Kukunya patah. Dia tidak peduli.
A. L. Y. A.
Tangannya terhenti.
Dia mengikis baris bawah.
BINTI HAKIM.
Dan baris terakhir. Tarikh lahir. Tarikh meninggal. Dua-dua tarikh yang sama. 14 Mac.
Hari lahir Alya.
Alya terduduk ke belakang. Dia merenung nisan itu. Dia membacanya dengan suara yang bukan suaranya.
“Nur Alya binti Hakim. 14 Mac. 14 Mac.” Namanya. Nama ayahnya. Hari lahirnya. Dia mengeluarkan telefon Opah dengan tangan menggigil. Dia mahu menelefon Adam. Dia mahu menelefon sesiapa sahaja.
Skrin menyala sekejap. Tiada liputan. Bateri satu peratus.
Kemudian gelap.
“Tak...” Suaranya pecah. “Aku hidup. Aku ada kat sini.”
Dia menekan dadanya. Jantungnya berdegup. Dia hidup. Dia mesti hidup.
Kan?
“Opah,” bisiknya kepada kubur di sebelah. “Ini kubur Alya ke? Alya dah mati ke, Opah?”
Kubur Opah diam.
“Opah, jawab lah. Sekali je.”
Dia teringat Ibu menangis di singki. Dia teringat tangan Ayah menghentak meja. Dia teringat mereka semua memandangnya seperti orang asing.
Bagaimana kalau mereka betul? Bagaimana kalau dia yang sepatutnya tiada?
Dia mencubit lengannya sendiri. Sakit. Dia menekan nadi di pergelangan tangannya.
Berdenyut.
“Aku Alya,” bisiknya. “Nur Alya binti Hakim. Aku makan nasi tadi. Aku basuh pinggan. Aku masih hidup.”
Seekor burung hantu berbunyi di dahan kemboja. Sekali. Panjang. Daun kering berderap di belakangnya.
Alya tidak berpaling. Dia tidak perlu berpaling. Bau cempaka layu sudah sampai dulu.
Azan sudah lama habis.
“Lama aku tunggu kau datang sini, kak.”
Suara itu lembut, seperti memujuk. “Kau dah jumpa rumah baru kau, kak.”
Share this novel