Series
13
PINGGAN kelima diletakkan Ibu di hujung meja.
Alya berhenti mengunyah. Dia mengira sekali lagi dalam kepala. Ayah. Ibu. Abang Adam. Dia sendiri. Dan satu pinggan kosong yang tiada tuan.
“Ibu, pinggan tu lebih satu.”
Ibu tidak menoleh. Dia sedang mencedok kari ayam, baki kenduri tahlil Opah tadi. “Cukuplah ni. Apa yang lebih?”
“Pinggan. Kita berempat je kan.”
“Jangan merepek.” Ibu mengelap tangan pada kain batik. “Pergi panggil adik kau turun makan.”
Alya tergelak kecil. “Ibu ni. Alya lah paling adik.”
Ibu memandangnya lama. Seperti memandang budak yang tersilap cakap di depan tetamu. Terus renungan yang tajam dan gelengan yang tidak puas hati.
Dari atas tangga, kedengaran bunyi tapak kaki. Perlahan. Satu-satu.
Seorang budak perempuan turun sambil memaut susur tangga. Rambutnya bertocang dua, berikat reben kuning. Baju kurungnya krim, berbunga kecil.
Wajahnya ialah wajah Alya.
Sudu di tangan Alya terlepas ke lantai.
“Aisyah, mari duduk sebelah Ayah,” kata Ayah tanpa mengangkat muka dari telefon.
“Lambatnya. Aku dah lapar gila tahu tak,” rungut Adam.
“Sorry, Abang. Aisyah lipat telekung Opah tadi.”
Budak itu duduk di depan pinggan kelima. Dia menyusun sudu dan garpu dengan kemas. Kemudian dia memandang Alya.
“Kak Alya okey? Pucat semacam je.”
Suaranya pun suara Alya. Cuma lebih lembut. Lebih manis. Alya bangun secara mengejut. Kerusinya terjatuh ke belakang.
“Siapa ni?”
Ayah meletakkan telefon. “Alya. Jangan nak mula eh.”
“Ayah, Alya tak kenal dia! Siapa budak ni?”
“Itu kan adik Alya,” kata Ibu perlahan. “Kembar Alya. Aisyah.”
“Alya mana ada kembar!”
Adam ketawa sambil mencedok nasi. “Gila. Kembar sendiri pun tak kenal. Kau demam ke?”
“Abang, Alya seriuslah!”
“Aku pun serius. Dia kacau aku main game tiap-tiap malam.”
“Kau tipu!” Alya berpaling kepada budak itu. “Kalau kau kembar aku, hari lahir kita bila?”
“14 Mac,” jawab Aisyah tanpa berfikir.
“Cikgu kelas kita siapa?”
“Cikgu Rohana. Garang, suka pakai baju ungu.”
“Opah panggil aku apa?”
Aisyah tersenyum. “Cu. Opah panggil kita dua-dua cu. Sebab Opah selalu tertukar nama kita.”
Alya terundur selangkah. Setiap jawapan betul. Setiap satu. Ayah menghentak meja. Pinggan bergegar.
“Cukup! Opah baru tiga hari dalam kubur. Tiga hari. Alya nak buat lawak bodoh depan rezeki?”
Alya terdiam. Matanya panas.
Aisyah menunduk. Bahunya bergetar sedikit, seperti mahu menangis. Ibu terus mengusap kepalanya.
“Tak apa, sayang. Kakak penat. Semua orang penat.”
“Ibu, Alya tak penat! Alya cuma...”
“Duduk,” kata Ayah. “Makan.”
Alya tidak duduk. Dia mencapai telefon dari poket seluarnya. Telefon lama abangnya yang sudah bercalar skrinnya. “Tengok. Gambar Raya hari tu. Kita berempat.”
Ayah mengambil telefon itu dengan muka penat. Dia menatap skrin. Kemudian dia menggeleng, lalu memusingkan skrin ke arah Alya.
“Alya tengok sendiri.”
Dalam gambar itu, mereka berdiri di depan rumah Opah. Ayah. Ibu. Adam. Alya. Dan Aisyah, rapat di sebelah Alya, memegang tangannya. “Lima orang,” kata Ayah.
Alya merampas telefon itu. Dia meleret ke gambar seterusnya. Lima orang. Gambar seterusnya. Lima orang.
Gambar hari jadinya tahun lepas. Dua kek. Dua lilin. “Tak...” bisiknya. “Semalam tak ada. Semalam empat.”
“Alya…” Ibu bersuara lembut. “Mari makan, sayang. Esok kita bincang.”
“Ibu tak percaya cakap Alya?”
“Ibu percaya Alya sedih.”
Ayah menolak pinggannya. “Su, esok bawa budak ni jumpa doktor. Atau ustaz. Mana-mana.”
“Bang, dia baru hilang Opah.”
“Kita semua hilang Opah, Su. Aisyah pun hilang Opah. Tak ada pulak dia buat perangai.”
Aisyah mengangkat muka, matanya berkaca. “Tak apa, Ayah. Kakak memang rapat dengan Opah. Lebih dari Aisyah.”
“Tengok tu,” kata Ayah. “Adik Alya lagi matang.”
Alya berlari ke ruang tamu.
Di dinding, tergantung potret keluarga yang paling besar dalam rumah itu. Gambar raya tahun lepas, dalam bingkai emas berukir. Hadiah Pak Long. Pak Long sendiri yang memakunya ke dinding.
Semalam, potret itu ada empat orang. Malam ini, ada lima.
Aisyah duduk di sebelah Alya di atas sofa, dalam baju kurung krim yang sama. Tersenyum kepada kamera.
TELAPAK tangan Alya melekap pada kaca potret. Kaca itu sejuk. Terlalu sejuk untuk malam yang panas. Dalam pantulan kaca, dia nampak wajahnya sendiri. Di belakangnya, sesuatu bergerak.
“Cantik kan gambar kita?”
Alya berpaling. Aisyah berdiri sedepa darinya, memegang pinggan kosong.
“Kau siapa?” Alya bersuara rendah. “Kau datang dari mana?”
Aisyah memiringkan kepala. “Aku dah ada dari dulu, kak. Kakak je yang tak perasan.”
“Tipu. Semalam kau tak ada.”
“Semalam kakak sedih sangat. Orang sedih tak nampak apa-apa.”
“Aku nampak semua benda. Aku nampak Opah dikafankan. Aku nampak Opah masuk liang lahad. Kau tak ada kat situ.”
Aisyah tersenyum. “Aku ada, kak. Aku berdiri belakang kakak. Kakak je yang tak toleh.”
“Aisyah! Bawa pinggan tu ke singki,” panggil Ibu dari dapur.
“Baik, Ibu!”
Aisyah berjalan pergi. Kakinya tidak berbunyi di atas lantai jubin.
Di tempat dia berdiri tadi, ada sekuntum bunga cempaka. Layu. Kekuningan.
Alya mengutipnya. Baunya seperti bilik Opah pada malam Opah meninggal.
“ABANG. Abang ingat tak masa Alya jatuh tangga rumah Opah?”
Adam tidak mengangkat muka dari telefon. Dia terbaring di atas katil, kaki di dinding. “Ingat lah. Kening kau berdarah macam paip pecah.”
“Siapa ada masa tu?”
“Aku. Kau.” Adam menguap. “Aisyah menangis kat atas tangga. Terjerit-jerit macam dia yang jatuh.”
Alya merasakan jantungnya jatuh ke lantai.
“Tak. Masa tu kita berdua je. Abang dukung Alya lari ke klinik. Tak ada sesiapa lagi.”
“Ada lah. Aisyah ikut belakang, pegang selipar kau.” Adam menjeling. “Kau ni dah kenapa? Keluar lah. Aku nak tidur.”
PUKUL 10.00 malam, Ibu menolak pintu bilik Alya. Alya kaku di muka pintu Bilik itu kecil. Selama ini cuma ada satu katil, satu meja belajar, dan poster kucing di dinding Malam ini ada dua katil Katil kedua rapat ke dinding, bercadar kuning. Di atas bantalnya, ada anak patung kain yang tidak pernah Alya lihat.
“Katil siapa ni?”
“Katil Aisyah lah.” Ibu menguap. “Dari kecil korang kongsi bilik. Dah, tidur.”
“Ibu, Alya nak tidur dengan Ibu malam ni.”
“Alya dah 11 tahun.”
“Sekali je. Please, Ibu.”
Ibu mengeluh panjang. Dia memegang kedua-dua bahu Alya “Alya. Ibu tahu Alya sedih pasal Opah. Ibu pun sedih. Tapi jangan seksa adik. Dia menangis tadi kat dapur. Dia ingat kakak dia benci dia.”
“Ibu, dia bukan...”
“Tidur.”
Ibu menutup lampu.
Alya berbaring dengan tubuh tegang. Selimut ditarik sampai ke dagu. Di bawah selimut, telefonnya menyala malap.
Dia menekan butang rakam. Lensa kamera diintaikan melalui celah selimut, tepat ke arah katil kedua.
Aisyah masuk tidak lama kemudian. Dia tidak menghidupkan lampu. Dia berbaring, menghadap Alya.
Matanya terbuka dalam gelap. “Kak,” bisiknya. “Kakak takut ke?”
Alya diam. Jantungnya memukul rusuk.
“Kakak tak payah takut. Aku tak gigit.”
“Kau nak apa?” bisik Alya.
“Nak tidur. Esok sekolah.”
“Kau nak apa sebenarnya?”
Aisyah diam lama. Kemudian dia ketawa kecil, seperti budak yang menyimpan rahsia “Opah dah tak ada,” bisiknya. “Dah tak ada siapa jaga kakak.”
“Apa kau cakap?”
Pintu terbuka. Cahaya dari koridor masuk sebaris. Ibu menjenguk. Alya memejamkan mata. Telefon masih merakam. Ibu melangkah perlahan ke katil kedua. Dia membetulkan selimut. Dia tunduk dan mengucup dahi di atas bantal itu.
“Selamat malam, Aisyah,” bisik Ibu. “Jangan fikir sangat pasal kakak. Esok dia okey.”
“Okey, Ibu,” jawab suara manis dari katil kedua. Kemudian Ibu mengucup dahi Alya juga, lalu keluar.
Lama Alya menunggu. Bunyi nafas dari katil sebelah perlahan dan teratur. Terlalu teratur. Seperti orang yang berpura-pura tidur.
Akhirnya dia menghentikan rakaman. Dia memperlahankan cahaya skrin, lalu menekan main.
Video itu gelap dan bergoyang. Kemudian pintu terbuka. Ibu masuk. Alya mendekatkan skrin ke mukanya.
Katil kedua kosong. Cadar kuning itu licin, tidak berkedut. Bantalnya kempis. Tiada sesiapa di situ. Tetapi Ibu tetap membongkok. Tetap membetulkan selimut yang tiada isi. Tetap bercakap kepada bantal.
Dan dalam video itu, tiada suara yang menjawab “Okey, Ibu.” Alya menekup mulutnya. Dalam video itu, Ibu sedang mencium bantal kosong.
Share this novel