BAB 3

Romance Series 16372

SATU tepukan yang agak kuat mengenai betis Yara. Dia yang sedang berbaring menyiring di atas sofa sambil menikmati kudapan dan menonton drama di televisyen tersentak dengan pukulan yang tiba-tiba itu.
“Apa ni mak? Kacau je lah orang nak berehat,” rungut Yara sambil mengelus betisnya.
“Elok sangatlah tu anak dara makan sambil baring macam tu. Cubalah kamu tu jaga sikit perangai tu. Ni tak, perangai entah apa-apa. Duduk terkangkang macam ni. Ingat manis ke? Kamu tu anak dara, Yara. Cubalah jaga sikit perangai,” bebel Raihah sudah melabuhkan punggungnya di sebelah Yara.
Yara hanya berdecit lalu terus duduk bersila dan memeluk bantal kecil. Mukanya cemberut tidak puas mendengar leteran ibunya.
“Bukan ada orang lain pun kat dalam rumah ni. Cuma ada orang, mak dengan ayah je. Tak ada sesiapa nak pandang orang dalam rumah ni.”
“Orang cakap kamu nak menjawab. Nak jadi apalah kamu ni, Yara? Sebab tulah jodoh kamu tak datang-datang kalau dah ni peel kamu,” bebel Raihah lagi.
Yara menggaru belakang telinganya. Rimas pula dia mendengar bebelan ibunya itu.
“Bila mak bercakap macam tulah gaya kamu. Garu sana, garu sini.”
Tergeleng-geleng Raihah dengan teletah anak tunggalnya itu.
Yara tidak membalas. Nanti kalau dibalas, dikatanya pula kurang ajar. Jadi, Yara telan sahaja apa yang dicakapkan oleh ibunya itu.
“Ni kamu dengan Muza macam mana? Dah ada bincang apa-apa tak? Tak payahlah bercinta lama-lama, Yara. Umur kamu tu bukan muda lagi. Dah 28 tahun pun.”
“Orang dah tak ada apa-apa dengan Muza. Kita orang dah berpisah,” beritahu Yara selamba dengan matanya kekal menatap televisyen.
Melopong Raihah mendengarnya.
“Putus lagi!”

Terkejut bukan kepalang Raihah dengan matanya menjegil memandang Yara yang tidak berperasaan itu.
Satu keluhan dilepaskan. Bukan perkara baru dan seperti sudah sebati dengannya.

‘Kenapa nasib anak aku begini?’ monolog Raihah.
“Mak harapkan ni hubungan percintaan kamu yang terakhir. Muza tu mak tengok baik je orangnya,” keluh Raihah kecewa.
“Dah tak ada jodoh nak buat macam mana,” tukas Yara, datar.
“Kamu tu usahalah lebih sikit, Yara. Genggam lelaki tu kuat-kuat jangan kasi lepas. Kenapa kamu ni mudah sangat mengalah macam ni? Kamu tak nak kahwin ke? Ke kamu selama ni suka hidup macam ni? Kamu tahu jiran-jiran kita semua ni mengata pasal kamu, tahu tak?”
“Biarlah dia orang nak mengata pun. Mulut orang bukan boleh kita tutup. Nanti dia orang dah jemu, dia orang senyaplah.”
Sekali lagi Raihah melepaskan keluhannya. Apa cara atau ‘ubat’ untuk anaknya itu, dia sendiri tidak tahu. Sudah pelbagai cara dia usahakan agar lelaki ‘melekat’ pada anaknya itu. Tapi, tiada yang berhasil. Buntu dia memikirkannya.

YUSMAN yang baru pulang dari masjid melihat isteri dan anaknya yang berada di ruang tamu. Dapat dia lihat wajah berkerut isteri dan wajah rimas anaknya itu. Dia yakin pasti isterinya sedang meleteri Yara. Entah apa pula isu kali ini, tidak diketahuinya.
“Ni apa hal lagi? Sampai berkerut saya tengok muka tu. Kenapa?” soal Yusman sambil melabuhkan punggung ke sofa. Kopiah ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja kopi.
“Anak kita ni bang, dia putus lagi. Entah apa pula alasannya kali ni. Bercinta asyik putus, bercinta asyik putus. Tak ada yang kekal. Nak kena mandi bunga agaknya budak ni,” tukas Raihah mengeluh dengan nasib anaknya itu.
Tergamam juga Yusman mendengar berita terbaru itu. Akhirnya, hanya keluhan saja yang mampu diluahkan. Hati bapa mana yang tidak risau melihat anaknya begitu. Dia sendiri pening dan tidak tahu di mana silapnya.
“Bukan setakat mandi bunga je, kena mandi air longkang sekali,” celah Yara, loyar buruk.
Ternganga mulut Raihah melihat loyar buruk anaknya itu.
“Tengok tu. Bila kita cakap ada je benda nak dijawabnya. Patutlah juga jodoh tak melekat kat kamu.”
“Mak nak kasi lekat macam mana? Guna gam gajah ke? Dah memang semua tu bukan jodoh orang, nak buat macam mana? Lebih baik macam ni dari bercinta lama-lama tapi last-last dia tetap dengan orang lain. Buang masa macam tu.” Yara pantas memotong bicara Raihah.
Tercengang Raihah. Tak terkata dia dengan anak tunggalnya itu.
“Abang tengok ni. Macam mana saya tak selalu membebel kalau anak kita ni macam ni. Entahlah apa salah saya dapat anak macam ni? Didikan saya tak betul agaknya dulu.”
Yara tertunduk. Rasa bersalah pula dia berkata begitu. Bukan niatnya untuk kurang ajar dengan ibunya, namun dia rimas bila sering diasak dengan hubungan percintaannya dan juga jodoh.
“Awak tu pun sudah-sudahlah. Tak guna kita nak bising-bising macam ni. Dah memang belum jodoh Yara nak buat macam mana? Kita terima jelah,” ujar Yusman dengan lembut.

Dia bukan tidak risau dengan apa yang berlaku kepada anaknya itu, tetapi apa boleh dia lakukan. Dah kata bukan jodoh, kita buat apa saja tetap tidak akan bersama. Hanya doa yang mampu dimintanya.
“Yara, tak baik nak kamu cakap macam tu dengan mak kamu. Kamu dah tinggi suara dekat mak kamu tu. Berdosa, nak,” tegur Yusman kepada Yara.
“Maafkan Yara, mak. Orang tak bermaksud nak tinggi suara dengan mak tapi… orang rimas bila mak asyik cerita pasal ni je. Bukan orang tak usaha, tapi dah memang belum rezeki untuk jumpa yang betul.” Yara memohon keampunan dengan suara yang sayu.

Jauh di lubuk hatinya, dia gundah-gulana dengan apa yang berlaku. Dia juga ingin seperti orang lain, bercinta, bertunang dan menamatkan zaman bujang. Tapi, belum jodohnya lagi, nak buat macam mana?
“Yalah. Mak pun salah selalu asak kamu. Mak bukan apa, mak risau tengok kamu, Yara. Orang lain semua dah beranak-pinak tapi kamu….” Hanya keluhan yang mampu diluahkan Raihah.
“Tak apalah. Nanti kita ikhtiar apa yang terbaik untuk kamu. Mak sentiasa doakan untuk kamu, Yara. Mak doakan akan ada lelaki yang jujur dan serius untuk kamu. Lelaki yang boleh jaga kamu macam mak dengan ayah jaga kamu. Lelaki yang boleh bimbing kamu ke jalan yang diredai ALLAH.”
“Amin, mak.” Yara terus memeluk Raihah erat.
Raihah membalas pelukan anaknya itu. Mereka berdua terus berpelukan dan tertawa.

Yusman lega melihat ketegangan dua beranak itu suda reda. Tersenyum dia melihat dua beranak itu sudah berbaik dan berpelukan. Yara, satu-satunya anak yang dimiliki mereka berdua dan Yara sangat manja dengan mereka berdua, walaupun adakalanya perangai Yara agak nakal dan menyebalkan mereka. Tapi Yusman tidak pernah terasa dengan tingkah anaknya itu.
“Yara nak lelaki macam mana? Nanti mak carikan,” soal Raihah berbisik-bisik sambil mengusap tubuh anaknya itu dengan lembut.
Terasa kejap benar masa berlalu. Dia merasakan seperti baru semalam Yara Elia berada di dalam gendongannya. Sekarang Yara Elia sudah terbang tinggi dan mungkin tidak lama lagi dia perlu menyerahkan anaknya kepada seorang yang akan memilikinya.
Yara mengekek lalu membalas dengan bisikan juga, “Nak macam ayah. Baik, soft spoken dan tetap bertahan dengan mak, walaupun mak garang macam ‘singa betina’.”
Terbeliak mata Raihah. Sempat pula anaknya itu mengutuk dia. Sudahlah itu, dikutuknya depan-depan pula, tapi memang betul kata Yara itu.

Yusman seorang lelaki yang budiman. Selalu memberikan nasihat dan teguran kepada isteri dan anaknya dan tetap setia, walaupun Raihah sering berleter.

Yusman yang melihat keadaan dua beranak itu hanya menggeleng. Ada saja ulah mereka berdua. Kejap baik, kejap bergaduh, tapi itulah yang menyerikan rumah tangga mereka.

“AH, tadi abang jumpa Imaduddin. Kamu ingat Imaduddin, Rai?” Yusman membuka bicara. Teringat tadi dia bertemu dengan sahabat yang sudah lama dia tidak berjumpa.
“Imaduddin? Imaduddin mana, bang?”

Raihah cuba mengingatkan sebaris nama itu. Dirasakan nama itu tidak asing baginya, namun dia tidak dapat mengingati siapakah gerangannya itu.
“Alah, Imaduddin. Takkan kamu tak ingat? Dulu masa kita duduk dekat kampung yang jadi jiran kita dulu. Takkan kamu tak ingat?”
“Ahhh… Imaduddin tu. Mestilah ingat. Eh, apa khabarlah dia dengan Hawa sekarang ni? Dah berapa orang cuculah dia sekarang ni. Tak silap saya, kita jumpa dia waktu kahwinnya Heidi. Hah Yara, kamu ingatkan Heidi? Dulu selalu main sama-sama. Masa tu satu kampung cakap kamu dengan Heidi dah macam ‘belangkas’. Kat mana je mesti kamu berdua je.”
Yara bungkam. Dia terus termenung mengingati nama itu. Mana boleh dia lupa nama itu. Itulah sahabat baiknya dulu, Heidi Hayqal sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Bandar Raya Kuala Lumpur atas tuntutan kerja Yusman. Dan mereka sekeluarga terus menentap di ibu kota itu sehinggalah sekarang.
“Macam mana abang boleh jumpa dia?” soal Raihah, musykil. Setahu mereka, Imaduddin masih menentap di kampung mereka yang berada di Muar, Johor.
“Tadi abang jumpa dia dekat masjid. Terkejut juga abang nampak dia tadi. Mula-mula abang was-was juga nak tegur dia. Ya ke tak ya tu dia. Dia pun asyik pandang-pandang abang. Jadi abang pun tegurlah dia.”
“Dia buat apa kat sini? Dia ada saudara mara dekat-dekat area taman kita ke, bang?”
“Itulah saya nak cerita ni….” Yusman melepaskan keluhan sebelum menyambung ceritanya.
Rasa kasihan dengan apa yang menimpa keluarga Imaduddin itu.
Yara terus memasang telinga.
“Rupanya Heidi duduk dekat area sini juga. Dia duduk dekat taman sebelah. Dah empat tahun juga dia duduk situ.”
Yara tersentak.

‘Heidi duduk sini? Tapi, kenapa aku tak pernah tahu?’ soal Yara di dalam hatinya.

Berkerut-kerut dia cuba mencerna cerita ayahnya itu. Dan akhirnya dia baru tersedar, hubungan persahabatan antaranya dan Heidi sudah lama terputus. Heidi berkahwin pun dia tidak pergi kerana waktu itu dia masih lagi dalam latihan pramugari. Jadi, tidak pelik kalau dia tidak tahu yang Heidi tinggal berdekatan dengannya selama ini.
“Laaa… Ya ke? Tapi tak pernah pula nampak dia? Tak pernah pula kita selisih dengan Heidi, kan bang?” Raihah seperti tidak mempercayai cerita suaminya itu.
“Biasalah awaknya. Orang sekarang ni sibuk dengan kerja masing-masing. Awak pun tahu kehidupan kat bandar besar ni macam mana. Pergi kerja, balik kerja. Mana nak pergi masjid tu, lagi-lagi yang muda ni. Yang dah pencen macam saya ni je yang ramai dekat masjid tu.”
Raihah terangguk-angguk faham. Sangat maklum dengan cara kehidupan di bandar, tak macam di kampung yang muafakatnya masih lagi utuh. Di bandar, silap-silap jiran sebelah menyebelah pun kita tidak kenal siapa.
“Jadi, Imaduddin datang sini pergi rumah Heidi lah, ya?” soal Raihah lagi.
“Tapi, ada cerita lain kenapa Imaduddin ada dekat sini.”
“Cerita apa, bang?” celah Raihah tidak sabar.
Begitu juga dengan Yara. Yara yang hanya menjadi pendengar dari tadi ingin tahu apa yang sedang berlaku pada keluarga itu sebenarnya. Melihat raut wajah Yusman yang sugul, Yara tahu pasti telah berlaku sesuatu yang tidak elok pada sahabat baiknya itu.
“Saya nak cerita pun sedih dengan apa yang dah berlaku dekat Heidi. Tadi Imad cerita dekat saya pun tak sampai hati saya tengok dia. Berat betul ujian dia orang sekeluarga.”
“Kenapa, bang? Apa yang dah jadi?”
Yusman terus menggeleng. Tidak sanggup menceritakan kisah duka sahabatnya itu. Kisah yang sangat meruntun jiwa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience