PROLOG

Romance Series 16972

KEPALANYA digelengkan beberapa kali. Mulutnya menguap sudah entah berapa kali. Sesekali pipi ditampar agar terus segar dalam pemanduannya. Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembus perlahan-lahan; mengharapkan oksigen yang disedut itu dapat membantunya mengurangkan kantuk.

Malam itu sangat kelam; hanya disimbahi lampu jalan yang jarang-jarang ada. Ditambah pula dengan kedinginan malam disertakan dengan ketiadaan kenderaan lain bersama; membuatkan kantuknya tidak berjaya dihambat pergi.

Perlahan-lahan penglihatannya jadi makin mengecil dan dia seakan-akan terbuai dengan keadaan yang begitu mengasyikkan untuk melelapkan mata. Stereng yang dikawal sedikit demi sedikit mula beralih arah dan terkeluar dari landasannya sehingga kereta yang dipandunya memasuki jalan bertentangan. Dan dalam masa sesaat, matanya terus terkatup rapat tanpa sedar bahawa dia masih lagi mengendalikan kenderaannya itu. Keretanya terus meluncur laju tanpa kawalan dan tiba-tiba…

Pinnn!!!!

Bunyi hon yang panjang menyedarkan dia semula ke dunia nyata, namun segalanya sudah terlambat. Limpahan cahaya yang banyak datang dari arah depan membuatkan dia terkedu dan BOOM!!!

Dentuman kuat kedengaran. Tubuhnya terhuyung-hayang dan terbanting sana sini, manakala keretanya berpusing dan terseret jauh. Nasib sahaja tali pinggang keledar masih melilit tubuhnya. Jika tidak, sudah pasti dia terpelanting entah ke mana. Serpihan cermin dan kompenan kereta yang berkecai, terpelanting sana sini. Ada yang menghiris dirinya, menghasilkan luka.

Kereta itu terus terbabas ke pinggir jalan. Kempulan asap membuak-buak keluar dari hadapan kereta bersama bunyi desiran. Matanya berpinar dan telinganya berdesing, kesan dari bunyi yang kuat tadi. Terus terlentok jatuh kepalanya pada stereng kereta. Darah terus mengalir turun dari kepalanya. Pandangannya mula kelam dan nafasnya juga berat.

Dia merintih kesakitan. Dia cuba membuka kelompak mata, namun kelompak matanya terasa amat perit untuk dicelikkan. Dengan kudrat yang ada, digagahkan juga dirinya untuk mencelikkan mata walaupun kecil dan samar-samar. Berbalam-balam cahaya yang masuk ke dalam retina mata apabila dia berjaya membuka sedikit matanya. Tidak jelas apa yang sedang berlaku tapi telinganya dapat menangkap beberapa suara berteriak dan panik. Dia cuba meminta bantuan.

“To… long….”

Namun suaranya langsung tidak kedengaran. Suaranya tersekat di kerongkong. Dia menelan liur agar panggilannya dapat didengari oleh orang yang berada di luar sana.

“To… long….”

Sekali lagi dia mencuba, namun usahanya sia-sia. Suaranya tetap tidak kedengaran.

Kesakitan yang terasa nyeri itu mula menjalar hebat di seluruh tubuhnya.

ALLAH!

Hanya itu sahaja yang mampu dia ucapkan dan ingat saat ini. Dia dapat rasa yang malaikat maut bakal menjemputnya sebentar nanti. Dia memejamkan mata kerana sudah tidak tahan dengan kesakitan yang dirasanya sejak tadi. Air mata mula mengalir dan dia teringat akan amalannya selama ini.

Cukupkah amalannya untuk dibawa ke alam satu lagi? Sempatkah dia meminta ampun pada kedua orang tuanya? Dia terus berdoa dan berharap; ini bukan saat akhirnya di dunia yang fana ini. Banyak lagi yang perlu dilakukannya.

“SINI! Dalam kereta ni ada orang! Tapi dia tersempit. Kita tak boleh keluarkan dia. Kena minta bantuan bomba,” teriak satu suara.

“Apa keadaan dia sekarang?” laung satu lagi suara dari kejauhan.

Suara pertama itu terus memeriksa keadaan mangsa yang ditemuinya itu.

“Dik, awak okey ke?” soalnya sambil menyentuh lembut tubuh si dia.

“Errrr…”

Dia sedar ada yang datang untuk memberikan bantuan, tapi hanya desiran saja yang mampu diberikan.

“Masih hidup! Cuma keadaan dia sangat parah.”

Suara itu memberitahu kepada yang lain keadaan si dia.

“Dik, bertahan dik. Bantuan akan tiba tak lama lagi. Bertahan, ya,” pinta suara itu bersungguh-sungguh.

Si dia tidak memberikan respon. Dia sudah tidak tahan dengan kesakitan yang menjalar di seluruh tubuhnya ini. Dia berharap kesakitan yang dialaminya hilang secepat mungkin. Dia ingin tidur dan berharap semua ini hanya mimpi. Dia berharap esok pagi dia akan bangun di atas katilnya yang lagi empuk dan selesa. Segala kesakitan dan keperihan yang dialaminya sekarang akan hilang bila dia bangun dari tidur.

Ini semua hanya mimpi! Itu harapannya.

* * * * *

“PAPA janji nanti papa bawa kakak dengan adik, kita pergi mandi pantai. Nak tak?” soal Heidi teruja sambil memeluk tubuh anak sulungnya yang berada di pangkuannya.

Teruja Hasya mendengar janji si ayah. Memang itu yang ditunggu-tunggunya sejak beberapa hari yang lalu. Beberapa hari yang lalu, dia ada mengajak ayahnya untuk pergi bercuti dan dia ingin sangat bermandi-manda di pantai yang airnya biru dan pasir yang putih. Dia ingin berenang-renang bebas sambil melihat hidupan akuatik yang ada di situ.

“Betul ke, papa? Papa janji nak bawa kakak, adik dan mama pergi mandi pantai?” soal Hasya dengan mata bersinar.

“Ya, papa janji.” Diangkat tangan kanannya, tanda janji.

“Yeah! Mandi pantai!” Hasya terus bersorak kegirangan. Seronok kerana setelah sekian lama keinginannya itu bakal ditunaikan.

“Tapi bukan sekarang tau. Tunggu papa balik dari kursus nanti baru kita pergi pantai,” beritahu Heidi.

“Alaaa…” Terus mati sorakan Hasya tadi. Muncung mulutnya dan air mukanya yang ceria tadi turut berubah muram.

“Nak pergi sekarang….” Mencemik-cemik wajah anak kecil itu berserta munculnya permata jernih yang bakal turun menghujani pipinya yang mulus.

Heidi yang baru ingin membuka mulut untuk memujuk anak sulungnya itu, terbantut kerana Aryana terlebih dahulu mencelah.

“Kakak, papa kena work dulu. Bagi papa settle kan work papa dulu baru kita boleh pergi mandi pantai. Nanti kakak juga yang mengomel dekat mama dan papa tak puas mandi pantai sebab papa kena balik awal, ada work.”

Heidi tersenyum memandang isterinya yang sedang menyusukan Aariz, anak bongsu mereka buat masa sekarang.

Hasya terus termangu.

“Jadi kakak nak pilih yang mana? Kakak nak pergi sekarang, tapi nanti kakak yang tak puas mandi sebab papa kena balik awal, Atau, kakak bersabar sikit hari je lagi bagi papa work dulu, lepas tu kita mandi puas-puas?” Aryana cuba berkompromi dengan Hasya mengenai perancangan mereka sekeluarga untuk bercuti nanti.

Hasya berfikir-fikir sejenak. “Hmmm… Kakak nak mandi puas-puas tapi… kakak tak sabar nak pergi sekarang juga…,” ujarnya sedikit merintih.

Heidi mengangkat kening sebelah. Menunggu jawapan dari anak kecilnya. Hasya meletakkan jari-jemarinya ke dagu dan dielus dengan lembut. Gayanya seperti sedang memikirkan masalah besar saja bersama dengan wajah dikerutkan.

“Baiklah!” Hasya sudah membuat pilihannya.

“Papa work dulu nanti kita pergi lain hari. Kakak nak mandi puas-puas,” putus Hasya dengan gembiranya.

“Okey! Baik! Jadi minggu depan kita pergi mandi pantai!” teriak Heidi dengan sukanya diikuti Hasya yang tidak sabar untuk pergi ke pantai yang diidamkan.

Aryana pula tersenyum bahagia melihat telatah anak dan suaminya itu. Dia berasa bahagia kerana memiliki seorang suami yang penyayang dan anak yang memahami. Dia rasa bersyukur sangat dengan keluarga kecilnya yang penuh dengan kasih sayang ini. Dia berharap kasih sayang yang mereka bina ini akan berkekalan selama-lamanya. Hanya ajal yang akan memisahkan kasih yang termenterai ini.

Hai hai pembaca-pembacaku sekalian. Rindu saya tak? I'm back!!! Silalah menikmati cerita yang tidak seberapa daripada saya ini. Just enjoy. Komen anda amat saya hargai. Sekian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience