BAB 2

Romance Series 16972

SEPERTI pasangan bercinta yang lain; Yara dan Muzaffar akan meluangkan masa bersama-sama, jika mempunyai masa terluang. Walaupun hubungan mereka bukanlah hubungan jarak jauh, tapi mereka jarang bertemu. Masing-masing sibuk dengan tugas dan tanggungjawab sendiri. Namun hal itu tidak menjejaskan hubungan percintaan mereka. Jarang bertemu bukan alasan hubungan mereka menjadi goyah. Hubungan mereka masih bahagia seperti pasangan lain yang lebih kerap berjumpa.
“Dah lama kita tak dating macam ni, kan? Tak silap I last kita jumpa bulan lepas.” Yara memecahkan keheningan antara mereka berdua.

Muzaffar hanya bergumam sambil menikmati nasi goreng kampung.

“Diam tak diam, hubungan kita ni dah tiga bulan. You ingat tak macam mana kita berkenalan dulu?” sambung Yara lagi; mengingati momen-momen indah mereka bersama.
Muzaffar tidak membalas. Hanya gumamannya sahaja kedengaran. Dia tetap menunduk menatap nasi gorengnya yang dikuis-kuis dengan sudu.

“Masa tu kita baru touch down dari Perth. I ingat lagi you orang last yang keluar dari kapal tu. Yalah, bayangkan sepanjang enam jam perjalanan tu you langsung tak tidur. I perhatikan je you masa tu menghadap laptop, sepanjang perjalanan kita tu. Tapi, bila dah nak sampai baru you terlelap.”

Yara berceloteh tanpa henti mengenangkan bagaimana dia dan Muzaffar bertemu.

“Bila kita dah touch down masa tu, you kelam-kabut kemas barang. Masa tu I tengok you rasa comel sangat.”
Muzaffar tersenyum kecil mendengar celoteh Yara. Dia memandang Yara dengan pandangan redup.
“You turun je tak lama lepas tu you datang balik dengan keadaan kalut sangat. Rupanya you hilang pendrive. Masa tu I tengok muka you memang serabut, tapi masih handsome. Lepas tu I kasi you masuk sekejap cari pendrive you tu, tapi sayang tak jumpa. Masa tu I kesian sangat tengok you. I tahu mesti pendrive tu sangat penting pada awak. So, I pun minta nombor you. Manalah tahu nanti I jumpa pendrive tu waktu mengemas.”

Yara terus bercerita tanpa menghiraukan reaksi Muzaffar.
Muzaffar pula hanya menjadi pendengar tanpa mencelah. Melihat wajah ceria Yara; dia tidak sampai hati untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Namun, dia juga tidak boleh menangguh lagi apa yang akan dibicarakan sekejap lagi. Dia ingin menyelesaikan semua ini secepat mungkin. Dia tidak mampu menipu perasaannya lagi.
“You…,” cantasnya perlahan. Namun, Yara yang masih lagi asyik bercerita; tidak sedar yang Muzaffar memanggilnya.
“You.” Sekali lagi Muzaffar bersuara dengan nada lebih kuat.
Terus Yara memberhentikan celotehnya. Matanya terkebil-kebil memandang Muzaffar.
“Ya. Ada apa?” soal Yara.
Muzaffar menghela nafas dengan kuat. Berkerut Yara melihat tingkah kekasihnya itu. Hatinya mula terdetik satu perasaan tidak enak. Melihat wajah kekasih hati yang sedang gelisah; membuatkan Yara berdebar. Wajah yang ceria tadi terus berubah. Pelbagai perasaan bertandang di hatinya. Berdebar, risau, takut; semuanya ada.

‘Adakah dia nak melamar aku atau… sebaliknya?’ bisik hati kecil Yara.
“You… nak cakap apa?” Perlahan saja Yara menyoal Muzaffar lagi.

Dia cuba menepis apa yang bermain di dalam kepalanya, namun tidak mampu. Melihat wajah itu, perasaan Yara kuat mengatakan yang apa cuba dielakkan akan berlaku lagi.
“I…” Tergagap-gagap Muzaffar ingin meneruskan kata-katanya.

Yara pula terus-terusan menelan air liurnya.
“I… nak berpisah dengan you.”
Bam!

Ibarat petir menyambar, apa yang baru didengar tadi menyentak hati Yara. Seperti yang dijangka. Yara menghempaskan nafasnya perlahan-lahan.
“Sebab apa… You nak berpisah dengan I?” Perlahan saja Yara menyoal. Anak matanya dijatuhkan ke bawah. Tidak mampu dia menatap wajah di depannya itu.
Perpisahan bukanlah sesuatu yang asing bagi Yara. Memang setiap kali dia menjalinkan hubungan cinta pasti hubungan itu tidak bertahan lama. Yara buntu. Dia tidak tahu di mana silapnya. Semua hubungan percintaanya gagal.

‘Kenapa? Kenapa?!’ jerit batin Yara.
“You… seorang perempuan yang baik. Sepanjang perkenalan kita, tak pernah you buat sesuatu di luar jangkaan I. You pun hormat dekat orang tua, tapi…”
Yara menunggu dengan sabar. Dia ingin tahu apa pula kali ini alasan yang diberikan. Pelbagai alasan yang dia sudah dapat antaranya, ‘awak terlalu baik untuk saya’; ‘kita tak sesuai. Kita ibarat langit dengan bumi,’ dan macam-macam lagi. Dia sudah menghafal kesemua skrip itu.
Muzaffar pula tidak sampai hati untuk meneruskan kata-katanya. Bukan niatnya untuk memalukan Yara, tetapi lebih baik dia berterus terang dari dia memendamkan saja perasaannya itu.
“You tak bertudung. Maaf.” Terus tertunduk Muzaffar setelah dia mengatakan sebab utama dia ingin menamatkan hubungan ini.
Yara tercengang. Untuk seketika, keadaan mereka berdua sunyi sepi. Yara terus tergamam. Tiada apa yang dapat dikatakan lagi.
“You… tahukan ummi I macam mana? You sendiri dah pernah jumpa dia,” sambung Muzaffar, perlahan.
Yara pernah bertemu dengan ummi Muzaffar tidak lama dulu. Perjumpaan mereka secara kebetulan. Waktu itu, dia dan Muzaffar sedang berjalan-jalan di KLCC dan mereka terserempak di situ. Ummi Muzaffar seorang yang warak. Dari segi penampilannya, Yara tahu ummi Muzaffar sangat menitikberatkan soal agama; terutama perihal menutup aurat. Manakala Yara pula berpakaian tidak mengikut syariat islam. Ingat lagi Yara pada waktu itu dengan pandangan sinis ummi Muzaffar. Dia langsung tidak berkenan dengan cara pemakaian Yara. Matanya sakit melihat Yara yang agak terdedah auratnya.
“Ummi I kalau boleh nak bakal menantu dia pakai tudung dan menutup aurat. I tak kata you seksi. You tak seksi pun bagi I, cuma….”

Muzaffar memandang rambut Yara yang mengurai itu dan berwarna sedikit perang.
Yara hanya mampu melepaskan keluhan berat.
“I harap you faham. Restu seorang ibu tu sangat bermakna pada I. Maafkan I sebab dah kecewakan you.”
Tiada apa lagi yang Yara boleh katakan. Kalau itu keputusan yang telah dibuat oleh Muzaffar, dia tidak akan membantah. Dia bukan macam perempuan lain yang akan membentak dan memujuk rayu pada lelaki. Dia seorang perempuan yang bermaruah.

“PUTUS lagi?!” Falisha tidak percaya apa yang didengarinya tadi. Walaupun perkara itu bukanlah perkara yang baru baginya, namun dia tetap terkilan dengan hubungan percintaan sahabatnya itu. Terus dia menghempaskan keluhan.
Yara yang berada di hadapannya hanya bereaksi selamba. Dia sibuk memeriksa jadual penerbangannya. Tiada langsung perasaan sedih dan kecewa.
“Habis, kau macam mana? Okey ke tak ni?” bicara Falisha lagi. Walaupun Yara bereaksi seperti tiada apa-apa yang berlaku; Falisha tahu yang Yara sedang merintih.
“Habis, habislah. Nak buat macam mana lagi? Dah dia yang nak putus. Takkan aku nak melutut depan dia pula? Bukan aku, bab-bab merayu ni,” balas Yara, bersahaja dan sedikit bongkak.
“Kali ni apa alasan dia bagi nak putus dengan kau?”
“Sebab aku free hair,” balas Yara, datar. Matanya langsung tidak dikalihkan dari diari kerjanya.
“What?! Sebab tu je.”

Tergamam Falisha mendengar alasan yang diberikan oleh Muzaffar untuk berpisah. Hanya kerana tidak bertudung. Tak masuk akal!
“Ummi dia nak menantu yang menutup aurat. Ala-ala ustazah dan aku… terkeluar dari senarai dia,” jawab Yara seraya tersenyum nipis.
Tercengang Falisha dibuatnya. Baginya alasan itu tidak munasabah.
“Bukan kau tak boleh bertudung nanti. Bukan kita selama-lamanya macam ni. Bila sampai seru, kita bertudung juga nanti. Semua tu boleh ubah. Alasan dia je tu.”
Yara mengangkat bahu. Dia malas ingin memikirkan hal itu lagi. Dia ingin move on dengan perpisahan ini. Tidak perlu diratapi.
“Ke… dia sebenarnya dah ada pilihan lain? Alasan dia je tu nak putus dengan kau. Padahal dia dah ada orang lain. Kau tengoklah nanti, silap-silap hari bulan, esok lusa dia berkahwin dengan orang lain,” tebak Falisha dengan penuh sinis dan sangsi.
Yara tidak membalas. Hanya jongketan bahu saja diberikan. Dia pun sudah tidak ambil kisah. Daripada dia memikirkan hal itu, lebih baik dia fokus dengan kehidupannya sekarang. Falisha pula merenung Yara dengan ekor matanya. Hairan pula dia melihat Yara yang sering gagal dalam hubungan percintaan.
“Aku rasakan kau patut pergi mandi bunga. Buang segala badi yang dah melekat kat badan kau ni.”
“Ha-ah, bukan setakat mandi bunga je, tapi kena mandi air sungai dari tujuh sungai. Air dari tujuh kolah masjid, lagi apa? Mandi bawah jambatan?” potong Yara pantas, menyindir cadangan Falisha itu.
Falisha berdecit lalu memberikan jelingan.
“Kau ni kan. Tak salah pun kalau kita ikhtiar. Manalah tahu ada benda tak baik yang melekat kat badan kau ni? Halang kau dari orang lelaki.”
“Karutlah semua tu. Dah belum jodoh aku lagi, nak buat macam mana?”
“Kau perasan tak, selama ni kau hanya jaga jodoh orang je. Jodoh kau? Tak muncul-muncul. Semua ex kau bila putus je dengan kau, tak lama dia orang naik pelamin. Kau ni ibarat jaga jodoh orang lain.”
Yara senyap. Wajahnya terus mengendur.
“Baguslah macam tu. Sekurang-kurangnya jodoh-jodoh dia orang tu selamat di tangan aku sebelum jodoh yang sebenar sampai ke pemiliknya.”
Tepuk dahi Falisha mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Yara itu. Yara masih tidak sedar ke masalah yang dia hadapi itu sebenarnya besar? Tapi, itulah Yara. Ambil sambil lewa saja.
“Ke kau sebenarnya tengah tunggu seseorang? Cinta pertama kau? Sebab tu kau macam tak kisah dengan perpisahan yang kau alami ni,” teka Falisha cuba memancing isi hati Yara.
Yara tersentak.
“Ma-mana ada. Kau merepek apa ni? Aku mana ada cinta pertama,” dalih Yara pantas, namun tersekat-sekat nadanya.
Falisha pula seperti dapat menghidu sesuatu.
“Kau pasti tu?”
“Yes! Aku pasti. Tak ada sesiapa yang aku tunggu. Cinta pertama? Lagilah tak.” Tergelak Yara dengan tekaan Falisha yang dia rasa sangat mengarut.
‘Tak mungkin,’ desir Yara sendirian.

Share this novel

Koci
2024-11-19 09:54:21 

makin menarik kena kumpul coin ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience