BAB 3

Drama Completed 312

Baju yang ditempah akhirnya sampai ke sekolah. Beberapa guru awal-awal lagi teruja untuk membuka. Batik sutera kontroversi dari hujung negeri kini tersedia di depan mata. Namun berlaku juga duka nestapa. Datangnya sedih calar di kala terhamparnya sutera indah.

“Hah? Kenapa warna merah? Bukan ke tempah oren hari tu?” Cikgu Halimah mendekati sebaik sahaja kotak batik dibuka. Terkejut beruk dibuatnya. Mukanya terus kelat. Nafasnya direntap tanpa rela. Menerobos hati mayapada.

“Ya lah, kenapa corak pula lain? Cikgu Hakim juga selaku guru yang memilih terkejut sama. Perasaan menjalar ke saraf. Kata-katanya seakan menjerit melontarkan kepiluan. Lain yang ditempah lain yang sampai. Kehadiran batik yang salah pilihan ibarat guru-guru yang sedang sakit kepala diberi ubat cirit. Haru-biru keadaan.

Cikgu Hakim tidak dapat membayangkan tentang perasaan guru-guru yang melihatnya nanti. Jiwa mereka melara pasti. Seperti yang diduga, semua guru-guru tidak berpuas hati. Macam-macam keluhan meningkat sepuluh kali ganda. Galau jiwa, beresah hati, gulandah diri.

“Baiklah aku akan telefon syarikat batik berkenaan.” Cikgu Hakim tiba-tiba diburu rasa bersalah. Terbayang muka Puan Syazwani. Ingin dibasuh dan dihembur dengan kata-kata kesat bernada keramat. Ingin melaharkan gempik dan gempita.

Hasrat itu disokong oleh semua guru. Biar merungkai apa yang tersurat. Menelanjangkan apa yang tersirat. Cikgu-cikgu perlu bangkit memadamkan kisah yang dicalit awan hitam.

Cikgu Hakim terus menelefon bersama kering perasaan. “Puan, saya Cikgu Hakim dari SK Kemuning ingin membuat pertanyaan. Kenapa batik yang ditempah warna oren menjadi warna merah. Puan salah membuat penghantaran ke?”

Di hujung talian Puan Syazwani bernada selembut sutera. Segera menyusun resolusi harmoni. “Minta maaf cikgu. Sebenarnya perkara ini telah mendapat persetujuan guru besar iaitu Cikgu Nurin.”

Berdesing telinga Cikgu Hakim apabila nama guru besar dipetik. Bagai ada bara dalam telinga. Ada gelora dalam dada.

“Oh, begitukah?” Cikgu Hakim merasakan tersengat seksa suaranya hendak keluar. Dia kemudian meletakkan telefon di telinga kiri pula di saat mulutnya masih lagi melopong mendengar jawapan pengurus batik terkenal itu. Cikgu Hakim panas dengan tiba-tiba. Tidak mampu berkata apa. Kelu seribu bahasa. Mati kata dan rasa.

Puan Syazwani lagi memberi penerangan untuk merungkaikan sebuah persoalan. “Pihak Noor Arianna Batik ada e-mel batik contoh kepada guru besar. Puan Nurin ternyata sebulat suara dan bersetuju dengan corak dan warna yang kami kirimkan. Dalam hal ini, tidak timbul lagi keraguan munasabah daripada pihak Noor Arianna Batik.”

“Ok lah kalau macam tu.” Cikgu Hakim mematikan talian. Nampaknya sekali lagi guru besar tidak membuat perbincangan dalam menentukan keputusan. Cikgu Hakim diburu rasa malu kini. Rasa mahu menyorok di bawah bantal. Tidak mahu mendengar serangan demi serangan yang masih berkait dengan batik sutera.

“Macam mana? Ada sensasi dalam sensasi lagikah?” Cikgu Halimah tetap menuntut jawapan geram yang panjang sebaik sahaja ternampak kelibat Cikgu Hakim.

“Apa cerita sejarah dan nostalgia batik sutera merah menyala tu?” Cikgu Iffah bersikap menambah minyak ke dalam api.

“Big Boss Noor Arianna Batik popular tu cakap apa?” Cikgu Halimah mengasak dan mendesak jawapan keluar daripada mulut Cikgu Hakim.

“Guru besar bersetuju dengan warna dan corak ini?” Cikgu Hakim menjawab ringkas dengan niat menutup mulut cikgu-cikgu.

“Tanpa beritahu cikgu-cikgu semua? Membuat keputusan seorang diri?” Cikgu Halimah terus meninggikan suara melontarkan kata-kata ketidakpuasan.

“Cikgu-cikgu, cantik dan berseni batik ni. Kita semua buat baju sajalah. Pandai guru besar memilih. Kita akur dan redha. Sudah ditakdirkan. Tidak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan dalam hidup ini.” Ustazah Umairah memujuk laju.

“Ustazah nak kena kejar lembu ke pakai batik merah menyala?” Cikgu Halimah tetap bermulut lancang. Membidas selagi boleh.

Cikgu-cikgu lain tidak mahu mendengar. Terus melontarkan pertanyaan demi pertanyaan. Semua soalan berisi peluru kejam. Mengeluh tidak puas hati bersama sengsara sarat perasaan.

Cikgu Hawa ibarat patung cendana. Berdiri bagai tiang lampu di tepi. Kaku soalan mati jawapan. Tidak tahu hendak buat keputusan. Kontroversi batik ini ternyata berlarutan kelam. Kesian, Cikgu Hakim dijadikan tempat guru-guru memuntahkan perasaan.

Dalam memikirkan keributan persoalan yang tidak menemui jawapan itu, seorang cikgu lelaki datang meluahkan kekesalan. Menyiram cuka di dalam luka.

“Aduhai malang Pak Kaduk, macam mana ni cikgu. Badan saya besar, mana nak muat dengan meter kain ni.” Cikgu Hafizuddin selaku guru yang berbadan besar di sekolah itu membuat keluhan diikuti nafas panjang. Mempamerkan diri tidak berminat langsung dengan batik tersebut membaluti diri.

“Betul ke tak cukup? Cikgu dah ukur betul-betul?” Cikgu Hakim bertanya dengan nada memujuk. Hakikat sudah menjangka masalah demi masalah mula melanda. Dari sejengkal menjadi sehasta. Semuanya kerana batik sutera.

“Betullah Cikgu Hakim. Saya dah ukur. Memang tak padan dengan badan saya.” Cikgu Hafizuddin berkata menambahkan sengketa di saat cikgu lain melancarkan perang dan sengketa.

“Kalau macam tu, saya nak ambil kain untuk perempuan. Meternya panjang. Lagi pun harganya murah pulak. Boleh tak cikgu?”

Cikgu Hawa mencelah berani. “Kalau ambil kain ukuran perempuan, nanti ada cikgu perempuan tidak puas hati. Ada yang tidak cukup kain pula dibuatnya. Masalah lagi bertambah. Ada yang terasa hati.”

“Mana boleh macam tu cikgu. Lelaki RM180 dapat dua meter. Perempuan empat meter RM250.” Cikgu Iffah mencelah. Menolak mentah-mentah. Cikgu perempuan lain mengangguk menyokong.

“Saya badan besar mana cukup dua meter.” Cikgu Hafizuddin terus berdebat dalam kesal. Mahu saja berlalu dari situ.

“Tak boleh ditukar-tukar dah. Semua berdasarkan pakej. Takkan kita nak pulangkan semula batik ‘cantik’ ini. Lagi memburukkan keadaan.” Cikgu Iffah menjawab menaikkan urat leher.

“Aku lagi pening selaku bendahari. Sebenarnya, ada lagi cikgu yang tak bayar.” Cikgu Hawa akhirnya membuat pengakuan berani mati di depan semua orang. Biarlah, biar satu dunia tahu cerita di sebalik batik sutera ini.

Cikgu Hakim tidak mahu mendengar lagi masalah. Tidak berani bersuara menyelewengkan tafsir yang sedang mengganggu gugat. “Kalau macam tu saya tanya guru besar sajalah.”

“Setuju!” Sebulat suara mencapai kata sepakat.

Walaupun Cikgu Hakim juga termasuk dalam kategori guru yang terkilan tetapi demi arahan dia terpaksa menjadi orang tengah. Menjadi hakim bidang terjun. Terus ke bilik guru besar menanyakan secara dua mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience