BAB 2

Drama Completed 312

“Pilih saja yang mana berkenan. Hantar deposit kemudian. “Puan Syazwani cantik berbaju batik mempelawa nada memujuk. Terus mengekori Puan Nurin dan melayan dengan penuh mesra lagi. Lembut gigi dari lidah. Nada pujukan meletus tanpa henti.

“Guru-guru pilihlah. Kita tempah ramai-ramai lagi dapat diskaun. Kita pakai kat sekolah nanti. Mesti cantik.” Cikgu Nurin sedikit meninggikan suara sekali lagi. Kemudian menoleh ke belakang untuk membelek lembaran kecantikan dan kehalusan batik seterusnya. Lagaknya bersama gejolak melonjakkan kehendak.

Akhirnya di persimpangan dilema kekalutan seribu rasa, guru-guru terpaksa memilih. Warna menjadi pilihan adalah oren. Harganya usah terkiralah di saat semua guru sudah ‘kekeringan’ perbelanjaan semata-mata lawatan. Ada yang mengikat perut. Masakan tidak, harga yang terjangkau ratusan. Layak golongan berada saja yang mampu milik. Apatah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Guru-guru pun tetap berkira untuk mengeluarkan belanja. Jawapannya mudah, hanya melampiaskan berontak gegar.

Pulang ke sekolah dengan seribu macam persoalan. Dalam hati terpaksa redha sahaja kerana baju telah pun ditempah. Pahit itu harus ditelan jua.

“Cikgu Hakim, maklumlah kepada semua guru. Apabila batik yang ditempah sampai ke sekolah cikgu-cikgu diarahkan membuat baju dan kain.” Cikgu Nurin berkata sekali lagi lagi. Sekadar memberi peringatan kepada guru-guru.

Cikgu Hakim mengangguk sambil memandang kearah guru-guru lain yang sedang pura-pura sibuk. Dalam hati ada resah.

Episod batik sutera itu belum habis diperkatakan berhari-hari. Sedangkan Cikgu Hakim sendiri yang terpaksa memilih batik di kilang tersebut atas dasar guru-guru lain ‘mogok’. Cikgu Hakim harus memujuk diri sendiri sebelum memujuk guru lain walau pun dirinya kini sedang menelan hempedu.

“Tak pernah bincang pun nak beli batik. Kami tidak tahu apa-apa. Ketinggalan bas katakan.” Cikgu Qistina yang tidak menyertai rombongan sekolah sedikit kebingungan apabila diminta wang bayaran.

Cikgu Nur Ain di sebelah juga mengajukan soalan yang sama. Ada gempik dalam duka, ada derita dalam sengsara. Batik sutera puncanya.

“Memang aku tak nak batik tu. Sudahlah mahal lepas itu tak buat mesyuarat. Ingat beli batik mahal kat kilang sama dengan nak beli tudung bawal kat pasar malam ke?” Cikgu Halimah masih mengulangi soalan yang sama sejak mula-mula dibawa ke kilang. Lagak dan nada ketidakpuasan terlihat jelas melalui kerut wajahnya mengiringi setiap letusan kata-kata.

“Tudung bawal pun nak beli kena pilih beratus kali. Tengok corak, tengok warna, tengok harga. Faham sajalah GST!” Cikgu Iffah tetap menyokong. Berani menghampiri mencampakkan pendapat.

“Aku lagi peninglah. Nak kutip duit, cikgu-cikgu tetiba jadi liat. Aku macam peminta sedekah saja. Guru-guru banyak bagi alasan. Berapa kerat yang bayar. Itu pun terpaksa. Yang selebihnya buat alasan tak nak bayar, tak mampu, tak mesyuarat dan segala mak nenek alasan.” Cikgu Hawa sejak dari awal lagi terkurung dalam kekeliruan.

Cikgu Hakim mengerti kesengsaraan perasaan guru-guru kini. Semoga keruh di muara itu kembali jernih. Semoga gegaran perasaan itu tidak berpanjangan sampai tujuh keturunan.

“Bendahari lagilah pening. Nak ikut kehendak kekawan atau arahan guru besar. Dibuang mati mak ditelan mati bapa.” Cikgu Hawa mencelah sekali lagi.

“Cikgu-cikgu sekalian. Tidak ada mesyuarat untuk membeli batik sekali pun bukan masalah besar. Beli sajalah. Fikir yang baik. Guru besar dah buat yang terbaik untuk cikgu-cikgu.” Ustazah Umairah tetap berbaik sangka. Semoga kata-katanya menghuni dan menutup setiap lobos luka. Masalah timbul, biasalah. Langit pun tidak selalu cerah.

Ada guru menjeling dan membeliakkan mata. Ada yang langkah kaki berlalu pergi ke kelas. Dalam puluhan guru nampak sangat beberapa orang sahaja yang menyokong dan berpihak kepada guru besar. Sebab itulah awal-awal lagi ikut sahaja arahan.

“Baguslah semua dah bayar. Bila kain sampai kita terus buat batik. Acara bergambar akan diadakan.” Puan Nurin tersenyum ke arah Cikgu Hawa apabila mengetahui semua cikgu-cikgu berjaya menyelesaikan bayaran.

Cikgu Hawa hanya tersenyum kelat saat Cikgu Nurin menguntum senyuman. Semua bayaran dibuat oleh guru akhirnya. Namun, hakikat dalam hati guru-guru hanya Cikgu Hawa sahaja yang tahu. Gosip-gosip panas ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Guru-guru pula ada yang membayar kerana terpaksa. Ada segelumit dendam. Ada bara. Namun atas dasar arahan terpaksa dibayar juga. Cikgu Hakim lagilah. Tanggungjawab yang diletakkan ke atasnya terlalu tinggi. Selaku pengerusi dia harus membuat keputusan yang terbaik. Tidak merobek hati yang sedang tercalar pilu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience